Pages

Wednesday, November 2, 2011

AUKU : Mahasiswa Dan Politik Kepartian


AUKU : Mahasiswa Dan Politik Kepartian




Semalam keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai tidak sah. Rentetan daripada keputusan ini ramailah pihak yang menggesa supaya AUKU dipinda malah ada yang mahu ianya dimansuhkan terus.

Adakah suara-suara ini boleh dijadikan pengukur bahawa majoriti mahasiswa itu mahukan akta ini dimansuhkan? - Adakah ibubapa yang menghantar anak mereka ke menara gading setuju jika akta ini dimansuhkan terus?

...Begitu pun, saya telah menyatakan selepas itu pendirian peribadi saya, bahawa saya akan mengambil pendirian yang lebih bertanggung jawab untuk menjelaskan kepada mahasiswa tentang realiti sebenar tentang kehidupan, kepimpinan dan aspirasi mahasiswa, dan tentang kejelekan politik di Malaysia.

Realiti yang pertama

1. Tidak ada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke universiti untuk berpolitik, sebaliknya mereka menghantar anak-anak mereka dengan harapan yang tinggi agar mereka menumpukan seluruh perhatian kepada pelajaran dan membawa pulang bukan saja ijazah, tetapi kejayaan yang cemerlang.

2. Tidak ada kerajaan yang bertanggung jawab di atas wang rakyat, akan membenarkan tumpuan pelajar-pelajarnya, lebih-lebih lagi yang ditajanya, terganggu akibat politik.

Realiti kedua :

Benar, sebagai golongan terpelajar, mahasiswa merupakan harapan negara bagi memacu kemajuan negara dalam pelbagai bidang. Mahasiswa juga merupakan harapan bagi mewarisi persada kepimpinan negara.

Walaupun ada pandangan yang mengatakan; 
“Mahasiswa adalah agen perubahan. Pada masa yang sama terdapat peruntukan Perlembagaan atau akta yang banyak sangat frasa `tidak boleh’ berbanding `boleh’.” 
“Kita bercakap tentang mahasiswa sebagai peneraju kecemerlangan masyarakat, kita menyentuh tentang peranan mahasiswa dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial, kita berbicara tentang peranan mahasiswa dan globalisasi sedangkan semuanya ada had-had dan batasan-batasan tertentu yang lazim dilihat sebagai kekangan perlaksanaan peranan.” 
“Kalau dalam negara malah dalam universiti pun sukar untuk digegarkan suara mahasiswa, maka apa perlu bercerita hal-hal globalisasi atau kesejagatan?”
namun realitinya : 
Mahasiswa tidak lagi merupakan `agen perubahan’ dan bukan lagi peneraju kecemerlangan masyarakat. Mahasiswa telah kehilangan keistimewaan ini akibat menurunnya jurang intelektualisme di antara mahasiswa dan masyarakat. 
Dalam tahun 1960 – 1970an peranan ini mungkin kerana masih belum ramai dalam masyarakat yang berpendidikan tinggi. 
Bagaimanapun struktur sosial sekarang telah berubah kerana mahasiswa hanyalah`ratusan ribu pelajar tanpa ijazah yang belum pasti mendapat pekerjaan’, berbanding dengan sejumlah pemegang ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah di dalam masyarakat. 
Realiti ketiga

Adalah satu mitos, bahawa mahasiswa di luar negara yang tidak dikekang oleh AUKU akan menjadi pemimpin yang lebih baik berbanding mahasiswa di dalam negara. 
Mungkin mereka di luar negara boleh berbahasa Inggeris dengan lebih baik dan mempunyai pengalaman hidup di bawah pentadbiran negara lain, namun dari segi latihan serta pendedahan sosio-politik dalam konteks Malaysia, mahasiswa tempatan mempunyai kelebihan.

Soal penglibatan dalam Kelab UMNO bukan soal yang relevan kerana pertama tujuan Kelab UMNO adalah untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar Melayu dan Malaysia di luar negara kerana suatu masa dahulu ada pihak di dalam UMNO yang beranggapan bahawa tanggung jawab bagi menjaga kebajikan pelajar ini harus diuruskan oleh satu organisasi. 
Tidak salah jika orang UMNO yang memikirkan soal ini tampil ke hadapan untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia di sana dan menamakan organisasi itu sebagai Kelab UMNO. Tidak ada sesiapa pun yang menghalang jika Kelab DAP atau Kelab PAS hendak ditubuhkan di luar negara.

Realiti keempat

AUKU tidak menghalang mana-mana mahasiswa untuk mempunyai aspirasi pembangkang atau kerajaan. Selama ini kita tahu sejak dulu lagi ada kumpulan yang menyokong aspirasi kerajaan dan aspirasi pembangkang. Bagi mahasiswa yang lebih penting adalah aspirasi mahasiswa itu sendiri. 
Keduanya, kenapa harus membawa kebejatan politik luar ke dalam kampus sehingga taktik-taktik kotor dan aspirasi yang tiada kaitan dengan soal dalam kampus dijadikan modal dalam kempen Majlis Perwakilan Pelajar? Apa tujuannya? 
Sewajarnya kampus menjadi medan untuk mahasiswa terdidik dan membudayakan politik baru, politik muafakat dan politik partisipasi.

Realiti Kelima

Dalam konteks order baru dunia dan globalisasi sentiasa terdapat peraturan dan batasan yang menghalang seseorang pemimpin dan sesebuah negara dari melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya. 
YB bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri tidak dapat melakukan banyak perkara kerana terdapat batasan dan halangan yang dikenakan oleh masyarakat antarabangsa. Dunia tanpa halangan hanyalah satu konsep. 
Kebijaksanaan dan sikap pragmatik merupakan kemahiran yang diperlukan dalam dunia yang penuh batasan ini. Tegasnya dalam dunia ini kita tidak mendapat apa yang sepatutnya menjadi milik kita. Kita hanya mendapat apa yang kita rundingkan untuk menjadi milik kita. 
‘We get what we negotiate for.’ Dan, kita tahu di dalam Malaysia, Tun Dr Mahathir adalah di antara jururunding negara yang terbilang dan diakui oleh masyarakat antarabangsa.
Nasihat saya mudah, dalam dunia global dan dalam era k-ekonomi, sekiranya mahasiswa mahu menggegar dunia, perkara pertama yang mereka perlu ada ialah ilmu pengetahuan menyeluruh dan kemahiran yang tinggi. Ini merupakan batas pertama yang mereka perlu tempuhi. 
Tugas utama mahasiswa adalah untuk menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar dapat berperanan dalam era k-ekonomi. Tanpa pengetahuan `segar’ ataupun yang setimpal dengan `think tank’ dan syarikat-syarikat pakar runding (consulting companies), mahasiswa tidak mungkin mampu memberikan input yang bermakna bagi membangunkan negara.

Cabaran mahasiswa 
Untuk menghadapi masyarakat yang lebih bijak di luar.  
Untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang menyeluruh agar dapat berperanan dalam k-ekonomi, cth ilmu pengetahuan – kecemerlangan akademik, pembelajaran berterusan, ijazah peringkat tertinggi, cth: kemahiran berbahasa Inggeris dan pelbagai bahasa, pengetahuan dalam ICT, kemampuan menulis, menyampaikan pandangan dengan baik, interpersonal skill, etc.
 Untuk mempersiapkan diri agar mampu berperanan secara efektif di peringkat organisasi, nasional dan juga antarabangsa.
Tanpa ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi, mahasiswa hanya sekadar boleh memimpin 
o Golongan mahasiswa
o Belia dan pelajar yang berpendidikan lebih rendah
o Masyarakat yang kurang terpelajar

Tanpa pengetahuan – mahasiswa tidak akan mampu memimpin, sebaliknya hanya layak dipimpin oleh golongan yang lebih bijak dan terpelajar, lebih buruk lagi mahasiswa akan dimanipulasi dan diperalatkan oleh golongan-golongan yang lebih `bijak’ dari mahasiswa.

Contoh klasik adalah apabila mahasiswa diperalatkan dalam pergolakan politik 1998. Akibat konflik yang timbul di dalam sebuah parti politik, gerakan mahasiswa telah digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan. 
Bagi menggerakkan gerakan ini, fitnah dan penipuan telah dilemparkan. Kononnya krisis ekonomi yang timbul merupakan akibat dari kerajaan yang korup dan yang mengamalkan kroni kapitalisme. Semangat untuk menumbangkan kerajaan telah diapi-apikan. 
Kumpulan yang mendalangi gerakan ini mahu mengulangi kejayaan gerakan mahasiswa negara jiran yang dapat menumbangkan kerajaan mereka yang dikatakan korup.

Bagaimanapun apa yang tidak disedari oleh gerakan mahasiswa ketika itu, alasan korupsi dan kronisme bukan penyebab utama krisis ekonomi. Serangan spekulator matawang dan penarikan modal asing secara besar-besaran merupakan faktor utama kekusutan ekonomi ketika itu. Keterbukaan sistem kewangan dan globalisasi tanpa kawalan telah menyebabkan kegawatan ketika itu. 
Negara-negara tertentu dan rakyat mereka telah dimiskinkan. Manakala banyak perniagaan terpaksa ditutup dan dijual pada harga yang murah. Murah, kerana - pertamanya akibat penurunan nilai mata wang oleh spekulator matawang, keduanya disebabkan alasan kelemahan kedudukan kewangan dan kegawatan ekonomi. 
Negara ketika itu sedang berada di ambang penjajahan ekonomi, bagaimanapun gerakan mahasiswa telah gagal untuk memahaminya.

Pada ketika kerajaan sedang memfokuskan usaha untuk menghalang penjajahan ekonomi oleh kuasa ekonomi asing, demonstrasi dan rusuhan yang disertai oleh gerakan mahasiswa telah memburukkan lagi keadaan. 
Demonstrasi jalanan dan rusuhan ini menjadi bahan berita kepada pihak media asing untuk terus memberi gambaran buruk tentang kestabilan politik dan ekonomi negara. 
Kerajaan yang sedang menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah ekonomi, tidak mempunyai banyak pilihan sebaliknya terpaksa menghalang perbuatan merusuh bagi mengelakkan keyakinan terhadap kestabilan negara dari terus merudum.

Ada beberapa perkara yang perlu dilihat ketika menganalisis peristiwa tahun 1998. Pertamanya; apakah yang mendorong tindakan oleh gerakan mahasiswa ketika itu? 
Adakah idealisme yang mendorong tindakan tersebut asli (‘original’) dari pemikiran mahasiswa, atau apakah ia merupakan ujaan dari pihak yang berkepentingan? 
Keduanya; apakah kaedah tindakan yang dipilih oleh gerakan mahasiswa tersebut menyelesaikan masalah, atau memburukkan lagi keadaan?

Pada ketika itu, kecetekan pengetahuan dan keterbatasan kemampuan mahasiswa untuk melakukan penyelidikan menyebabkan mahasiswa terlalu mudah dipengaruhi oleh emosi dan ucapan yang berapi-api. 
Akibat terpengaruh, mahasiswa akhirnya menjadi mainan ahli-ahli politik dan diperalatkan seperti bidak-bidak catur oleh orang-orang yang mempunyai kepentingan tertentu. Mereka telah digerakkan sesuka hati, biarpun dalam keadaan yang boleh membahayakan nyawa dan pelajaran mereka.

Oleh kerana dikuasai oleh tangan-tangan politik, idealisme yang menggagaskan gerakan mahasiswa ketika itu bukan asli sifatnya, tetapi lebih bersifat `pak turut’. Gerakan mahasiswa yang kononnya tidak mahu menjadi `rubber stamp’ kepada kehendak kerajaan, rupanya menjadi `rubber stamp’ kepada pihak pembangkang.  
Mahasiswa telah `diaruhkan’ menggunakan taktik politik yang kotor dan keji. Mahasiswa dihasut untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokratik, melalui cara yang terang-terang tidak demokratik.

Dari segi logiknya, perbuatan mahasiswa yang merusuh dan berdemonstrasi sebenarnya tidak dapat menyelesaikan masalah. Sebaliknya tindakan mereka ketika itu merosakkan lagi tahap keyakinan terhadap kestabilan negara. 
Gerakan mahasiswa ketika itu telah gagal untuk melihat bahawa masalah tidak mungkin dapat diselesaikan dengan menimbulkan lebih banyak masalah lagi. Bagaimanapun, akibat telah di’brain-washed’ dengan dakyah pembangkang, gerakan mahasiswa menjadi `buta’ dan berpandangan bahawa tindakan mereka tersebut adalah sebaik-baik cara.

Keutamaan Mahasiswa - Apakah peranan utama mahasiswa? 
Peranan paling utama mahasiswa ketika di universiti adalah untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan sebaik mungkin. 
Di dalam dunia global, era k-ekonomi, tidak ada tempat untuk mahasiswa yang tidak cemerlang penguasaan ilmunya. 
Selain menjadi pakar dalam bidang pengajian, mahasiswa juga mesti memaksa diri menjadi `all rounder’ di mana mahasiswa mesticubamenguasai kemahiran-kemahiran tertentu, seperti kemahiran dalam bidang ICT, kemahiran berbahasa asing, pengurusan organisasi, pemasaran dan sebagainya. 
Untuk bersaing secara global, Malaysia memerlukan tenaga kerja yang mahir berbahasa Inggeris dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam Sains dan Teknologi. 
Kemahiran berpolitik dan pengurusan boleh diperolehi melalui penglibatan dalam persatuan-persatuan pelajar tanpa perlu melibatkan diri dalam parti-parti politik pembangkang yang lebih cenderung untuk memperalatkan pelajar demi kepentingan politik mereka sendiri. 
Jika mahasiswa ingin kepimpinan mereka memberi makna – persiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, latihlah diri untuk berfikiran terbuka dan berpandangan luas, elakkan konflik dan suburkan semangat kerjasama untuk pembangunan.

Sebagai kesimpulan,

Apakah yang saya mahu daripada mahasiswa - jika mereka mahu menyumbang kepada negara, mereka perlu jadi lebih bijak dan kreatif. Kekurangan mahasiswa disebabkan usia mereka yang muda adalah dari segi artikulasi, substance dan pengalaman yang akhirnya menjadikan idea mereka, walaupun nampak baik, kurang praktikal dan meyakinkan untuk dilaksanakan.

Apakah yang saya tidak mahu daripada mahasiswa - jika mereka mengikut kebejatan cara berpolitik ahli-ahli politik di luar. Mereka adalah ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna yang murni. Mereka perlu menghidupkan politik baru dan berpolitik secara yang bermaruah.

Harapan saya, agar mereka mencari sebanyak mungkin maklumat sebelum membentuk persepsi dan membuat keputusan. Jangan sampai begitu mudah diperdayakan dan diperalatkan.

pejuangmelaka - Selepas ini jika di takdirkan pelajar Universiti  yang menjadi ketua sesebuah  parti duduk bersama  pentadbiran Universiti.  Adakah seorang Naib Canselor mampu duduk selesa sekiranya Timbalan Naib Canselor dan pegawai di bawahnya adalah seorang ketua parti lawan?
Fikir-Fikirkanlah..

Salam Perjuangan !

No comments:

Post a Comment