Pages

Saturday, August 6, 2011

PENYEBAB GEJALA MURTAD DI MALAYSIA

PENYEBAB GEJALA MURTAD DI MALAYSIA





Apabila terjadi kes murtad, timbul berbagai reaksi di kalangan masyarakat Islam dan mereka menuding jari kepada sesiapa sahaja untuk mencari kesalahan. Reaksi tersebut menunjukkan kekecewaan mereka terhadap apa yang berlaku. Inilah antara sensitiviti agama yang wujud di kalangan umat Islam.

Sebenarnya jika dikaji dengan mendalam, kejadian murtad di kalangan saudara baru bukan perkara baru dan bilangannya di seluruh negara adalah ramai. Namun, mungkin ia tidak boleh dikesan menerusi rekod di Jabatan Agama Islam kerana mereka yang murtad itu tidak melaporkan kepada jabatan tersebut. Ada yang menghilang diri begitu sahaja tanpa dapat dikesan. Bagi mereka, menukar agama sama seperti menukar parti politik, menukar pertubuhan sukarela dan sebagainya. Itu saja.



Sebab Murtad

Ada beberapa faktor yang menjadi punca berlakunya murtad di kalangan saudara baru di Malaysia. Antaranya:

a. Gagal dalam perkahwinan seperti yang berlaku kepada Fatimah Tan Abdullah dari Pulau Pinang. Ini lazimnya terjadi kepada mereka yang memeluk Islam atas sebab perkahwinan dan usaha pemantapan akidah tidak dilakukan dengan berkesan.

b. Kurang bimbingan agama yang sepatutnya diberi sebaik sahaja mereka selesai didaftarkan di Jabatan Agama Islam. Ini berlaku kepada saudara baru yang tidak mempunyai keluarga angkat Islam untuk bernaung.

c. Hilang tempat pergantungan setelah ketiadaan orang yang melindungi mereka, sama ada kerana perceraian atau kematian pasangan mereka atau berpisah dengan keluarga angkat Islam yang selama ini melindungi mereka.

d. Kecewa kerana hasrat yang diimpikan tidak tercapai.

e. Dipaksa murtad oleh keluarga asal mereka.

Inilah di antara sebab berlakunya kejadian murtad di kalangan saudara baru di negara ini.

Kuasa Perundangan

Di Malaysia, Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri adalah pihak yang bertanggungjawab secara langsung dalam urusan memeluk Islam menurut undang-undang, di mana setiap negeri mempunyai undang-undang (Enakmen) khusus yang memperuntukkan berbagai kuasa mengenainya yang merangkumi perkara-perkara berikut:

a. Kuasa menganai urusan pentaftaran dan simpanan rekod orang yang baru memeluk agama Islam. Dokumen rasmi dikeluarkan di bawah undang-undang tersebut di mana statusnya sama seperti sijil perkahwinan.
b. Kuasa perindungan kepada saudara baru.
c. Kuasa di bidang bimbingan agama.
d. Kuasa dalam urusan kebajikan am saudara baru.

Kuasa perundangan tersebut tidak ada pada agensi pusat seperti JAKIM dan juga pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti PERKIM, Islamic Outreach ABIM dan lain-lain pertubuhan, walau pun mereka terbabit secara langsung dalam berbagai aktiviti untuk saudara baru.

Agihan Wang Zakat Untuk Asnaf Muallaf?

Selain dari kuasa tersebut, agensi agama negeri juga mempunyai authoriti memungut semua jenis zakat di negeri masing-masing yang diperuntukkan di bawah Enakmen negeri. Setiap tahun dianggarkan beratus juta ringgit wang zakat dipungut di seluruh Malaysia oleh agensi Islam dan mereka bertanggungjawab mengagihkan wang zakat tersebut hanya kepada lapan asnaf, termasuk Asnaf Muallaf. Ini bermakna, Asnaf Muallaf berhak mendapat satu perlapan (1/8) dari keseluruhan zakat yang dipungut oleh pihak berkuasa agama negeri.

Katakanlah setiap tahun zakat berjaya dipungut di seluruh negeri berjumlah RM500 juta, maka jumlah zakat yang sepatutnya dibelanja kepada Asnaf Muallaf ialah RM62.5 juta setahun. Dalam tempoh lima tahun wang yang terkumpul bagi Asnaf Muallaf di Malaysia berjumlah RM312.5 juta. Ini merupakan suatu angka yang besar dan lebih dari mencukupi sekiranya ia diagih dan dibelanja dengan betul untuk kepentingan asnaf tersebut. Bayangkan berapa banyak program mega boleh dilaksanakan untuk faedah asnaf tersebut.

Persoalannya, sejauh mana agensi negeri melaksanakan bidang tugasnya yang terletak di bawah Asnaf Muallaf? Apakah program yang dilaksanakan untuk membela saudara baru dirancang dengan bijaksana? Sejauh mana wang zakat yang terhak kepada Asnaf Muallaf itu dibelanjakan untuk rancangan yang benar-benar mendatangkan faedah kepada golongan tersebut? Apakah wujud penyelarasan rancangan antara negeri-negeri yang difokuskan kepada kegiatan pengislaman (dakwah keluar) dan saudara baru?

Wang Zakat Adalah Harta Amanah

Kita semua maklum bahawa wang zakat yang dipungut oleh agensi agama itu adalah harta amanah umat Islam yang wajib dibelanjakan dengan betul menurut hukum syarak. Dengan itu setiap umat Islam yang membayar zakat berhak mengetahui ke mana dan bagaimana wang zakat tersebut dibelanjakan. Wang zakat tidak boleh dibelanjakan melainkan untuk tujuan lapan asnaf itu sahaja.

Justeru itu, dalam soal pengurusan saudara baru, masyarakat berhak membuat penilaian sama ada tugas yang dilaksanakan oleh agensi yang dibertanggungjawabkan itu berkesan atau sebaliknya. Ini adalah mustahak kerana urusan tersebut menjadi tanggungjawab penting kerajaan di mana setiap umat Islam mempunyai saham di dalamnya berupa pengeluaran zakat yang difardukan ke atas mereka.

Malangnya di kebanyakan negeri, pengurusan yang berkaitan dengan Asnaf Muallaf dianggap kurang penting dan peruntukan kewangan untuk urusan tersebut terlalu kecil – tidak sampai satu perlapan - berbanding dengan asnaf-asnaf lain seperti Asnaf Fi Sabilillah dan sebagainya. Lazimnya asnaf-asnaf lain itu diberi peruntukan yang banyak, bahkan terlalu besar setiap tahun dari kumpulan wang zakat, berbanding dengan Asnaf Muallaf. Untuk kepastian, sila semak buku Bajet dan buku Laporan Tahunan agensi terbabit.

Ini semua mencerminkan ketidakperihatinan agensi terbabit terhadap urusan pengislaman. Buktinya, cuba senaraikan berapa negerikah yang mengadakan pusat perlindungan dan bimbingan saudara baru secara eksklusif, dan jika pun ada, bagaimana mekanisma yang diamalkan untuk memberi faedah yang maksimum kepada saudara baru?

Terdapat negeri yang menggunakan wang zakat untuk membina pusat bimbingan saudara baru, tetapi pengisian program difokuskan kepada aktiviti lain yang tiada kaitan dengan saudara baru. Akhirnya nasib saudara baru terus terpinggir.

Dari aspek kebajikan pula, berapa ramaikah saudara baru yang menghadapi masalah kewangan dan perlindungan mendapat perhatian khusus dari agensi agama? Jika pun ada bantuan yang disalurkan, adakah ia mencukupi dan dapat mengatasi masalah yang dihadapi?

Soalan ini timbul kerana ramai yang terpaksa hidup merempat setelah memeluk agama Islam kerana terputus hubungan dengan keluarga asal mereka dan ada yang hilang mata pencarian kerana dibuang kerja oleh majikan bukan Islam. Untuk menyara diri, ada yang terpaksa menadah tangan dengan berbekalkan sijil memeluk Islam, padahal wang zakat dari Asnaf Muallaf bertimbun dalam dana pihak berkuasa agama negeri. Di mana silapnya?

Dari segi persepsi, mereka seolah-olah tergolong dalam kumpulan third class setelah memeluk Islam. Sebabnya, mereka dipencilkan oleh keluarga dan kaum mereka kerana meninggal agama asal, mereka dipandang sebelah mata oleh orang Islam kerana bergelar saudara baru dan mereka juga tidak diberi perlindungan sewajarnya oleh agensi agama. Ini realiti yang berlaku.

Apabila terjadi kes murtad yang menggemparkan masyarakat, agensi agama negeri mengambil sikap lepas tangan, seolah-olah ianya tiada kena mengena dengan bidang tugas mereka. Berbagai alasan diberi untuk membersihkan diri.

Walau apapun, masyarakat umum berpendapat bahawa berlakunya kes murtad banyak dibantu oleh kelemahan dan kegagalan pengurusan terhadap saudara baru yang terletak di tangan agensi negeri. Selain dari bentuk pengurusan yang tidak cekap, peruntukan kewangan antara negeri-negeri juga berbeza dan kedudukan kuasa perundangan tidak selaras. Ini antara punca masalah.

Justeru itu, sampai masanya Kerajaan Persekutuan mengadakan rancangan induk untuk mensentralisasikan pengurusan yang berkaitan dengan Asnaf Muallaf tanpa menyentuh kuasa perundangan yang terletak di bawah kuasa negeri. Ini adalah penting bagi mengangkat mertabat pengurusan tersebut yang terumbang ambing dan kini dianggap unit terpencil di agensi agama negeri. Namun begitu, negeri-negeri perlu menyalurkan wang zakat yang terhak kepada Asnaf Muallaf untuk perbelanjaan operasi dan pengurusan yang dilaksanakan itu.

Semua pihak harus sedar bahawa agihan wang zakat di bawah Asnaf Muallaf perlu diperhebatkan selaras dengan tuntutan syarak. Usahlah menganggap perkara ini remeh sebab ia adalah suatu perintah khusus yang termaktub dalam al-Quran sebagaimana ayat……..Surah………. Jika tidak, masakan Allah menyenaraikannya dalam lapan golongan (asnaf) yang berhak menerima zakat.

Wujudkan Institusi Saudara Baru
Bertaraf Dunia

Kita mahu lihat Kerajaan Persekutuan mengujudkan institusi peringkat nasional bertaraf dunia untuk saudara baru yang merangkumi pembinaan akademi latihan agama dan vokesional, pusat penempatan sementara bagi mereka yang bermasalah setelah memeluk Islam dan lain-lain program yang termaktub di bawah undang-undang yang tersebut di atas.

Umat Islam di Malaysia tentunya malu dan berasa tercabar jika kes murtad terus menerus berlaku di negara ini yang berpunca dari kegagalan pengurusan kerajaan, sedangkan kerajaan mempunyai kuasa perundangan dan kewangan yang cukup besar dari sumber zakat.

Jika tidak, serahkan saja pengurusan tersebut kepada badan bukan kerajaan, termasuk kebenaran memungut dan pengagihan zakat secara sah di sisi undang-undang yang kini dimonopoli oleh Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Kita tidak mahu agensi Islam disifatkan gagal memikul tanggungjawab syarie yang diklasifikasikan sebagai penting oleh al-Quran, tetapi dipencilkan oleh agensi terbabit. Umat Islam tentunya tidak rela melihat saudara se agama yang baru mengenali agama Islam terus terabai dan mereka seolah-olah melukut di tepi gantang di negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment