Pages

Saturday, June 2, 2012

Pemikiran Hasan Al-Banna Dan Bangsa Melayu




Hasan Al-Banna merupakan seorang tokoh dakwah yang muncul di Mesir selepas kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924. Ketika berumur 22 tahun, beliau telah menubuhkan sebuah organisasi dakwah iaitu Ikhwan Muslimin demi mengembalikan khilafah Islam yang telah runtuh itu. Imam Hasan Al-Banna meyakini bahawa hanya Jalan Dakwah sahaja yang mampu mengembalikan zaman kegemilangan umat Islam yang hilang itu setelah mengkaji Al-Quran, Sunnah dan sejarah Islam secara mendalam.

Untuk membina kembali khilafah yang hilang itu, Hasan Al-Banna telah menggariskan tujuh peringkat dakwah yang perlu diikuti oleh setiap pendakwah.

Bermula dengan pembinaan individu muslim, seterusnya adalah membina keluarga muslim, masyarakat muslim, mengubah undang-undang, menegakkan negara Islam, membentuk empayar Islam dan seterusnya menjadi Pemimpin Dunia.

Peringkat yang terpenting adalah peringkat untuk membina individu muslim. Dan Hasan Al-Banna telah meletakkan 10 ciri yang mesti dicapai oleh seseorang muslim iaitu akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, mampu berdikari, akhlak yang baik, berpengetahuan luas, menepati waktu, tersusun urusan, mampu melawan nafsu, tubuh badan yang sihat dan bermanfaat kepada orang lain.

Untuk mencapai 10 ciri individu muslim ini, tujuh wasilah amal (method) telah dibentuk iaitu usrah, khatibah, rehlah, mukhayyam, daurah, nadwah dan muktamar. 

Dari perspektif organisasi, sesebuah organisasi dakwah perlu melalui empat peringkat iaitu mihwar tanzimi (peringkat membina organisasi), mihwar muassasi (peringkat menggauli masyarakat), mihwar sya’bi (peringkat membina jaringan dalam pelbagai jabatan dan organisasi) dan seterusnya mihwar Daulah (peringkat kenegaraan).

Amat ditekankan di sini, segala peringkat dakwah yang digariskan oleh Hasan Al-Banna ini hanya boleh dilalui oleh pendakwah yang bergerak secara berorganisasi tidak secara individu.

Antara pemikiran terpenting Hasan Al-Banna yang telah dilupakan oleh ramai pendakwah Islam adalah syaukah (kekuatan) bangsa yang dominan di sesuatu negara amat diperlukan untuk memartabatkan ketuanan Islam dan penegakan syariat di negara tersebut. 

Dan Hasan Al-Banna juga memberikan isyarat bahawa jika sekiranya golongan pendakwah Islam ingin melaksanakan syariat Islam dalam negara tersebut, mereka harus mendapat sokongan padu daripada bangsa dominan ini supaya tidak ada pihak musuh yang mampu menggugat keputusan yang telah dibuat untuk memartabatkan Islam. 

Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna menegaskan perlunya untuk sejarah kegemilangan sesuatu bangsa tersebut diceritakan kembali untuk memberi keyakinan kepada bangsa itu bahawa mereka sebenarnya layak memegang kepimpinan Islam di negara mereka. 

"Umat yang sedang bangkit memerlukan kepada perasaan bangga dengan kaumnya sebagai satu bangsa yang agung, istimewa dan bersejarah sehingga terbentuk dalam diri generasi muda. Lantas mereka berjuang demi keagungan dan kemuliaan itu dengan darah dan roh mereka. Mereka bekerja demi kebaikan tanah air, kemuliaan dan kebahagiaannya.". (Imam Hasan Al-Banna)

Selain itu, Hasan Al-Banna telah menggariskan tiga langkah utama untuk membina syaukah dalam sesuatu bangsa iaitu syaukah iman, syaukah ukhuwwah dan akhirnya syaukah fizikal seperti ketenteraan, teknologi dan sebagainya.

Jadi dalam konteks Malaysia, jika para pendakwah Islam ingin melaksanakan syariat Islam secara syumul ketika di peringkat daulah, mereka perlu mendapat dokongan yang kuat daripada bangsa Melayu yang merupakan bangsa majoriti di Malaysia.

 

Oleh itu, hak-hak keistimewaan bangsa Melayu ini mesti dipertahankan agar bangsa ini mampu bangun dan menjadi bangsa yang kuat sehingga betul-betul mampu menjadi syaukah Islam di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara. Dan sebarang usaha mana-mana pihak untuk menyekat pembangunan dan perpaduan bangsa Melayu ini mesti dihalang. Selain itu, bangsa Melayu ini perlu diperkuatkan jati dirinya agar mereka menjadi bangsa yang berkeyakinan tinggi dan mampu menghidupkan kembali semangat pejuang yang pernah ada dalam darah nenek moyang mereka.

Apalah Melayu itu jika tanpa Islam. Tanpa Islam belum tentu lagi bangsa Melayu ini dikenali dunia. Oleh itu, para pendakwah perlu menyeru; 

"Bangkitlah wahai bangsa Melayu! Berusaha gigihlah untuk mendaulatkan Islam dalam dirimu dan dalam negaramu"

"Melayu Sepakat, Islam Berdaulat"



Salam Perjuangan !!!

No comments:

Post a Comment