Pages

Thursday, March 21, 2013

Kematangan Kepimpinan Melayu




Dahulu kita sering dengar, jika BN letakkan calon tunggul kayu sekalipun pasti akan menang. Kini, tidak lagi. Jika calon tunggul kayu dipertaruhkan, akan hilanglah wang deposit. Peredaran masa telah menyebabkan rakyat sudah pandai menilai antara kaca dengan permata.

Cuma orang politik sahaja kadang kala tidak pernah sedar. Mahu terus bertanding atau kekal menjadi wakil rakyat sampai mati. Faktor usia yang semakin meningkat dan tenaga semakin merosot, tidak diambil kira. Bila bertanding, menang, tidak lama selepas menjadi wakil rakyat, dia pun mati. Maka berlakulah pilihan raya kecil. Wang habis lagi. Bukankah merugikan.

Tetapi, tidak kepada rakyat. Rakyat gembira, kerana dengan adanya pilihan raya kecil, mereka akan dapat jalan baharu dan lain-lain kemudahan. Pendek kata, semakin banyak pilihan raya kecil, makin berubahlah keadaan dan prasana sesebuah kawasan terlibat. Inilah budaya politik kita. Keadaan akan berubah apabila ada pilihan raya. Jika tidak, puas menjerit baru ada perubahan. Calon yang bertanding pula akan terhegeh-hegeh, tersengih-sengih dan senyum selalu untuk meraikan undi. Sebelum itu, batang hidungpun tidak nampak.

Kadangkala ada juga logiknya orang berkata, ada kalangan rakyat berdoa agar wakil rakyatnya mati cepat. Bila mati, ada pilihan raya kecil, ketika itu berpusu-pusu peruntukan dan berbagai kemudahan masuk. Bukankah bantuan terhadap rakyat dan kawasan tidak kenal musim?

Namun, lawak jenaka ini tidak menginsafkan mereka yang mahu menjadi wakil rakyat. Semua terus berebut-rebut mahu jadi wakil rakyat. Wakil rakyat ada kuasa, apatah lagi jika ada jawatan dalam kerajaan. Pendek kata, mereka ingin terus jadi wakil rakyat, walaupun mereka tahu rakyat doakan cepat mati, tetapi dia tetap tidak mahu mati. Mereka mahu mati di atas takhta.

Paling tidak pun jika sudah tidak dapat bertahan lagi, dia akan memastikan kepada ahli keluarga, kroni dan kerabat naik menggantikannya. Jika kepimpinan tertinggi memutuskan ada calon yang lebih lanyak, jawapannya, boikot. Akhirnya calon tersebut kalah. Kejadian ini sudah banyak kali berlaku.

Begitulah takutnya seseorang itu akan kehilangan kuasa. Takut tidak dipedulikan. Duduk di masjid tiada yang menyapa. Inilah akibat apabila berkuasa tidak tinggalkan jasa, terutama kepada agama, bangsa dan negara. Pendek kata, kuasa itu bukan segala-galanya.

Sebab itu, saya cukup menghormati wakil rakyat yang sanggup mengundurkan diri bila tiba masanya. Dia tahu jawatan itu amanah. Jawatan ada perkiraan dosa dan pahala, dunia dan akhirat. Inilah baru namanya wakil rakyat. Tahu, ketika diperlukan. Sedar diri, bila tidak berkemampuan. Keadaan biasa dilihat pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Ada yang menawarkan diri, tetapi ditolak, kerana Rasulullah SAW tahu siapa yang lebih layak. Hari ini, sudahlah tidak layak, cari jalan untuk jadi layak. Jika tidak berjaya. Boikot.

Sepatutnya, kita memberi laluan kepada orang lain yang berwibawa. Persoalan timbul, apabila calon yang muda dan berwibawa tidak mendapat sokongan akar umbi. Mereka bukan ketua bahagian, mahupun cawangan. Pencalonan mahupun kemenangan mereka akan menimbulkan masalah kerana, ketua bahagian atau cawangan tidak akan memberikan laluan. Kedudukannya terawang-awang. Inilah dilemma yang dihadapi oleh sesetengah wakil rakyat. Mempunyai kedudukan dan kuasa dalam kerajaan, tetapi tidak mempunyai jawatan di peringkat akar umbi. Menang pun tiada erti. Hidup dalam dilema.

Lebih serius lagi, mutakhir ini, seringkali kedengaran ugutan untuk tidak mengundi parti-parti tertentu dalam PRU 13 jika tuntutan dan desakan mereka tidak dituruti atau dipenuhi. Semua mahu jadi calon, tidak kira dirinya kuat atau tidak. Yang penting mesti bertanding. Kuota yang sedia ada mesti dipenuhi. Kalau boleh ditambah lagi. Sehingga ke peringkat jawatan dalam kabinet.

Sampai bilakah kita boleh sampai ke tahap kematangan dalam berpolitik? Sepatutnya yang dibincangkan adalah soal strategi, ciri-ciri calon yang boleh menang dalam PRU 13, bertangungjawab, ada agenda agama, bangsa dan negara. Boleh menjadi contoh kepada orang lain atau rakyat. Mempunyai latar belakang dan keluarga yang baik-baik. Bukan sekadar memenuhi kuota. Apa guna kuota, jika kalah pilihan raya.

Justeru, menjelang PRU 13 akan datang, penegasan perlu segera dilakukan. Mereka yang menjadi parasit hendaklah digugurkan. Patuhi arahan ketua atau risikan. Ingatlah jawatan itu adalah amanah, bukan untuk keselesaan atau mengumpul harta. Sekarang bukan masa untuk boikot atau membalas dendam.

Selain itu, kawasan yang menjadi majoriti sesuatu kaum hendaklah diwakili oleh kaum tersebut. Jika tidak ada majoriti, maka fikirkanlah cara lain untuk mewakilinya. Bukan apa, kadangkala kita terlampau baik dan bertolak ansur. Meletakkan calon bangsa minoriti di kawasan bangsa majoriti. Pembangkang membaca strategi tersebut, mereka meletakkan calon bangsa majoriti di kawasan bangsa majoriti. Akhirnya, mereka menang. Bukan tidak boleh, tetapi jangan terlalu kerap.

Kesimpulan, apapun yang kita lakukan, ingatlah di situ ada perkiraan dosa pahala, kebahagiaan dunia dan akhirat, kerana menjadi wakil itu adalah amanah.


Salam Perjuangan !!!

Bersatulah Melayu !!!

No comments:

Post a Comment