Pages

Tuesday, September 27, 2011

Kaabah Simbol Perpaduan Islam


Kaabah Simbol Perpaduan Islam 


Bagaikan sebuah batu yang dikelilingi oleh pusaran air, Kaabah dikelilingi oleh lautan manusia yang bergerak dengan penuh khusyuk. Ia bagaikan matahari yang menjadi pusat cakerawala ini, dan manusia ibarat bintang-bintang yang beredar mengelilinginya. Ia melambangkan konsistensi (tetap) dan keabadian Allah, sedangkan manusia yang mengelilinginya melambangkan kegiatan dan peralihan makhluk ciptaan-Nya yang berterusan. Allah adalah pusat kewujudan segala-galanya, Ia menjadi tempat tumpuan sekalian makhluk.

Sesungguhnya Kaabah juga telah menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa semasa serta nostalgia kehidupan Junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menyimpan beribu I'tibar khususnya berkaitan perpaduan ummah. Bermula dari peristiwa di mana Baginda telah terpilih sebagai hakim untuk menyelesaikan pertelingkahan antara ketua-ketua kabilah yang berebut untuk meletakkan semula hajarul aswad. Kebijaksanaan Baginda menyediakan satu alas yang perlu dipegang oleh wakil setiap pihak telah mengharmonikan semula kegawatan percaturan puak tersebut. Di bumi inilah juga Rasulullah SAW telah menanam keimanan yang kukuh dalam jiwa para sahabat r.hum selama lebih kurang 13 tahun sebelum mereka diikat dengan kasih sayang bersama golongan Ansar di Madinah. Faktor keimanan dan kasih sayang yang menjadi asas pembinaan Rasulullah telah mempertautkan insan-insan dari pelbagai bangsa, kabilah serta golongan . Mereka telah menjadi satu kelompok masyarakat yang indah akhlaqnya, bijaksana pemikirannya serta hebat tamaddunnya.

Maha Bijaksana Allah yang telah mengaturkan segala sesuatu itu dengan begitu rapi. Kenapakah aspek keimanan yang tulen terlebih dahulu ditekankan seolah-olah ianya merupakan tapak untuk suburnya kasih sayang bagi membuahkan perpaduan yang benar-benar mantap? Keimanan yang tulen merupakan lambang kejernihan hati yang bersih dari najis dengki, tamak,dendam, benci, kesombongan, takabbur serta lain-lain ammarah. Selagi adanya najis-najis tersebut maka selagi itulah tidak akan terpancar nilai sebenar kasih sayang sehingga seseorang itu sanggup bertolak ansur, pemaaf, prihatin, pemurah, cinta akhirat dan sebagainya. Perpaduan yang sebenar tidak di asaskan kepada apa-apa bentuk pemikiran atau fikrah, semangat atau emosi dan kebendaan kerana kesemuanya merupakan unsur yang tidak kekal malah bisa goyah atau luntur bila berhadapan dengan sesuatu yang mengatasi keupayaannya. Keimanan yang dipaksikan kepada Allah yang Baqa' akan sentiasa dibimbing dan dilindungiNya.

Kaifiat dalam ibadah Haji sendiri terkandung rahsia dan latihan untuk mengikis kekotoran zahir dan batin seperti berpakaian serba putih biar apapun darjat atau pangkat kita di sisi manusia. Amalan Tawaf misalnya menuntut kita mengiring ke kiri mengadap kaabah kerana di dada sebelah kirilah letaknya hati, menjaga kekhusyukan serta adab-adab lainnya. Di situlah tempat yang perlu digilap bagi mengikis kekotoran batin agar dapat merasai kehambaan kepada Allah. Perhimpunan besar yang berpusat di Baitillah ini juga seumpama suatu muktamar umat Islam. Ia sepatutnya diambil peluang oleh para pemerintah, menteri, duta, pemimpin organisasi maupun orang awam dari negara-negara Islam untuk berbincang mengenai ssoal perpaduan, kerjasama da sebagainya di kalangan mereka. Dengan pengaruh tempat kerohanian Islam (Mekah) dan semangat muhibbah dan persaudaraan semasa haji, beberapa penyelesaian pasti dapat dibuat untuk kebaikan umat.


Senario semasa di negara kita seperti masih diselitupi kemelut pertelingkahan atau pertikaian di pelbagai peringkat. Biarpun sudah hampir 50 tahun negara merdeka tetapi masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda bahkan api perpecahan dalam masyarakat semakin hangat. Pihak-pihak yang berkonfrantasi semakin hari semakin sibuk mencari peluang dan ruang untuk menjatuhkan lawan disamping mempertahankan diri. Sentimen kepuakan yang menebal telah mencetuskan tindakan diluar batas rasional dan toleransi sehingga Islam lebih dilihat sebagai bahan pertelagahan. Jika diperhatikan kepada perangkaan penduduk Malaysia 2000 yang diterbitkan pada 6 Nov. 2001, antaranya adalah seperti berikut :
i. Jumlah keseluruhan penduduk = 23.7 juta orang
ii. Penduduk berumur bawah 15 tahun = 33.3 % = 7.7 juta orang
iii. Penduduk terdiri dari kalangan pelajar di institusi pendidikan kerajaan (termasuk yang berumur bawah 15 tahun) = 21.6% = 5.12 juta orang
iv. Penduduk beragama Islam = 60.4 %
v. Penduduk bukan beragama Islam = 39.6 % = 9.4 juta orang

Ini bermakna kemelut perpecahan ini turut disaksikan dan dirasai oleh 7.7 juta kanak-kanak yang sedang membesar atau 5.12 juta orang pelajar serta 9.4 juta orang bukan Islam di negara ini. Apakah kanak-kanak ini akan membesar dalam kekeliruan , golongan pelajar akan menjadikannya contoh teladan atau orang bukan Islam akan terus menjauhkan diri dari Islam?

Hikmah ibadah haji yang baru sahaja dilalui sepatutnya kita hayati. Jika Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan anaknya demi kepatuhan pada Allah, sanggupkah kita mengorbankan dendam,kebencian, prasangka serta mazmumah dalam diri demi Allah. Tidakkah kita renungkan bagaimana pemimpin Arab Jahiliah sanggup berkompromi sesama mereka setelah menerima pandangan Muhammad Al-Amin (dalam hal meletakkan hajarul aswad) demi menunaikan amanah menjaga Kaabah. Adakah kita yang telah sekian lama bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah sanggup bertolak ansur serta rasional demi agama, bangsa dan negara sebagaimana yang disarankan oleh Baginda SAW? Binalah keimanan serta pupuklah kasih sayang agar kita dapat mengecap nikmat perpaduan . Perpaduan umat Islam sejagat sebenarnya amat diperlukan lebih-lebih lagi ketika saudara seislam kita di Iraq dalam kecemasan menunggu bala tentera Amerika, Britain serta konconya yang bongkak. Manakala rakyat Palestin pula tidak pernah rehat dari bedilan serta rempuhan kereta kebal rejim Zionis.

Anehnya kita melihat semaraknya demonstrasi antiperang dikalangan rakyat negara-negara Eropah tetapi rakyat negara-negara Islam seakan sepi dan kecut untuk mengisytiharkan seruan keamanan. Itulah antara bahana akibat perpecahan, tiada lagi rasa izzah pada roh persaudaraan Islam. Kitalah sepatutnya yang mempelopori agenda keamanan dan kita mulakan keamanan itu dari kalangan kita khususnya di tanahair yang tercinta ini.

Salam Perjuangan

No comments:

Post a Comment