Islam agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. menganjurkan nilai-nilai murni dan luhur. Ia digambarkan melalui keperibadian Rasulullah yang memiliki akhlak yang mulia, bersifat sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk. Ciri-ciri yang dimiliki oleh Rasulullah ini telah menyumbangkan keamanan dan memberi rahmat kepada alam sejagat seperti yang digambarkan dalam firman Allah S.W.T.yang bermaksud:
Tidaklah Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam.
(al-Anbia’ : 107)
Keamanan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dibuktikan apabila kita melihat masyarakat Arab Jahiliyyah yang sebelum ini hidup dalam bermusuhan tampil membina tamadun Insaniah yang sungguh mengkagumkan. Kehebatan dan kemasyhuran bangsa Arab ini kemudiannya tersebar di bawah panji Islam ke kawasan-kawasan lain di muka bumi ini. Ketika bumi Eropah masih hidup dalam zaman kegelapan bangsa Arab telah mencipta tamadun yang meliputi pelbagai bidang seperti astronomi, ilmu sains, perubatan, ekonomi dan sebagainya.
Rahsia di sebalik kejayaan ini adalah keamanan yang dibawa oleh Islam dan pejuangnya sehingga Islam menjadi satu agama yang dikagumi dan disegani.
Tercemar
Walau bagaimanapun kejayaan yang dibawa oleh Islam berdekat dahulu kelihatan agak tercemar. Ia dicemari oleh sikap umat Islam sendiri yang mengabaikan ciri-ciri keperibadian yang dibawa oleh Rasulullah. Keselamatan dan keamanan semakin sukar diwujudkan oleh sikap segelintir umat Islam masa kini. Tindak-tanduk kebanyakan mereka lebih menunjukkan kecenderungan untuk bermusuh-musuhan, tiada toleransi, tidak berlapang dada serta terburu-buru membuat keputusan.
Jika ada umat Islam yang menyeru ke arah perpaduan ia akan dituduh berkepentingan politik. Hasilnya apa sahaja langkah yang diwujudkan untuk perpaduan sering dipandang remeh dan persenda-sendakan. Dengan itu muncullah dewasa ini golongan yang kurang berhikmah dalam melaksanakan beberapa pendekatan untuk kepentingan umat Islam. Sebagai contoh, jihad bagi mereka adalah menghalalkan darah sesama umat Islam yang tidak sealiran denganu7u mereka. Sedangkan jihad menurut yang difahami oleh Islam mempunyai kepelbagaian sudut dan tujuan, mengikut suasana dan keperluan semasa.
Justeru keamanan dan keselamatan yang bagaimanakah akan kita harapkan jika golongan berfahaman begini mendominasi masyarakat kita pada suatu masa nanti. Apa yang pasti perkataan Islam yang bererti “selamat” tidak lagi bererti selamat sebaliknya akan menyumbangkan kemusnahan hasil daripada fahaman sempit yang dibawa oleh umat Islam sendiri.
Maka kita sebagai umat Islam yang masih dapat menilai “antara kaca dengan permata” tentu tidak mahu melihat keadaan ini wujud. Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah diselewengkankan yang hasilnya umatnya akan dihina dan lebih malang lagi agama Islam akan dipinggirkan daripada arus globalisasi dunia. Sedangkan umat Islamlah yang sepatutnya menjadi juara keamanan dan kemakmuran.
Lihatlah di Bosnia, Kasymir, Palestin malah di negara jira kita sendiri; keamanan dan kesejahteraan yang sepatutnya mereka miliki telah tergugat. Puncanya seperti yang telah kita nyatakan lebih banyak disebabkan nilai-nilai murni yang ditanam oleh Rasulullah telah mula diabaikan. Perpecahan sesama sendiri adalah salah satu puncanya. Jika mereka cuba untuk bersatu namun kesatuan yang mereka wujudkan lebih menjurus kepada kepentingan diri.
Dalam bersatu mereka juga bertelagah. Dalam mewujudkan lebih banyak jamaah mereka juga mewujudkan lebih banyak perpecahan. Masing-masing puak berjuang untuk kepentingan puak mereka. Maka tujuan utama mereka untuk menjamin kesejahteraan umat Islam keseluruhannya sering dikaburi dengan slogan demi slogan lalu umat Islam terus dihimpit dan tertekan lantaran slogan mereka lebih menjurus kepada perpecahan.
Pertelagahan yang berlaku sesama umat Islam turut mengundang musuh-musuh Islam untuk mengambil kesempatan “menangguk di air keruh”. Islam (agama yang semestinya dilihat mengajak kepada keamanan) dilihat di kacamata musuh sebagai agama yang membawa kepada kemunduran, dan kerosakan dan perpecahan. Justeru melalui perpecahan yang ada pada umat Islam lalu diambil kesempatan oleh musuh untuk menikam secara berdepan. Demikianlah perkiraan dan perancangan mereka.
Islam Agama Keselamatan dan Keamanan
Islam adalah agama pembawa kesejahteraan. Untuk itu sekali lagi ditegaskan ia tidak boleh dilihat sebagai agama yang mencetuskan keganasan atau memporak-perandakan kehidupan manusia.
Rasulullah ketika menyelesaikan masalah masyarakat Islam pada zamannya sentiasa menjuruskan kepada keamanan dan kesejahteraan. Demikian juga yang baginda lakukan ketika berhadapan musuh-musuh baginda.
Tindakan baginda dalam berdakwah umpamanya, baginda tidak mendahulukan menghukum daripada mendidik. Baginda sentiasa mengajar para sahabatnya bahawa mendidik lebih utama daripada menghukum. Jika sahabat mendahulukan herdikan kepada Arab Baduwi yang kencing di dalam masjid maka Rasulullah bertindak sebaliknya. Sikap lemah lembut Rasulullah menggambarkan sikap rahmat yang dibawa oleh Rasulullah. Sikap rahmat ini kita lihat telah menjuruskan kepada wujudnya perasaan kasih sayang kepada para sahabat baginda. Kekecohan dan “hingar-bingar” bukanlah sifat Rasulullah s.a.w.. Maka dengan itu Islam dapat dilihat sebagai agama yang membawa kepada keamanan dalam diri dan kehidupan para sahabat baginda masa itu.
Adakah terdapat contoh lain yang lebih baik daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.. Kita melihat apa yang dibawa oleh Rasulullah masih wujud masa kini. Namun ancaman, tuduhan dan ugutan semakin mengambil tempat daripada mengutamakan mendidik dan menasihati di bibir umat Islam masa ini. Jika inilah sikap kebanyakan generasi Islam maka bagaimanakah keselamatan dan keamanan dapat diwujudkan di dada umat Islam masa kini. Apatah lagi kepada orang yang tidak beragama Islam.
Sebut sahaja perkataan Islam apa yang digambarkan oleh bukan Islam adalah wajah-wajah militan, tiada toleran dan kemunduran di sana sini. Warna-warna inilah yang mewarnai segelintir masyarakat Islam masa kini walhal Islam yang dibawa oleh Rasulullah adalah agama untuk kesejahteraan, kedamaian dan keselamatan. Mungkin mereka ada alasan lain untuk mempertahankan tindakan sebegitu namun soalnya adakah tindakan begini yang menjadi keutamaan Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan dakwahnya ke seluruh alam.
Rasa Takut
Sudah sampailah masanya Islam perlu dilihat sebagai agama yang membawa keselamatan dan keamanan kepada umat manusia seperti apa yang dilakukan oleh Rasululah s.a.w.. Rasa bimbang di dada umat Islam apatah di mata musuh Islam perlu dibaiki. Mesej dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. bersandarkan keamanan dan keselamatan perlu diguna dan dibangunkan semula oleh umat Islam kini.
Apabila mesyuarah menjadi keutamaan baginda, maka itulah juga yang sepatutnya menjadi keutamaan umat Islam masa kini. Jika Rasulullah s.a.w. dapat bertolak ansur dengan kaum musyrikin dalam Perjanjian Hudaibiah apakah kita tidak boleh mengamalkan sikap demikian? Sayangnya ketika mencari perpaduan sesama umat Islam masa kini, kita melihat ada golongan Islam yang lebih mengutamakan syarat daripada kesatuan dan kesejahteraan umat.
Perlu ditegaskan lagi bahawa Rasulullah s.a.w. hendaklah dijadikan contoh. Kebijaksanaan yang dipamerkan oleh Rasulullah perlu diikuti lebih-lebih lagi oleh mereka yang menganggap diri mereka sebagai ulama. Kita juga perlu mencontohi keamanan dan kesejahteraan yang menjadi strategi Rasulullah s.a.w. dalam meningkatkan dakwah di kalangan mereka yang bukan Islam. Serentak itu Rasulullah s.a.w. berjaya menjadi model lantaran mempamerkan kepada musuh baginda bahawa Islam mementingkan kesejahteraan bukannya permusuhan.
Menyumbang
Kini negara kita sedang bergelut dengan kemelesetan ekonomi. Sebagai umat yang mahu menjadikan dirinya contoh dan inginkan Islam dilihat sebagai agama pembawa keamanan, kita perlu menyumbangkan sesuatu yang baik kepada keharmonian rakyat di negara ini.
Kemelesetan ekonomi akan mengundang pelbagai kemungkinan dalam kehidupan masyarakat. Kegelisahan kemurungan dan ketidak stabilan politik boleh wujud pada bila-bila masa seperti apa yang terjadi kepada beberapa negara jiran. Di sinilah letaknya peranan kita untuk mempamerkan kemurnian ajaran Islam. Dengan itu umat Islam di negara ini perlu memperlihatkan sikapnya menghargai keamanan. Ini kerana keamanan adalah elemen yang sangat penting untuk kita menebus maruah negara yang “mungkin” tergadai. Apatalah lagi jika pucuk pimpinannya dipegang oleh orang Islam. Jika kepimpinannya tumbang maka tidak mustahil martabat Islam yang kita letakkan di tempat yang tinggi negara ini akan turut goyang.
Inilah yang perlu kita elakkan dan jika ia berlaku juga “dunia” akan mencaci kita. Mereka akan mengaitkan kegagalan kepimpinan Islam dengan agama Islam yang kita bawa. Maka sudah tentu kita tidak mahu mereka menyamakan negara ini sama dengan negara Islam lain yang rata-rata mundur lantaran kegagalan pemimpinnya menguasai ekonomi negara.
Belum Terlambat
Kita masih belum terlambat. Agama Islam yang cemerlang perlu lebih dicemerlangkan lagi melalui tindak-tanduk umatnya. Islam agama yang mementingkan keselamatan perlu ditonjolkan oleh umatnya melalui tuturkata dan tingkah laku yang berhemat. Kata-kata memaki, mengancam dan menghina sesama Islam perlu dihentikan kerana ia tidak menggambarkan keselamatan dan keamanan yang dibawa oleh Islam.
Orang yang masih melakukan perbuatan demikian samalah seperti orang yang menganjurkan permusuhan dalam kehidupan umat. Orang yang menganjurkan permusuhan diibaratkan orang yang berdiri di tepi jurang neraka yang hanya menunggu saat kehancurannya.
Justeru itu Islam melihat penganjur keamanan sebagai faktor yang akan menyelamatkannya daripada dihumban ke dalam api neraka. Sesiapa juga perlu menyedari betapa pentingnya keamanan dan keselamatan dipelihara. Malah, bukan hanya sekadar sedar tetapi hendaklah dengan penuh iltizam memeliharanya. Memelihara keselamatan dan kesejahteraan di dunia berkait rapat juga dengan memelihara keamanan dan kesejahteraan kehidupan kita di akhirat nanti
No comments:
Post a Comment