Pages

Thursday, July 28, 2011

Asal Usul Singapura





Dikhabarkan oleh orang dulu-dulu kononnya suatu masa dahulu ujud sebuah pulau kecil di selatan Semenanjung Tanah Melayu, Temasik namanya. Tersangatlah masyhornya pulau ini kerana penduduknya yang anggun lagi bergaya. Tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan fesyen semasa.

Saban hari tiadalah lain kerja penduduk Temasik selain dari bergaya dan melawa. Oleh itu ramailah pedagang dari India yang berlumba-lumba memperdagangkan hasil jualan kain dan tekstil di pulau tersebut. Maka terleka dan asyik mahsyuklah penduduk Temasik sehinggakan lupa untuk bekerja. Siang malam hanya memperagakan pakaian sahajalah kerjanya, sehinggakan ada diceritakan fesyen khusus untuk mandi dan ke tandas pun turut direka cipta.

Tabiat boros berbelanja akhirnya membawa kepada masalah kewangan yang semakin kritis. Para pedagang juga semakin takut untuk datang ke Temasik kerana hasil jualan mereka yang makin merosot. Akan tetapi tiadalah pedagang ini mengadakan mogok sebaliknya mereka bermesyuarat untuk mencari satu formula yang lebih berkesan. Akhirnya dapatlah kata putus mereka untuk memperkenalkan jualan secara ansuran pula. Apabila sampai berita ini kepada penduduk Temasik bersorak-sakanlah mereka kerana harapan untuk terus anggun rupanya masih belum tamat. Dibelanjakanlah segala baki wang yang ada sebagai wang pendahuluan.

Apabila genap sebulan datanglah kembali para pedagang India itu untuk memungat ansuran bulanan. Terdiamlah penduduk Temasik ketika itu kerana mereka sudah tidak punya wang lagi, hatta makan minum merekapun hanya sekadar apa yang ada. Akhirnya pulanglah para pedagang itu dengan hampa.

Sebulan kemudian datanglah semula pedagang itu, tetapi hasilnya tetap kosong. Penduduk Temasik sudah muflis semuanya dan pakaian mereka juga sudah tidak seanggun dulu. Semenjak hari itu bersumpahlah para pedagang tidak akan singgah lagi di Temasik, sebaliknya mereka hanya meneruskan perjalanan ke Indonesia pula. Penduduk Temasik hanya dapat memandang dan memanggil- manggil dari jauh. Akhirnya apabila keadaan sudah semakin terdesak maka bertempiklah penduduk Temasik apabila nampak kapal-kapal pedagang yang lalu di perairan pulau. Kerana jarak antara kapal dan pantai yang jauh maka bertempiklah mereka dengan sekuat hati.

"Hoi para pedagang, singgahlah sini dulu!"
"Marilah singgah, singgahlah dulu, singgahlah! Singgah! Singgah! Singgah...!"
"SINGGAH! SINGGAH! SINGGAH!"
Demi terdengar sahaja kepada para pedagang itu maka marahlah mereka dan membalas tempikan. "Cit porrah!"

Akhirnya berbalas tempikan antara mereka. Apabila penduduk Temasik bertempik "singgah" maka dijawab pula oleh mereka "Porrah".

Kebetulan paula Parameswara yang ketika itu baru sahaja mendarat di pulau itu kerana melarikan diri dari Indonesia telah menyaksikan peristiwa berbalas tempik itu. Baginda yang masih belum tahu nama pulau itu, demi terdengar sahaja tempikan singgah dan dibalas dengan porrah itu terus menamakan pulau itu sebagai Singgah Porrah atau dikenali sekarang sebagai Singapura.

1 comment: