(Perutusan Maal-Hijrah PACE: 64 tahun berjuang dan semakin menjana kekuatan - pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang menurap jalan bagi pembentukan Israel)
Lahirnya negara haram Israel di atas bumi Palestin ialah pada tahun 1367, bersamaan tahun 1948 menurut takwim Gregorian. Hari Jumaat 18 Disember 2009 merupakan tahun baru 1431 Hijri menurut takwim Islam. Setelah 64 tahun Palestin masih dijajah dengan tiada tanda pelepasan oleh penceroboh Zionis. Mungkin sesuai sempena Maal Hijrah ini untuk kita mengimbau kembali peristiwa 1948, sebagai satu tragedi yang terbentang dan menyelubungi seluruh rantau itu dalam perjuangan sengit sehinga ke hari ini.
Pada hari-hari sebelum 15 Mei 1948 iaitu tarikh terakhir untuk pengunduran British, Majlis Kebangsan Yahudi (Jewish National Council) telah membuat persediaan untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi yang bebas di atas bumi Palestin. Sementara itu tentera British telah berundur secara berperingkat dari kampung-kampung Palestin dan ini telah memberi ruang untuk pasukan-pasukan bersenjata Yahudi mengambil alih kedudukan. Haifa telah dikuasai pengganas Yahudi pada 22 April. Penduduk- penduduk Islam telah dihalau keluar. Mereka juga mengambil alih Baitul Maqdis dan menghalau keluar penduduk Islam dengan muncung senapang. Masyarakat Arab dan dunia Islam bertindak balas dengan memprotes dan mengadakan demonstrasi. Setelah menerima tekanan, pihak Iraq, Syria, Lebanon dan Liga Arab bertindak menghantar tentera untuk mengambil alih penguasaan daripada tentera British yang sedang berundur. Sementara itu pihak Perancis telah membekalkan peralatan berat ketenteraan kepada Haganah sekali gus memberi mereka lebih kuasa senjata untuk mengganggu dan menakut-nakutkan pihak Palestin. Dengan yang demikian, seramai 200,000 penduduk telah berpindah dari tanah air mereka demi keselamatan diri mereka sendiri.
Perjuangan tembak lari berlaku antara pihak Arab yang kekurangan peralatan dengan pasukan bersenjata Yahudi yang lebih teratur. Jaffa telah dibebaskan oleh tentera Mesir tetapi dengan cepat telah dikalahkan dan kota itu jatuh kembali ke tangan Yahudi. Pada 14 Mei, hari di mana tentera British secara rasmi meninggalkan Palestin, tentera Jordan telah masuk dan menyerang kedudukan Yahudi dan memaksa mereka untuk menyerah. Mengimbau kembali peristiwa-peristiwa tersebut, ada kemungkinan jika tentera Arab lebih berkoordinasi serta lebih bersemangat, impian Zionis untuk menyaksikan kelahiran Israel mungkin lebur. Namun setelah pemergian British pada 14 Mei, Ben Gurion tidak berlengah untuk mengisytiharkan kelahiran Israel. Sebelas minit kemudian Presiden Harry S Truman bagi pihak Amerika Syarikat mengisytiharkan pengiktirafan terhadap negara Israel. Jelas sekali bahawa sokongan Amerika untuk Israel telah dirancang dari awal. Mereka hanya menunggu pengumuman rasmi daripada pihak Zionis.
Dengan pengunduran British pada 15 Mei, tentera Arab telah digerakkan sepenuhnya. Tentera Iraq, Syria, Mesir, Lebanon dan Jordan bersetuju untuk menghantar tentera ke Wilayah tengah Palestin. Tentera Mesir menyasarkan Ashkalon sementara Jordan mahu membebaskan Baitul Maqdis dan Ramalah. Tetapi mereka telah melakukan sesuatu yang menyulitkan perjuangan mereka. Tanpa diketahui sebab-sebabnya, tentera Arab telah menarik balik senjata daripada kumpulan penentang Arab termasuk pertubuhan gerila yang diketuai mufti besar al-Haj Amin Husayni, angkatan takhlisan dan Pesuruhjaya Tinggi Arab yang telah mewakili Palestin dalam perjuangan menghadapi perampas Yahudi sebelum ini. Dengan itu kekuatan mereka menurun kepada hanya 24,000 askar rasmi untuk menghadapi Yahudi dengan kekuatan tentera seramai 70,000. Haganah yang dibekalkan oleh British tidak dapat menandingi tentera Arab. Tetapi setelah British berundur, tentera Yahudi dengan cepat mengambil alih. Satu demi satu bandar dan kampung jatuh ke tangan Yahudi. Pada saat yang genting ini pasukan bersenjata sukarela Arab terutamanya daripada al-Ikhwanul Muslimun telah bergerak ke sempadan. Ikhwanul Muslimin dari Syria dibawah pimpinan al-Ustaz Mustafa as-Siba’i melancarkan serangan dari Syria. Ikhwanul Muslimin dari Iraq di bawah as-Syeikh Muhamad Mahmud Aswaf telah mengumpulkan seramai 15,000 sukarelawan dari Iraq untuk berjuang di Palestin. Kerajaan Iraq mengenakan satu syarat kepada pihak Ikhwanil Muslimin iaitu mereka dikehendaki menyertai angkatan takhlisan di bawah pimpinan al-Haj Amin Husyani. Namun setelah persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak, angkatan takhlisan telah dibubarkan oleh tentera Arab. Walau bagaimanapun Syeikh Abdul Latif Abu Qurah telah berjaya menyeberangi Sungai Jordan, masuk ke dalam Palestin dan bertapak di Baitul Maqdis. Kerajaan Mesir yang amat mengekang Ikhwanul Muslimin terpaksa mengalah kepada rakyat Mesir dan membenarkan tentera Ikhwan di bawah pimpinan Syeikh Ahmad Abdul Aziz dan dilatih oleh Mahmud Labib masuk ke dalam wilayah Palestin melalui Gaza. Perlu dinyatakan bahawa terdapat 250 sukarelawan dari Bosnia yang telah ikut serta dalam jihad untuk memerdekakan Palestin. Kumpulan mujahidin ini berjuang dengan berani dalam medan pertempuran dan berjaya mengalahkan tentera Zionis. Tentera Palestin pula bersatu dalam kumpulan al-Qassam and berjuang dengan penuh semangat bersama-sama tentera sukarelawan Ikhwan.
Pada 19 Mei tentera Yahudi masuk dan merampas Kota Lama Baitul Maqdis, tetapi mendapati mereka dikepung oleh tentera Jordan dan Ikhwan dari Jordan. Seramai 100,000 pejuang Yahudi telah terperangkap dalam kota itu. Majlis Keselamatan tidak berlengah untuk menyelamatkan keadaan dan memaksa negara Arab menerima terma genjatan senjata yang menyelamatkan tentera Yahudi dari kemusnahan. Genjatan senjata dikuatkuasa dan tentera Arab berundur meninggalkan pasukan sukarelawan untuk meneruskan perjuangan terhadap tentera Yahudi dalam kota. Ketika ini pasukan Arab telah berjaya mengalahkan pihak Yahudi. Tentera Mesir membelasah pasukan Yahudi di Beersheba, Gaza, and sebahagian Nejev. Tentera Iraq mengambil semula Jenin dan tentera Jordan memerdekakan Jericho dan kawasan barat Kota Lama. Mereka bertapak berdekatan Lydda dan Ramallah dan bersedia menawan seluruh kota.
Mungkin boleh dihayati kata-kata Panglima British, Glubb Pasha, komander tentera Jordan “Jika pihak Arab membiarkan pasukan mereka terus menyelesaikan tugas mereka dan terus berjuang pada 15 Mei, mereka mungkin berjaya menghapuskan negara Israel yang baru muncul.” Sebaliknya mereka mematuhi genjatan senjata yang dikenakan oleh kuasa barat yang sememangnya mempunyai kepentingan dalam kelahiran negara Israel. Keadaan menjadi tenang selama empat minggu sementara rundingan berlangsung sehingga 11 Jun. Sementara itu Yahudi mengambil kesempatan dengan membina semula pasukan mereka dan mengambil rekrut dari Eropah. Senjata juga dibawa masuk dari Amerika Syarikat melalui Eropah. Rundingan gagal apabila kedua-dua pihak menolaknya dan keganasan bermula sekali lagi. Pihak Arab terkejut apabila mendapati mereka berdepan dengan tentera Yahudi yang lebih kuat dan persenjataan yang lebih besar dan juga kapal terbang. Keadaan tenang telah digunakan oleh Yahudi sebaik mungkin untuk mengumpul persenjataan. Mereka sememangnya mempunyai kelebihan dan dengan pantas berjaya menyelamatkan 100,000 tentera Yahudi yang dikepung di Baitul Maqdis.
Pihak Palestin, demi menjaga tanah air mereka, enggan mengiktiraf Israel. Al-Haj Amin Husayni telah diisytiharkan ketua untuk semua rakyat Palestin. Bagaimanapun rejim Arab enggan menngiktiraf kerajaan Al-Haj Amin Husayni dan memaksa beliau meninggalkan Gaza. Ancaman datang daripada Raja Farouq dari Mesir yang melayan kepentingan British di Mesir. Ketika itu rakyat Palestin dibiarkan untuk mempertahankan diri mereka sendiri. Mereka telah diserang oleh juruterbang dari Eropah yang dibayar 5,000 pound sebulan. Kekuatan senjata dari pihak Yahudi mengakibatkan bumi Palestin hilang inci demi inci. Dari 585 perkampungan Palestin, 478 telah dimusnahkan oleh penyangak Yahudi. 34 pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan ke atas rakyat Palestin yang tidak dapat mempertahankan diri termasuk wanita dan kanak-kanak. Lebih 500,000 rakyat Palestin melarikan diri dari rumah mereka. Majlis keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu sekali lagi mengenakan genjatan senjata ketika semuanya telah musnah. Pasukan sukarelawan diarah pulang dan mereka ditangkap sebaik sampai di sempadan. Pada 11 Februari 1949, as-Syeikh Hassan al-Banna, Mursyidul Am dan pengasas Ikhwanul Muslimin telah dibunuh dan berpuluh-puluh pengikutnya dipenjarakan.
Pada 24 Februari 1949, Mesir dan Israel bersetuju melakukan genjatan senjata. Ini diikuti oleh Syria pada 23 Mac dan Jordan pada 4 April. Israel dengan rasminya menjadi anggota Bangsa-Bangsa Bersatu dan mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia. Begitulah negara Israel wujud di atas kelemahan, ketidaktegasan dan pengkhianatan dari rejim Arab.
Peristiwa-peristiwa 1948 boleh memberi banyak pengajaran kepada umat Islam. Ketika kita melangkah masuk dalam tahun Hijriah yang baru, kita mesti menghayati detik penting dalam sejarah kita. Kita perlu mengambil kira dan bersedia untuk perjuangan yang telah mula memihak kepada kita. Israel sekarang dalam keadaan bertahan. Mereka sedang berundur dan kehilangan tempat bertahan untuk memperoleh cita-cita “Israel Raya”. Kita pula janganlan teragak-agak dengan menunjukkan ketidakmampuan dan ketidaktegasan dalam perjuangan memerdekakan tanah suci kita. Kita mestilash tegas dalam mempertahankan prinsip dan tidak mudah diperdaya oleh janji kosong pihak Zionis yang sekarang ini sedang terperuk dan kepenatan. Kita mesti menyelesaikan tugas kita dan meneruskan perjuangan. Dan kita akan dapat menyaksikan berakhirnya negara Israel dalam hayat kita, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment