Pages

Monday, August 29, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Dari pejuangmelaka

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri





Assalamualaikum semua yang masih lagi bersama-sama dalam melayari dunia yg penuh dengan pancaroba ini, di samping itu juga dapat meluangkan masa bersama mengungkap rahsia akhir zaman di alam maya ini. Di sini terasa berbesar hati kerana masih ramai di kalangan kita yang terus berusaha menyebarkan maklumat-maklumat berguna bagi melayari kehidupan yg kekal abadi. Medan kita bukanlah di alam maya ini tetapi ianya adalah di luar sana dan kita di sini sekadar ingat-mengingati sesama kita. Di atas maksud itu dengan ingatan tulus ikhlas ingin juga mengucapkan "Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri" kepada semua Umat Islam khususnya kepada mereka yang terus-menerus mengikuti perkembangan Blog ini dan juga pautannya.Bersama kita di sini bersama dalam memupuk penyatuan fikir,mudah-mudahan dikurniakan Allah s.w.t. bagi kita menghadapi kemelut dunia akhir zaman. Tidaklah dapat kita melakukannya dengan seorang diri melainkan kita di sini sekadar mengehadkan fikir agar tidak terus terleka dengan keasyikan dunia alam maya ini.Berbalik kita kepada 'Fitrah Aidil Fitri'. Apalah ertinya kita menyambut aidil fitri ini seandainya kita sekadar meraikannya dengan rasa terlepas dari beban menahan lapar dan dahaga di bulan Ramdhan yang baru saja berlalu. Di harap kita semua memperolehi sesuatu dalam meningkatkan keyakinan kita terhadap Allah s.w.t. Tanyalah diri kita, apakah yang telah kita perolehi dari sebulan kita menahan lapar dan dahaga? Bagaimanakah rasa di dalam diri kita terhadap Allah s.w.t.? Apa yang hendak kita lakukan seterusnya? Apakah tuntutan Fitrah pada diri ini?
Fitrah
Kita dijadikan Tuhan bukanlah dengan saja-saja. Kita dijadikan Tuhan, punyai kerja. Kerja sebagai tanda seorang Hamba agar kita di gelar Khalifah di dunia. Pada peringkat permulaan agar kita mengenalinya supaya dapat kita yakin tentang adanya dia. Seterusnya memperingatkan manusia agar menyembah hanyalah pada Ia. Setelah berpuasa sebulan lamanya menghindarkan diri dari fikir dunia. Mengasingkan diri memikirkan akhiratnya mudah-mudahan kita di kurnia akan rasa kebesarannya. Lalu di kurniakan pada kita keyakinan untuk kembali kepadanya. Perasaan penuh padanya, jiwa raga hanyalah Ia. Kini tiba sudah masanya kita, meraikan setelah apa yang di kurnia mudah-mudahan tabah kita dalam melaksanakan kerja yang diperintahkannya.Inilah Fitrah diri empunya. Datang darinya dan kembali padanya. Kini kembali kita meraikannya dan seterusnya melaksanakan kerja yang diperintahkannya. Sehingga bertemu semula hendaknya di ramdhan yang akan datang. Kita lihatlah, apa yang kita fikirkan semasa ramdhan yang baru lepas ini akan terlaksana selepas ini. Adakah fikir terhadap dunia kita lebih kuat atau akhirat, kita muhassabahlah sendiri selepas ini. Dunia sudah semakin tua, huru-hara berlaku di sana sini, bencana alam tidak kurang pula terjadi, golongan tertentu pula memanipulasi dunia untuk kepentingan peribadi, hidup kebanyakkan manusia bertuhankan Allah sudah jauh hilang di dalam hati, manusia sudah tidak lagi memikirkan akan usul kehidupan ini, sebagaimana Nabi Adam a.s. turun ke dunia ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mengenggam janji, penuhi tuntutan Ilahi, mengajak manusia agar mengabdi, agar tidak menyesal di kemudian hari. Dalam riwayat Imam Hanbali dan at Tirmizi, bersabda Rasulullah saw. : “Allah membuat perumpamaan tentang siratal mustaqim sebagai berikut; Di kedua belah sisi jalan itu (siratal mustaqim) terdapat dinding yang tinggi, yang masing-masing mempunyai pintu terbuka dan diatas tiap-tiap pintu tersebut terdapat tirai penutup. Di hujung jalan siratal mustaqim berdiri seseorang sambil berseru: ‘Hai manusia masuklah ke dalam sirat ini semuanya, jangan terpecah belah’, sementara ada yang menyeru demikian dari atas sirat. Bila ada orang yang ingin membuka salah satu pintu yang ada di dinding sirat, penyeru yang diatas berkata: ‘Celaka, jangan kau buka pintu itu, nanti engkau akan terperosok ke dalam’. Rasulullh saw. menjelaskan makna tamsil tersebut sbb. ‘Jalan itu adalah agama Islam,sedang dinding sebelah menyebelah dimaksudkan sebagai batas-batas yang ditetapkan Allah swt. Pintu-pintu yang terbuka adalah segala sesuatu yang diharamkan Allah, sedang penyeru di ujung jalan adalah Al Qur’an, sementara penyeru dari atas adalah NurIllahi yang berada di setiap hati nurani orang muslim.” Abi Said Al-Khudriy r.a berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa ianya (As-Sirat) lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim. Dari Abi Said Al-Khudriy r.a dari Nabi s.a.w : “…Maka orang mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata; (ada yang) seperti kilat dan taufan, seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik; maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait berada dalam neraka…” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim. Dari hadith Abi Hurairah dan Huzaifah r.a : “…berjalan bersama mereka amalan mereka dan nabi kamu berada di atas titian sirat dalam keadaan berkata: “Ya Tuhan, selamatkan! Selamatkan!”, sehingga lemahnya amalan hamba-hamba dan sehingga datang seorang lelaki yang tidak mampu berjalan melainkan merangkak” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim. Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” Riwayat Bukhari.Inilah perkara yang sangat diidam-idamkan oleh setiap orang yang mahu kembali pada Tuhannya, melintas titian sirat sepantas kilat. Apakah yang dimaksudkan dengan lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang. Jadi di sinilah amalan kita di dunia ini diperhalusi dan perkara ini hanya diadili oleh Allah sendiri.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (QS. An Nisa : 48) Perkara Syirik ini adalah amat halus sehinggakan Allah sahaja yang mengetahuinya maka Allah sendirilah yang akan memperhalusi segala sesuatu yang tersemat di dalam hati setiap manusia. Pernah di satu ketika seorang sahabat dengan mimik serius mengajukan sebuah pertanyaan,“Ya kekasih Allah, bantulah aku mengetahui perihal kebodohanku ini. Kiranya engkau dapat menjelaskan kepadaku, apa yang dimaksud ikhlas itu?“Nabi SAW, kekasih Allah yang paling mulia bersabda,“Berkaitan dengan ikhlas, aku bertanya kepada Jibril a.s.apakah ikhlas itu?Lalu Jibril berkata,“Aku bertanya kepada Tuhan yang Maha Suci tentang ikhlas, apakah ikhlas itu sebenarnya?“ Allah SWT yang Maha luas Pengetahuannya menjawab,“Ikhlas adalah suatu rahasia dari rahasia-Ku yang Aku tempatkan di hati hamba-hamba-Ku yang Kucintai.“(H.R Al-Qazwini) Begitulah perihal kehalusan keikhlasan terhadap Allah s.w.t. di mana para malaikat sendiri pun tidak mengetahuinya sehinggakan Allah sahaja yang Maha mengetahui dan mengadilinya. InsyaAllah, semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Bersamalah kita saling ingat-memperingati sesama kita dan menyerah segalanya kepada Allah s.w.t. kerana dialah yang Maha mengetahui tentang Para Hambanya dan juga tidak bermakna saya arif di dalam perkara ini. Jadi di kesempatan ini, saya mengucapkan sekali lagi 'Selamat Hari Raya Aidil Fitri', maaf zahir dan batin.

Salam Perjuangan.............................................................................
Sharing is caring.. "Sampaikan dakwah walaupun sepotong ayat"
Harap share di facebook atau twitter anda.. Salam Perjuangan....

1 comment: