Pages

Saturday, August 27, 2011

Kemalangan Ngeri di Dungun, Kereta Putus Dua


Kemalangan Ngeri di Dungun, Kereta Putus Dua



DUNGUN: “Saya tidak menyangka arwah pandu kereta keluar dari kawasan rumah kerana dia tidak pernah melakukan tindakan seumpama itu sebelum ini,” kata Ahmad Sobri Badarudin, 35, abang kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 9, Jalan Teluk Lipat-Sura Hujung, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, Ahmad Sofri, 23, terbunuh apabila kereta Proton Iswara Aeroback milik abangnya itu yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 30 meter selepas kenderaan berkenaan terputus dua.
Kemalangan menyebabkan mangsa yang berasal dari Jalan Bunga Raya, di sini, cedera parah di kepala, remuk di dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ahmad Sobri, adiknya itu sebelum ini tidak pernah memandu keluar dari kawasan rumah.
Menceritakan kejadian, Ahmad Sobri yang bekerja sebagai kontraktor di Kemaman berkata, dia bersama anak dan isteri mengambil keputusan pulang ke kampung di Jalan Bunga Raya untuk menyambut Aidilfitri bersama adik beradik dan ibunya.
“Pada pagi kejadian, saya asyik teringatkan adik dan ibu menyebabkan saya serta isteri mengambil keputusan pulang ke Dungun dan mengarahkan semua pekerja bercuti,” katanya.
Menurutnya, setiba di rumah keluarganya pada jam 6.15 petang, dia bertemu dengan ibunya tanpa menurunkan semua barang dan pakaian mereka sekeluarga dari kereta.
“Ketika bertemu arwah, dia memberitahu semua persiapan berbuka puasa sudah disediakan selepas membeli pelbagai juadah sebelum meninggalkan saya di rumah.
“Saya tidak tahu dia menggunakan kereta saya selepas itu kerana dia tidak meminta izin. Ketika mahu mengambil barang di kereta, saya diberitahu anak arwah memandu keluar kereta saya dari kawasan rumah.
“Saya terkejut kerana dia tidak pernah memandu keluar dari kawasan rumah,” katanya.
Ahmad Sobri juga berkata, anak sulungnya, Ahmad Ikhbar, 7, memberitahunya yang dia mahu mengikut arwah, tetapi adiknya enggan membenarkan mengikutnya.
Menurutnya, kira-kira setengah jam kemudian, kakaknya, Maryani, 33, cuba menghubungi arwah menerusi telefon dan panggilan itu dijawab individu tidak dikenali memaklumkan arwah terbabit kemalangan.
“Maryani menghubungi saya dan meminta ke tempat kejadian. Sebaik tiba, saya terkejut mendapati kereta saya terputus dua dan arwah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, arwah adiknya anak keenam daripada tujuh beradik dan bekerja sebagai jurukimpal.
“Kami berdua sangat rapat dan saya memberikan bantuan kewangan serta pendidikan sejak kematian bapa pada 1995,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment