Sunday, October 30, 2011

Di Manakah Letak Bahasa Ibunda ?

Di Manakah Letak Bahasa Ibunda ?










Tidak ramai yang mahu menerima hakikat bahawa sekolah vernakular menjadi punca kepada kelemahan penguasaan bahasa kebangsaan dan masalah interaksi antara kaum dalam mencapai matlamat perpaduan nasional. Sehinggalah kajian terbaharu tahun lalu, membabitkan 159 sekolah di seluruh negara, oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), mendapati ramai pelajar dari sekolah-sekolah terbabit tidak faham sama ada Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kebangsaan dan menjadi dewasa.

Kajian sebelum ini, turut membuktikan perkara yang sama. Pada tahun 1993, lebih 61 peratus pelajar sekolah vernakular tidak mencapai tahap minima penguasaan bahasa Melayu. Perkara ini terus disenyapkan. Tidak seperti isu 1Melayu 1Bumi. Bila terkena pada batang hidung sendiri mereka diam, tetapi bila kena pada orang lain, heboh 1Malaysia. Kajian sebegini sememangnya amat tidak disenangi oleh parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perkauman yang ultra kiasu. Komen-komen dalam Malaysianinsider terus menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kenapa UMNO dan BN dimangsakan dalam isu ini? 

Selama inipun, kerajaan seolah-olah langsung tidak boleh menyentuh sekolah vernakular, walaupun sebahagian besar bantuan diberikan? Setiap kali penambahbaikan dibuat untuk memperkasa bahasa Melayu, akan ditentang habis-habisan. Ternyata, mereka memandang rendah kepada bahasa kebangsaan. Jika pandaipun bahasa Melayu boleh pergi ke mana? Lebih baik menguasai bahasa ibunda atau bahasa Inggeris! Ada juga faedahnya. Mereka tidak fikir langsung soal membina negara. Dalam kepala otak mereka adalah untuk mengekalkan warisan bangsa dan membina kekayaan. Persoalannya, boleh kita bekerja dengan aman, jika negara tidak stabil atau saling bercakaran? 

Sudah berbuih-buih mulut saya bercakap dan lenguh tangan menulis. Tetapi setiap kali saya bangkitkan maka melompatlah kumpulan ultra kiasu? Adakah ini bukan bermakna mempertahankan 1Cina 1Bumi? Jangan terlalu menuding jari, takut memakan diri. 

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Semua sedia maklum bahawa bahasa ibunda adalah bahasa rasmi sekolah vernakular dan diajar dan pertuturkan hampir 24 jam, jika tidak tidur. Manakala bahasa kebangsaan hanya diajar lebih kurang 3 kali seminggu dalam jangka masa 40 minit setiap waktu. Begitu juga dengan bahasa Inggeris. Dengan makna, bahasa kebangsaan ini hanya ‘digunakan’ 2 jam daripada 5 hari persekolahan daripada 120 jam yang ada. Jika dicampur hari cuti Sabtu Ahad, bermakna bahasa kebangsaan hanya digunakan tidak sampai satu peratus seminggu dari 168 jam. Adakah ini wajar bahasa Melayu ‘dilayan’ sedemikian rupa dalam sebuah negara yang mendaulatkannya (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan)?

Dengan scenario sebegini, bayangkanlah apakah bahasa kebangsaan boleh dikuasai? Nampaknya agenda membina negara masih terlalu jauh untuk dicapai walaupun telah lebih 53 tahun kita merdeka. Persekitaran dan sosialisasi politik hidup rakyat negara ini amat berbau perkauman sehingga membantutkan pengamalan dan penghayatan agenda besar negara. Akibatnya, agenda bangsa semakin besar dan besar kepala, manakala agenda negara menuju kepada kepupusan. 

Sebenarnya kita tidak ada pilihan dalam membina negara? Jika tidak dipaksakan dan diwajibkan agenda negara ini dihayati, sampai kiamatpun kita akan menghadapi masalah yang sama. Jika saban hari berinteraksi dengan orang sama, bahasa yang sama, sekolah yang sama dan budaya yang sama, media yang sama, di manakah titik pertemuan dan persamaan untuk dicari dalam masyarakat berbilang kaum? Bagaimanakah anak-anak ini boleh mengutamakan agenda negara? Maka tidak hairanlah jika mereka gagal. Kita sengaja menggagalkan mereka. Kita sudah bentuk mereka menjadi ultra kiasu sejak kecil. 

Selaku Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, di salah sebuah sekolah menengah yang majoriti pelajarnya datang dari sekolah vernakular di Ampang, masalah ini begitu ketara. Pelajar kelas peralihan, langsung tidak tahu bahasa Melayu mudah. Situasi sebegini tidak banyak bezanya apabila mereka bergerak ke tingkatan 1-5. Janganlah kita sangka bahawa mereka yang tidak berada di kelas peralihan bermakna bahasa Melayu mereka sudah baik!

Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan baru-baru ini di sekolah saya sebutkan tadi, majoriti pelajar Cina gagal bahasa Melayu. Peratusan kelulusan SPM 2010 turun menjunam sebanyak 10 peratus. Semuanya gara-gara pelajar-pelajar bukan Melayu gagal dalam bahasa Melayu. Apabila keputusan SPM tidak meningkat, sekolah, pengetua, guru-guru dan PIBG disalahkan? Apakah tindakan ini wajar?

Bila ditanya guru sekolah vernakular, mereka menyalahkan guru sekolah menengah kerana tidak pandai mengajar bahasa Melayu. Persoalan saya, apakah yang yang kita lakukan untuk memandaikan mereka dengan bahasa Melayu ketika anak-anak itu masih rebung? Kita teramat sedih mendengar, kerajaan memperuntukan berbilion ringgit untuk penambaikan pengajaran bahasa Inggeris. Terkini, lebih 10,000 guru akan dilatih untuk memandaikan anak bangsa berbahasa Inggeris. Persoalan saya, bagaimana dengan bahasa kebangsaan? Berapa pula peruntukan yang disediakan? Berapa ramai pakar disediakan? 

Benar, bahasa Inggeris penting untuk kemajuan, bahasa Melayu pula bagaimana? Manakah lebih penting antara agenda kemajuan dan agenda perpaduan (negara)? Tidak ketinggalan agenda patriotisme? Apakah negara akan maju jika rakyatnya tidak ada semangat sayangkan bumi tercinta ini? Kemajuan seperti ini tidak akan kekal lama.

Saya sudah letih memperkatakan perkara yang sama setiap kali. Bila tulisan ini disiarkan, saya akan dihina, dikecam dan dikeji. Sedangkan kita tidak pernah serius. Kita hanya mahu menjaga hati orang atau menjaga undi. Apabila NGO-NGO atau parti politik menyerang, kitapun menjadi kelam kabut. Akhirnya kita mengalah, mengalah dan mengalah, seterusnya kalah. Masalah terus menjadi masalah sehinggalah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Jika tidak percaya, berkunjunglah ke Kolej New Era, Universiti Terbuka Wawasan dan Universiti Tunku Abdul Rahman. Operasinya langsung tidak ada bezanya dengan sekolah vernakular, malah lebih teruk lagi. Universiti Merdeka telah wujud sebenarnya, dengan nama berbeza walaupun kerajaan telah bertindak mengharamkannya. 

Tidak cukup dengan itu, mereka masih tergamak terus menekan kerajaan supaya memberi layanan sama rata dan sama sama kepada semua sekolah vernakular, mengikhtiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan banyak lagi. Pendek kata, selagi ada sekolah vernakular, tanpa dilakukan penambaikan secara tegas, selagi itulah terlalu sukar untuk kita mencapai perpaduan dan matlamat membina negara. Tunggu dan lihat akibatnya.

Cara Memilih Rakan Di Anjurkan Islam


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul.[1]
“Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).[2]” [ Surah Al – Mumtahanah : Ayat 1 – 2 ]
Di atas diberikan firman Allah SWT mengenai cara-cara dan adab-adab bagi umat Islam untuk memilih rakan. Dan firman Allah SWT itu juga dikuatkan dengan sabda Rasulullah SAW seperti yang berikut:
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
Demikianlah digambarkan betapa Islam menganjurkan umatnya agar bukan saja perlu memilih untuk menjalinkan persahabatan dengan seseorang, malah umat Islam juga perlu bijak untuk memilih rakan-rakan mereka.
Namun, agak memeranjatkan apabila seorang yang dikatakan warak, cukup Islamik dan dinobatkan sebagai “pemimpin anugerah Tuhan” memilih Yahudi sebagai teman-teman baiknya.  Persoalannya, mengapa memilih Amerika Syarikat sedangkan sekalian dunia tahu bahawa negara “Uncle Sam” itu merupakan sebuah negara”proksi Yahudi”.
Sedangkan boleh memilih untuk tinggal di Arab Saudi, Turki atau mana-mana negara Islam yang dikatakan menjadi sahabatnya. Misalnya, sekiranya Anwar memilih Arab Saudi untuk menjadi tempat tinggal dahulu, sekurang-kurannya dia boleh beberapakali menunaikan haji, umrah dan menziarahi Rasulullah SAW di maqam Baginda. Dan Anwar juga boleh rapat dengan ramai cendekiawan dan ulama Islam tersohor di sana, bukan?
Saya difahamkan bahawa baru-baru ini berlepas ke luar negara untuk bertemu dengan AlGore, salah seorang sahabatnya yang memperjuangkan Lesbian, Gay, Transgender dan Bi-Seksual (LGBT). Dengan orang sebegitukah jadikan sahabat? Padanlah video skandal Anwar bersepah-sepah di seluruh dunia!
Antara yang dipilih untuk menjadi rakan karib dan rujukannya ialah Paul Woltfowitz, George Soros, Howard Berman dan ramai lagi. Mengapa memilih golongan Yahudi yang terkenal dengan kezaliman mereka terhadap umat Islam sebagai sahabat?
Kini dipercayai sudah dibawah telunjuk mereka. Salah satu buktinya ialah tindakan yang menyokong perjanjian berat sebelah, The Annapolis Summit, tajaan US berhubung pertelingkahan Palestin-Israel. Mengapa sokong perjanjian tersebut sedangkan seluruh negara Islam timur tengah, Hamas, Fatah, malah semua negara Islam membantah? 
pejuangmelaka - Renungkan diri kita dan Ingatlah orang menilai kita melalui sahabat kita.. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Salam Perjuangan !

Tolong Hormati Sultan !









pejuangmelaka - Tolong Hormati Sultan. Jika ingin memberi pandangan biarlah dengan cara berhikmah. Bayangkan jika anak kamu memaki kamu sebagai seorang ayah di hadapan kamu dengan kenyataan biadap dan hinaan. Melayu penuh dengan adat dan kesopanan. 
 Ya ALLAH berilah petunjuk pada mereka yang menghina Ketua Agama kami..


Salam Perjuangan !

Penemuan Kota Kaum A'ad Buktikan Mukjizat AlQuran



Satu ketika dahulu, ramai ragu-ragu tentang kewujudan kaum A’ad seperti yang termaktub dalam al-Quran. Ketika ayat mengenai kehancuran kaum A’ad diturunkan, ramai terkejut dengan kedashyatan azab Allah terhadap kaum nabi Hud as tersebut. Namun, rata-rata umat Islam ketika itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kaum yang disebut Allah swt sebagai kaum A’ad tersebut.

Bergitu juga apa yang dialami oleh kaum Yahudi yang menetap bersama-sama umat Islam di Madinah. Mereka mendengar desas-desus turunnya ayat tentang kaum A’ad tersebut. Dalam kitab suci mereka iaitu Taurat tidak langsung menceritakan kemusnahan kaum A’ad sedangkan kaum-kaum lain seperti kaum Lut as, kaum Nuh as dan sebagainya diceritakan dengan terperinci dalam kitab mereka. Berikutan itu, kaum Yahudi terus menyebarkan fitnah bahawa kaum A’ad sebenarnya tidak pernah wujud dan apa yang diberitakan dalam al-Quranul karim hanyalah omongan kosong yang langsung tidak berfakta.

Ternyata orang Yahudi silap

Tahun berganti tahun, abad berganti abad. Ramai orientalis mula datang ke tanah arab untuk mengkaji dan menyelidik kitab suci al-Quran, syair-syair dan cerita penglipur lara popular di tanah arab. Antara orientalis paling popular yang pernah datang ke tanah arab adalah T. E. Lawrence atau lebih dikenali dengan Lawrence of Arabia.

Lawrence of Arabia


Lawrence of Arabia a.k.a T. E. Lawrence.

Kepada yang belum mengenali siapakah Lawrence of Arabia, beliau adalah orientalis yang bertanggungjawab menghasut pemimpin tanah arab untuk memberontak kepada kerajaan Turki Othmaniyyah sekitar tahun 1916-1918. Disebabkan hasutan dan dokongan daripada Lawrence of Arabia tersebut, tanah arab akhirnya bebas daripada menjadi jajahan Turki Othmaniyyah dan King Saud diangkat menjadi pemimpin besar tanah Arab. Kerajaan baru yang ditubuhkan dikenali sebagai Arab Saudi. Dan kerajaan Arab Saudi kekal memerintah tanah Arab sehingga ke hari ini. Lawrence of Arabia yang juga seorang Leftenan Kolonel tentera Diraja Britain meninggal dunia pada 19 Mei 1935 akibat kemalangan jalan raya. Ketika itu beliau berumur 45 tahun.

‘Jasa’ Lawrence of Arabia

Miskipun Lawrence of Arabia boleh dikatakan musuh di dalam selimut kepada umat Islam, namun jasanya kepada penemuan kota Iram yang dikatakan sebagai kota kaum A’ad tidak boleh disangkal. Beliau adalah insan pertama daripada Eropah yang sangat berminat dengan ‘Lost City’ Iram. Beliau yang hidup dengan cara orang Badwi dan kemampuannya berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan fasih membuatkan cerita mengenai kemusnahan tamadun kaum A’ad mudah sampai ke telinganya.


Kota Iram yang dirakam oleh satelit NASA.

Kerana sangat berminat dengan kisah kaum A’ad dan kotanya yang memiliki tiang-tiang yang besar, Lawrence of Arabia telah mengelarnya dengan gelaran ‘Atlantis of the Sands’. Seperti kota Atlantis, kota Iram juga kelihatan mustahil untuk ditemui. Lawrence of Arabia juga tidak yakin apakah kota tersebut benar-benar wujud. Baginya, ia sekadar cerita dogeng yang terkandung dalam al-Quran.

Atlantis of the Sands

Sebenarnya, apa yang ditulis oleh Lawrence of Arabia mengenai kota Iram yang digelar beliau sebagai ‘the Atlantis of the Sands’ telah menarik minat beberapa ahli arkeologi daripada Eropah kemudian harinya. Mereka adalah Nicholas Clapp, George Hedges, Dr. Juris Zarins dan Ranulph Fiennes.

Pada akhir tahun 80-an dan awal 90-an, keempat-empat individu ini telah berusaha untuk mencari satu tamadun yang musnah sepertimana yang disifatkan dalam al-Quran. Rujukan utama keempat-empat mereka adalah berdasarkan al-Quranul karim dan cerita-cerita lisan daripada masyarakat Badwi.


Gambaran penulis mengenai kota Iram

Dr. Zarins yang bertindak sebagai ketua arkeologi dalam pencarian tersebut telah bersama-sama Nicholas Clapp dan George Hedges meminta NASA merakamkan gambar sekitar tempat yang dimaksudkan mempunyai potensi untuk dikaitkan dengan kota purba Iram yang telah musnah. Gambar tersebut telah dirakamkan menggunakan satelit NASA, SPOT(Satellite Pour I’Observation de la Terre). Rakaman tersebut mengejutkan mereka apabila ia jelas memaparkan laluan unta dan sebuah runtuhan kota purba yang kelihatan mengelilingi sebuah ‘runtuhan’ oasis.

Namun laluan perdagangan dan runtuhan kota purba tersebut tidak mampu dilihat jelas pada mata kasar. Imej tersebut telah dirakamkan di Rub’al Khali, Oman yang terletak di selatan Semenanjung Arab.


Sebuah runtuhan oasis

Pada 1992, eskavasi telah dimulakan. Daripada hasil penemuan arkeologi, mereka bersepakat bahawa ia adalah kota Iram yang musnah seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran berdasarkan pentarikhan karbon menyatakan ia dibina sekitar 6,000 tahun sebelum masihi. Menurut mereka lagi, kota yang ditemui itu adalah salah satu kota yang dimiliki oleh kaum A’ad dan banyak lagi yang tenggelam dalam ‘lautan’ pasir.

Keajaiban al-Quran

Terdapat beberapa persamaan hasil penemuan arkeologi dengan ayat-ayat Allah swt yang menceritakan kisah kaum A’ad dan nabi Hud as. Antaranya adalah berkenaan dengan pembinaan tiang-tiang yang sangat tinggi yang mana tidak pernah dibina oleh sesiapa pun sebelumnya.


Di sekitar runtuhan kota Iram.

1. Tiang-tiang tinggi

Dalam al-Quran ada menyebut tentang kota Iram yang disifatkan mempunyai tiang-tiang yang tinggi,

6. Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ’Aad? 7. (iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi 8. yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain, Surah al-Fajr ayat 6-8

Firman Allah swt telah dapat dibuktikan melalui hasil penemuan arkeologi pada 1992. Clapp yakin bahawa yang kota purba yang ditemui adalah Iram berdasarkan kepada tapak-tapak tiang yang berbentuk segiempat sama. Dipercayai bahawa tiang-tiang yang dibina adalah 7 batang kesemuanya.

2. Membina Benteng-benteng

Kaum A’ad juga diriwayatkan membina benteng-benteng. Ia diceritakan Allah dalam surah as-Syu’araa’ ayat 128 sehingga 130.

128. Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main.

129. dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)? 

130. Dan apabila kamu menyeksa, maka kamu menyeksa sebagai orang- orang kejam dan bengis. Surah as-Syu’araa’ ayat 128-130 

Sepertimana perihal tiang-tiang yang tinggi yang dibina oleh kaum A’ad, mereka juga turut membina benteng yang dianggarkan mempunyai tinggi lebih daripada 2 meter. Jika mengikut rekod arkeologi, tiada tamadun sekitar 6,000BC telah membina tembok atau benteng seperti yang dibina oleh kaum A’ad. Ia bertepatan dengan apa yang Allah swt bicarakan dalam Surah al-Fajr ayat 8.

3. Terdapat kebun-kebun dan mata air

133. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak,134. dan kebun-kebun dan mata air, Surah as-Syu’araa’ ayat 133-134

Mengenai perihal kebun-kebun dan mata air, ia dapat dibukti melalui penemuan oasis di tengah-tengah kota Iram. Penemuan oasis merupakan titik pertama sebelum penemuan Kota purba Iram. Mata air merupakan sumber utama kepada kemajuan kota Iram satu ketika dahulu. Kaum A’ad dikatakan mencari nafkah dengan mengembala binatang ternak dan juga berdagang. Oasis milik kaum A’ad masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini. 


Air daripada runtuhan oasis masih lagi boleh digunakan.

4. Dimusnahkan oleh angin kencang 

41. Dan juga pada (kisah) Aad ketika Kami kirimkan kepada mereka angin yang membinasakan,42. angin itu tidak membiarkan satupun yang dilaluinya, melainkan dijadikannya seperti serbuk.
Surah adz-Dzaariyaat ayat 41-42 

Dalam ayat Allah dalam surah adz-Dzaariyaat ini, angin kencang telah membinasa kaum A’ad yang sombong. Angin tersebut telah membinasakan seluruh masyarakat A’ad yang kufur terhadap Allah swt. Hasil arkeologi membuktikan bahawa runtuhan kota Iram bagaikan serbuk dan ia bertepatan benar dengan apa yang dimaksudkan Allah swt dalam ayat 42 surah adz-Dzaariyaat.

Penutup

Bagi ahli arkeologi, miskipun runtuhan tersebut sangat dashyat sehingga sukar untuk dilihat dengan mata kasar, ia bagaimanapun masih lagi mempunyai nilai yang sangat bermakna kerana dalam sudut yang lebih besar ia membukti al-Quran merupakan kalam Allah yang penuh mukjizat.

Kota yang dikatakan mustahil untuk ditemui ini akhir telah ditemui oleh seorang ahli arkeologi bukan muslim dan sepertimana yang diberitahu sebelum ini, rujukan utama mereka adalah al-Quran. Pembaca semua, ingatlah ayat Allah azza wa jalla ini,

Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. Surah Yusuf ayat 111