Pages

Sunday, December 23, 2012

Usah Politikkan MELAYU Ultrakiasu !!!




KAJI Pemikiran parti-parti politik seperti DAP, MCA dan Gerakan. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan yang amat menghiris, mahukan kerajaan mengkaji semula silibus sejarah yang akan diwajibkan ke atas pelajar sekolah rendah dan menengah tidak lama lagi. 

Hujah mereka amat simplistik, sejarah yang sedia ada tidak mencerminkan sejarah yang sebenar. Sejarah yang sebenar mesti mempamerkan sumbangan dan kerjasama kaum. Pada mereka, sumbangan kaum bukan Melayu mesti dimasukkan dan dijadikan teras sejarah. Saya cuba elakkan menggunakan istilah ultra kiasu terhadap golongan ini, biarlah kita berbincang secara adik-beradik.

Saya tidak menafikan sejarah sumbangan bukan Melayu terhadap negara, tetapi perlu diingatkan bahawa sumbangan dan kerjasama kaum adalah sebahagian kecil sahaja dalam urutan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Ada aspek yang lebih besar lagi yang perlu ditonjolkan, seperti sejarah asal usul Tanah Melayu sebelum kedatangan imigran-imigran ke alam Melayu.

Sesiapa yang mengkaji dan faham sejarah Malaysia, ianya mesti merangkumi asal-usul Tanah Melayu, zaman kegemilangan dan kejatuhan kesultanan Melayu, zaman penjajahan dan kemasukan imigran, kebangkitan nasionalisme Melayu, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Kemerdekaan Tanah Melayu, sehinggalah membawa kepada Penubuhan Malaysia. Seterusnya, diikuti dengan dasar-dasar kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969 sehinggalah ke hari ini. 

Kumpulan-kumpulan ekstrim ini asyik-asyik hanya bercakap soal sumbangan bukan Melayu, soal penentangan bukan Melayu terhadap Jepun 1942-45. Sedangkan kita sedia maklum, sejarah penentangan terhadap Jepun juga penuh dengan kontroversi fakta dan dipertikaikan. Adakah benar orang Cina mempertahankan Tanah Melayu atau sekadar membalas dendam terhadap Jepun? 

Berkali-kali telah saya nyatakan bahawa penentangan terhadap Jepun, tidak banyak kaitan dengan kemerdekaan, tetapi adalah disebabkan oleh dendam kedua belah pihak yang telah mengalami perang sebelum ini. Sila rujuk sejarah perang China-Jepun 1894-95 dan 1937. 

Jangan terlalu obses dengan sumbangan Bintang Tiga atau MPAJA dan Parti Komunis Malaya (PKM), sehingga kita sengaja lupakan sejarah yang sebenar? Maka tidak hairan hari ini tugu MPAJA dibina sebesar-besarnya di Taman Peringatan Nilai. Yang amat pelik, Majlis Perbandaran dan Arkib Negara kurang serius dalam memantau pembinaan tugu dan memorial seperti ini. 

Jika benar-benar orang bukan Melayu mahu memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu selepas pengunduran Jepun, kenapa Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh British pada tahun 1946, tidak ditentang? Kenapa hanya orang Melayu sahaja yang bangun menentang? Ini menunjukkan perjuangan menentang kemerdekaan amat diragui sebelum detik tahun 1957.

Pada saya, kita serahkan semua sejarah kita kepada ahli sejarah. Janganlah doktor perubatan dan ahli ekonomi memandai-mandai bercakap banyak dalam isu ini. Wal hal ilmu sejarah mereka amat cetek, hanya berasaskan kepada pandangan dan laporan ibu bapa murid yang tidak puas hati dengan silibus yang sedia ada. 

Mereka yang bukan berlatarbelakangkan sejarah, duduk diam-diam, tidak perlu berkokok keterlauan. Bagaimana kita menghormati profesion orang lain, begitu juga orang lain mesti menghormati profesion kita, barulah itulah dinamakan professional. Janganlah terlalu bertindak ekstrim dalam hal ini. Banyak masa terbuang dan tidak banyak membawa faedah. 

Pada saya, sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar. Sama seperti negera China dan India. Mereka mesti mempunyai sejarah sistem kenegaraan China dan India tersendiri. Begitu juga dengan sistem kenegaraan Melayu, mesti ada sejarah sistem kenegaraan Melayu tersendiri. Adakah silibus ini langsung tidak boleh disentuh atau dimasukkan sebagai teras sejarah negara ini? Sedangkan negara lain, silibus seperti ini yang menjadi asas. 

Negara Singapura sedang cuba dan telahpun memadamkan asas sebegini. Saya fikir MCA, DAP dan Gerakan, tidak perlu campur tangan dalam soal akademik. Biar orang akademik yang melakukan. Mereka orang politik, jaga sahaja kawasan dan kerusi masing-masing, serta tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Ketika Tuanku Azlan Shah menerima ijazah kehormat kedoktoran undang-undang daripada Universiti Malaya, semasa menjadi Ketua Hakim Negara kira-kira 30 tahun lalu, baginda ada bertitah bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika tidak ingat, maka seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mesti ada ada satu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. 

Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan “Negeri-Negeri Melayu Bersekutu” dan “Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu” dan “Persekutuan Tanah Melayu” masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain-lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisma Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Berdasarkan kepada hakikat itulah, maka Perlembagaan Malaysia digubal (Firdaus Abdullah, 24 & 25 Jun 2009)

Sejarah sistem kenegaraan Melayu adalah akar umbi kepada sejarah negara ini. Bermula dengan perkataan “Melayu” atau “Tanah Melayu” itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985: 85). 

Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11 barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa. Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu (Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985). Namun, kedatangan penjajah British telah merubah lanskap politik Tanah Melayu. Tanah Melayu yang dahulunya dihuni oleh orang Melayu di kepulauan Melayu telah menjadi sebuah negara berbilang bangsa. 

Menurut Milner (2009), walaupun bilangan orang Melayu di Malaysia hanya dalam lingkungan 15 juta orang, kurang dari 0.5 peratus daripada jumlah 350 juta orang yang tergolong dalam rumpun Melayu, namun telah memberikan pengiktirafan kepada bumi Melayu di negara yang bernama Malaysia:

Although Malaya (and its expanded form Malaysia) has in many ways been the ‘Malay’ success story - an experiment in nation building founded (at least in large part) on ‘Malay’ ethnic sentiment - this outcome was not inevitable.” (Milner, 2009: 151)

Milner turut merakamkan antara peristiwa yang memperlihatkan keyakinan rumpun Melayu terhadap kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) adalah;

“Some 250,000 people signed a petition to the United Nations with the aim of incorporating Pattani and other southern Muslim provinces (Yala, Narathiwat and Satun) in the emerging Malaya.” (Milner, 2009: 168).

Huraian dan analisis Milner sebahagian besarnya ditumpukan kepada Malaysia, serta dinamika politik yang berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang komposisi warganya terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik dan budaya tetapi termaktub di dalam Perlembagaan negara status agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu serta keistimewaan dan perlindungan kepada bangsa Melayu. Menurut Raja Nazrin (10 Mac 2009), Milner mengiktiraf bahawa Raja Melayu itu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu.

Sesungguhnya sejarah mencatatkan Istana Raja Melayu itu berperanan sebagai pusat berkembangnya tamadun bangsa. Istana memperlihatkan sehalus budaya - mencerminkan secantik bahasa, melindungi khazanah tamadun bangsa - menyimpan kekayaan budaya bangsa. Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Raja itu adalah lambang Kerajaan. Rakyat yang memahami ‘budaya rakyat beraja - negeri bersultan’ memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, melindungi kepentingan bangsa Melayu.

Dalam konteks bangsa Melayu di Malaysia, menurut Raja Nazrin (10 Mac 2009), elemen-elemen Melayu terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya yang berada di bawah payung naungan dan perlindungan Raja-Raja Melayu mengikut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini. Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut.

Tunku Abdul Rahman (2007) pernah mengatakan, negara ini telah diakui oleh semua kaum lain yang tinggal di sini sebagai sebuah negara yang asalnya negara Melayu. Hakikat ini akan terus diakui melainkan orang Melayu sendiri mengambil keputusan untuk menunggang terbalikkannya dan menjadikannya sebagai sebuah neraka untuk kita semua. Tidak ada sesiapapun yang membangkang usaha-usaha kerajaan untuk menolong orang Melayu kerana semua orang yang siuman insaf bahawa dari zaman berzaman orang Melayu telah terbiar dalam negara mereka sendiri.
Menurut Tunku Abdul Rahman lagi, pada tahun 1953, orang Cina melalui MCA telah menerima dan mengikhtiraf negara ini sebagai negara Melayu dan segala hak kepada orang Melayu tidak boleh dipersoalkan lagi. Tujuan Tunku meletakkan syarat ini adalah untuk menarik kesedaran pihak MCA tentang taraf orang Melayu yang sebenar, sambil menguji tentang kejujuran pemimpin-pemimpin MCA dalam perhubungannya dengan UMNO. 

Akhirnya pihak MCA telah menerima dan mengakui hakikat itu serta bersetuju rundingan tersebut berjalan atas dasar yang telah ditetapkan (Mansor et al, 2006). Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh Chandra Muzaffar dengan menyatakan, sebuah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada mereka yang berhak tanpa mengira latar belakang. Keterbukaan itu harus difahami oleh semua pihak kerana melalui proses akomodasi para pemimpin pada masa itu lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatis sebagai warganegara dan diberikan jus soli. Ini sesuatu yang luar biasa. 

Melalui proses kewarganegaraan yang dikatakan sebagai stroke of a pen ini demografi negara berubah serta-merta - hampir 40 peratus daripada warganegaranya ialah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu. Inilah sifat negara ini yang harus kita fahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Negara ini berbilang kaum dengan bahasa dan agama yang pelbagai diiktiraf dalam Perlembagaan. 

Tetapi Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem beraja. Ini adalah satu pengiktirafan terhadap sejarah sistem kenegaraan Melayu sebelum zaman penjajah dan sistem politik yang wujud sepanjang zaman. Apa yang menyedihkan saya, tidak ramai di kalangan kita memahami keadaan ini. Ketika masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan polity Melayu dan pengaruhnya kepada negara, kaum bumiputera sebaliknya harus pula memahami hakikat masyarakat berbilang kaum. Mereka juga ada hak dan cita-cita; mereka lama bermastautin, lahir dan membesar di sini. Kedua-dua pihak harus saling memahami. (Mingguan Malaysia, 28 Ogos 2005). Apakah sejarah ini perlu dipadamkan?

Malaysia juga tidak sama dengan negara-negara lain yang menjadi berbilang kaum kerana tekanan kolonialisme. Ini kerana polity Melayu itu jauh lebih kukuh sebagai sistem kenegaraan. Kerajaan Melayu Melaka dan selepas itu Johor diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ciri-ciri polity itu diterima sebagai ciri-ciri sebuah negara dan sistem pemerintahan. Ini adalah sebahagian daripada ingatan kolektif masyarakat Melayu. Perkara ini tidak difahami bukan saja oleh ahli-ahli politik malah sebahagian besar cendekiawan serta mereka yang boleh mempengaruhi pandangan umum termasuk media. 

Itu sebabnya dari masa ke masa timbul isu-isu yang menjadi kontroversi menyentuh soal bahasa, agama dan sistem pendidikan. Ini kerana tidak ada kefahaman tentang latar belakang sejarah dan polity Melayu dan pengaruhnya terhadap sistem kenegaraan Melayu. Malangnya, tidak ada usaha di kalangan pemimpin masyarakat untuk memahami perkara ini - bahawa kita masyarakat berbilang kaum yang berakar umbi dalam polity Melayu. Menurut Chandra lagi, Malaysia lebih mudah untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam konteks masyarakat berbilang kaum sekiranya memahami sejarah ini. Jika ada yang menafikannya, sengaja tidak mahu memahami, sukar untuk menjalinkan hubungan kaum yang harmonis.

Oleh kerana wujudnya polity Melayu dalam sejarah maka bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan raja-raja menjadi ketua negeri dan negara. Sejarah sebegini perlu difahami. Oleh kerana adanya polity Melayu dan sebahagian besar masyarakat Melayu dan pribumi begitu miskin dan mundur pada tahun 1957, dan dalam keadaan begitu kewarganegaraan dianugerahkan dengan begitu liberal, masyarakat Melayu dan pribumi itu memerlukan perlindungan. Itu adalah tuntutan yang sah dalam konteks pembentukan negara. Perlindungan yang dipersetujui itu adalah untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu dari segi sosioekonomi.

Frank Swettenham yang agak lama tinggal di Tanah Melayu turut mengakui negara ini adalah negara Melayu, beliau turut memuji orang Cina dengan mengatakan:

Under present conditions the Chinese are the bone and sinew of the Malay states. They are the labourers, the miners, the principal shopkepers, the capitalist, the holders of the revenue farms, the contributors to almost the whole of the revenue; we cannot do without them (Tan Teong Jin et al, 2005: vii) 

Tanpa menafikan sumbangan bukan Melayu, penggunaan perkataan “Malay states” jelas menunjukkan bahawa Swettenham mengakui bahawa Malaysia adalah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak timbul soal negara ini bukan negara warisan Melayu. Pernyataan ini turut diperkemaskan oleh Hassan Ahmad dengan mengatakan; Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu. 

Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Walaupun Perjanjian Pangkor tahun 1874 dilihat seolah-olah British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States. Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British. 

Raja Melayu tetap tidak diturunkan dari takhtanya dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’. Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu semakin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Unionnya (Hassan Ahmad, 26 Sept 2010). 

Milner (2009) mencatatkan, kerajaan-kerajaan berpaksikan Melayu itu adalah kerajaan yang mempunyai raja baik di Riau, Lingga, Deli, Siak, Langkat, Kampar dan Inderagiri di Sumatera begitu juga di negeri-negeri Kutei, Bulangan, Puntianak, Landak, Mempawah dan Sambas di Kalimantan. Di Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu diiktiraf bukan sahaja menjadi asas berkerajaan malah terlibat langsung dalam gerakan menentang Malayan Union. Demikian juga berperanan penting dalam usaha memperjuangkan dan mencapai kata sepakat menuntut kemerdekaan. Kesembilan Raja Melayu memberikan perkenan untuk ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan turut berkenan untuk dilantik salah seorang daripada baginda-baginda itu menjadi Ketua Negara secara bergilir-gilir dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Semua pandangan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak dapat lari daripada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairanlah bagi mereka yang memahami sejarah akan menghormati bukti-bukti dan seterusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan lunak, berhikmah dan begitu bertoleransi. 

Negara-negara lain tidak perlu menggunakan menonjolkan sistem kenegaraan bangsa mereka disebabkan oleh nama bangsa itu sudah mencerminkan sistem kenegaraan mereka. Nama negara sudah melambangkan identiti bangsa. Misalnya, nama Siam (Thai) menjadi Thailand. Difahamkan ada ura-ura untuk mengembalikan nama Thailand kepada Siam. Kerana perkataan Thai kurang mencerminkan keSiaman Thai. Begitu juga dengan contoh yang lain bangsa India – negara India, bangsa Cina – negara China, bangsa Arab – negara-negara Arab, bangsa Vietnam – negara Vietnam dan lain-lain negara di dunia ini semuanya berasal darisatu satu bangsa, dan nama bangsa ini dijadikan nama negara. 

Malang di Malaysia, bangsa Melayu yang dahulu menerbitkan nama Tanah Melayu, telah berubah, setelah Sabah dan Sarawak menyertai Tanah Melayu. Maka nama Tanah Melayu (Malaya Land) berubah kepada Malaysia. Nama Malaysia sudah tidak banyak melambang identiti kenegeraan Melayu berbanding nama Tanah Melayu. 

Namun, walaupun negara Tanah Melayu telah bertukar menjadi Malaysia, perlembagaan masih lagi mengekalkan ciri-ciri keMelayuan seperti agama Islam, bahasa Melayu, hak-hak istimewa Melayu, raja-raja Melayu, tanah rezab Melayu dan sebagainya. Persoalannya, sejauhmanakah ciri-ciri sistem kenegaraan Melayu ini berjalan dengan baik? Inilah soalan yang masih belum terjawab. Apakah sejarah sebegini tidak perlu difahami dan diceritakan kepada anak-anak berbilang kaum di negara kita? Adakah cukup sekadar menceritakan sumbangan dan kerjasama Melayu-Cina-India yang ada untuk membangunkan negara tercinta ini? 

Jika benar-benar kita ikhlas dalam memahamkan sejarah, jauhkan penglibatan orang politik, biarkan ilmuan dan ahli akademik yang berhujah dan menulis fakta. Keadaan hari ini menjadi kelam kabut kerana kita terlalu banyak berpolitik !

Bersatulah Melayu !!! Salam Perjuangan !!!

No comments:

Post a Comment