Pages

Saturday, October 29, 2011

Akta Murtad perlu diwujudkan – Mufti Selangor


 Akta Murtad perlu diwujudkan – Mufti Selangor


AKTA Murtad perlu diwujudkan bagi menyokong penguatkuasaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di beberapa negeri.

Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, pada masa ini penguatkuasaan enakmen tersebut di beberapa buah negeri tidak begitu berkesan.

"Justeru, dengan mewujudkan Akta Murtad, ia dilihat mampu menyokong enakmen sedia ada sekali gus memudahkan pengamal undang-undang mengambil tindakan terhadap mereka yang terbukti bersalah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi yang menyatakan akta tersebut tidak perlu diwujudkan kerana undang-undang sedia ada dalam Perlembagaan sudah cukup berkesan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini mencadangkan supaya Akta Murtad diwujudkan segera bagi menyekat dan menghalang sebarang kegiatan memurtadkan umat Islam.

Mohd.Tamyes berkata, meskipun undang-undang dalam Perlembagaan memadai namun ia perlu disusuli oleh tindakan penguatkuasaan yang serius dan berkesan.

"Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya dan keadaan ini seperti tidak ada kesudahan.

"Apa yang penting kini adalah penguatkuasaan yang serius agar mereka yang cuba memurtadkan umat Islam akan merasa gerun dan takut dengan hukuman yang bakal dikenakan," ujarnya.

Sementara itu, pakar undang-undang, Profesor Salleh Buang berpendapat, masyarakat perlu lebih terbuka untuk menerima penggubalan undang-undang yang boleh mempertahankan akidah umat Islam.

"Ini penting supaya keharmonian pelbagai kaum dapat dikekalkan. Ia juga seiring dengan transformasi yang sering diuar-uarkan.

"Negara memerlukan undang-undang baru yang lebih mampan bagi menghukum pihak yang cuba memurtadkan orang Islam agar ia tidak berlaku di masa hadapan," ujarnya.
UtusanOnline

pejuangmelaka
Kalau dulu orang Melayu boleh bersatu menentang Malayan Union kerana menyedari ianya akan menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu, kedaulatan bangsa dan bahasa, apakah kini Melayu tidak mampu lagi melakukannya demi agama suci Islam?

Kepada Melayu yang tidak inginkan perpaduan bangsanya, adakah mereka berpendirian bahawa kepentingan duniawi melebihi kepentingan akidah umat Islam yang dirobek oleh kaum imigran puak kafir harbi?

No comments:

Post a Comment