Pages

Thursday, September 22, 2011

Demi Islam Yang Tercinta !


Kalaulah HAMIM Masih Ada dan Kalaulah Aku Berada Di Negara Darul Islam Yang Tercinta !



 Kalaulah HAMIM Masih Ada dan Kalaulah Aku Berada Di Negara Darul Islam Yang Tercinta ! 
Mungkin bagi kita generasi selepas merdeka, rasanya sudah tidak berapa kenal atau biasa dengan nama HAMIM. Namun jika kita sebut nama HAMIM itu sebuah Parti iaitu PARTI HIZBUL MUSLIMIN, yang pernah diharamkan di umur setahun jagung ( 4 Bulan) penubuhannya dalam tahun 1948 dulu! mungkin ada yang masih mengingatinya, malah ada yang mendakwa dan tersilap tafsir bahawa Perjuangan Parti PAS sekarang adalah kesinambungan dari Hizbul Muslimin itu.

Dalam artikel ini saya tidak mahu menyebut banyak tentang parti PAS, dan kalau ya pun PAS itu berkesinambungan dari Hizbul Muslimin, namun perjuangan PAS kini , bermula selepas era Ustaz Fadhil Nor sudah lari dari landasan perjuangan sebenar mereka! Akuilah hakikat yang perjuangan PAS kini tidak boleh disamakan dengan Hizbul Muslimin dahulu!

Oleh itu, artikel saya kali ini lebih berfokuskan kepada sebuah parti yang dianggap dan digelar oleh Dato’ Onn sebagai “Bahaya Dari Gunung” atau “ Red Islamic Parti” ini. Keghairahan Dato’ Onn menjaja nama dan menimbulkan persepsi negatif orang melayu islam kepada Hizbul Muslimin ini sebagai sebuah pertubuhan yangsangat merbahaya yang diresapi ideologi Komunis telah membawa kepada pengharaman parti ini selepas hanya beberapa bulan ditubuhkan iaitu selama 4 bulan sahaja!.

Parti Merah Islam ini sengaja dikaitkan dengan komunis kerana warna merah itu dikatakan berunsurkan ideologi komunis. Bahaya Dari Gunung ini telah diterjemahkan oleh Dato’ Onn sebagai satu gerakan berunsur militan yang ditubuhkan dan berpusat di sebuah gunung, iaitu Gunung Semanggol Perak untuk menggugat ketenteraman awam dan memecah belahkan umat islam di Tanah Melayu ketika itu! Namun, apakah semua tuduhan Dato’ Onn itu benar saudara? Apakah motif sebenar atau konspirasi beliau untuk membenam Hizbul Muslimin yang mulai bangkit ini ke dasar Lumpur Hitam Tanah Jawi ini ?

Bagaimanakah bermulanya perjuangan islam berbentuk intelektual ini berlaku di Tanah Air kita sehingga tertubuhnya sebuah Parti Islam yang benar-benar TULEN dalam memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Islam ini saudara???

Kepada orang melayu ahli PAS, jangan cepat melatah, sila baca artikel ini sampai habis dengan teliti dan rasional sebelum menuduh saya sengaja mengenengahkan isu ini .Mungkin ada di antara anda semua yang menuduh saya sengaja ingin mengelirukan orang-orang PAS, sebenarnya TIDAK!bukan itu tujuan saya, saya hanya ingin berkongsi pendapat bersama kalian, itu saja! Mari kita baca dan kaji bersama! Kesimpulannya ditangan anda bukan ditangan saya.


Sebenarnya , pergerakan reformasi atau kebangkitan islam di tanah Air kita ini merupakan rentetan dari kebangkitan islam di Timur Tengah, khususnya di Mesir, yang dipelopori oleh Muhammad Abduhpada akhir abad Kesembilan Belas. Ianya telah menjalar ke Tanah Melayu dimana Syed Sheikh Al-Hadi telah menyebarkan pengaruh kebangkitan ini melalui Majalah Al-Imam (1906-1908) dan akhbar Al-Ikhwan (1926-1931).

Gerakan politik berparti di kalangan orang Melayu bermula dengan semangat nasionalisme menuntut kemerdekaan Negara dari penjajah. Pertubuhan politik yang pertama ditubuhkan ialah Kesatuan Melayu Muda ( KMM) pimpinan Ibrahim Haji Yaakob pada bulan Mei 1937 . Pertubuhan ini lebih bercorak radikal dengan semangat nasionalisme yang kuat. Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu ini dari terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British. Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana telahdiharamkan oleh Jepun setelah mereka menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941-1945.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, sebuah lagi parti politik baru orang Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau disebut juga Malay Nationalist Party (MNP). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi sebelum diambil alih teraju kepimpinannya oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).

Dr Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang Pemikir dan tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu.

PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh. Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM atau MNP dan beliau telah mendapat kepercayaan penuh golongan agama di tanah melayu untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah.

Dato’ Onn pula telah menubuhkan Parti UMNO pada 1.3.1946 selepas berjaya menggagalkan usaha penubuhan Malayan Union.

PKMM dibawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi telah berjaya perluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API),Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se Malaya(BATAS).

Menyedari hakikat betapa perlunya orang melayu islam bersatu dalam sebuah gerakan demi mempertahankan agama islam, parti MNP atau PKMM seterusnya telah menubuhkan sayap atau bahagian Islam dalam struktur organisasinya. Sayap atau bahagian Islam dalam MNP inilah yang bertanggungjawab melahirkan MATA ( Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya) pada tahun 1947. Selain MATA mereka juga berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu Se -Melaya (PEPERMAS ).

Kejayaan PKMM di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi, memberikan satu tamparan hebat kepada Dato’ Onn yang memimpin UMNO ketika itu. Setelah melihat sambutan hebat dari orang melayu terutamanya golongan agama, mungkin Dato’ Onn melihat peluang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan cara perundingan dengan British adalah mustahil dan semakin jauh . Oleh itu pada hemat saya, Dato’ Onn pun mulalah menentang PKMM, terutamanya sayap agamanya MATA ( Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya ) yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Ini terbukti dengan pemulauan Parti UMNO dimana pada hari penubuhan MATA, tidak ada seorang pun wakil yang dijemput dari Parti UMNO yang hadir. Selepas itu permusuhan antara MATA dan UMNO semakin ketara.

N.J.Funston dalam bukunya- Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur, telah menyatakan bahawa tujuan utama penubuhan MATA adalah untuk mengawal urusan hal ehwal agama Islam dari diterajui oleh mana-mana pihak yang tidak layak. Di dalam persidangannya, MATA telah mengisytiharkan pemisahan hal-hal yang berkaitan dengan agama tidak boleh dikawal oleh mana-mana negeri secara persendirian. Mereka berpendapat, sultan-sultan juga tidak cekap membuat keputusan dalam hal-hal agama seorang diri , dan perlu merujuk terlebih dahulu kepada MATA. Oleh itu kongres telah mendesak supaya kuasa yang berkaitan dengan agama diserahkan kepada MATA sepenuhnya.

Inilah titik permulaan kepada perbezaan pola pemikiran dan halatuju perjuangan dua buah parti politik orang melayu yang sebenarnya ketika itu !

Lebih parah lagi dan lebih mengeruhkan lagi suasana politik tanah air ketika itu ialah bila Datuk Onn Jaafar tidak henti - henti melaungkan amaran pada tahun 1947 tentang kononnya ada " Bahaya Dari Gunung " yang merujuk kepada adanya ura-ura akan penubuhan sebuah Parti islam yang dirancang di Gunung Semanggol Perak.

Kemuncak kepada gerakan Islam ini , MATA dalam satu mesyuarat agungnya pada 14 Mac 1948 , bertempat di Sekolah Agama Al-Ihya As-Syarif, Gunung Semanggul Perak, telah menubuhkan sebuah Parti Islam Pertama di Tanah Melayu yang disebut Parti Hizbul Muslimin.


Matlamat Utama penubuhan Hizbul Muslimin ialah :


1.Untuk mencapai kemerdekaan. 

2.Membina sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam.
 

3.Untuk mendirikan sebuah negara Islam atau Darul Islam.



Bagi mencapai ketiga-tiga matlamat di atas , Hizbul Muslimin telah mengemukakan 7 lagi objektif lain seperti berikut :

1.Untuk menimbulkan prinsip kesedaran politik di kalangan orang-orang Islam di Malaya.
2.Untuk menyatupadukan umat Islam di bawah satu ideologi.
3.Untuk menyokong kebebasan cetak, bersidang dan bersuara.
4.Untuk menambah jumlah sekolah dan menyediakan jenis pendidikan menurut keinginan masyarakat pada waktu itu.
5.Untuk mempertingkatkan akhlak orang-orang Melayu.
6.Secara amnya, untuk menjaga kebajikan dan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu.
7.Sedia berkerjasama dengan parti-parti politik dan pergerakan Islam dari luar negeri.


Dengan kuasa Allah swt , dalam kerancakan semangat nasionalisme dan menuntut kemerdekaan negara ini, para pemikir dan intektual melayu islam mulai menyedari bahawa perjuangan atas semangat nasionalisme tidak akan membawa kita kemana-mana.

Memang mereka mengakui akan peranan penting Dato’ Onn yang telah menyatukan orang-orang melayu menentang Malayan Union sehinggakan Dato’ Onn pada mulanya dibenci Inggeris sehingga Inggeris cuba “menghapuskan” beliau. Ini kerana beliau telah sanggup berhujah dengan Raja-Raja Melayu untuk menghalang Raja-Raja dari bersetuju dengan pembentukan Malayan Union dan sanggup pula berdepan dengan tekanan Inggeris .

Namun pihak Inggeris amat licik sekali strategi mereka.Mereka tahu orang-orang melayu sangat unik dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Plan A mereka telah gagal, lalu merekamemerangkap Dato’ Onn dengan plan B pula!

Para intelektual muslim seperti Dr Burhanuddin Al-Helmi sudah dapat menghidu dan membaca strategi penjajah ini dan mereka percaya Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman juga telah terpengaruh dengan pemikiran penjajah dan ultra sekular Turki .

Mereka yang pulang dari Timur Tengah seperti Mesir dan Turki menyedari perjuangan sekular di sana telah mengetepikan sama sekali Agama Islam , malah mula mengikut telunjuk penjajah!

Oleh itu, kebangkitan perjuangan politik islam yang disemarakkan oleh benih-benih perjuangan yang sedia wujud sejak 1906 lagi mula mendapat perhatian orang melayu islam di Negara ini!

Pakar strategi yang hebat merancang kebangkitan islam ini adalah Dr Burhanuddin Al - Helmy dan Ustaz Abu Bakar Al - Baqir dari Maahad Al - Ihya al Sharif (MAEAS) , Gunung Semanggol, Perak.

Pada pandangan saya, pada masa inilah timbulnya konflik pemikiran di kalangan orang melayu ketika itu samada untuk menyokong perjuangan menuntut kemerdekaan mengikut cara Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman yang berjuang dalam UMNO atau menyebelahi perjuangan Dr Burhanuddin Al- Helmy ( PKMM dan MATA ) dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ( Hizbul Muslimin ) iaitu dengan cara menuntut kemerdekaan sekaligus membina dan menubuhkan sebuah Negara Islam yang berdaulat bergelar Darul Islam.

Maka, pada hemat saya orang melayu ketika itu benar-benar dalam dilemma!

Bagi Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman, perjuangan menuntut kemerdekaan adalah motif utama mereka walau dengan apa cara sekalipun dan mereka ini lebih cenderung kepada perundingan dengan pihak penjajah!bagi mereka, cukuplah sejarah pertumpahan darah dan menagih korban nyawa yang berlaku ke atas orang melayu seperti di zaman Tok Janggut dan Mat Kilau.

Kaedah di atas pula tidak berapa disetujui oleh Dr Buhanuddin dan Ustaz Abu Bakarr Al-Baqir yang sememangnya terpengaruh dengan gerakan Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hassan Al-Banna. Mereka cukup percaya bahawa orang-orang kafir sememangnya tidak akan mengizinkan penubuhan sebuah Negara Islam walau dengan apa cara sekalipun!

Hizbul Muslimin dibawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mengambil keputusan untuk menyokong PKMM yang dipimpin oleh sahabatnya Dr Burhanuddin Al-Helmi tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO pimpinan Dato’ Onn.

Akhirnya hayat Parti Hizbul Muslimin atau HAMIM berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai 7 orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atauEmergency Regulations.

Mengapa Inggeris begitu takut akan Parti Merah Islam yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam ini???. Mungkin juga Inggeris terpengaruh dan termakan hasutan Dato’ Onn yang mendakwa parti ini adalah sebuah gerakan yang “Bahaya Dari Gunung” atau Dato’ Onn sendiri yang sudah termasuk kedalam perangkap Inggeris untuk mengetuai sebahagian lagi orang melayu melakukan perang psikologi menentang Hizbul Muslimin lalu dalam masa yang sama British telah mengambil kesempatan untuk mengharamkan Hizbul Muslimin, kononnya atas alasan keselamatan negara dan direstui oleh sebahagian orang melayu yang lain! Itulah kelicikan Inggeris !!!

Demikianlah Inggeris telah berjaya membenam Parti Islam pertama orang melayu ini setelah sempat bernyawa selama lebih kurang 100 hari saja !!! Kesimpulannya ialah penubuhan PKMM membawa kepada penubuhan MATA dan berakhir dengan Hizbul Muslimin.

Memang benarlah ramalan para intelektual muslim bahawa pihakInggeris tidak akan membenarkan pengaruh dan gerakan Islam bangkit serentak dengan Politik .Prinsip ini adalah kesinambungan dari ajaran pemisahan agama dengan politik yang telah dibawa semula oleh penjajah Inggeris ke Tanah Melayu adalah berasal dari ajaran Kristian.

Ini disebut dalam Injil Mathew 21/22 berbunyi:

“Biarkan hak (urusan) maharaja bagi maharaja, dan hak Tuhan bagi Tuhan.”


Namun, sehebat manapun mereka merancang , ALLAH swt juga ada perancanganNya sendiri. Sesungguhnya Dialah sebaik - baik perancang. UMNO dibawah pimpinan Dato’ Onn menjangkakan mereka akan bergerak bebas tanpa cabaran setelah pengharaman Hizbul Muslimin. Namun Rupa - rupanya Bahagian Agama dalam Parti Umno itu sendiri yang dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad Fuad membantah dasar-dasar UMNO yang semakin hari semakin menunjukkan sifatnya yang semakin sekular dan selalu mengikut telunjuk penjajah lalu beliau pun bangkit menentang UMNO . Beliau menubuhkan Persatuan Ulama Se - Malaya pada November 1951.

Salah satu sebab mengapa PAS ditubuhkan ialah sebagai protes kepada UMNO yang pada waktu itu hendak membenarkan judi dan loteri. Alasan mereka untuk mendapatkan sumber kewangan parti dengan cara tersebut menyebabkan Tuan Haji Ahmad FuadHaji Abdullah Fahim dari Seberang Prai dan Haji Fathullah Suhaimi dari Singapura telah bangun menentang dengan sekeras-kerasnya tujuan UMNO tersebut.

Persatuan Ulama Se- Malaya merintis jalan selama 4 tahun setelah melalui pahit getir dan proses rayuan kepada Pendaftar Pertubuhan kerana ketika itu mereka masih di dalam UMNO. Selepas itu barulah tertubuhnya Persatuan Islam Se Malaya ( PAS ) dan mereka bebas keluar dari UMNO. Sehari sebelum penamaan calon PRU 1955 PAS telah mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan sebagai parti politik. Kesimpulannya ialah Penubuhan parti UMNO pada tahun 1946 membawa kepada penubuhan Persatuan Ulama Se-Malaya pada tahun 1951 dan akhirnya membawa kepada tertubuhnya PAS ( Parti Islam Se Malaya ) secara rasminya pada tahun 1955.

Nah, cuba lihat perjalanan sejarah sebenar parti-parti politik ini saudara. Jadi wajarlah jika saya katakan sebenarnya Parti PAS yang ada sekarang ini adalah produk serpihan UMNO pada tahun 1946. Ia bukanlah kesinambungan atau penerusan wadah perjuangan yang ditinggalkan oleh Parti Islam pertama tanah air kita iaitu Hizbul Muslimin. Lagipun jarak masa untuk kita kata ianya satu kesinambungan ini memakan masa selama 7 tahun, iaitu satu tempoh masa yang agak lama.

Satu lagi hujah saya ialah jika benar PAS ditubuhkan dalam tahun1951, sudah tentu ia bukan digerakkan oleh saki baki ahli Hizbul Muslimin kerana Ustaz Abu Bakar Al-Baqir sendiri pun waktu itu masih ditahan dalam penjara dari tahun 1948 hingga 1952 malah selepas pembebasannya pun Ustaz Abu Bakar tidak lagi bergiat dalam politik sebaliknya menumpukan perhatian memajukan MAEAS di samping berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak serta menganggotai Jawatankuasa Syariah negeri Perak. Jika dikatakan Tuan Haji Ahmad Fuad yang ketika itu berada dalam UMNO, tetapi beliau mempunyai semangat perjuangan dan cara pemikiran bekas gurunya ketika belajar di MAEAS iaitu Pengasas Hizbul Muslimin Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, saya bersetuju, Tetapi untuk mengatakan bahawa beliau menubuhkan PAS untuk meneruskan perjuangan Hizbul Muslimin, saya agak tidak bersetuju!


Mengapa orang-orang 
PAS kini mendakwa bahawa perjuangan mereka adalah menggantikan Hizbul muslimin saudara??? Mengapa mereka takut atau malu untuk mengaku bahawa ibu yang mengandungkan benih politik mereka adalah UMNO???

Jawapan itu berada ditangan anda, namun pada pandangan saya, selepas Hizbul Muslimin diharamkan, sudah tidak ada lagi suara suara lantang memperjuangkan kemerdekaan Negara sekaligus menubuhkan sebuah Negara Islam iaitu Darul Islam!


Satu lagi hujah saya ialah, mengapa parti PAS ini tidak ditekan atau dikekang perjalanan politik mereka oleh British seperti yang dilakukan kepada Hizbul Muslimin??? Malah British merestui Parti PAS bertanding dalam Pilihan Raya pertama mereka pada tahun 1955 sedangkan umur PAS adalah sebanyak 24 jam (sehari) sebelum tarikh penamaan calon mereka??? Sekali lagi soalan saya, mengapa Inggeris merestui PAS seperti juga mereka merestui UMNO saudara???


* Lihat kempen asal mereka yang berbunyi "Undilah Bulan Bintang untuk keagungan ugama, Bangsa dan Tanah air "

Jawapannya ada dalam perlembagaan Parti Pas yang ditubuhkan itu saudara !!! Cuba bandingkan perlembagaan Hizbul Muslimin yang mantap dan jelas halatuju mereka iaitu untuk menubuhkan sebuah Negara Islam yang bergelar Darul Islam! Cuba saudara cari , apakah ada satu artikel atau peruntukan dalam perlembagaan PAS sekarang ini tentang Objektif yang paling dibenci dan ditakuti oleh Inggeris iaitu “menubuhkan sebuah Negara islam!”.

Jika anda ada terjumpa, jangan serahkan dokumen itu kepada saya, tetapi serahkanlah ia kepada bekas Menteri Besar Perak dahulu , kerana beliau pernah bersuara dan menyatakan hasratnya itu dalam Dewan Undangan Negeri Perak semasa bersidang beberapa bulan yang lalu setelah beliau diasak dengan soalan maut dari pihak UMNO .Malangnya kini beliau tumpas jawatan itu apabila ada katak berbaju manusia yang melompat parti di Perak!

Penubuhan Pas yang didakwa pada pada 24 November 1951 , rupa-rupanya hanya bermatlamatkan :

1. menjadikan Islam sebagai agama rasmi,
2. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan
3. Mengetatkan peraturan kerakyatan.


Bagaimana pula dengan perlembagaan awal Pas ?

Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:

PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.

KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.

KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.

KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.


* KUNCI kepada restu British
 keatas PAS adalah termaktub dalam perlembagaan mereka!!! , lihat perlembagaan di atas, 2 daripada 4 objektif mereka adalah mengikut telunjuk Demokrasi! Mana ada lagi suara untuk menubuhkan Negara Islam atau menjalankan Hukum Hudud . Jadi saudara fikir-fikirkanlah sendiri.

Jadi, jika sekarang ini Parti PAS memilih untuk berganding bahu dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, ia tidak menjadi kehairanan bagi saya kerana MEMANG ianya sejajar dengan Perlembagaan ke-4 diatas!!! 

Inilah sebab mengapa saya amat tidak bersetuju dengan perjuangan PAS sekarang walaupun dulunya saya seorang penyokong tegar PAS, dan selepas itu termakan hasutan Anwar Ibrahim untuk menyokongnya sekejap di era Reformasi! 


Pendapat Ikhlas saya, PAS mengikuti landasan perjuangan islam yang betul sehingga era pemimpin ke-6 PAS iaitu arwah
Ustaz Fadhil Norselepas itu PAS sudah hilang prinsip perjuangan asal dan pedoman , serta PAS sudah lupa tentang janji asal mereka diawal penubuhan mereka sewaktu dalam kandungan ibunya iaitu Parti UMNO dahulu .

Kini mereka juga telah lupa akan janji-janji Allah seperti yang pernah mereka war-warkan sebelum ini , diantaranya :

“Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan”
( Surah Al-Mujadalah : Ayat 22 )

“ Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu”
( Surah Muhammad : ayat 7)

“ Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka”
( At-Taubah : Ayat 32 - 33 )


Sesungguhnya, kini mereka telah berpaling dari landasan asal perjuangan!


Bagaimana mereka tergelincir dari landasan asal ?



Perjuangan PAS bermula dengan simbol pertama mereka “Tapak Tangan Terbuka” menjadi lambang ketika mula mula terjun ke kancah politik dan pilihanraya Persekutuan pada 27 Jun 1955 dahulu.

Lambang ini seakan sama dengan lambang asal PKMM , tetapi PKMM menggunakan simbol tangan , mengangkat tangan , sambil menggenggam 5 jari tangan seperti satu penumbuk yang padu!

Walau apa pun tafsiran orang melayu ketika itu, bagi saya , lambang tangan bersama 5 jari ini menunjukkan perjuangan merebut kekuasaan demi menjalankan syariaat Allah dengan maksud 5 jari itu adalah simbol kepada 5 rukun islam.

Selepas itu lambang Tangan Terbuka ini ditukar pula kepada lambang bulan dan bintang. Iaitu sebiji bintang lima penjuru, berada di atas hujung tanduk bulan sabit, di mana dua penjuru kakinya berada dalam lingkungan bulan dan tiga penjurunya lagi berada di bahagian atas luar lingkungan bulan sabit tersebut.

* Lihat bendera kecil disebelah atas bucu kiri gambar di atas, nampak bendera hitam yang ada lambang bulan dan bintang?.


Amat malang sekali bila lambang ini juga terpaksa ditukar kerana diharamkan oleh Kerajaan di zaman pemerintahan Tun Abdul Razak, iaitu pada tahun 1971. Mereka menuduh menuduh PAS sengaja menggunakan lambang Islam seperti bulan dan bintang untuk mengelirukan orang ramai. Betulkah begitu saudara ??? Tidak, ini hanya percaturan politik saja!


Sekali lagi lambang PAS ditukar kepada lambang satu bulatan putih seperti bola ping pong yang bererti bulan purnama, dengan latar belakang warna hijau dan dalam keadaan tertentu boleh digunakan warna hitam. Ukurannya seperti yang tercatat dalam ‘Perlembagaan PAS, pindaan 1987’, hendaklah 3x4 atau 3:4, iaitu 3 lintang dan 4 bujur. Boleh digunakan dalam inci, kaki, cm, meter, atau sistem ukuran-ukuran lain.



Bendera PAS pula berwarna Merah - Putih. Warna merah terletak di atas warna putih yang sama lebarnya. Di pangkal sebelah kiri terletak satu bulatan hijau. Pada asalnya di dalam bulatan tersebut, tertera perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ dalam tulisan jawi berwarna putih.

* Lihat gambar bendera PAS yang berkibar di atas, satu bulatan hijau atas warna merah-putih Sang saka!


Dengan pengharaman seperti yang diterangkan di atas, lambang tersebut tidak boleh digunakan lagi dan hanya tinggal bulatan hijau sahaja.

Maka kekallah bendera PAS hampir sama dengan bendera UMNO, yang mana di sudut atas Sang Saka Merah - Putih tersebut terdapat Bulatan Hijau bagi Parti PAS dan lambang keris untuk Parti UMNO


*Lambang Parti UMNO juga berubah dari masa ke semasa seperti di atas.

*Bendera UMNO


Sesuai dengan peredaran zaman agaknya bendera PAS kini melakukanmetamorfosis seperti juga UMNO , lalu berkibarlah bendera berwarna hijau penuh dengan lambang bulan purnama di tengahnya yang sudah hilang seri dan aura asal perjuangan PAS yang diasaskan oleh arwah Tuan Haji Ahmad Fuad dahulu.


Akhir sekali,… kalaulah Bendera PAS seperti dahulu yang mempunyai Kalimah Allah dan Muhammad berserta bulan dan bintang sebagai lambang perjuangan Islamnya… sudah pasti tuan Presiden PAS , Tuan Guru Hj Hadi dan ahli-ahli PAS yang lain akan berjuang mati-matian sehingga ke titisan darah terakhir mereka mempertahankan kalimah Allah itu dari terus dimiliki oleh orang yang bersekongkol dengan mereka!!! 


Namun,
 apakan daya , ceramah, slogan dan retorik PAS yang berbaur syiah selepas zaman arwah Ustaz Fadhil Nor dan kini lebih bersifat liberal , kononnya untuk menubuhkan sebuah Negara Islam dan menjalankan Hukum Hudud adalah hanya satu rempah ratus penambah perisa sebuah Parti Politik Picisan biasa yang sudah jauh tersasar dari perjuangan asal mereka!

Segalanya menjadi tidak mungkin kerana rempah bagi perasa yang enak itu tidak termaktub dalam perlembagaan Parti PAS sebenarnya untuk menjadi menu berkhasiat dan lazat buat santapan Bangsa Jawi Islam di hari kebangkitan akhir zaman di bumi bertuah Semenanjung Emas ini ! KECUALI lah mereka sedar dan kembali kepangkal jalan, MENGANGKAT TANGAN DAN MENGGENGGAM SEMULA 5 JARI sepenuh kudrat , mencari dan meneruskan Rancangan Asal Pencetus Revolusi Intektual Islam Tulen dari gunung Semanggol !!! ALLAHUAKBAR !!!


Berbalik kita kepada tajuk asal artikel ini, iaitu dalam isu kalimah Allah ini, dimanakah pendirian PAS??? Tepuk dada tanyalah iman saudara! Iman ini bukan boleh dipaksa-paksa!


Kepada cerdik pandai yang bergelar Maknikam yang mengatasi jauharinya pula, memanglah iman itu tidak boleh dipaksa-paksa, dan penjelasan anda tentang perkara-perkara yang boleh membawakekufuran berkaitan dengan siapa yang tidak menyokong kalimah Allah ini, di dada akhbar itu benar, tetapi dalam isu mempertahankan Kalimah Allah ini janganlah menampakkan pendirian anda lebih berpihak kepada Islam Liberal lalu menyerlahkan sedikit unsur-unsur kewahabian anda !

Demi Allah dan Rasulnya, saya akan menentang anda habis habisan dengan mata pena, dengan seluruh kudrat dan selaut tinta , sekiranya anda berpihak kepada tuntutan orang-orang kafir untuk menggunakan nama Allah ini! Ini bukan perkara kecil dan bukan perkara main-main, kita akan disoal oleh Allah tentang amanah dan tanggungjawab ini saudara!

Sejuta ucapan Tahniah kepada Dato’ Dr haron Din dan mereka mereka yang seangkatan dengannya dari PAS dalam mengenengahkan pendirian tegas dan murni ini! Saya tahu dan sememangnya percaya Dato’ Dr Haron Din tidak akan mengecewakan dan menghampakan manusia yang pernah membai’ah dirinya dan mencadangkan penubuhan Darul Syifa’ untuk kesejahteraan umat islam di Negara ini yang terlebih dahulu melihat melalui pandangan mata batinnya tentang kemajuan dan sambutan yang akan diberikan kepada Darul Syifa’ seperti sekarang ini , iaitu tidak lain dan tidak bukan Sheikh Nazim Al-Haqqani!

Mungkin Dato’ Dr haron Din tahu , dan mungkin Dajjal dan Iblis laknatullah juga sudah tahu bahawa Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim yang dijanjikan itu adalah orang yang sentiasa menghidupkan zikir khafi Allah, Allah, Allah … didalam hatinya!!!

*******

Aaahhh…!!! teringat aku pada kata-kata Sultan Melaka kepada Bendahara sewaktu Jebat bangkit meminta pengadilan dan menebus harga darah dan nyawa sahabatnya Tuah….
Kalaulah waktu ini Tuah masih ada….!!!!”

Lalu di dalam hati kecilku berkata … “ Kalaulah HAMIM masih ada!kalaulah Parti Hizbul Muslimin masih ada dan … kalaulah…. Aku berpijak di permukaan tanah sebuah Negara… Negara yang bergelar Darul Islam….. segala isu ini tak akan timbul…”

Aku berkata lagi :

Kalaulah aku berada di sebuah Negara yang bergelar Darul Islam, sudah pasti aku hanya menjumpai masjid sahaja, tak terfikir pun dihati ini untuk bertemu dengan kuil, dengan tokong , apa lagi dengan Gereja yang berselerak ini”

Dan :

Kalaupun rumah ibadat mereka yang kafir disakiti, pemimpinku atau Juara Rakyatku tidak akan tergopoh gapah menghulurkan wang sebanyak itu tanpa terlebih dahulu mencari siapa yang bersalah! Sepatutnya orang yang bersalah itulah yang mesti membaiki rumah ibadat yang dirosakkannya itu, bukan pemimpin! Kerana wang yang akan diberikan itu adalah wang rakyat! Masih ada lagi mereka yang benar-benar berhak menerima dan mendapatkan wang itu mengikut perkiraan syarak seperti anak-anak yatim, fakir miskin, ibu-ibu tunggal yang miskin, masjid-masjid atau madrasah-madrasah kampung yang sudah uzur dan lain lain !!!”

* Ini adalah seguni amanah dan Khazanah rakyat! Ini Tanggungjawab dan Amanah kepimpinan yang akan disoal oleh Allah di akhirat nanti !!! berhati-hatilah dalam mengendalikan benda di dalam guni ini!


Teringat aku kembali kepada kisah kisah pemimpin agung islam dahulu, mereka sanggup keluar malam menyamar meninggalkan istana mewah untuk melihat dan mendengar masalah rakyat, mereka sanggup berlapar dari mengambil harta baitul mal, mereka sekeluarga lebih rela bergelap dimalam hari dari mengambil lilin atau menggunakan minyak pelita dari khazanah negara kerana takut disoal oleh Allah di akhirat nanti tentang penyelewengan dan amanah mereka sebagai pemimpin dan khalifah di muka bumi ini. Mereka inilah sebenarnya Juara Rakyat!

Masih adakah di zaman ini satu usaha untuk menubuhkan sebuah Parti seperti Hizbul Muslimin dahulu dengan matlamat utama untuk menubuhkan sebuah Negara Islam Darul Islam??? Jika ada… rasanya aku ingin menjadi orang pertama yang akan menyertai gerakan itu! InsyaAllah, semoga ada usaha seperti itu atas nama sebuah kebangkitan akhir zaman!!! 

Ayuh Dato’ Dr Haron Din, ayuh Tun Dr Mahathir, ayuh Tok Guru Nik Aziz , ayuh Ustaz Taib Azamuddin, ayuh Ku Li dan lain- lain tokoh yang berwibawa , ayuh Sultan- Sultan Melayu yang berdaulat, kami rindukan satu Negara dan suasana islam sebenar seperti di zaman Sultan Malikul Salih membina Empayar Islam Acheh !



Akhir sekali, entah mengapa hati ini begitu sebak ? bila menghayati senikata lagu Rasmi Perjuangan PAS yang sebenar ini ,anda bagaimana? :



"Bersatulah wahai kaum Muslimin

Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau kalah atau capai kemenangan.

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau rebah atau tegak kejayaan.

Berjuanglah wahai ansharullah
Dengan semangat yang tak kenal kalah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan.

Bergerak ke gerbang jaya
Agar bebas dan kekal merdeka
Beramallah wahai roh yang suci
Hingga nyata benarnya janji Robbi"



Wassalam.

No comments:

Post a Comment