Pages

Sunday, October 30, 2011

Di Manakah Letak Kekuatan Melayu ?






Berbagai pihak memberikan pandangan mengenai ketuanan Melayu. Saya fikir semua faham, tetapi sengaja buat-buat tidak faham. Istilah ketuanan Melayu langsung tidak ada kaitan antara hubungan tuan dan hamba. Melayu bukan tuan, bukan Melayu bukanlah hamba. Ketuanan Melayu sekadar istilah atau identiti menunjukkan bahawa bumi ini adalah kepunyaan orang Melayu asalnya, itu sahaja. Bacalah artikel dan pendapat siapapun, itulah rata-rata jawapannya, kecuali pandangan MCA dan sekutunya. Hanya mereka yang ultra kiasu sahaja yang memberikan jawapan sebaliknya. Apa yang saya tahu inilah adalah percubaan halus untuk menghapuskan apa juga identiti negara ini yang berkaitan dengan Melayu.

Dalam buku teks sejarah sekolah menengah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2004), ketuanan Melayu didefinisikan sebagai semangat cinta akan apa sahaja yang berkaitan dengan bangsa Melayu seperti hak politik, bahasa, kebudayaan, warisan, adat istiadat dan tanah air. Semenanjung Tanah Melayu dianggap sebagai tanah pusaka orang Melayu. Jadi, dimanakah salahnya istilah ini? Berdasarkan kepada definisi ini jelas menunjukkan bahawa semua bangsa mempunyai ketuanan masing-masing. Bezanya cuma, ia tidak disebut sahaja ketuanan Cina atau ketuanan India, namun perjuangan dan apa yang mereka perolehi menampakkan segala. 

Saya amat pelik bagaimana ada pemimpin Melayu boleh begitu anti dengan istilah tersebut walhal dulu semasa berada dalam Umno, tidak pun istilah ini diungkit atau ditentang. Malah, saya yakin jika mereka masih berada dalam Umno, istilah ini akan dipertahankan bermati-matian. Cepat sungguh mereka berubah bagi mendapatkan laba politik. 

Jika perkataan tuan itulah yang menjadi masalah, maka saban hari kita adalah hamba, sebab dalam urusan rasmi dan surat-menyurat panggilan tuan atau puan sudah merangkumi semua golongan dan pangkat, sama ada yang bergelar atau tidak bergelar. Panggilan tuan sudah sebati dengan masyarakat negara ini. Selaku pensyarah di institusi akademik pertahanan, panggilan tuan adalah lumrah. Jika sedemikian elerginya panggilan tuan bermakna, saya adalah tuan setiap hari, manakala pegawai kadet adalah hamba sepanjang masa. Bila berbahasa dengan raja, kita gunakan tuanku - patik. Dahulu sesama kita menggunakan perkataan tuan-hamba. Panggilan tuan sekadar panggilan hormat, tidak ada maksud lain.

Sebab itu, saya sentiasa menyeru segelintir bukan Melayu, terutama MCA, Gerakan dan DAP, cuba memahami adat budaya Melayu daripada orang lain, kerana ia lebih membawa makna untuk masa depan negara daripada terlalu bongkak. Orang Melayu yang saya kenali begitu menghormati bukan Melayu. Kebanyakan bila mereka bercakap dengan bukan Melayu, tiba-tiba pelat atau bunyi (accent) mereka berubah seperti pelat bukan Melayu berbahasa Melayu, sehingga bahasa Melayunya menjadi caca merba. 

Benar, surah al-Hujurat ayat 13, Allah menjelaskan semulia-mulia manusia berbilang bangsa di kalangan kamu adalah iman dan takwa. Tetapi manusia tetap ada bangsa yang diciptakan untuknya. Maka, ia perlu dipelihara dan dijaga. Justeru, di mana salahnya istilah ketuanan Melayu? Negara lain tidak perlu mengungkapkan istilah ketuanan kerana nama negara mereka sudah cukup mencerminkan bahawa mereka adalah tuan asal negaranya, seperti Cina, India, Vietnam, Siam, Nyanmar dan sebagainya. Tetapi tidak Malaysia. Tanah Melayu telah bertukar nama. Singapura telah bertukar kepada Singapore. Identiti Melayu telah hilang. Maka sebagai tanda identiti, istilah ini digunakan.

Apakah dengan istilah ini menimbulkan masalah kepada bangsa lain? Dengan makna, diskriminasi menjadi-jadi, orang bukan Melayu terus merempat? Apa yang kita lihat, semakin lantang Umno mahu kekalkan ketuanan Melayu, dasar Umno semakin terbuka. Umno ditekan kiri kanan, depan dan belakang, sehingga tidak dapat bernafas. Tuntutan demi tuntutan bukan Melayu terus dipenuhi dan peluang terbentang luas, sehingga orang Melayu sudah tidak mampu untuk mengejarnya. 

Kenapa isu ini hendak dipolitikkan dengan mengaitkan dengan ketuanan Allah, ketuanan Rakyat dan sebagainya. Sebenarnya tidak ada kaitan. Inilah akibat apabila kita melihat sesuatu bukan daripada bidang kepakaran atau sejarah. Semua mahu bercakap. Maknanya, istilah ini terdedah kepada pandangan semua orang. Sudah tentu mereka akan memilih sesuatu yang menyebelahi mereka. Kita tidak menggunakan ketuanan Allah kerana perkataan tuan itu tidak sesuai untuk Allah, maka kita gunakan Maha Esa atau Maha segalanya untuk Allah. 

Justeru, raja dirujukkan sebaga Duli Yang Maha Mulia. Ia hanya satu ungkapan kemuliaan raja. Jangan pulak ada yang menuduh saya syirik nanti. Sebenarnya, istilah Maha ini hanya untuk Allah, tetapi disebabkan oleh budaya feudal Melayu taat dan memuliakan kepada raja, maka istilah Maha itu sebenarnya merujuk kepada tuan. Justeru, ketuanan raja tidak perlu dibahaskan kerana telah diterima seperti termaktub dalam perlembagaan. 

Oleh kerana semua raja adalah kerabat keturunan Melayu sebagai identiti, maka adalah tidak salah istilah ini dipanjangkan kepada ketuanan Melayu. Orang Melayu boleh atau layak menjadi raja jika keturunan raja sudah tidak ada atau putus. Seperti di China dan di India, apabila jatuhnya institusi perajaan, maka sistem pemerintahan berubah. Raja tetap wujud cuma nama sahaja yang berbeza. Lagipun semua manusia bermula dengan manusia biasa. Istilah raja digunakan merujuk mereka yang menjadi pemimpin pada satu-satu ketika dan seterusnya diwarisi oleh keturunannya. Raja dan kerajaan sudah sinonim. Raja adalah pemerintah kerajaan. Bagi negara yang tidak mempunyai raja, maka pemimpin nombor satu dirujuk sebagai Presiden atau Perdana Menteri. 

Kepada mereka yang faham sejarah, istilah Ketuanan Melayu ini merujuk kepada kerajaan negara ini pernah diperintah Sultan dan Raja-raja Melayu, yang merupakan tuan kepada tanah Melayu. Begitu juga dengan istilah negeri-negeri bersekutu dan tidak bersekutu ada sejarahnya tersendiri yang perlu dikaji dan difahami secara tersurat dan tersirat, serta kaitannya dengan ketuanan Melayu. Pendek kata, sultan dan Raja-Raja Melayu adalah simbol kepada ketuanan Melayu di negara ini, seperti mana di negara-negara barat lain yang masih mengekalkan raja. 

Sejarah membuktikan juga bahawa ketika kebangkitan nasionalisme pada tahun-tahun 1800an dan 1900an, hanya orang Melayu sahaja yang bangkit menentang penjajah, walaupun ketika itu Tanah Melayu sudah bermasyarakat majmuk. Melayu berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah bukan demi kepentingan Melayu semata-mata, tetapi demi agama tercinta. Sama juga di Mesir pada tahun 1882, muncul gerakan pemulihan Islam di Mesir untuk membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam bagi membela kedaulatan bangsa dan agama. Gerakan ini dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh. Pelajar-pelajar Tanah Melayu di Mesir ketika itu seperti Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin Al-Azhari dan Syed Sheikh Al-Hadi menerima pengaruh ini dan menyebarkannya di Tanah Melayu bagi membela nasib bangsa dan agama. Keadaan tidak banyak bezanya berlaku di Indonesia. Pendek kata, tidak salah mempertahankan ketuanan bangsa selagi mana tujuan untuk menjamin kesejahteraan agama. 

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kontroversi, langsung tidak menggugat kedudukan bangsa bangsa-bangsa lain. Mereka juga bebas memperjuangkan ‘ketuanan’ mereka dalam pelbagai aspek seperti politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Mereka bebas untuk mengamalkan budaya dan cara hidup sendiri, bebas dalam meningkatkan taraf ekonomi kaum, bebas beragama, bebas meneruskan sistem pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dengan mengekalkan pengajaran bahasa ibunda masing-masing dan sebagainya. Faktor ini membuktikan bahawa istilah Ketuanan Melayu itu, bukanlah satu istilah yang mengiktiraf bahawa bangsa Melayu itu menjadi tuan, sementara kaum-kaum lain menjadi hamba kepada bangsa Melayu. 

Tidak ada negara dalam dunia seperti negara kita yang begitu bertolak ansur sehingga mereka langsung tidak diasimilasikan. Ketika Perdana Menteri berucap dalam Konvensyen Barisan Nasional minggu lalu, pemimpin MCA langsung tidak senyum atau memberikan reaksi di atas cuitan ucapan PM, apabila PM berlawak jenaka bahawa orang Melayu tidak pernah mengasimilasikan orang bukan Melayu sehingga nama ditukar dari Soi Lek kepada Salleh. Begitulah hakikat toleransi yang tidak ada tolok bandingnya.

Islam meraikan “ketuanan” bangsa-bangsa tertentu berasaskan kepada faktor sejarah dan sebagainya. Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda tidak menghapuskan identiti kaum Ansar yang terdiri dari Aus dan Khazraj. Mereka diberi peluang terlibat sama dalam kepimpinan politik bernegara. Begitu juga setelah berlaku pembukaan Kota Mekah (Fath Mekah), Rasulullah tidak mengambilalih kepimpinan politik tempatan daripada pembesar Quraisy di Mekah walaupun Islam menguasai ketika itu. 

Selesai pembukaan Kota Mekah, Baginda sendiri mengisytiharkan sesiapa yang tinggal di dalam rumah masing-masing tidak akan dicederakan. Walaupun Baginda pernah diusir daripada Mekah, tetapi Baginda tetap meraikan tanah asal usul sesuatu bangsa dan pulang ke Madinah. Mekah tetap dipulangkan kepada bangsa Quraisy di bawah pemerintahan Islam.

Hujah ini menunjukkan bahawa mempertahankan ketuanan sesuatu bangsa di bumi mereka sendiri adalah fitrah manusia itu sendiri yang dijadikan oleh Allah SWT. Tanyalah bangsa-bangsa yang ada di negara kita ini, siapakah yang bongkak mempertahankan identiti dan dengan ketamadunannya? Tepuk dada tanyalah MCA, DAP dan Gerakan serta sekutunya. 

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh para sahabat: “Wahai Rasulullah…adakah dari kalangan Asabiyyah, seseorang itu sayang kaumnya sendiri”. Baginda menjawab: “Tidak!...akan tetapi Asabiyyah adalah seseorang itu membela kaumnya ke atas kezaliman” (riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah). Jelas di sini, Islam tidak menolak mempertahankan ketuanan bangsa selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam. 

Terdapat banyak hadis sahih berkaitan ‘ketuanan sesuatu bangsa’. Antaranya yang berbunyi:

“Para Imam (mesti) dari golongan Quraisy” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi). Hadis lain menjelaskan, “Kalian adalah manusia yang paling layak memegang urusan (pemerintahan) ini selama kalian berada dalam kebenaran. Apabila kalian menyimpang dari kebenaran maka kalian akan dikupas habis sebagaimana kulit kayu ini dikupas! - Baginda menunjuk sebuah kayu yang ada ditangannya.” (riwayat al-Baihaqi). Rasulullah mempertahankan ketuanan Quraisy, selagi Quraisy berada dalam kepemimpinan Islam.

Menurut Ibn Khaldun (2006: 199-208), bangsa Quraisy dimuliakan kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa terutama dalam hal ehwal politik dan kenegaraan, selain daripada keturunan Nabi. Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan. Tidak mustahil akan terjadi peperangan sesama umat Islam yang tidak berkesudahan. Golongan Quraisy akan terus dipilih selagi mana asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipertahankan. Para pemerintah umat Islam mesti terdiri daripada kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan asabiyyah (kekitaan) dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik.

Desakan menolak istilah ini adalah perancangan halus untuk menyamakan semua agama, setelah berjaya menolak dominasi identiti kaum majoriti. Hari ini, saya tidak berapa nampak identiti Melayu mendominasikan upacara rasmi melainkan hanya bacaan doa. Itupun dipertikaikan juga disebabkan sikap ultra kiasu yang melampau. 

pejuangmelaka- Istilah ketuanan Melayu, tidak perlu dipertikaikan selagi mana matlamat perjuangan kebangsaan tersebut adalah untuk menegakkan Islam. Kepincangan dalam mempertahankan ketuanan Melayu oleh Umno misalnya, tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak ketuanan Melayu tanpa memahami sejarah bumi bertuah ini. Jika Umno yang bersalah sehingga menjadikan ketuanan Melayu seolah-olah ketuanan Umno, yang bersalah adalah Umno dan bukannya identiti ketuanan bangsa Melayu itu di buminya sendiri termasuk mereka yang berada di dalam Pas dan PKR. Justeru, janganlah dilihat bahawa mempertahankan ketuanan Melayu adalah untuk mempertahankan ketuanan Umno kerana ulamak terdahulu turut mempertahankan Melayu dan Islam walaupun ketika itu Umno masih belum wujud.

No comments:

Post a Comment