Pages

Monday, July 18, 2011

Demontrasi dan Akidah

Dalam hadis yang sahih dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahih beliau, Rasulullah s.a.w bersabda (mafhumnya):

“Akan dibentangkan kepada hati pelbagai fitnah seperti mana tikar (dibentangkan kepada penganyamnya) satu persatu”.

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

“Akan berlaku fitnah-fitnah (ujian-ujian dan bencana) di mana orang yang duduk daripadanya lebih baik daripada yang berdiri, yang berdiri pula lebih baik daripada berjalan dan yang berjalan pula lebih baik daripada yang bergegas di dalamnya, barangsiapa yang cuba menjeguknya akan terjebak ke dalamnya dan barangsiapa yang mempunyai tempat berlindung maka hendaklah dia berlindung dengannya”. [Al-Bukhari dan Muslim].

Rasulullah s.a.w selaku penyampai wahyu yang semua ucapan baginda adalah diselia kawal oleh wahyu tidak berdusta sama sekali, sekarang apa yang baginda s.a.w nyatakan dalam hadis-hadis baginda lama dahulu, kini kita sedang menyaksikannya.

Dunia Umat Islam dilanda dengan fitnah yang bertali arus, pemberontakan dan demonstrasi, rusuhan dan tunjuk perasaan, pembunuhan dan penjajahan, kemuculan kaum Ruwaibidoh yang petah berucap tetapi penuh putar belit dan pendustaan, dan pelbagai lagi ujian yang menggoncang hati dan menggugat Iman yang hanya mampu diselamatkan dengan perisai wahyu, al-Quran dan al-Sunnah.

Benar lah kata para Ulama Salaf ridwanullahi ‘alaihim:

“Sunnah itu seumpama Bahtera Nuh, barangsiapa yang menaikinya selamat dan barangsiapa yang ingkar akan tenggelam”.

Di tengah-tengah Taufan Fitnah melanda Umat, hanya mereka yang menaiki Bahtera Nuh yang merupakan Sunnah Muhammadiah s.a.w sahaja yang akan terselamat insya-ALLAH.

Dalam Hadis yang popular dan sahih yang dikeluarkan oleh Imam Abu Daud dan lainnya, direkodkan Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa yang hidup selepas aku akan melihat perselisihan yang banyak maka hendaklah kamu berpegang tegug dengan Sunnah ku dan Sunnah para Khalifah yang mendapat petunjuk yang membawa kepada kebenaran, gigitlah ia dengan gigi geraham kamu”.

Kata Saidina Mu’az bin Jabal r.a:

“Sesungguhnya di belakang kamu (zaman selepas Sahabat) akan berlaku fitnah-fitnah di mana harta akan bertimbun-timbun, al-Quran akan tersebar sehingga diambil (ilmunya) oleh orang Mukmin, Munafiq, lelaki, wanita, kanak-kanak, orang-orang tua, hamba, dan merdeheka. Maka hampir sahaja mereka berkata: “Kenapakah orang tidak mahu mengikut aku sedangkan aku telah membacakan kepada mereka al-Quran? Mereka tidak akan mengikut aku sehinggalah aku merekacipta kepada mereka sesuatu yang baharu”. Maka jauhilah kamu akan perkara baharu yang mereka cipta kerana ianya adalah kesesatan”. [Abu Daud].

Nah, kata-kata seorang Sahabat yang bertutur dengan cahaya Wahyu ini tepat sekali berlaku di zaman kita, semua orang mendakwa ‘alim dan mampu mendedangkan al-Quran dengan baik, namun sejauh manakah mereka benar-benar Ahli Al-Quran? Hanya ALLAH jua yang mengetahui perkara yang tersembunyi.

Oleh itu, ketahuilah wahai kaum Muslimin, keselamatan kamu hanya berada dengan al-Kitab dan al-Sunnah walaupun kamu melihat apa yang disuruh al-Kitab dan al-Sunnah itu berlawanan dengan realiti yang berlaku disekeliling kamu.

Jangan sama sekali kamu bantah Wahyu yang Maksum dengan akal mahupun realiti yang diwar-warkan sekarang sebagai “Fiqhul Waqi’”, kerana Waqi’ bisa sahaja menipu kamu dan melakukan silap mata terhadap kamu.

Rasulullah s.a.w telah menyatakan bahawa Api yang kamu akan lihat sebagai realiti dibawa Dajjal nanti sebenarnya Syurga dan Syurga yang dibawa Dajjal yang kamu akan sangka itu realiti di hadapan mata kamu sebenarnya adalah Neraka, maka beruntunglah ketika itu mereka yang mendahulukan Sunnah atas Realiti dan amat rugi dan celakanya mereka yang medahulukan “Fiqhul Waqi’” yang Fatamorgana itu.

Wahai Hamba ALLAH sekalian, jika kamu sudah boleh memahami mukaddimah yang kami sediakan di atas maka ketahuilah bahawa Rasulullah s.a.w telah menjelaskan bahawa di akhir zaman ini akan wujud banyak penguasa dan pemerintah yang zalim dan memakan harta rakyat secara batil, pemerintah yang tidak mengikut sunnah baginda dan membelakangkan hukum ALLAH, namun Rasulullah s.a.w juga melarang kamu memberontak kepada mereka sebagaimana baginda melarang kamu mentaati mereka dalam melakukan maksiat (dilarang bersekongkol).

Antaranya daripada Wail bin Hujr r.a bahawa beliau berkata: “Aku mendengar seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Apakah perintah tuan jika ada dalam kalangan kami nanti para pemerintah yang meminta hak mereka tetapi menghalang hak kami?” Maka Rasulullah s.a.w menjawab: “Dengar dan Taatlah kerana mereka akan menanggung apa yang mereka tanggung dan demikian juga kamu akan menanggung apa yang kamu dipertanggungjawabkan atasnya”. [al-Tarmizi].

Daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja’ie r.a kata beliau: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sebaik-baik kamu dan sebaik-baik pemerintah kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, sedangkan seburuk-buruk kalangan kamu dan seburuk-buruk pemimpin kamu adalah orang yang kamu benci akannya dan dia benci pula akan kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka juga mengutuk kamu”; Ditanya kepada baginda: “Apakah tidak boleh sahaja kami mencabut mereka (menggulingkan mereka)?” Maka Jawab baginda: “Tidak boleh selama mana mereka mendirikan solat yang lima, barangsiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin kemudian dia melihat pemimpinnya itu melakukan maksiat kepada ALLAH maka hendaklah dia membenci maksiat kepada ALLAH yang dilakukan itu tetapi jangan pula dia mencabut tangan daripada ketaatan”. [Muslim, Ahmad, Ibn Hibban dll dan lafaz adalah untuk Ibn Hibban].

Daripada Ummu Salamah r.ha Isteri Rasulullah s.a.w bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan ada nanti para pemerintah yang mana ada tindakan mereka kamu setujui dan ada yang kamu ingkari, maka barangsiapa yang dapat mengenal pasti (antara yang baik dan buruk perbuatan mereka) maka dia akan terlepas (dari maksiat), barangsiapa yang mengingkarinya akan selamat, tetapi mereka yang reda dan mengikut (maka dia binasa)”. Kata Sahabat: Apakah tidak wajar kami memerangi mereka? Jawab baginda s.a.w: “Tidak boleh, selama mereka mendirikan solat”. [Muslim, Abu Daud, & al-Tarmizi].

Nah, jelas wahai para Hamba ALLAH, hadis-hadis ini menceritakan perkara yang akan berlaku selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w dan ianya meliputi zaman kita hari ini sebagaimana jelas dalam hadis ini dan Rasulullah s.a.w telah pun memberikan panduan kepada kita supaya jangan memberontak kepada pemerintah-pemerintah yang zalim ini.

Ketahuilah bahawa mentaati perintah Rasulullah s.a.w dan beriktiqad bahawa petunjuk baginda adalah petunjuk yang paling sempurna dan nasihat baginda adalah nasihat yang paling utama serta hukum baginda adalah hukuman yang teradil dan terbaik merupakan tuntutan utama syahadah: Muhammad Rasulullah; sebagaimana ALLAH Ta’ala berfirman:

Mafhumnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [Al-Nisaa: 65].

ALLAH Azza wa Jalla dalam al-Quran apabila memerintahkan Taat kepada-Nya maka Dia akan men-’atafkan perintah ini dengan “waw” ‘ataf supaya mentaati Rasulullah s.a.w dan ini menunjukkan bahawa Taat kepada Rasulullah s.a.w adalah sama hukum dan kedudukannya dengan Taat kepada ALLAH.

Ini sudah jelas kepada kita bahawa memberontak kepada pemimpin yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w dengan apa cara sekalipun sama ada dengan perbuatan mahupun perkataan sebagaimana yang dijelaskan para Ulama, mencacatkan akidah dan Iman kita terhadap Rasulullah s.a.w dan Mutabaah kita terhadap Sunnah baginda.

Walaupun pada pandangan kita yang lemah dan menipu ini mengatakan bahawa memberontak kepada pemerintah itu ada faedahnya namun selaku seorang yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya hendaklah kita yakini bahawa apa yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w itu lebih benar, lebih baik, dan lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah.

Walaupun manusia semuanya terjebak dalam tindakan demonstrasi dan rusuhan terhadap pemerintah, kita perlulah beringat bahawa kita diperintahkan mengikut al-Quran dan al-Sunnah bukan apa yang dilakukan orang ramai kerana ALLAH berfirman:

Mafhumnya: “Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.“ [al-An'am: 116].

ALLAH Tuhan sekalian ‘alam sendiri telah memberitahu kepada kita bahawa manusia itu majoritinya adalah mengikut sangkaan dan dusta semata-mata kerana sifat manusia itu dengan nafsu yang ada pada dirinya jika tidak di kawal pandu oleh wahyu akan menyondol segala syahwat dan kebatilan dan bergelumang dengannya.

Para penyeru demokrasi dan tunjuk perasaan akan membawakan pelbagai slogan yang mengenakkan telinga, menyedapkan lisan, dan menyejukkan jiwa namun hakikatnya tidak lebih seumpama syurga Dajjal yang hakikatnya adalah azab yang pedih dan perkara ini telah pun ALLAH ingatkan kepada kita dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah:

Mafhumnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.” [al-Baqarah: 11].

Para perosak ini tidak akan mengaku apa yang mereka usahakan itu adalah kerosakan atas muka bumi, sebaliknya mereka akan mengangkat slogan-slogan “Islah” dan “Pembaikan”, bahkan ayat-ayat ALLAH akan diputar belitkan untuk menarik sokongan dan membenarkan kemungkaran mereka itu.

Oleh itu, janganlah kita mudah percaya dan lekas terpedaya kerana ia akan menjerumuskan kita ke jurang celaka, keselamatan hanya ada pada Wahyu dan Agama, selain itu semuanya dusta dan fatamorgana.

Ketahui juga wahai para Hamba ALLAH, Rasulullah s.a.w telah meletakkan taat kepada pemerintah itu sebaris dengan taat kepadanya dan taat kepada baginda adalah Taat kepada ALLAH sebagaimana sabda baginda s.a.w:

“Barangsiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati ALLAH, dan barangsiapa yang menderhakai aku maka dia menderhakai ALLAH, barangsiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan barangsiapa yang menderhaka kepada pemerintah maka dia telah menderhaka kepada aku” [Muslim].

Begitu terang Sunnah baginda s.a.w, malamnya bagaikan siang, maka di manakah lagi tempatnya yang layak bagi dakwaan “Demonstrasi Tiada Kaitan dengan Akidah” selain Tong Sampah?!!

Demikian juga para hamba ALLAH sekalian, para Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah telah meletakkan ciri-ciri bahkan salah satu Prinsip Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah mentaati pemerintah dalam makruf, mencegah kemungkaran mereka dan Tidak Memberontak jika mereka zalim dan fasiq tetapi hendaklah kita mendoakan supaya ALLAH memperbaiki keadaan mereka dan memberikan mereka hidayah.

Kata Imam al-Barbahari r.h [w.329 H] di dalam karangannya yang sangat berharga: (Syarhus Sunnah):

“Barangsiapa yang memberontak kepada pemerintah kaum muslimin maka dia adalah seorang ‘Khawarij’, memecahkan kesatuan kaum muslimin, dan menyalahi atsar serta matinya adalah mati jahiliah”.

Kata beliau juga:

“dan Tidak Halal memerangi Sultan (pemerintah) dan memberontak kepadanya walaupun mereka itu zalim…”

Kata beliau juga:

“Jika kamu melihat seseorang mendoakan kecelakaan untuk pemerintah maka ketahuilah bahawa dia seorang Ahli Bidaah, sedangkan jika engkau melihat seseorang mendoakan kebaikan untuk pemerintah maka ketahuilah dia seorang Ahli Sunnah –insyaAllah-”.

Perhatikan wahai Hamba ALLAH, Imam al-Barbahari menjazamkan bahawa mereka yang mendoakan keburukan kepada pemerintah sebagai Ahli Bidaah dan dia tidak menyebut: ‘Insya-ALLAH’ tetapi mereka yang mendoakan kebaikan untuk pemerintah, beliau mentakliqkannya dengan masyiah (insya-ALLAH), perhatikan perkara ini sebaik-baiknya dan jika kamu dapat memahaminya kamu akan faham betapa bahayanya memberontak kepada pemerintah terhadap akidah kamu.

Kita semua mengetahui bahawa mereka yang keluar menunjuk perasaan hari ini adalah dengan tujuan menjatuhkan pemerintah mereka, aksi-aksi mencemuh pemerintah, mengutuk, melaknat dan seumpamanya adalah syiar rasmi dan lazim bagi aktiviti demonstrasi ini, maka masih adakah kewarasan yang mengatakan bahawa tindakan ini tidak menjejaskan akidah? Demi Ketinggin ALLAH atas ‘Arasy-Nya, ini adalah kegilaan yang tiada lagi kewarasan selepasnya.

Benar kata ‘Allamah Abdul Muhsin al-’Abbad –hafizahullah- ketika beliau menyatakan: Jika demonstrasi ini tidak ada apa-apa keburukan kecuali boleh menghalang lalu lintas, sudah cukup untuk kita fatwakan ianya haram, ini selari dengan sabda Rasulullah s.a.w:

Mafhumnya: “Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang, yang paling utama adalah ucapan: La Ilaha Illallah dan serendah-rendahnya adalah membuang kerosakan di jalan, dan malu itu sebahagian daripada Iman”. [Muslim].

Maka mafhum mukhalafah daripada hadis ini, jika membuang perkara yang menghalang lalu lintas adalah cabang daripada cabang-cabang Iman maka mengganggu lalu lintas adalah salah satu cabang kekufuran dan ini ini sudah jelas keharamannya.

Orang yang berakal jika dia melihat demonstrasi yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya, Yemen, dan lain-lain lagi jelas kepada mereka kerosakan yang berlaku akibat tindakan bodoh ini bahkan lebih ketara sekarang di Libya apabila para pemberontak yang kononnya hendak membebaskan Libya dari kezaliman Mu’ammar dengan terang-terang bersekongkol dengan United States of America dan sekutu-kutu Ahzab musuh-musuh ALLAH dan Rasul menumpahkan darah kaum muslimin di Libya.

Di Tunisia pula, setelah beberapa bulan berlalu, Revolusi Jasmine yang mereka banggakan yang dimulakan dengan tindak bunuh diri yang merupakan dosa besar yang ALLAH ancam pelakunya dengan kekal dalam neraka itu tidak membuahkan sebarang hasil melainkan keadaan semakin parah apabila masuk campur America dalam menentukan kerajaan baharu semakin ketara.

Di Mesir apa kurangnya? Kaum munafiqin semakin bermaharajalela di pentas politiknya dan para penjenayah Akidah semakin berani menunjukkan taring-taring beracun mereka dan siap saga untuk mencengkam takhta pemerintah Mesir dengan kuku-kuku berbisa mereka itu yang akan menyaksikan agama ALLAH terus dihina di bumi Mesir, penyembahan kubur terus subur dan lain-lainnya.

Apatah lagi mereka yang mengikuti perkembangan di Medan Tahrir yang merupakan Medan Syaitan yang menyaksikan para Wanita Liberal memijak Hijab (lalu dinamakan Medan Tahrir bersempena dengan peristiwa itu yakni –Pembebasan Wanita daripada Hijab) suatu ketika dahulu, jelas kelihatan para jantan dan betina bercampur baur di medan yang dilaknat itu dan mereka sama sekali tidak menuntut penegakan Syariat ALLAH bahkan apa yang mereka pentingkan adalah maslahah Duniawi mereka.

Maka kami tidak tahu apakah yang mengaburi mata sesetengah “Cendiakawan” dan “Cedik Pandai” sehingga menyatakan sokongan terhadap aktiviti tidak bermoral ini dan menamakannya sebagai “Jihad di Jalan ALLAH”, -nauzubillah min zalik- Ini semua tidak lebih: “Jihad di Jalan Syaitan”.

Benarlah kata Saidina Mu’az bin Jabal r.a:

“dan aku memberi ingat akan kamu untuk berhati-hati akan kegelinciran seorang Cerdik Pandai kerana sesungguhnya Syaitan itu kadang-kadang bertutur dengan kesesatannya melalui lisan seorang Cerdik Pandai” [Abu Daud].

Lebih menghairankan kita, mereka yang menyatakan sokongan terhadap aktiviti tunjuk perasaan yang penuh dengan kesalahan-kesalahan syariat ini adalah mereka yang selama ini amat gah dengan seruan: “Fiqh al-Waqi’ ” (Fekah Realiti), namun ke mana hilangnya realiti mereka ketika mereka mengharuskan tindakan-tindakan maksiat ini? Ke mana hilangnya pertimbangan Rasional dan Fiqh Awlawiyat (keutamaan) yang mereka gahkan selama ini??!! Atau sebenarnya apa yang mereka laungkan tidak lebih sekadar ketukan-ketukan tin kosong untuk menarik perhatian semata-mata?!! Hanya kepada ALLAH jua diadukan segala permasalahan.

Akhir bicara, kami menyeru kepada sekalian kaum muslimin yang sampai kepadanya seruan kami ini untuk mempertimbangkan setiap amalan dan perkataan dengan Wahyu yang Suci; al-Quran dan al-Sunnah dan berpegang teguh dengan apa yang diikuti oleh para Ulama Salaf al-Soleh –reda ALLAH atas mereka sekaliannya- kerana hanya dengan itu sahaja kita mampu memperoleh keredaan ALLAH di dunia mahupun di akhirat. Wallahua’lam bis sawab

1 comment:

  1. Orang yang berakal jika dia melihat demonstrasi yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya, Yemen, dan lain-lain lagi jelas kepada mereka kerosakan yang berlaku akibat tindakan bodoh ini bahkan lebih ketara sekarang di Libya apabila para pemberontak yang kononnya hendak membebaskan Libya dari kezaliman Mu’ammar dengan terang-terang bersekongkol dengan United States of America dan sekutu-kutu Ahzab musuh-musuh ALLAH dan Rasul menumpahkan darah kaum muslimin di Libya.

    ReplyDelete