Pages

Thursday, November 1, 2012

Antara Tidur dan Tertidur !


Setiap manusia berada dalam keadaan benar kecuali jika ia berniat melakukannya dengan sengaja setelah ia tahu perkara tersebut adalah salah. Sekurang-kurangnya ia "benar" dalam ruang lingkup kepercayaannya sendiri. 

Kebanyakan yang berlaku ialah salah sangka atau tersilap tanggapan. Bersangka masih celik dan sedar terhadap setiap suatu yang wujud di hadapan mata. Tidak disedari beberapa ciri telah hilang dari pemerhatian. Adakah ianya berpunca silau dari cahaya yang terlalu terang atau terlepas pandang beberapa sisi yang terselindung? Cuba hayati kembali untuk mengetahui kedudukan sebenar pada pandangan mata hati.

Fenomena ini telah menjelma di negara kita Malaysia, persis sebagaimana yang terjadi di beberapa buah negara Arab. Jangka masa terasa begitu cepat selepas beberapa negara Arab terjebak dalam persengketaan berdarah. Tidak dapat dinafikan ia adalah perancangan terbaik dan tentunya memenangkan "pencatur"nya.

APA MAKSUD POSTER INI?
Kemanakah halatuju yang hendak dibawa oleh penganjur perhimpunan "halal" ini? Ternyata mereka yang menciptanya amat mengharapkan dan tidak pula keterlaluan jika dikatakan mula mencintai kekacauan dan rusuhan. Dalam diam mereka panjatkan doa agar Kuala Lumpur dijadikan sebagai medan pertumpahan darah seperti di kota-kota negara Arab.

Ada yang melaungkan kalimat tauhid, bertakbir dan bertahlil semasa menghadapi kekangan pasukan keselamatan. Penuh semangat juang dan cuba merempuh sekatan. Apa tujuan mereka? Kelibat ini seolah mewakili pejuang akhir zaman untuk menumbangkan pemimpin negara yang "zalim" setaraf Muammar Ghadafi di Libya. Benarkah sangkaan mereka itu? Apakah mereka menyangka mereka adalah antara pejuang AlMahdi atau Putera Bani Tamin? Pemimpin mereka pula ialah para Mujahid akhir zaman? Adakah pasukan polis boleh dianggap sebagai musuh Islam?

Kenapa Libya dijadikan contoh? Samakah Malaysia dengan Libya? Apa asasnya? Syahidkah mereka yang mati dalam rusuhan dan peperangan sesama Islam? Kenapa mereka inginkan situasi sebegini? Makin menabjubkan (sebenarnya membingungkan), ia diterajui oleh non Muslim pula seorang pejuang anti-Islam yang tegar..

Tidak mustahil pula jika ada yang mengatakan poster ini disediakan oleh musuh mereka untuk memburuk-burukkan perjuangan mereka seperti kes pisau belati dan bom petrol. Namun kebenaran sukar untuk dibendung kepada orang yang cintakan kebenaran. Terdapat banyak tanda-tanda lain yang telah dan bakal muncul yang akan menceritakan perkara sebenarnya sekaligus menafikan dakwaan tersebut.

Bagi pemikir yang waras, tujuan akhir penunjuk perasaan ini telah dapat dijangka. Ramai juga kalangan intelektual dapat menyingkap keadaan negatif yang bakal terjadi jika perhimpunan diteruskan. Malangnya ada yang tidak mengendahkan malah ramai yang mengambil persepsi sebaliknya terhadap pandangan ini. Segelintir memberikan komen sinis bahawa ia hanyalah sebuah teori dan andaian, samalah dengan teori konspirasi yang pada mereka ia tidak masuk akal. Dalam pada itu ada yang menuduh sumber tersebut telah terpengaruh atau diracuni dengan dakyah dan propaganda pemerintah.

Setelah peristiwa besar pertengahan tahun 2011 ini berakhir, ternyata andaian itu adalah benar, walaupun tidak keseluruhannya. Kita masih selamat dari bala yang kita sendiri usahakan. Alhamdulillah negara ini terselamat dari bencana kemanusiaan seperti yang dialami oleh rakyat Libya dan Syria. Masihkah penganut Islam di Malaysia masih kabur terhadap perancangan THH terhadap negara ini? Atau mereka terlelap dalam sedar? Semoga Allah mengampuni kita semua, insyaAllah.

Beberapa penulis yang berfikiran sederhana dan tidak berpihak telah menzahirkan pandangan yang cukup meyakinkan. Didasarkan kepada beberapa bukti nyata, jelas ianya didalangi oleh organisasi luar negara yang sama seperti mana yang dicaturkan terhadap rakyat Libya dan Syria.

Apa yang berlaku sekarang ini adalah petanda bahawa demonstrasi akan menjadi satu trend baru yang berterusan (harap ianya tidak benar) walaupun sesiapa yang memenangi pilihanraya nanti. Pihak yang kalah akan menuduh pemenangnya berlaku tidak adil dan akan melakukan protes demi protes. Sudah tiada makna lagi "Demokrasi Berparlimen" yang diagung-agungkan para sekular. Sudah tentu pembohongan dan propaganda akan berkumandang sebagai alat untuk tujuan tersebut. Fitnah bakal menjadi senjata ampuh dan dusta sengaja diangkat sebagai kebenaran. Semua pihak akan terjebak dalam arus tamaddun baru kemanusiaan iaitu "kemunafiqan". Zaman dusta bermaharaja lela.

Keadaan di Malaysia tentu sekali akan menjadi lebih parah kerana kedudukan politik negara ini berpaksikan ras perkauman. Menjadi lebih celaru kerana pada prinsipnya kaum-kaum di Malaysia itu pula mewakili agama-agama yang berlainan.

Sistem politik mewakili kaum menjadi teras dalam sistem demokrasi negara yang berbagai etnik ini sejak dari zaman kemerdekaan lagi. Pada awalnya keadaan tenteram kerana etnik pribumi menjadi kuasa dominan dan etnik lain hanya menumpang mencari makan di sini. Keadaan sekarang sudah jauh berubah bila etnik pribumi mula berpecah dan kaum lain pula cenderung kepada kuasa setelah menguasai ekonomi. Inspirasi dari seberang tambak banyak mempengaruhi suasana ini. Tentu sekali keadaan sedemikian akan mempercepat terjerumusnya negara ke dalam sengketa yang cukup malang dan memudharatkan iaitu pergaduhan atau rusuhan antara kaum atau agama. Sebelum itu terdapat tanda-tanda orang Islam bakal bersengketa sesama sendiri.

Seperti lazimnya, yang kalah akan mendakwa mereka dizalimi dan segera meminta bantuan dari kuasa luar yang sedang menanti peluang sebagaimana yang berlaku di Libya sekarang.

Amat dibimbangi pengacara (pencatur) adegan kekacauan ini telahpun dapat menghidu bau darah yang mungkin akan mengalir di penghujung sengketa ini. Adakah percaturan mereta sudah sampai sejauh itu? Tiada siapa dapat mengesahkannya buat waktu ini. Semuanya termasuk dalam satu pakej yang terselimut dalam perancangan sulit mereka.

Demontrasi jalanan bakal mewarnai gelombang baru iaitu ketidak stabilan politik dan huru hara. Mulai sekarang semua rakyat Malaysia perlu bersedia menyesuaikan diri dengan trend tersebut setelah kita menciptanya. Gelagat para pemimpin politik yang pandai berpidato dan berupaya mempengaruhi (mind control) membawa orang ramai melalui siri demonstrasi jalanan untuk mendapat kuasa semakin mendapat tempat. Rakyat menjadi buta dan hilang kewarasan kecuali sedikit yang ingin terus berfikir. "Beruntunglah mereka yang berfikir", pedoman dari ayat yang berulang-ulang kali disebut dalam alQuranul Karim.

Mungkin pandangan ini akan dianggap keterlaluan, namun harus kita mengambil perhatian bahawa musuh negara di luar sana tidak akan senang selagi negara ini tidak jatuh ke dalam genggaman mereka. Inilah pekerjaan "Dajjal" mengaturkan kehidupan "Yakjuj dan Makjuj" yang bakal bersaing dan saling melakukan kerosakan demi kerosakan.

Jika tidak mahu berubah dan mahasabah diri, akan berlakulah keadaan luar jangka yang memberi laluan kepada musuh untuk menangguk peluang dan akhirnya akan menguasai keseluruhan kehidupan kita. Kita menyangka melakukan kebaikan dan meyakini bahawa kita berada di pihak yang benar. Namun kejahilan dan keangkuhan kitalah punca sebenar kecelaruan ini. Ketiadaan ilmu dan lemah daya fikir samalah seperti menyimbah minyak ke dalam api untuk memadamkannya. Akal kita telah ditutupi ego sendiri.

Berjuang biarlah kena pada tempatnya.  Jauhilah sikap mementingkan diri dan elakkan perbuatan melebihi batas.
mereka angankan  situasi ini dan menjadi "hero"

Saya pantulkan tulisan dua orang pengulas yang cukup bertenaga memberi kesedaran kepada setiap warga negara terutamanya kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke lembah hina. Apa yang mereka perjuangkan itu hanyalah satu sangkaan sahaja malah ia hanyalah satu caturan yang berwajah "kebangkitan palsu":

    

Banyak daripada kalangan orang Barat yang menghormati Islam sebagai agama samawi sendiri kini mula menyedari dan sedang mendedahkan agenda jahat golongan ini yang didalangi oleh segolongan kecil manusia yang amat berkuasa di dunia sekarang. Mereka ini, yang turut menguasai pemikiran orang Barat yang jahil, sebenarnya adalah golongan yang menolak apa jua agama.

Mereka hanya berpura-pura beragama dan sebenarnya mempelopori pluralisme dalam agama untuk melemahkan pegangan manusia terhadap apa jua agama. Mereka sebenarnya amat membenci kitab-kitab Allah dan melihat agama apa jua sebagai penghalang kepada pencapaian citac-cita mereka. Mereka mahu mencorakkan dunia mengikut acuan, kehendak dan kepentingan duniawi mereka semata-mata. Puak-puak di luar daripada golongan ini, sama ada yang turut membenci Islam, atau yang mempunyai kepentingan sempit masing-masing, juga berselingkuh dan juga ada yang diperalatkan oleh golongan ini bagi mencapai matlamat mereka menguasai dunia dan sesisi alamnya sekali.

Mereka mempelopori feminisme, hedonisme, hak asas manusia termasuk untuk memilih cara hidup yang membelakang hak masyarakat dan hak-hak dan larangan Allah, “demokrasi ala mereka” termasuk menerusi social unrest dan social uprising, Amat malang dan malapetaka sekiranya bukan sahaja umara' malahan golongan Ulama terutama daripada parti PAS kelihatannnya amat sedikit pengetahuan tentang agenda golongan ini sehingga saudara seagama sendiri disangka musuh. Sedangkan orang-orang, yang sama ada secara mereka sedar atau tidak sedar, bersekongkol dengan golongan tersebut, dirangkul erat oleh ulama-ulama ini sebagai sahabat seperjuangan.

Ulama-ulama ini dikhuatiri telah tersesat jalan lantaran mereka gagal membaca tanda-tanda siapakah sebenarnya musuh Ummah di akhir zaman ini dan membiarkan diri mereka dan umara' diperalatkan oleh golongan ini untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang diterajui oleh saudara segama mereka sendiri.

BERSIH Untungkan Siapa ?

Pejuangmelaka tertarik apabila membaca komen seorang penulis dalam sebuah akhbar yang mengatakan bahawa semua pihak yang terlibat didalam BERSIH mengatakan mereka berjaya.

Jika ditanya pada polis, mereka akan kata mereka berjaya menahan demonstrasi haram. Kalau ditanya Ambiga, dia mengatakan BERSIH telah berjaya menyampaikan mesej. Kalau ditanya pimpinan parti politik, mereka juga mengatakan berjaya mengumpul dan menyedarkan masyarakat tentang kezaliman pemerintah.

Yang mengatakan rugi cuma peniaga-peniaga berdekatan yang terpaksa menutup kedai.

Bagi Pejuangmelaka yang paling rugi ialah umat Islam!

Pejuangmelaka juga turut merasa sedih diatas apa yang berlaku terhadap rakyat yang ikhlas berjuang tetapi dipukul, disepak dan akhirnya ditangkap untuk ditahan di Pulapol. Peristiwa ini mengingatkan saya kembali akan apa yang berlaku pada tahun 1997 dimana ketika bangkitnya gelombang reformasi ramai rakyat yang terpaksa menghadapi mehnah yang tak kurang getirnya. Saya menyanjungi keberanian rakyat negara ini.

Namun disebalik itu saya bertanya pada diri sendiri, apakah mereka sedar apa yang mereka perjuangkan atau semata-mata mengikut apa orang lain buat?

Adakah mereka mengkaji siapa yang sebenarnya memainkan peranan disebalik demonstrasi BERSIH ini ?

Pernahkan mereka melihat dengan siapa mereka menentang? Adakah mereka menilai apa implikasinya kepada Islam dinegara ini?

Pejuangmelaka yakin ramai umat Islam tidak benar-benar mengetahui matlamat perjuangan ini melainkan hanya mahu melihat pemerintah jatuh.



Tanpa kita sedar pergerakan seperti ini sebenarnya telah di pelopori oleh sebuah NGO bernama National Endowment For Democracy yang berpangkalan di Washington, US yang telah mempunyai jaringan seluruh dunia yang menggelarkan diri mereka sebagai “World Movement Of Democracy”.

World Movement for Democracy
WMD

Mereka ini memperjuangkan Civil Society (masyarakat madani) yang beriman bahawa semua manusia perlu menerima nilai-nilai sejagat yang menuntut persamaan, dengan menolak keistimewaan mana-mana kaum, dalam semua aspek termasuk agama dan hak wanita.

Mereka berjuang atas istilah “Human Rights”. Antara strategi mereka ialah dengan menggerakkan rakyat bagi mendesak kerajaan menerima tuntutan mereka. Mereka juga telah mengeluarkan sebuah laporan yang bertajuk “Defending Civil Society” pada tahun 2009 dan mendapat persetujuan beberapa pemimpin dunia yang mana salah seorang dari mereka ialah pemimpin pembangkang negara.

Network mereka sangat kuat dan licik dan mereka bertemu setiap 2 tahun sekali untuk berkongsi pengalaman, kali terakhir di Jakarta pada tahun 2009.

Walaupun mereka menafikan tetapi isu BERSIH ini tidak lagi menjadi suara NGO yang benar-benar inginkan kebenaran tetapi sebaliknya menjadi agenda gerakan demokrasi ini. Malangnya parti-parti politik negara dan umat Islam dipergunakan bagi memperjuangkan agenda mereka.

Pejuangmelaka juga rasa terkilan apabila melihat Ambiga, seorang aktivis yang jelas menentang Islam, secara tiba-tiba menjadi hero kepada umat Islam.

Bukan itu saja umat Islam sanggup duduk dibelakang beliau dan mempertahankannya. Ini suasana yang sukar untuk di bayangkan.

Baru setahun dua lepas beliau dengan lantangnya menyokong semua tuntutan IFC dan menuntut kerajaan menerimanya sehingga NGO-NGO Islam terpaksa bertungkus lumus mempertahankan Islam. Kenapa ini semua tidak pernah dikirkan oleh umat Islam?

Siapa yang menjadi alat dan diperalatkan, Ambiga atau umat Islam?

Siapa yang bergaduh sesama sendiri, umat Islam atau orang lain? Siapa yang ramai ditangkap, umat Islam atau orang lain? Siapa yang ramai cedera, umat Islam atau orang lain? Siapa yang ingin dijatuhkan, orang Islam atau orang lain?

Tidak cukup dengan itu, ada pemimpin politik Islam yang begitu bersemangat sehingga menyatakan bahawa demonstrasi jalanan ini akan diteruskan jika BN masih tidak mahu berubah.

Semua ini dihujah atas dasar rasuah yang ada dan juga pelbagai kelemahan dalam pemerintah. Walaupun tidak ada nas yang sahih mengatakan umat Islam boleh bertahalluf dengan puak kafir bagi menjatuhkan umat Islam yang lain, tetapi semua ini sudah dikaburi oleh bayangan kerakusan mendapat kekuasaan yang menggila. Siapa ketuanya? Apa agendanya? Siapa yang membiayainya? Apa implikasinya kepada Islam?

Semua ini sudah tidak menjadi perhitungan umat Islam. Yang penting kerajaan mesti disungkurkan ke bumi.

Fikiran rakyat tidak lagi diisi dengan ilmu yang mantap sehingga begitu mudah dikaburi oleh ism-ism yang diperjuangkan Barat dengan menyangka bahawa itulah Islam. Umat Islam tidak lagi kenal mana musuh, mana kawan. Mana yang harus kita berbeza dan yang mana harus kita bersama.

Umat Islam keliru dengan istilah-istilah Barat seperti demokrasi, liberalisasi, humanism, sosialism dan yang seumpamanya.

Setelah Barat gagal membaiki kaum mereka dengan istilah-istilah ini maka mereka kini melontarkannya pula kepada puak timur dan amat malang pihak timur (umat Islam) menerimannya secara bulat-bulat.

Pimpinan Islam juga dikelirukan antara "keadilan" Islam dan "kesamaan" Barat. Pengikut pula bertaqlid secara buta kepada pimpinan sehingga menganggap selain dari itu adalah kebatilan.

Medan-medan yang disediakan untuk mendampingi masyarakat bukan lagi menjadi tempat untuk menyebarkan ilmu tetapi menaikkan sentimen kebencian kepada umat Islam lain.

Akhirnya siapa yang rugi kalau bukan umat Islam. Siapa umat Islam itu kalau bukan orang Melayu.

Kalau Melayu rugi, Islam rugi,   habis…. BERSIH ini untuk siapa???

No comments:

Post a Comment