Pages

Wednesday, September 28, 2011

Guan Eng berdepan tindakan polis burukkan negeri Johor ?


Guan Eng berdepan tindakan polis burukkan negeri Johor ?



 Polis sedang mempertimbangkan tindakan yang boleh dikenakan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ekoran kenyataannya memburukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, beberapa laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu dan pihaknya akan mengenal pasti tindakan yang boleh diambil memandangkan kenyataan itu dibuat di luar negara.

Beliau yang nyata berang dengan keceluparan Guan Eng, turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu tidak boleh diterima, berniat jahat, tidak berasas dan tidak benar sekali gus mengingatkan pemimpin DAP itu tidak bercakap sesuka hati.

"Kenyataan beliau kononnya sesiapa sahaja dari Singapura yang datang berurus niaga di negeri ini tidak selamat dan akan diculik oleh penjenayah adalah amat dikesali dan jelas ia adalah tidak benar sama sekali.

"Trend penurunan indeks jenayah yang dicatatkan negeri ini jelas membuktikan keadaan keselamatan di negeri ini adalah terjamin bukan sahaja untuk rakyat negeri ini tetapi juga rakyat asing," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang didakwa memburukkan negeri Johor dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura baru-baru ini dan disiarkan sebuah stesen tempatan semalam.

Justeru, Mohd. Mokhtar dengan tegas meminta pihak berkenaan supaya lebih bijaksana dan berwaspada ketika membuat kenyataan kerana ia mampu menggugat keharmonian umum dan merencatkan kegiatan ekonomi ekoran kenyataan tidak bertanggungjawab itu.

"Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa pihak polis akan terus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dan tidak sesekali akan melemahkan semangat kami dalam menjaga keamanan negara dengan perkara seperti itu," katanya.


Sedutan transkrip temu ramah Guan Eng dengan FCA di Singapura

SOALAN: Artikel The Economist sepenuhnya menulis perkara positif mengenai Pulau Pinang. Adakah terdapat apa-apa laporan yang negatif ke atas Pulau Pinang?

Saya merujuk laporan NST bahawa Kerajaan Pulau Pinang perlu bersih mengenai rangka tindakan pembangunan perindustrian di negeri ini dan tidak memberikan pelbagai alasan mengapa ia ditangguhkan.


Business Times pula melaporkan perkhidmatan asas seperti kereta api tidak berfungsi dan sebagainya. Adakah ini kerana beberapa media Malaysia dianggap ada tujuan politik atau sesetengah kritikan itu ada kebenarannya?

GUAN ENG: Semua akhbar-akhbar di Malaysia dikawal oleh kerajaan. Tidak bermakna bahawa kita menolak kritikan yang dibuat terhadap kerajaan negeri. Tetapi jika itu yang terbaik mereka boleh lakukan, maka ia menunjukkan kerajaan negeri yang mentadbir kerajaan dengan efisien.

Mengenai pelan induk perindustrian, Pulau Pinang telah mengumumkannya tetapi kerajaan Pusat mendesak bahawa kita perlu bekerjasama dalam Greater Penang Masterplan.

Oleh itu, kita telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan selepas musim cuti umat Islam. Sekarang kita dipersalahkan oleh media kerajaan kerana melakukan perkara-perkara yang kerajaan minta kita untuk lakukan.

Dari segi keadaan perkhidmatan asas di Pulau Pinang, saya ingin menjemput anda untuk datang ke Pulau Pinang.

Pulau Pinang adalah jelas lebih bersih bukan sahaja dari segi mentadbir kerajaan yang jujur tetapi juga bersih dari segi fizikal.

Juga lebih selamat dan tidak perlu bimbang tentang keselamatan di Pulau Pinang. Pulau Pinang berada di tempat pertama tahun lalu dari segi mengatasi jenayah iaitu sebanyak 27 peratus.

Bagi tempoh enam bulan pertama juga jenayah dikurangkan sebanyak 25 peratus. Tetapi di Johor, seseorang warga Singapura boleh diculik. Anda tidak akan alaminya jika datang ke Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment