Pages

Wednesday, July 13, 2011

Peringatan untuk Pejuang Islam

Pergilah sahabat semua, teruskan perjuangan kita, agar Islam dapat
bangun dan bangkit semula. Sahabat , dalam menyusuri jalan perjuangan,
jangan lupa memandang di belakang sejarah yang sering mengingatkan kita
jerih perit para pejuang terdahulu, untuk kita jadikan pedoman dan
pengajaran, bahawa jalan menuju bahagia itu tidak mudah, jalan menuju
syurga itu penuh kepahitan yang tidak kita impi-impikan untuk
melaluinya.

Jalan perjuangan yang kita akan selusuri itu banyak benar denai duri
yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu
mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh.
Sebab itu sahabat, sudah aku nyatakan berkali-kali, hidup ini perlukan
dorongan seorang teman, teman di jiwa adalah iman, teman sepanjang
perjalanan adalah Tuhan, teman suka duka adalah kawan-kawan kita iaitu
manusia yang faham apa erti kehidupan. Sahabat, perjuangan yang kau
tempuhi sebentar lagi akan menyebabkan engkau rasa putus asa, kecewa,
sebak dan sedih yang tidak terkata.

Maka kuatkanlah semangatmu, selalulah panjatkan doa kepadaNya, kita
jadikan malam-malam sebagai taman munajat kepada Tuhan. Dia tidak akan
melupakan kita, Dia akan selalu mendengar rintihan kita dikala manusia
kelu untuk berkata-kata. Dari situ kita suburkan kasih sayang dan cinta
kepada Tuhan.

Sahabat, perjuangan dalam jalan dakwah menuntut pengorbanan jiwa yang
bukan sedikit, ingatlah setiap antara kita sememangnya berkewajipan
untuk meneruskan tugas warisan para anbiya' ini. Kerana cahaya Islam
semakin suram di mata hati umat Islam sendiri. Cuba engkau lihat ada
negara Islam yang bersekongkol dengan negara kafir untuk menyerang
negara Islam sendiri, atas nama tujuan ekonomi. Mereka tidak meletakkan
agama sebagai keutamaan. Cuba engkau lihat di negara Afghanistan pula,
angkatan tentera yang kononya Islam bertakbir Allahu Akbar apabila
berjaya membunuh saudaranya sendiri , umat Islam juga tetapi mereka
sendiri dibantu oleh orang kafir. Islam apa ini namanya ?

Cuba pula engkau lihat kebejatan akhlak di negara kita sendiri, tidak
mustahil jika suatu hari nanti yang engkau nampak adalah adik, abang dan
keluargamu sendiri yang melakukannya. Itukah yang engkau mahu sahabat?
Sedangkan kita telah dibekalkan dengan ilmu oleh para guru yang tidak
kenal erti penat lelah untuk memastikan para pelajarnya keluar sebagai
bukan sahaja orang yang berjaya bahkan juga sebagai da'ie di alam
ini. Inginkah engkau lihat saudara-saudara kita terpekik, terlolong di
dalam neraka ? sanggupkah engkau lihat ibu ayah kita menangis sepanjang
masa di dalam kuburan melihat anak-anaknya tidak menjadi
`manusia' yang diinginkan oleh Allah ? dan kemudiannya
mereka-mereka itulah akan menarikmu pula ke dalam neraka bersama sebab
engkau tidak menjalankan tugasmu sebagai saudara seIslam untuk menegur
dan menasihati mereka.

Sebab itu sahabat, sudah aku katakan tadi, cahaya Islam itu semakin
suram, api pelitanya yang menerangi alam tidak seperti di zaman-zaman
kebesarannya. Para ulama' dibisukan dengan dunia oleh umara'.
Mereka diselubungi oleh ketakutan sepanjang masa untuk menyuarakan yang
haq. Agama telah diletakkan di bibir-bibir mereka sahaja.

Sahabat, tugas dakwah ini tugas kita, sebab kita telah belajar apa erti
kesusahan Rasulullah dalam menyebarkan agama, kita telah merasai
kemuliaan para sahabat yang mengalirkan air mata pengorbanan hingga
dapat membangunkan Islam di seluruh pelosok dunia. Mereka bangun dengan
semangat jihad yang dibentuk oleh al Quran dan sunnah Rasulullah, di
hati-hati mereka tiada perasaan gentar atau takut selain dari Allah.

Mereka faham benar apa yang dimaksudkan di dalam ayat "Wahai
orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak
melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan
sesuatu yang kamu tidak melakukannya" Surah As Saff ayat 2-3. Sebab
itu sahabat, dengan nasihat yang lahir dari lubuk hati ini, dengan
ikhlas aku menyatakannya kerana aku ingin melihat cahaya Islam itu
semakin gemilang, agar Rasulullah mampu tersenyum andainya melihat
sinarnya Islam selepasnya tidak kunjung padam. Moga-moga dengan amal
ikhlasmu ini akan dipandang oleh Allah dan diredhaiNya di dunia dan di
akhirat sana. Insya Allah…

Anak_Pejuang
1 Ramadhan 1422 hijrah
11.26 pagi

No comments:

Post a Comment