Pages

Thursday, October 6, 2011

Melayu Bersatu , Islam Teragung !



Cadangan Perdana Menteri agar PAS keluar dari pakatan rakyat kerana DAP tidak memperjuangkan Islam adalah sesuatu yang wajar difikirkan kembali oleh pemimpin parti itu dengan sedalam-dalamnya. Cadangan itu kemudiannya disambut dengan rasa geram dan marah oleh pemimpin tertinggi PAS kerana bagi parti itu, ikatan mereka adalah sesuatu yang terbaik dalam usahanya meroboh tembok keyakinan orang Melayu.
Merobohkan tembok keyakinan orang Melayu terhadap UMNO menjadi matlamat kenapa PAS yang berasal sebagai agama parti orang Melayu keluar dari UMNO. Mereka merasakan semangat kebangsaan yang ditiupkan oleh UMNO sebagai sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Islam, tapi sayangnya perjuangan PAS semakin sehari semakin kehilangan matlamat asalnya.
PAS menjadi sebuah parti yang terlalu mengikut telunjuk DAP dan kerana itulah setiap apa yang ingin dilaksanakan perlu mendapat restu terlebih dahulu. PAS sebenarnya telah gagal dalam misinya, dan kerana itulah Perdana Menteri sekali lagi mempelawa untuk bersatu membangunkan sebuah peradaban baru yang beracuankan kekuatan Melayu dan Islam.
Cadangan tersebut bukanlah perkara baru. Malah pemimpin PAS mengakui ianya adalah sejarah. Tetapi sayangnya pemimpin PAS tidak memikirkan bahawa sejarahlah yang banyak memberikan pengajaran, kalau kita leka dengan perjuangan asal, kita akhirnya akan berada di landasan yang salah dan menunggu saat kehancurannya.
Ulasan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mengenai penyatuan antara UMNO dan PAS adalah sesuatu yang amat jelas membawa maksud bagi membangunkan semula kekuatan Melayu dan Islam. Melayu diistilahkan berasaskan bangsa dan keturunan, kerana itulah kelemahan Melayu akan memberikan semangat bukan Melayu untuk mempersoalkan statusquo dengan menggunakan landasan politik dan meminta haknya sebagai warganegara.
Bukan Melayu, pada permukaannya nampak berpecah. Hakikatnya mereka amat bijak lempar batu sembunyikan tangan; boleh bercakap dengan nada kesal dan menghina kerana mereka memahami bahawa orang Melayu sudah tidak segagah dahulu. Orang Melayu sudah bertempiaran dibawa arus, perjuangannya sudah banyak tersasar arah.
Apabila Dr Juanda menyifatkan mereka yang menghalang penyatuan Melayu dan Islam sebagai pengkhianat, maka ramai pula yang tampil memberikan pendapat. Bagi kelompok tersebut, PAS dan UMNO tidak perlu bersatu. Kedua-dua parti itu hanya perlu duduk semeja bekerjasama dan tidak kurang juga yang memberikan pandangan penyatuannya akan menyebabkan hilangnya peranan “check and balance.”
Pendapat ini sebenarnya merupakan keresahan yang tidak berkesudahan dari mereka yang tidak mempercayai sistem berpolitik. Mereka merupakan golongan yang tidak yakin dengan kebolehan elit politik untuk mentadbir negara sedangkan mereka yang memberikan ulasan itu tidakpun menyumbang apa-apa kecuali rasional pemikiran.
Mentadbir negara bukanlah semudah mengeluarkan pendapat peribadi. Mentadbir negara memerlukan kecekapan dan ketangkasan bertindak menyelesaikan masalah kerana kehidupan masakini tidaklah semudah dahulu. Kehidupan masakini memerlukan kecekapan dan kecekalan menterjemahkan prinsip perjuangan menjadi sesuatu yang baku, dan bukannya bersifat retorik.
Akibat sesame Melayu dan Islam terlalu banyak politicking, maka rasa hormat ke atas prinsip pemufakatan yang terikat sejak tahun 1955 semakin longlai dan jika tidak dikemaskan dengan baik, ianya akan terburai suatu hari nanti. Terburainya ikatan itu memberikan makna sedih yang berpanjangan, kerana Melayu akan kehilangan kuasanya. Dalam keadaan kuasa yang masih ada, maka penyatuan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.
Sudah banyak kali pemimpin UMNO mempelawa PAS untuk menjalinkan kerjasama demi kekuatan Melayu dan Islam. PAS tetap tidak menginginkannya kerana yakin ia mampu berjuang dalam Pakatan Rakyat, sedangkan DAP tidak pernah merestui cita-cita PAS dan PKR pula menyindir dengan bahasa kesat. PAS tergamam tetapi atas nama kesepakatan terpaksa memekakkan telinga dan membisu seribu bahasa. PAS menjadi sebuah parti yang amat takut dan ketakutan itulah akhirnya akan menjerat idealism politiknya sendiri.
Dalam konteks Islam, perpecahan adalah sesuatu yang dianggap sebagai dosa dan malapetaka umat. Perpecahan antara Islam bukan sahaja boleh menghancurkan ummah malah bakal menyebabkan pupusnya sesuatu budaya dan kehidupan yang dibina sejak sekian lama. Hakikat sejarah telah memberikan kesedaran bahawa tanpa penyatuan, perpecahan dalam menjadi pencetus lenyapnya sesebuah tamadun.
Islam telah hadir sebagai cara hidup yang mementingkan perpaduan dan penyatuan setiap individu dalam satu dasar yang kuat. Islam tidak menjadikan etnik atau kaum sebagai asas, namun hakikat kepelbagaian bangsa dan keturunan juga harus diakui sebagai ciptaan Allah SWT bagi membolehkan antaranya berkenal-kenalan dan hidup dalam kemesraan.
Hakikat wujudnya orang Melayu memang sudah ditakdirkan dan fitrah kehidupan. Begitu juga dengan ikatan erat dengan wilayah, maka itulah melahirkan konsep “ketuanan Melayu.” Usaha menyingkirkan “ketuanan Melayu” dan digantikan dengan lain-lain slogan sudah membawa maksud menolak ciptaan Allah SWT. Cuma yang berbeza ialah terlalu membanggakan kaum atau bangsa sebagai sesuatu yang salah, tetapi tidak menghargai asal-usul adalah satu penghinaan.
Tidak mahu mengakui dirinya sebagai Melayu merupakan penghinaan. Tidak mengakui dirinya berada dalam keranjang budaya Melayu juga satu sifat yang terkutuk, kerana tidak menghargai asal muasal yang dijadikan oleh Allah SWT. Apa yang perlu ialah penyatuan Melayu, kerana penyatuan itu akan membolehkan Islam terus dimartabatkan.
Kaitan Melayu begitu jelas dengan Islam. Apabila seseorang itu memeluk Islam, maka secara tradisinya ia dianggap masuk Melayu. Melayu pula diikatkan dengan asas agama, maka perjuangan menegakkan agama Islam tidak boleh lari dari perjuangan memperkasakan Melayu. Itulah yang seharusnya difahami oleh banyak pihak, termasuk pemimpin PAS sendiri.
Secara jelasnya, Islam itu merupakan kehidupan holistik. Ia tidak terpisah antara amalan dan keyakinan seseorang, yakni hidup dan matinya ditentukan oleh Allah s.w.t.
Bagi Khalid Salleh, “Melayu berdasarkan aksara Jawi berakarkan makna kehidupan dan kematian. Mim Lam-alif Ya Wau (huruf Jawi) apakah ia tidak berakar daripada pengertian Mim= maujud (dari) tidak ada (Lam-alif) sesungguhnya (ya) ada atau wujud (Wau)?
“Keperibadian Melayu sarat dengan pembentukan nilai-nilai budi sebagaimana dapat dilihat dalam kias ibarat, seloka, gurindam, pantuan, syair dan sebagainya. Ia adalah titipan pendekatan yang memberatkan kea rah prinsip-prinsip agama.Dalam hubungan ini, Islam ditakrifkan sebagai pemangkin  yang mencetuskan nilai-nilai kemurnian seperti bersopan santun, hormat orang tua, tolong menolong dan sebagainya.” (Melayu Hilang Di Dunia, 2011:11-12)
Kerana itu apabila ada yang menolak “ketuanan Melayu” sebagai satu konsep yang bertentangan dengan Islam boleh dianggap bercanggah dengan hakikat sebenar kenapa Allah s.w.t menciptakan bangsa Melayu. Menolak “ketuanan Melayu” juga bererti telah menolak “ketuanan Islam” sekurang-kurangnya dalam konteks Malaysia.
Semasa kekuatan Melayu berada dalam kemuncaknya, bukan Melayu sanggup menerima “ketuanan Melayu.” Apabila kekuatan Melayu sedikit terhakis oleh sebab perpecahan dalam, memberikan semangat bukan Melayu untuk mempertikaikan setiap apa boleh disabitkan dengan kedudukan Melayu, termasuk ukuran perundangan, peruntukan kerajaan dan sebagainya. Ini memberikan bukti bahawa kelemahan dan perpecahan orang Melayu menjadikan kekuatan kepada bukan Melayu untuk mempersoalkan bukan haknya sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang negara.
Mereka sedar, tanpa melakukan perjuangan berterusan ianya tidak akan mendatangkan kesan sebagaimana diinginkan. Inilah prinsip yang mula dikembangkan oleh gagasan Malaysian Malaysia. Ukuran nilai mesti diubah berdasarkan ukuran meritokrasi yang bercirikan “siapa kuat dia dapat.” Mereka yang menang akan memperoleh semuanya, mereka yang kalah akan ketinggalan sepanjang hayat. Itulah prinsip perjuangan bukan Melayu.
Ketuanan Melayu tidak bergerak dalam prinsip tersebut. Ketuanan Melayu bergerak dalam landasan Islam, iaitu mereka yang berjaya menolong mereka yang susah. Mereka yang kurang dibantu, sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan kemasyarakatan. Prinsip “ketuanan Melayu” tidak menyingkirkan mereka yang lemah, mereka tetap dibantu agar dapat belajar untuk bersaing dalam persekitaran yang sihat.
Inilah hakikat cara hidup Islam. Islam ditegakkan sebagai agama yang menyanjung tinggi prinsip bantu membantu, kerana itu akan melahirkan kesejahteraan kehidupan. Hakikat ini sebenarnya difahami oleh banyak orang, tetapi sesetengahnya cuba memasang lukah ketika hujan melimpah dan air di kuala menjadi keruh. Hakikat ini tidak difahami oleh segelintir pemimpin politik yang memikirkan kedudukan dan kelebihan partinya sendiri, sehingga lebih banyak menaburkan retorik.
Nada perucapannya penuh kesombongan. Tingkahlakunya bersalutkan ego, bahawa parti dan perjuangannya sahaja yang mampu membawa ke syurga. Itulah hakikat sebagaimana disifatkan oleh John Locke penyatuan masyarakat berasaskan perkahwinan dan bukan perkahwinan. Penyatuan berdasarkan perkahwinan dibuat secara sukarela dan penyatuan menjadi lebih lama. Penyatuan yang bukan berasaskan perkahwinan tidak mempunyai rasa tanggungjawab bersama, kecualilah sekadar memuaskan nafsu dan kepentingan naluri.
Andaian John Locke ini jelas membuktikan ikatan yang berasaskan naluri tidak akan kekal lama. Apabila kehendaknya dipenuhi, maka pasangannya itu ditinggalkan bersendirian terpaksa menanggung kesan. Beliau mengibaratkan situasi ini bagaikan hubungan dalam kumpulan binatang pemakan rumput. Bila nalurinya dipenuhi, yang betina terus menanggung kesusahan melahirkan anak bersendirian, dan ketika itulah juga terpaksa mencari makan serta menjaga anak-anaknya.
Mungkinkan situasi ini akan berlaku dalam hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat? Jawapannya mungkin ada, kerana antara PAS dan DAP tidak pernah secara sukarela menerima gagasan “negara Islam” dan melaksanakan syariat, kerana Malaysia dilihat sebagai negara secular. PAS pernah menolak konsep negara secular, tetapi kerana takutkan DAP, PAS menjadi tidak berani bersuara lagi. DAP sebenarnya telah berjaya menenggek di bahu PAS, sedangkan PAS sentiasa dilihat sebagai “tidak penting oleh DAP”. Hakikat inilah yang cuba disedarkan oleh Perdana Menteri.
Cadangan Perdana Menteri itu ada benarnya. Jika gabungan PAS boleh bekerjasama dengan BN, tentunya kekuatan Melayu akan dilihat sebagai sesuatu yang utuh dan mapan. Usaha menggugatkan “ketuanan Melayu” bukan sahaja akan kekal, sebaliknya boleh pula membawa kepada “ketuanan Melayu-Islam” di bumi yang sengaja diciptakan secara khusus kepada orang Melayu. Orang Melayu tidak akan meminta agar diri mereka diiktirafkan sama jika bermastautin di China dan India, tetapi, kerana kelemahan perpaduan Melayu-Islam itulah menyebabkan bukan Melayu sanggup mempertikaikan apa sahaja yang ada hubungan Melayu-Islam.
Pertikaian ini jelas membuktikan ada kekacauan dalam minda masyarakat. Konflik ini akan terus berjalan selagi konflik dalaman parti politik yang mewakili orang Melayu tidak berkesudahan. Melayu bercakaran sesame sendiri menguntungkan bukan Melayu, maka penyatuan Melayu amatlah diperlukan bagi menjamin kekuatan Islam.
Pendapat Dr Juanda Yaya tepat pada masanya. Dengan menganggap mereka yang menolak penyatuan Melayu-Islam sebagai pengkhianat, mungkin akan menyebabkan pihak tertentu membuat andaian, bahawa Melayu sebenarnya sedang berada dalam zon yang parah. Sebenarnya, zon Melayu masih belum lagi parah. Kekuatan Melayu masih besar, cuma mengalami sedikit hakisan.
Jika pemimpin PAS tidak inginkan penyatuan, ia bukanlah sesuatu yang pelik. Rakyat biasa sudah menunjukkan petanda akan berubahnya sokongan, mereka sudah boleh membuat keputusan tanpa perlu merujuk kepada elit politik yang tetap mempertahankan egonya sendiri. Rakyat sudah mula bosan dan muak, rakyat mengharapkan orang Melayu kembali bersatu, Islam dipraktikkan secara jujur dan ikhlas. Itulah kunci kepada kegemilangan masyarakat dan kehidupan beradab.
Demi menyahut seruan suci keamanan dan perpaduan, kita pelu berpegang kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sekiranya mereka (musuh bukan Islam) cenderung untuk perdamaian, maka hendaklah kamu juga bersedia menerimanya dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (al-Anfal: 61)

No comments:

Post a Comment