Pages

Saturday, November 12, 2011

Pengaruh Liberal Barat pada Islam






Festival Seksualiti Merdeka bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ini hanya salah satu agenda daripada ratusan agenda lain yang telah, sedang dan akan menyusul jika prinsip-prinsip pembentukan Civil Society ala Demokrasi Liberal Barat (CSDLB) dibiarkan berleluasa tanpa sebarang ketegasan dan keprihatinan oleh Raja-Raja, kerajaan, parti politik Melayu Islam, golongan pemikir dan para ulama serta NGO's Islam.

Zaman ini zaman orang bercakap tentang hak asasi, demokrasi, anti-diskriminasi, pejuang minoriti, kebebasan berfikir, bersuara dan beragama, kesaksamaan, kesamarataan dll. Asas CSDLB adalah jelas, semua manusia perlu diberi peluang untuk hidup mengikut acuan yang dia mahu. Tanpa mengira sama ada acuannya itu sesuai dengan norma kemasyarakatan, kebudayaan mahupun keagamaan. Yang penting setiap insan punya kebebasan mutlak untuk menentukan cara hidupnya sendiri. Itu ibarat "maqasid syariah" yang paling utama dalam perjuangan CSDLB.

Dalam dunia Islam, kadang-kadang perjuangan CSDLB ini kelihatannya ada persamaan nilai dengan Islam seperti tuntuan terhadap keadilan dan pemeliharaan ke atas hak asasi. Namun perlu diingat, persamaan itu hanya bersifat 'surface' dan bukan 'substance'. Kenapa? Ini kerana sumber inspirasi antara CSDLB dan Islam itu berbeza. CSDLB itu sumbernya adalah rasional manusia yang terhad pada jangkauan akal semata-mata. Manakala agama itu bersumberkan wahyu yang tidak terhad penilaiannya pada akal semata-mata. Rumusnya, jika penilai dan skimanya berbeza, bagaimana mungkin keputusannya akan sama?

Kerana itu, di peringkat 'substance', tetap akan berlaku pertembungan yang 'amat mendasar' antara Islam dan CSDLB. Contoh mudah, kita boleh lihat ramai umat Islam turun bersama-sama pejuang CSDLB untuk menyatakan sokongan terhadap perhimpunan Bersih 2.0 demi menuntut pilihanraya yg bersih dari sebarang penyelewengan demi 'keadilan'. Pada 'surface'nya, ia memang sesuai dengan tuntutan Islam yang juga menganjurkan keadilan. Namun, dalam masa yang sama, CSDLB juga menuntut supaya diberikan hak kepada golongan lesbian, gay, transgender, biseksual dll juga demi keadilan. Soalnya di sini, adakah ini diterima sebagai 'keadilan' oleh Islam? Jika tidak diterima, pada tahap mana? 'Surface' atau 'substance'? Jawabnya, tentu pada tahap 'substance' kerana takrif keadilan menurut Islam dan CSDLB itu sendiri tidak sama.

Bahkan banyak lagi tuntutan-tuntutan CSDLB yang pasti akan menyentuh 'substance' agama Islam. Antaranya seperti menolak sebarang bentuk hukuman yang dianggap dosa peribadi seperti berzina, minum arak, pertukaran agama (murtad), menghalalkan semua bentuk pemikiran keagamaan sama ada sesat atau tidak, menolak agama dalam pemerintahan dll. Pendek kata apa jua unsur-unsur campur tangan agama terhadap urusan individu akan ditentang oleh CSDLB atas alasan ia mencabul hak asasi individu tersebut. Sementelah model yg menjadi kiblat CSDLB adalah negara-negara Barat seperti UK dan USA (atau mungkin Singapura). Dua negara ini kononnya telah menunaikan hak-hak CSDLB yang patut dicontohi oleh semua negara termasuk Malaysia.

Sesetengah orang menjadi serba salah, ada benarnya apa yang berlaku di Barat sana. Mereka sangat liberal dan dengan liberal itulah umat Islam di sana mampu hidup dan menjalankan aktiviti seharian mereka. Memang hak asasi setiap warganya dijaga dan dipelihara tanpa mengira agama. Mereka boleh membina masjid dan hidup tanpa sebarang tekanan dan penindasan pemerintah. Maka amat tidak wajar jika umat Islam di Malaysia bersikap anti-liberal, sedangkan mereka yang beragama lain di Barat mampu bertoleransi dgn segala macam hak asasi manusia, mengapa pula umat Islam di Malaysia bertindak sebaliknya. Adakah agama Islam ini jumud, beku, mundur, menongkah arus, rasis dan ekstrim?

Ini antara persoalan yang kita perlu teliti dan tekuni bersama. Jangan kita terpana dengan amalan demokrasi liberal di Barat seperti yang dituntut oleh pejuang CSDLB di Malaysia. Perlu dipertanyakan dahulu, mengapa Barat menolak kitab agama dalam sistem kehidupan lalu demokrasi liberal dan hak asasi manusia menjadi kitab suci mereka? 

Cuba fikirkan kenyataan PM Britain, David Cameron dalam persidangan CHOGM di Australia baru-baru ini, dia bercakap seperti orang tua nyanyuk mengugut agar setiap negara Commenwealth menghapuskan undang-undang anti-LGBT jika mahu wang bantuan terus disalurkan. Kata Cameron ‘You do this or I withdraw my aid’. Lupakah Cameron bahawa peraturan ini sebenarnya diwarisi ketika zaman penjajahan Inggeris dahulu? Tidak, Cameron tidak lupa, tetapi dia sengaja menolak agamanya sendiri demi satu perjuangan atas nama demokrasi liberal yang meletakkan hak asasi manusia sebagai matlamat tertinggi dalam kehidupan.

Inilah yang berlaku di Barat, mereka menjadi liberal dan sekular akibat agama mereka sendiri. Apa perlunya beragama jika perkara paling asas dalam kehidupan tidak terpenuhi oleh agama. Kita perlu tahu mengapa dominasi gereja di Barat semakin merosot dan akhirnya menjadi rujukan ritual semata-mata, bukan sistem yang memandu kehidupan manusia. Inilah titik 'substance' yg menjadi pemisah antara Islam dan agama lain. 


Oleh itu, mana mungkin kita mengiaskan antara negara Islam dengan Barat? Jika apa yang dipraktiskan di Barat itu ingin diapply jua ke atas sesebuah negara Islam, maka tiadalah gunanya Islam itu wujud sebagai asas pemerintahan. Padamkan sahaja perkataan Islam itu dalam perlembagaan, hapuskan sahaja institusi Islam dalam kerajaan dan seterusnya. Kerana kewujudan semua itu, apabila sampai ke satu tahap 'pasti' akan bertembung dengan pejuang-pejuang CSDLB. Biarkan sahaja negara ini dan negara-negara Islam lain di dunia menjadi liberal, kerana itu lebih aman, sentosa dan memenuhi kehendak hak asasi manusia.


pejuangmelaka - isu-isu yg dibangkitkan pejuang CSDLB seperti Festival Seksualiti Merdeka perlu ditangani pada 'substance' dan bukan pada 'surface', kerana ia tidak akan selesai dan lebih banyak pertembungan akan berlaku pada masa akan datang. Ia bukan seperti khilaf masalah furu' tetapi usul. Ia menuntut dominasi Islam dalam memahamkan penganut agama lain tentang keindahan Islam dalam mengangkat keadilan dan hak asasi manusia. Namun, jika tafsiran Islam dipinggirkan dalam memahami demokrasi, hak asasi dan keadilan atas tuntutan 'political maileage', maka akan semakin dominanlah golongan CSDLB dalam negara ini dan nantikanlah padahnya kelak!

No comments:

Post a Comment