Tuntutan Mencari ILMU..
Mencari ilmu pengetahuan adalah sebahagian daripada iman. Agama Islam memerintahkan kepada umatnya untuk mencari ilmu pengetahuan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mempelajari ilmu satu bahagian saja, ia mengambil manfaat dari ilmu tersebut untuk kepentingan dunia dan akhirat, itu lebih baik baginya daripada berusia 7000 tahun, berpuasa siang harinya dan solat pada malamnya (sunnah) itu diterima tanpa ditolak.” (Riwayat Abdullah bin Mas’ud)
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Belajarlah kamu tentang ilmu, kerana mempelajari ilmu semata-mata hanya Allah itu merupakan amal kebajikan, dan menelaah suatu ilmu (sama pahalanya) dengan membaca tasbih, mengadakan pembahasan terhadap suatu ilmu merupakan jihad, mencari ilmu itu ibadah, mengajarkan ilmu termasuk sedekah; menyerahkan ilmu kepada ahlinya merupakan pendekatan kepada Allah, memikirkan suatu ilmu (sama pahalanya) dengan melaksanakan ibadah puasa, dan bermudzakarah tentang ilmu itu (sama pahalanya) dengan melaksanakan solat malam.” (Riwayat Abu Syaikh dan Ibnu Abdil Bar)
Memiliki ilmu pengetahuan bagi segenap umat Islam sangat penting sekali, walaupun harus pergi ke negeri orang, oleh kerana itu segala risiko dan kesulitan dalam mencari ilmu harus dihadapi dengan penuh kesabaran dan keikhlasan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Satu bab ilmu yang dipelajari seseorang itu lebih baik baginya daripada dunia dan isinya”. (HR. Ibnu Hibban)
“Carilah ilmu walaupun di negeri China.” (Riwayat Baihaqi dan Anas)
“Carilah ilmu walaupun antara kamu dengan ilmu tersebut terbentang lautan api.”
“Carilah ilmu (dimulai) sejak dari buaian sampai ke liang lahad.”
Betapa pentingnya ilmu pengetahuan bagi umat Islam, bahkan kerana ilmu pengetahuan yang dimiliki seseorang akan mendapatkan martabat dan kedudukan yang mulia. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS: 58:11)
Dalam kaitan ayat di atas, Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Ulumuddin mengutip pernyataan Ibnu Abbas r.a, bahawa kedudukan para ulama berada di atas orang-orang mukmin kebanyakan tujuh ratus darjat, antara darjat yang satu dengan yang lain adalah lima ratus tahun perjalanan.
Bahawasanya mencari ilmu itu merupakan kewajipan bagi semua umat Islam dalam setiap waktu dan keadaan. Menurut sebahagian Ulama Salaf, bahawa ilmu itu terbahagi ke dalam empat macam: Ilmu Fiqh untuk (praktik) agama; ilmu kedoktoran untuk (kesihatan) badan; ilmu astronomi (falak) untuk mengetahui dan menentukan waktu; dan ilmu Nahu untuk (kemampuan) berbicara (bahasa).
Syekh Muhammad Nawawi Al-Bantany dalam kitab Al-Futuhat Al-Madaniyah memberikan komentar, bahawa tahapan mencari ilmu itu dimulai dengan mempelajari: ilmu Tauhid (Ushuluddin); ilmu Tafsir; ilmu Hadits; ilmu Ushul al Fiqh; ilmu Fiqh; kemudian dilanjutkan dengan ilmu-ilmu lainnya termasuk ilmu alat, dengan mmeperhatikan kepentingannya.
Ketahuilah bahawa untuk mendapatkan ilmu itu terdapat dua macam cara; kasbi dan sama’i. Kasbi, adalah dimana seseorang menghasilkan ilmu dengan cara belajar kepada seorang guru. Sedangkan sama’i, adalah seseorang mendapatkan ilmu dari para ulama dan guru dengan cara mendengarkan, baik ilmu agama mahupun ilmu dunia. Cara seperti ini tidak akan berhasil kecuali dengan mencintai para ulama/guru; bergaul serta berkumpul berjemaah di majlis mereka, serta bertanya dan minta penjelasan kepada mereka.
Dan diwajibkan bagi setiap pencari ilmu pengetahuan baik pelajar, mahasiswa atau masyarakat umum untuk sentiasa memantapkan niatnya dalam mencari ilmu itu hanya semata-mata mengharap reda Allah s.w.t, dan kerinduan akan kebahagiaan di akhirat kelak, hanya untuk menghilangkan kebodohan daripada diri peribadinya dan orang lain, serta untuk menghidupkan agama.
Membela agama Islam dengan ilmunya serta berniat untuk bersyukur kepada-Nya, atas nikmat yang diberikan, berupa sihat akal dan badan. Jangan sekali-kali mencari ilmu dengan niat agar dihormati orang lain; untuk mencari harta duniawi dan untuk mendapatkan anugerah pangkat dan kemuliaan di hadapan pemerintah dan sejenisnya. Na’udzubillah.
Takut akan seksa Allah s.w.t
Salah satu bahagian daripada cabang iman adalah takut akan seksa Allah s.w.t. Maka apabila seseorang mengatur secara bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada Allah, bagaikan ia mampu membangun rumah bukan untuk didudukinya. Tidak mengumpulkan makanan yang tidak untuk dimakan (secukupnya); dia tidak berpaling hanya kepada harta duniawi, kerana ia menyedari bahawa suatu ketika dunia akan berpisah dengannya; dan dalam setiap tarikan nafasnya tidak pernah berpaling dari mengingat Allah s.w.t.
Orang yang semacam ini telah sampai kepada peringkat “As-Sidqu” (orang yang jujur). Termasuk di dalam peringkat as-Sidqu, orang yang takwa. Pada peringkat warak’ termasuk di dalam tingakatan takwa. Dan termasuk dalam tingkatan wara’ orang yang sentiasa menjaga diri dari perbuatan yang merosak amalnya (‘iffah). Hal demikian ini dikemukakan Imam al-Ghazali di dalam Ihya ‘Ulumuddin.
Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:
“Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang takut kepada azab akhirat. Hari kiamat itu adalah suatu hari yang semua manusia dikumpulkan untuk (menghadapinya), dan hari itu adalah suatu hari yang disaksikan (oleh segala makhluk).” (Surah Hud: 102-103)
Dalam ayat lain, Allah menjelaskan bahawa masing-masing manusia akan menghadapi peradilan Allah Yang Maha Adil, setelah mereka dibangkitkan dari kematiannya. Tidak satupun yang berani menannggung beban dosa orang lain, kerana azab Allah merupakan kenestapaan dan kehinaan bagi mereka yang berbuat dosa dan kealpaan selama mereka mengharungi kehidupan dunia.
“Dan apabila datang suara yang memekakan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, daripada ibu dan bapanya, daripada isteri dan anak-anaknya. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup sibuk.”
Gambaran betapa kengerian para sahabat Rasulullah s.a.w, apabila mereka mendengar nasihat baginda yang ada hubungannya dengan azab Allah:
Rasulullah s.a.w berkhutbah, yang (isinya) belum pernah aku dengar sebelumnya, baginda bersabda: “Apabila kalian mengetahui akan apa-apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan lebih banyak menangis”. Para sahabat menutupi wajahnya masing-masing seraya menangis teresak-esak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment