Pages

Monday, November 7, 2011

Mencari jatidiri Melayu !





Nyamuk-nyamuk yang menyangka dirinya kuat ini tidak perlu dilayan. Niat tersurat dan tersirat amat jelas, mahu meluntur bahasa Melayu dan jati diri Melayu. Berani dan berterus terang, tanpa ada rasa takut dan adab sopan. Pendapat dan pandangan pakar sudah tidak dipeduli, sikap ultra kiasu makin menjadi-jadi. Malang sekali, ada Melayu yang jadi batu api. 

Akhbar-akhbar bukan Melayu memberikan publisiti secara besar-besaran. Parti politik ultra kiasu semakin mendesak. Tidak menghairankan, kerana selama inipun mereka tidak pernah menghormati atau menghargai kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Lagipun tahap bahasa Melayu merekapun meragukan. Saban hari mereka berbahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Amat jarang sekali sesama mereka berbahasa Melayu. Lebih menyedihkan, apabila Melayu bertemu dengan bukan Melayu, tiba-tiba accent (slang) bahasa Melayu terus bertukar menjadi slang bukan Melayu.

Saya tidak sedikitpun hairan jika pengerusi persatuan yang kononnya mewakili ibu bapa ini mendakwa mereka berjaya mengumpulkan lebih 100, 000 sokongan ibu bapa terhadap PPSMI sejak penubuhan petisyen online. Hatta, sehingga sejuta sekalipun, saya hanya akan tertawa sahaja melihat kedangkalan spesis ini, kerana kita tahu jenis orang yang mengundi. Apatah lagi jika mereka mendakwa mewakili 5.4 juta keluarga.

Mereka begitu yakin untuk memberikan kemenangan majoriti dua per tiga kepada Barisan Nasional (BN), sekiranya BN bersetuju dengan PPSMI. Terkejut beruk saya, kata orang muda hari ini. Aduh! kuat sungguh kuat persatuan yang baru setahun jagung ini sehingga dapat mempengaruhi berjuta-juta orang. Saya harap kerajaan tidak terpengaruh dengan kelentong kosong ini. 

Saya cadangkan ahli jawatan kuasa persatuan ini pergilah belajar ilmu-ilmu linguistik dan peradaban sebelum bercakap soal PPSMI. Kalau belum tamat pengajian, habiskan. Tidak perlu mengeluarkan kenyataan pengecut untuk mengundi Pakatan Rakyat. Kerajaan tidak perlulah risau jika mereka tidak mengundi BN. Adapun mereka tidak memberikan kesan, daripada membiarkan orang Melayu dan pejuang bahasa memberontak kerana jumlahnya lebih ramai. Jangan pedulikan desakan ultra kiasu di Pulau Pinang. Keadaan di sana sudah seperti Taiwan dan Hong Kong. Bahasa Melayu dan orang Melayu semakin tertekan. Jika diberikan mukapun, mereka tidak akan mengundi BN. Mereka ibarat sambil menyelam minum air. 

Saya amat pelik, kenapa PPSMI ini langsung tidak disentuh dari segi perlaksanaannya di sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) oleh ultra kiasu? Jika aliran kebangsaan yang diusik, ultra kiasu begitu bersungguh-sungguh mahu ianya diubah. Namun, bila pendidikan ibunda mereka diusik, maka melompatlah mereka ini ibarat cacing kepanasan. Semuanya bersatu, tidak kira MCA atau MIC. Masihkah kita buta? 

Saya ingin mencadangkan supaya kajian turut dibuat untuk melihat adakah mereka yang terlalu obses dengan PPSMI ini begitu berjaya dalam hidup dan boleh dijadikan contoh dalam memperkukuhkan jati diri kebangsaan? Jangan jadi lebih orang putih dari orang putih. Hidup sudah tidak kenal jati diri berbangsa apa dan agama apa, terutamanya orang Melayu. 

Apakah dengan kebolehan bahasa Inggeris, mereka ini telah diangkat memegang jawatan tinggi, atau sekadar mengharap ihsan ibu bapa yang bergelar dato atau mungkin datin? Ingatlah, kejayaan seseorang bukan bergantung kepada bahasa, walaupun tidak nafikan kepentingannya, jauh lebih penting adalah sikap dan perangai. Jika pandai bahasa Inggeris sekalipun, tetapi perangai dan jati diri Islam semakin jauh dari kehidupan, tidak ada ertinya. 

Kajilah kejayaan negara China dan Cina seberang laut. Apakah resepi kejayaan mereka? Ramai yang tidak boleh berbahasa Inggeris, tetapi berkat kerja keras dan usaha tidak jemu, mereka berjaya. Persoalan bahasa asing bukan terlalu kritikal yang menentukan hidup mati seseorang. Orang Cina tetap berkeyakinan bahawa bangsa dan bahasa Cina tetap boleh meninggikan dan meningkatkan kejayaan mereka. Inilah semangat Cina yang amat saya puji. Bukan seperti persatuan tersebut, langsung tidak yakin dengan keupayaan bangsa dan bahasa Melayu. Jika diri sendiri sudah memandang rendah kepada bangsa dan bahasa sendiri, janganlah harapkan orang lain menghormatinya. Orang lain hanya mengambil kesempatan, sebab sudah ada dalangnya. 

Dengan pupuskan jati diri Melayu dan bahasa Melayu, maka mudahlah untuk mereka mendominasi. Perancangan ini sudah lama berlaku. Bacalah sejarah Tanah Melayu, terutama berkaitan dengan evolusi pendidikan bahasa Melayu dan bukan Melayu. Jika tidak mahu membaca, mari saya ajarkan. Ramai kalangan kita hari ini yang buta sejarah apabila membincangkan isu bahasa. Inilah yang membutakan mata dan hati mereka sehingga sukar untuk melihat kebenaran dan kepentingan masa hadapan. 

Persatuan ini turut mendakwa bahawa pihak yang menentang PPSMI, keliru dan tidak faham konteks. PPSMI bukan bertujuan untuk memandaikan pelajar-pelajar sekolah dengan bahasa Inggeris tetapi lebih kepada mendedahkan mereka dengan istilah-istilah bahasa Inggeris yang digunakan dalam pengajian sains dan matematik. Kata mereka lagi, Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan German, Korea dan Perancis, kerana bahasa ibunda mereka jauh berada di hadapan, berbanding bahasa Melayu. 

Jawapan saya, jika begitu keadaannya, marilah kita mulakan bersama. Pertahankan bahasa kebangsaan, perkukuhkan bahasa Inggeris. Bukan sahaja bahasa Inggeris, tetapi juga bahasa-bahasa lain, terutama bahasa Arab. Jangan sampai lidah kita cair berbahasa Inggeris, tetapi menjadi kelu, pelat dan gagap apabila membaca al-Fatihah. Ingatlah, bahasa Arab bahasa syurga, bahasa Inggeris bahasa dunia? Paling baik, belajarlah kesemuanya. Jika tidak, sekurang-kurangnya hubungan dengan Allah selamat. Jangan ceritalah soal aurat. 

Saya hanya akan terpengaruh dengan persatuan ini jika mereka yang obses dengan bahasa Inggeris ini, dapat menjadi contoh untuk diikuti, yakni berjaya di dunia, berjaya di akhirat. Jati diri Melayu dan Islam kuat dan kental. Ini tidak, melihat kepada cara hidup dan rambutnya sudah memualkan. Ikutlah nasihat pakar yang begitu ramai di kementerian pelajaran dan pengajian tinggi. Pihak kerajaan sedang berusaha untuk memandaikan anak bangsa dengan bahasa Inggeris melalui kaedah yang betul bukan dengan merubah sistem.


pejuangmelaka-Tidakkah kita terasa malu dan terpukul apabila dalam pertandingan pidato bahasa Melayu peringkat antarabangsa baru-baru ini? Ternyata peserta-peserta dari negara luar begitu fasih berbahasa Melayu, sedangkan kita masih merangkak-rangkak untuk mencari jati dan kekuatan bahasa sendiri? Janganlah terlalu menegakkan benang basah.

No comments:

Post a Comment