FATWA
UMAT ISLAM WAJIB MEMILIKI
SENJATA NUKLEAR
Lajnah Fatwa Universiti Al-Azhar telah mengeluarkan satu fatwa bahawa umat Islam adalah WAJIB memiliki senjata nuklear dan lain-lain senjata moden bagi tujuan mempertahankan diri, khususnya senjata-senjata seumpama ini ada di tangan musuh umat Islam.
Syeikh 'Alaa As-Syanawihi (anggota Lajnah Fatwa Universiti Al-Azhar) menjelaskan bahawa Islam mewajibkan ke atas umatnya supaya sentiasa sedar dan tahu keadaan musuhnya; supaya boleh membuat persediaan yang bersesuaian dengan kekuatan musuh, sebagai mengikut firman Allah Taala :
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ
Maksudnya : "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka akan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan (persiapan) daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang... " - Al-Anfaal : 60
Syeikh 'Alaa As-Syanawihi berkata - sebagai jawaban kepada satu soalan yang datang kepada Lajnah - "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W.; seorang qudwah hasanah (ikutan yang baik) senantiasa bersedia dalam melakukan persiapan bagi menghadapi musuh dengan apa cara termampu. Atas dasar ini, jika umat Islam membuat persediaan kurang daripada persediaan peperangan yang dibuat oleh musuh, sesungguhnya satu-satu umat itu boleh berdosa kerana ia mengabaikan aspek ini (aspek persiapan persenjataan)."
Apabila Islam menyuruh supaya membuat persediaan persenjataan yang lengkap mengikut daya termampu, bukanlah tujuannya untuk menjadikan umat Islam ini sebagai umat yang melakukan kerosakan di atas muka bumi, tetapi tujuannya terkandung dalam ayat Allah :
تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمُ اللهُ يَعْلَمُهُمْ
Maksudnya : "(yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya... " - Al-Anfaal : 60
Dan tujuan lainnya ialah supaya semua sedar bahawa umat Islam mempunyai kekuatan dan kuasa yang membolehkan ia mampu melawan mana-mana serangan mendatang.
As-Syanawihi menegaskan bahawa WAJIB ke atas semua negara Arab dan Islam memperlengkapkan persenjataan mereka dengan senjata-senjata canggih yang mana dengannya diri kita (umat Islam) menjadi tinggi dan kemuliaan kita terjaga. Apa yang kita lihat hari ini tentang kelemahan umat Islam, merupakan satu petanda kemundurannya disebabkan oleh ketidakbolehan umat Islam memiliki senjata terbaik sedang pada waktu yang sama musuh-musuh kita sedang mencipta macam-macam cara untuk memusnahkan orang-orang Islam yang lemah.
Ketua Lajnah Fatwa Universiti Al-Azhar, Syeikh Ali Aboul-Hasan bersetuju dengan fatwa yang dikeluarkan itu. Beliau menyeru negara-negara Islam supaya berusaha memiliki senjata nuklear dan bukan nuklear supaya boleh menggerunkan musuhnya dan menghalang mereka daripada sewenang-wenangnya menyerang negara umat Islam. Beliau berkata : "Sesungguhnya mengenali/mengetahui keadaan musuh adalah kewajiban agama, membuat persiapan bagi menghadapi musuh adalah kefardhuan yang disyariatkan. Apabila dilihat ada satu umat di dunia ini memiliki satu-satu senjata, sama ada ia kawan ataupun lawan, maka menjadi kewajipan ke atas orang-orang Islam memiliki senjata yang seumpamanya atau yang lebih baik daripada itu. Ini adalah ijma' para ulama."
Beliau menambah : "Para fuqaha telah bersepakat juga bahawa jika orang-orang Islam tidak berusaha memiliki senjata-senjata seperti ini, maka mereka ini dianggap berdosa daripada segi syara'. Oleh sebab itu, memperlengkapkan diri (dengan senjata) bagi menghadapi musuh dan mengambil semua wasilah yang ada bagi mempertahankan diri adalah satu perkara fardhu dan wajib. Daripada segi syara', tidak boleh meninggalkanya, oleh itu usaha negara-negara Islam dalam memiliki segala macam senjata moden, samada senjata nuklear atau bukan nuklear, ia adalah wajib dari segi syara'."
Prof. Dr. Abdel Muiz Hareez, profesor Fiqh dan Usul-Fiqh dari Universiti Jordan berkata : "Menjadi kewajipan ke atas negara-negara Islam berusaha memiliki senjata-senjata kimia dan lainnya, sehingga boleh menggerunkan orang-orang kafir dan tidak melakukan sewenang-wenangnya ke atas orang-orang Islam."
Timbalan Ketua Majlis Fatwa Eropah, Faisal Mawlawi berkata bahawa orang-orang Islam tidak boleh terlebih dahulu memulakan penggunaan senjata kimia dan senjata bakteria sehingga boleh membunuh jiwa yang tidak berdosa. "Akan tetapi, sekiranya musuh menggunakan senjata yang seumpama ini, dan mencetuskan kemudaratan ke atas ramai golongan awam orang Islam, maka harus kita membalasnya dengan senjata yang sama (al-muamalah bil-mistli) sehingga mereka berhenti daripada menggunakannya," sebagaimana firman Allah Taala:
وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا
Maksudnya : "Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa..." - Asy-Syuura : 40
dan firman Allah
وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ
Maksudnya : "Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu...." - An-Nahl : 126
Ini dengan mengambil kira bahawa dasar al-muamalah bil-mistli (layanan serupa) adalah satu dasar yang disyariatkan dalam semua adat dan undang-undang antarabangsa.
Akhbar Haaretz Israel pada hari Isnin (19/8/2002) yang dipetik daripada "Nuclear Notebook" mengatakan : "Negara Yahudi (Israel) telah memiliki senjata nuklear sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu". Laporan ynag dikeluarkan daripada Pentagon merujuk kepada 11 tahun yang lalu bahawa Israel memiliki (sejak waktu itu) dari 75 hingga 200 senjata nuklear, antaranya ialah bom, peluru berpandu dan juga senjata nuklear taktikal.
No comments:
Post a Comment