Sunday, April 7, 2013

Siapa Pembela ISLAM ?




Semasa Ambiga Sreenavasan dan Bar Council memperjuangkan penubuhan Interfaith Commission - Suruhanjaya Antara Agama pada tahun 2006; yang antaranya mendesak semua manusia, termasuk orang Melayu diberi kebebasan memilih agama termasuk murtad berdasarkan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia, umat Islam-Melayu UMNO-PAS dan semua NGO bangkit bersatu menentang penubuhan IFC sehingga ianya gagal!

Semasa Nurul Izzah anak perempuan kepada Anwar Ibrahim membuat kenyataan di premis Gereja Full Gospel Tabernacle Subang Jaya pada 03.11.2012 bahawa orang Melayu juga patut diberi kebebasan memilih agama, memberi makna orang Melayu yang ditafsir menurut Artikel 160 Perlembagaan sebagai wajib Islam boleh murtad; dia di apit oleh pemimpin kanan PAS! Umat Melayu-Islam terutama UMNO dan beberapa NGO bangkit bersatu menentang; tetapi PAS tidak!

Persoalannya: apakah perbezaan perjuangan Ambiga untuk IFC yang dahulu ditentang hebat oleh PAS dan UMNO; dengan kenyataan Nurul Izzah anak perempuan Anwar Ibrahim yang tetap ditentang oleh UMNO tetapi PAS langsung tidak membantah, malah ada yang mempertahankan Nurul Izzah?

Siapa yang istiqomah dalam perjuangan? UMNO atau PAS?
Adakah cukop sekadar melabel diri dengan jenama Islam maka sudah dijamin masuk syurga?

Aamantu billah summastaqeem - beriman lah kepada ALLAH dan istiqomah lah!

Mengundi pembangkang DAP-PKR-PAS bermakna redha kalimah ALLAH digadai!
Mengundi pembangkang DAP-PKR-PAS bermakna redha Islam dihina!
Mengundi pembangkang DAP-PKR-PAS bermakna redha Melayu dihina!

Salam Perjuangan !!!

Thursday, April 4, 2013

Kembalikan Kekuatan Orang Melayu !

Kembalikan Kekuatan Orang Melayu !



Orang Melayu hari ini berada di persimpangan dan di dalam satu dilema yang amat menakutkan. Pastikah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan ketuanan Melayu semakin terhakis. Atau benarkah ada ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur dek gara-gara orang Melayu itu sendiri akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda pada hari ini. Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia?

Kalau tidakpun, jenis Melayu yang bagaimana yang akan jadi penghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayusudah hancur dan apabila orang Melayu sudah hilang kuasa? Akan berakhirkah perbalahan sesama Melayu ini? Mungkinkah pada akhirnya orang Melayu akan mengigit jari apabila Melayu lenyap ditelan kebangkitan suatu kuasa bukan Melayu yang tidak perduli terhadap Melayu lagi?

Pada 11 Mei, 68 tahun lalu, UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan atas kesedaran memastikan nasionalisme atau ketuanan Melayu dan Islam terus dipertahankan di negara ini. Pada ketika itu ancaman penubuhan Malayan Union oleh British yang bakal menyaksikan orang Melayu kehilangan hak dan kuasa di tanah air sendiri telah mengumpulkan kekuatan yang membawa kepada pembentukan parti yang menjadi pembela nasib Melayu.

Ketika itu juga Inggeris terus mengasak dengan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 yang memberi hak sama rata kepada semua kaum dengan ketua negeri ditukar daripada sultan kepada presiden. Namun hasil tentangan orang Melayu melalui UMNO, Malayan Union dibubarkan pada Julai 1946 dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi apa yang penting ialah perjuangan UMNO berjaya mengembalikan hak-hak orang Melayu di tanah air mereka dan mengembalikan semula kuasa sultan dan raja-raja.

Perlu diingatkan bahawa perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancur leburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja dan bangsa Melayu serta budaya Melayu dalam Perlembagaan negara.

Yang menyedihkan apabila selepas 68 tahun ia ditubuhkan dan setelah 57 tahun negara merdeka, segala susah payah dan pahit getir perjuangan menegakkan hak bangsa oleh UMNO seolah-olah dipandang sepi terutamanya oleh golongan muda Melayu. Perjuangan UMNO yang menjadi tonggak kepada penubuhan Perikatan hasil gabungan MCA dan MIC dan Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang memberi kemakmuran kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum kian dilupakan. Ianya dapat dilihat dengan jelas didalam keputusan PRU ke – 12 yang lepas di mana memperlihatkan senario berbeza terhadap sokongan kepada UMNO dan BN. Adakah selepas lebih enam dekad berbakti, UMNO kini tidak lagi relevan dalam perjuangan menegakkan hak-hak orang Melayu?

Bibit-bibit perpecahan di antara orang Melayu, sudah ada yang berani mengambil kesempatan. Ini dapat dilihat apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh mengambil tindakan mempersoalkan siapa penulis titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Sultan Perak ada kaitan dengan kelemahan pada parti Melayu itu. Ia seolah-olah mengulangi senario pada 1946 apabila Inggeris merampas kuasa raja-raja dan hak Melayu dengan membentuk Malayan Union. Orang Melayu dan UMNO sepatutnya bangkit membantah dan mendesak supaya Karpal Singh menarik balik kata-katanya dan memohon maaf kapada Sultan dan Raja-raja Melayu.

Yang menjadi persoalan sekarang mengapa para pemimpin Pas dan PKR diam membisu. Sikap berdiam diri para pemimpin Pas berhubung isu Karpal mengkritik sultan juga menunjukkan pendirian mereka yang tidak konsisten dalam memperjuangkan isu berkaitan Melayu. Setelah sekian lama didesak barulah Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan yang Karpal Singh adalah menderhaka kepada Raja-raja Melayu. Presiden Pas sendiri masih membisu. Mungkin sedang mencari fatwa yang sesuai untuk digunakan? Malah terbaru dan lebih memeranjatkan apabila penasihat PKR, Anwar Ibrahim dengan egonya mempertahankan tindakan Karpal Singh. Sekarang mungkin rakyat sudah nampak “ warna sebenar “ Anwar Ibrahim.

Walaupun Pas mengatakan mereka juga memperjuangkan Melayu dan Islam namun setakat ini parti itu masih belum menunjukkan kemampuan sebenar dalam memastikan hak Melayu tidak terus tercabar. Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Adakah nasib Melayu boleh diletakkan di bahu mereka yang mana kalau dilihat daripada peratus pemimpin Melayu mereka tak sampai separuh? Berapa ramai anggota IFC (Interfaith Commission) terdiri daripada pemimpin PKR? IFC ditubuhkan dengan matlamat meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang bukan Islam. Adakah orang-orang Melayu Islam di dalam PKR tahu dan sedar akan perkara ini wujud di dalam PKR. Apabila berjaya memerintah Selangor dan bersekongkol dengan DAP, sudah mengeluarkan kenyataan untuk menghapuskan DEB. Bolehkan PKR mengambil alih peranan UMNO untuk membela nasib orang Melayu?

Adakah disebabkan DAP adalah ahli keluarga Pakatan Rakyat, mereka mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga sanggup melihat Raja-Raja Melayu diperlekehkan dengan hanya berpeluk tubuh dan hanya menunggu saat yang memberi keuntungan politik kepada mereka barulah mereka bertindak sesuatu. Untuk menjaga hati DAP mereka sanggup menjadi pengkhianat bangsa mereka sendiri. Sepertimana yang kita tahu Pas dan PKR sanggup perjudikan matlamat perjuangan masing-masing semata-mata mahu bergabung dengan DAP.

Yang paling ketara adalah Pas apabila sanggup membuang slogan untuk menegakkan negara Islam semasa pilihanraya yang lepas semata-mata hendak bermadu kasih dengan DAP walaupun pemimpin DAP dengan berani dan terus terang menyanggah cita-cita Pas itu. DAP semata-mata ingin menangguk peluang keemasan di atas kebebalan segelintir orang Melayu, sanggup terima Pas dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk menghancur dan memecahbelahkan undi orang Melayu pada PRU-12 yang lepas.

Dan apabila melihat Islam ditindas oleh barat di seluruh dunia termasuklah di Malaysia dan melihat orang Melayu Islam sedang berpecah dan kerajaan semakin lemah, ada pula dari pihak Gereja mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan untuk menggunakan perkataan Allah di dalam bulletin mereka. Jelas dapat dilihat musuh-musuh Islam mengambil kesempatan apabila Islam berjaya dilemahkan. Terbaru apabila pihak Gereja Katolik Malaysia berjaya di dalam tuntutan mereka apabila mahkamah membenarkan mereka untuk membuat semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald – The Catholic Weekly. Hakim juga membenarkan gereja tersebut untuk membuat semakan untuk perisytiharan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan tuntutan bahawa kalimah Allah tidak eksklusif kapada agama Islam.



Dalam budaya amalan dan adat resam Melayu, “Allah” itu ialah nama eksklusif bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Satu; Maha Pemurah, Bijaksana dan Pengampun. Orang Melayu dalam amalan mereka tidak mengunakan gantinama “Tuhan” pun untuk memberikan maksud yang sama, tetapi “Allah”. Bayangkan sejak kita lahir kita diajar menyebut dan mengenali Allah Taala dengan lebih dekat, tiba-tiba ada pula agama lain mahu menggunakan nama yang sama dengan Agama Islam.

Walaupun mereka mengatakan pihak Kristian di arab menggunakan nama Allah, tetapi itu di Arab dan bukannya di Malaysia. Tidak kah janggal namanya. Tidak kah pihak gereja katolik tahu yang Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan. Tidak ke tuntutan mereka mengguris perasaan umat Islam di Malaysia. Mengapa sekarang mereka membuat tuntutan itu? Mengapa umat Islam Malaysia berdiam diri apabila Islam dihina sedemikian rupa dengan mempermain-mainkan nama Allah yang maha esa.

Tidak kira apapun jua tuntutan mereka sama ada IFC ataupun pihak gereja katolik demi memastikan kedaulatan Islam itu tetap utuh ditanah air kita, sama-samalah kita bersatu menentang apa jua bentuk penindasan terhadap Agama Islam yang maha mulia ini. Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suci setiap umat Melayu yang beragama Islam untuk terus berjuang mengekal, dan lebih dari itu bagi meningkatkan perpaduan bangsa Melayu pada setiap masa.

Perpaduan ini wajar terus dipupuk, dipelihara, dibajai dan dijagai dengan rasa penuh bertanggungjawab bagi memastikan simpulan perpaduan ini tidak mudah terlerai atau mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja. Kita juga harus insaf, dalam kita membawa pelbagai pembaharuan, perlulah kita mempastikan bahawa kita tidak kehilangan arah, tidak juga kehilangan punca. Untuk tidak kehilangan arah, dan supaya tidak kehilangan punca, maka dengan itu perlulah kita sedar dan perlulah kita menghayati asas-asas falsafah bangsa Melayu yang dirumuskan oleh ajaran agama. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah”.


Salam Perjuangan !!!

Sunday, March 31, 2013

Mari Kenali Ultrakiasu





Kiasu dalam dialek  Hokkien, bermakna fear of loosing, takut kalah atau mahu menang. Bila ditambah ultra kiasu bermakna, langsung tidak mahu kalah. Secara ekstrem, mahu menang sentiasa dalam apa jua keadaan. Siapakah mereka dalam konteks politik Malaysia?


Misalnya, DAP dan mereka yang sewaktu dengannya, mahu mengikuti pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz (KUAA), tetapi gelagat dan perlakuan mereka langsung tidak mencerminkan. Bila pemimpin mereka sebut sahaja mahu mengikuti KUAA, kita pun bertakbir Allahhuakbar. Sedarkah kita apa agenda mereka? Sejak dari dahulu lagi saya mendengar, PAS mendakwa ramai pemimpin DAP sudah cenderung kepada Islam atau mahu memeluk Islam. Mana dia?


Sehingga ke hari ini, bukan sahaja agama Islam tidak dipeluk, tetapi ditentang habis-habisan. Apabila mereka tersepit, perlu sokongan, maka ayat-ayat suci al-Quran dipetik dan diterjemahkan. Kita terpesona dan terus bertakbir, Allahhuakbar. Lalu, kitapun berkata, “tengok! DAP pun nak Islam, berbanding UMNO”. Kita gunakan ‘Islamnya DAP’ untuk menolak persaudaraan UMNO. Kita sanggup kafirkan UMNO, kononnya untuk mengIslamkan DAP.


DAP tidak ada pilihan untuk berkuasa, melainkan berkawan dengan PAS. DAP tidak mudah lunak dengan Islam, selagi orang Islam belum dapat ditundukkan. Hari ini, kita lihat siapa tunduk kepada siapa? DAP tunduk kepada PAS atau PAS tunduk kepada DAP. DAP menjadi lunak kepada PAS kerana PAS sudah semakin liberal dan terbuka. Jika PAS masih berpendirian seperti dahulu, mana mungkin DAP akan berkawan dengannya. Dahulu, pengikut PAS tidak pandai bertepuk tangan dalam majlis, tetapi semenjak berkawan dengan DAP, PAS bertepuk lebih kuat daripada UMNO.


Dahulu, sebut sahaja DAP, semua kafir. Tetapi sekarang, boleh pula menjadi kawan musafir. Maklumlah, bila menjadi musafir, semua ibadat yang ketat menjadi longgar. Dahulu tak boleh, sekarang boleh. Kalimah Allah, sekejap boleh, sekejap tidak boleh. Semuanya gara-gara ultra kiasu. PAS gagal memahami antara prinsip dan budaya masyarakat Melayu.


KUAA melaksanakan Islam dalam pemerintahannya. Namun, apabila Kerajaan Kelantan mahu laksanakan hudud, kaunter berasingan lelaki perempuan di pasaraya, saloon, dan sebagainya, semua ditentang. Pendek kata, apa jua agenda yang ada kaitan dengan Islam ditentang. Seolah-olah negara ini tidak ada asal-usulnya.


Pergilah ke manapun, serata ceruk rantau dunia. Apabila bangsa majoriti memerintah, mesti agenda bangsa dan agama mereka terserlah atau mengakar. Jangan pergi jauh, lihat di Thailand, agama Buddha, bahasa Siam dan raja Siam didaulatkan. Tidak ada pilihan, mesti diterima. Semua rakyat menerima, tanpa berbelah bahagi. Kenapa tidak dipertikaikan? Jika dipertikaikan maka dihumbankan ke penjara. Kita pula terlalu bertoleransi, atas alasan 1Malaysia. Apa lagi yang tinggal?


Terbaharu,  bukan Islam yang mahu menggunakan kalimah Allah, semuanya ultra kiasu. Kenapa mahu berkongsi Allah? Sedangkan sebelum ini, mereka tidak pernah peduli dengan Allah? Apabila kita berdoa kepada Allah, mereka pertikaikan amalan ini, terlalu Islamik. Itulah protes yang saban kali kita dengar dan alasan mereka tidak mahu menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Kenapa tidak sama-sama menadah tangan jika percaya kepada Allah? Apa makna agama Islam sebagai agama rasmi atau persekutuan jika inipun tidak boleh dilakukan?


Apa yang berlaku sekarang adalah kita hanya memberi hak kepada yang berhak. Kita langsung tidak mengambil hak orang lain. Kenapa perlu ditentang? Misalnya, hak istimewa raja-raja Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan orang Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak.


Semua perkara ini sudah termaktub dalam perlembagaan dan dipersetujui bersama. Jika dengan perlaksanaan hak-hak ini, bukan Islam hidup merana, miskin, agama mereka tergugat. kedudukan ini langsung tidak menggugat kedudukan mereka. Malah, mereka menjadi semakin kaya raya. Kerajaan tidak mengambil atau meminta sedikitpun secara kekerasan, kecuali cukai pendapatan, yang menjadi tanggungjawab semua warga. Terbaharu, dari 14 orang terkaya di negara ini, 10 Cina, 3 Melayu dan 1 India. Tidak ada seorangpun bumiputera Sabah Sarawak tersenarai. Tanyalah mereka yang kaya raya ini, ke manakah wang mereka disimpan? Dalam negarakah atau luar negara? Jawapannya, hanya ada pada ultra kiasu.


Pejuangmelaka bimbang ultra kiasu akan lari bila berhadapan dengan krisis seperti Lahad Datu. Sekarang ini mereka berkobar-kobar menyokong, sebab ultra kiasu tidak ada di situ. Yang menjadi korban adalah orang Islam dan bumiputera Sabah. Sebab itu mereka berani berkata itu adalah sandiwara dan mereka yang terkorban mati katak. Masihkah kita buta?


Salam Perjuangan !!!

Sunday, March 24, 2013

Peringatan Kepada Melayu !





Tanggungjawab pemimpin untuk memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan, tidak kira tempat, dalam keadaan apa, masa bila, warna kulit dan sebagainya. Apatah lagi mereka yang miskin tegar. Jika yang miskin tegar telah berusaha tidak berubah juga, ketika itu jika perlu dibantu sepanjang hayat, maka berikanlah.  Lagipun apalah sangat puluhan ribu berbanding dengan jutaan dan ribuan juta.

Justeru, tidak hairan jika pada zaman Rasulullah dan para sahabat, pemimpin agung ini sanggup berkorban dan berjaga malam untuk mencari rakyat yang memerlukan bantuan. Pada masa sama, jika ada rakyat yang kaya-raya dan berkemampuan, tidak tampil ke hadapan membantu seperti menunaikan zakat, maka mereka boleh diperangi atau dikenakan tindakan.

Cuma hari ini kita begitu sedih, kenapa dan mengapa kita mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dalam konteks bantuan ini. Tidakkah kita boleh bersangka baik daripada bersangka buruk. Tidak perlulah melabelkan seseorang sebagai bantuan firaun, pelacur,  lembu, hampas, ayam, itik dan banyak lagi binatang kiasan dalam isu BR1M. Faedah apa yang kita dapat mengeluarkan kenyataan sedemikian, selain menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Kenapa kita bertindak melebarkan jurang bukan merapatkannya? Kenapa kita sengaja melakukannya, sedangkan kita tahu perpecahan melemahkan?

Wahai umatku, kita sudah terlalu banyak berpecah. Perlukah kita tambah dengan kesakitan sebegini. Jika kita ramai tidak mengapa lagi jika berpecah. Tetapi perpecahan ini telah  menjadikan kita minoriti, walaupun bilangannya agak majoriti. Sebenarnya kita sudahpun menjadi minoriti dalam majoriti.  Ini yang menjadikan orang lain mengambil kesempatan.

Pada saya, lebih baik kita fikirkan bersama, cara bagaimana bantuan tersebut boleh dimanfaatkan. Bagaimana RM500 boleh dikembangkan menjadi RM1000 dan berbagai gandaan lagi. Seperti yang pepatah Cina sebut, beri seseorang seekor ikan, ia hanya boleh mengenyangkan untuk satu hari, tetapi ajar bagaimana cara menangkap ikan, ia boleh mengenyangkan seumur hidup.

Keperluan mendesak hari ini adalah soal bagaimana? Kenapa tidak gunakan wang tersebut untuk melatih anak bangsa soal kemahiran. Bayangkan daripada ratusan ribu yang menerima bantuan, kita ajar mereka skill menjahit, memasak, membaiki dan sebagainya, tidakkah wang tersebut akan beranak-pinak?


Persoalan selalu dilontar, kenapa keluarga Cina boleh hidup kaya-raya di kampung Melayu yang begitu asing baginya? Kenapa orang Melayu tidak boleh hidup kaya-raya dalam perkampungan Cina? Usahkan mahu berniaga, tempat tinggalpun, seboleh-bolehnya mereka mahu lari daripada perkampungan atau taman tersebut. Kita tidak ada daya tahan berhadapan mereka, berbanding mereka berhadapan kita. Sikap ini terus terbawa-bawa sehingga ke hari ini.

Bangsa Cina tidak suka anaknya duduk diam atau membaca buku sahaja. Mereka akan pastikan anaknya mewarisi skill perniagaannya. Maka diajar anaknya bangun awal pagi, kemudian sembahyang, selepas itu menolong ibu bapa, sama menjaga kedai atau menjaga kebun. 

Persoalannya, kenapa kita tidak boleh menjadi seperti mereka? Sudahlah skill tidak dipelajari, hari ini masa banyak terbuang mengata, mengumpat dan saling dengki-mendengki. Saya begitu teruja dengan kata-kata pemimpin Melayu ultra kiasu sehari dua ini. Katanya, selepas menguasai Putrajaya tidak timbul lagi soal balas dendam. Benarkah perkara tersebut akan berlaku?

Apa yang saya lihat, selepas menang beberapa buah negeri dalam PRU 12, boleh dikatakan semua badan yang berada di bawah kawalan negeri berubah. Masjid surau bertukar imam dan ahli jawatan kuasa, begitu juga dengan badan-badan seperti majlis perbandaran. Semua ahli jawatan lama digugurkan, dimasukkan orang-orang mereka. Apakah ini bukan membalas dendam?

Sebenarnya sifat inilah yang menyebabkan Melayu tidak boleh pergi jauh. Dalam diri mereka penuh hasad dengki. Di kala itu orang lain mengambil kesempatan. Justeru, sudah sampai masanya kita buang sifat-sifat negatif tersebut. Yang paling hari ini, fikirkan bagaimana cara membantu anak bangsa untuk survive dalam dunia yang mencabar hari ini. Jangan beri ikan, tetapi ajarlah mereka menangkap ikan.


Bersatulah Melayu !

Salam Perjuangan !!!

Thursday, March 21, 2013

Kematangan Kepimpinan Melayu




Dahulu kita sering dengar, jika BN letakkan calon tunggul kayu sekalipun pasti akan menang. Kini, tidak lagi. Jika calon tunggul kayu dipertaruhkan, akan hilanglah wang deposit. Peredaran masa telah menyebabkan rakyat sudah pandai menilai antara kaca dengan permata.

Cuma orang politik sahaja kadang kala tidak pernah sedar. Mahu terus bertanding atau kekal menjadi wakil rakyat sampai mati. Faktor usia yang semakin meningkat dan tenaga semakin merosot, tidak diambil kira. Bila bertanding, menang, tidak lama selepas menjadi wakil rakyat, dia pun mati. Maka berlakulah pilihan raya kecil. Wang habis lagi. Bukankah merugikan.

Tetapi, tidak kepada rakyat. Rakyat gembira, kerana dengan adanya pilihan raya kecil, mereka akan dapat jalan baharu dan lain-lain kemudahan. Pendek kata, semakin banyak pilihan raya kecil, makin berubahlah keadaan dan prasana sesebuah kawasan terlibat. Inilah budaya politik kita. Keadaan akan berubah apabila ada pilihan raya. Jika tidak, puas menjerit baru ada perubahan. Calon yang bertanding pula akan terhegeh-hegeh, tersengih-sengih dan senyum selalu untuk meraikan undi. Sebelum itu, batang hidungpun tidak nampak.

Kadangkala ada juga logiknya orang berkata, ada kalangan rakyat berdoa agar wakil rakyatnya mati cepat. Bila mati, ada pilihan raya kecil, ketika itu berpusu-pusu peruntukan dan berbagai kemudahan masuk. Bukankah bantuan terhadap rakyat dan kawasan tidak kenal musim?

Namun, lawak jenaka ini tidak menginsafkan mereka yang mahu menjadi wakil rakyat. Semua terus berebut-rebut mahu jadi wakil rakyat. Wakil rakyat ada kuasa, apatah lagi jika ada jawatan dalam kerajaan. Pendek kata, mereka ingin terus jadi wakil rakyat, walaupun mereka tahu rakyat doakan cepat mati, tetapi dia tetap tidak mahu mati. Mereka mahu mati di atas takhta.

Paling tidak pun jika sudah tidak dapat bertahan lagi, dia akan memastikan kepada ahli keluarga, kroni dan kerabat naik menggantikannya. Jika kepimpinan tertinggi memutuskan ada calon yang lebih lanyak, jawapannya, boikot. Akhirnya calon tersebut kalah. Kejadian ini sudah banyak kali berlaku.

Begitulah takutnya seseorang itu akan kehilangan kuasa. Takut tidak dipedulikan. Duduk di masjid tiada yang menyapa. Inilah akibat apabila berkuasa tidak tinggalkan jasa, terutama kepada agama, bangsa dan negara. Pendek kata, kuasa itu bukan segala-galanya.

Sebab itu, saya cukup menghormati wakil rakyat yang sanggup mengundurkan diri bila tiba masanya. Dia tahu jawatan itu amanah. Jawatan ada perkiraan dosa dan pahala, dunia dan akhirat. Inilah baru namanya wakil rakyat. Tahu, ketika diperlukan. Sedar diri, bila tidak berkemampuan. Keadaan biasa dilihat pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Ada yang menawarkan diri, tetapi ditolak, kerana Rasulullah SAW tahu siapa yang lebih layak. Hari ini, sudahlah tidak layak, cari jalan untuk jadi layak. Jika tidak berjaya. Boikot.

Sepatutnya, kita memberi laluan kepada orang lain yang berwibawa. Persoalan timbul, apabila calon yang muda dan berwibawa tidak mendapat sokongan akar umbi. Mereka bukan ketua bahagian, mahupun cawangan. Pencalonan mahupun kemenangan mereka akan menimbulkan masalah kerana, ketua bahagian atau cawangan tidak akan memberikan laluan. Kedudukannya terawang-awang. Inilah dilemma yang dihadapi oleh sesetengah wakil rakyat. Mempunyai kedudukan dan kuasa dalam kerajaan, tetapi tidak mempunyai jawatan di peringkat akar umbi. Menang pun tiada erti. Hidup dalam dilema.

Lebih serius lagi, mutakhir ini, seringkali kedengaran ugutan untuk tidak mengundi parti-parti tertentu dalam PRU 13 jika tuntutan dan desakan mereka tidak dituruti atau dipenuhi. Semua mahu jadi calon, tidak kira dirinya kuat atau tidak. Yang penting mesti bertanding. Kuota yang sedia ada mesti dipenuhi. Kalau boleh ditambah lagi. Sehingga ke peringkat jawatan dalam kabinet.

Sampai bilakah kita boleh sampai ke tahap kematangan dalam berpolitik? Sepatutnya yang dibincangkan adalah soal strategi, ciri-ciri calon yang boleh menang dalam PRU 13, bertangungjawab, ada agenda agama, bangsa dan negara. Boleh menjadi contoh kepada orang lain atau rakyat. Mempunyai latar belakang dan keluarga yang baik-baik. Bukan sekadar memenuhi kuota. Apa guna kuota, jika kalah pilihan raya.

Justeru, menjelang PRU 13 akan datang, penegasan perlu segera dilakukan. Mereka yang menjadi parasit hendaklah digugurkan. Patuhi arahan ketua atau risikan. Ingatlah jawatan itu adalah amanah, bukan untuk keselesaan atau mengumpul harta. Sekarang bukan masa untuk boikot atau membalas dendam.

Selain itu, kawasan yang menjadi majoriti sesuatu kaum hendaklah diwakili oleh kaum tersebut. Jika tidak ada majoriti, maka fikirkanlah cara lain untuk mewakilinya. Bukan apa, kadangkala kita terlampau baik dan bertolak ansur. Meletakkan calon bangsa minoriti di kawasan bangsa majoriti. Pembangkang membaca strategi tersebut, mereka meletakkan calon bangsa majoriti di kawasan bangsa majoriti. Akhirnya, mereka menang. Bukan tidak boleh, tetapi jangan terlalu kerap.

Kesimpulan, apapun yang kita lakukan, ingatlah di situ ada perkiraan dosa pahala, kebahagiaan dunia dan akhirat, kerana menjadi wakil itu adalah amanah.


Salam Perjuangan !!!

Bersatulah Melayu !!!

Sunday, March 17, 2013

Membina Perpaduan Melayu !



MELAYU yang beragama Islam hari ini sedikit mujur kerana masih ada kuasa dalam politik negara. Ada dua parti besar yang diterajui orang Melayu sejak sebelum merdeka, kedua-dua parti itu hari ini mengadakan kerjasama dengan parti lain yang bukan diterajui orang Islam.

Bagi satu golongan Melayu, mereka berhasil menjadi dominan terhadap rakan parti sekutu mereka yang bukan Muslim. Manakala segolongan lagi tidaklah sedominan seperti yang mereka war-warkan kepada umum kerana setiap kali mereka cuba untuk mengaku dominan, rakan-rakan politik mereka akan segera menjeling bengis sehingga membuat mereka terkedu seminit dua.

Namun, kedua-dua parti Melayu itu masih mempunyai rekod-rekod kejayaan masing-masing terhadap bangsa dan agama dari perspektif yang berbeza. Ia bagaimanapun bukanlah jenis kejayaan besar yang boleh dibanggakan sehingga tujuh generasi yang seterusnya

Mungkin anda  sulit untuk fahami mengenai apa yang pejuangmelaka rasai saat ini apabila melihat Melayu sesama Melayu membenci sesama sendiri.

Cuba anda meletakkan diri anda di tempat pejuangmelaka.

Katakan, anda terpinga-pinga menyembunyikan diri di padang pasir selama beratus tahun untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman, kemudian memeluk Islam bagi memperbaharui akidah yang diajarkan Musa selepas berjumpa orang Arab dan beranak-pinak sepanjang membuat perjalanan ke sebuah negeri di Asia Tenggara yang menjadi sebutan orang-orang Arab.

Anda datang daripada jauh merentas bukit-bukau dan gunung-ganang untuk berjumpa dengan bangsa yang menguasai Asia Tenggara setelah mendengar khabar berita mengenai kemegahan mereka yang disampaikan orang Arab ke telinga anda semasa anda berlegar-legar di padang pasir. Tetapi apabila anda sampai ke sana, anda melihat bangsa itu sudah mula bercakaran sesama mereka.

Maka, perjalanan anda merentas bukit dan gunung-ganang menjadi seperti sia-sia. Anda mengharapkan untuk bersama bangsa yang gah itu, tetapi apa yang anda lihat ialah bangsa yang gah itu sedang bermusuhan sesama mereka. Apa yang anda rasa selepas melihat bangsa itu bercakaran? Jadi, untuk bersama bangsa yang gah itu, apa yang perlu anda lakukan?

Anda perlu mendamaikan mereka supaya anda dapat bersama mereka untuk mencipta kegemilangan. Selagi mereka tidak didamaikan, selagi itulah hasrat mencapai kegemilangan tidak akan tercapai.

Anda perlu mendamaikan mereka pada saat anda perlu menyembunyikan identiti Yahudi yang anda warisi kerana bangsa gah itu sangat membenci Yahudi sebagaimana mereka membenci sesama mereka sendiri.

Apa yang kita lihat dengan jelas ialah, kejayaan terbesar orang Melayu ialah kejayaan para pemimpinnya menanam kebencian terhadap sesama bangsa. Ia adalah kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh bangsa Yahudi sendiri. Bukan Yahudi sekular yang membunuh Yahudi ortodoks di Jerman semasa Perang Dunia Kedua, bukan, ia bukan seperti yang diperkatakan teori-teori konspirasi yang popular bagi memperkatakan kewujudan negara haram Israel yang didirikan atas fahaman nafsu sekular Zionis yang menjauhi agama.

Seorang Yahudi tidak akan berkata buruk kepada Yahudi yang lain meskipun saudara Yahudinya itu beragama Islam atau Nasrani sekalipun. Andai berkata buruk pun mereka tidak tergamak, apatah lagi untuk membunuh sesama bangsa dengan mereka. Berkata dengan ucapan keras adalah tidak sama dengan berkata dengan ucapan buruk. Rabbai Aaron Cohen tidak pernah berhenti mengutuk dan mendedahkan kekejaman Yahudi Zionis kepada dunia, namun Zionis juga tidak tergamak untuk mengapa-apakan Aaron Cohen kerana dia sebangsa dengan Yahudi.

Berbeza dengan orang Melayu, mereka tidak teragak-agak untuk menghambur kata-kata buruk kepada saudara sebangsa dengan harapan akan ada saudara sebangsa mereka akan membenci saudara sebangsa yang tidak sefahaman dengan mereka. Apabila wujud kumpulan sefahaman yang membenci saudara sebangsa, mereka fikir mereka akan lebih bertambah kuat. Mereka fikir mereka telah berjaya kerana ada di kalangan saudara sebangsa mereka mula membenci bangsa mereka sendiri dari kumpulan yang lain, tetapi kita melihatnya sebagai satu kerugian.

Menyayangi bangsa sendiri tidak bermakna anda memeluk mentaliti Yahudi. Melayu adalah bangsa yang ditakdirkan untuk memimpin umat Islam di Asia Tenggara. Andai lemah Melayu di Asia Tenggara diakibatkan permusuhan sesama sendiri, maka lemahlah Islam yang dianuti mereka. Ia kerana Islam itu dianuti oleh bangsa yang menganuti agama itu. Kalau lemah bangsa itu, maka lemahlah juga kedaulatan agama yang dianuti mereka. Islam tidak lemah, ia kuat dari segala sudut kehidupan, tetapi kedaulatannya dilemahkan oleh sikap orang Melayu sendiri.

Akhir ini, sangat ramai orang Melayu yang mengucapkan kata-kata buruk terhadap Melayu yang lain. Mereka mengucapkan kata-kata buruk itu di setiap keadaan, di Facebook, di Twitter, di blog-blog dan sebagainya. Mereka sudah tidak tahu apa maksud kesopanan, kesantunan dan kehalusan budi bicara dalam menyampaikan maksud. Mereka seperti sudah tidak ada budi bahasa. Orang UMNO atau orang PAS, sama sahaja. Maki-makian, carut-mencarut terhadap sesama mereka sudah seperti makanan sehari-hari disebabkan perbezaan fahaman.

Ada satu ketika, orang PAS memulakan kata-kata buruk di laman-laman sosial dan di blog-blog. Dalam satu ketika yang lain pula, orang UMNO memulakan kata-kata yang sama. Kesannya, orang Melayu sentiasa bertelingkah kerana sudah tidak tahu bagaimana untuk bersantun.

Pada ketika lain, orang PAS menyalahkan orang UMNO. Pada ketika lain, orang UMNO pula menyalahkan PAS. Kesannya juga sama, terus-menerus bertelingkah tanpa ada kesudahan. Sama juga dengan memulakan pergaduhan, ada masa ia dimulakan orang PAS dan ada masa lain ia dimulakan orang UMNO. Berterusan lagi bertelingkah.

Orang Melayu bersama pemimpin mereka menyandang rekod kejayaan yang tidak dicapai oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Ia adalah kejayaan menyemai sikap benci-membenci sesama bangsa, sesama umat. Pada ketika agama seperti sedang tersepit di tengah-tengah, mereka masih bertelingkah menghimpit agama. Jangan sampai apabila kedaulatan agama turut musnah pada ketika mereka musnah akibat tersepit dan menghimpit sesama mereka.

Islam adalah agama yang sangat dekat di hati orang Melayu, mungkin sekali Islam itu juga adalah hati orang Melayu. Namun, mereka tidak pernah menjadikan agama itu sebagai jambatan untuk menyatupadukan mereka. Sebaliknya, mereka membanding-bandingkan sesama mereka dengan menggunakan agama.

Islam itu diturunkan (antaranya) kepada manusia. Manakala manusia itu pula berbilang bangsa. Kita tidak boleh menafikan hakikat manusia itu dijadikan berlainan bangsa. Pernyataan yang mengatakan Islam tidak memandang bangsa atau kaum adalah satu pernyataan yang tidak salah, tetapi ia tidak dihuraikan dengan cukup jujur oleh orang yang mengucapkan pernyataan itu.

Orang yang mengucapkan pernyataan itu tidak pernah melihat pengertian secara menyeluruh.  Kalau tidak bersetuju dengan perenggan ini, adalah lebih baik mereka terlebih dahulu membaca penjelasan kita sebelum ini sehingga faham.

Akibat tidak faham mengenai kepentingan bangsa terhadap agama, maka wujudlah golongan yang mempersenda perjuangan segolongan lain yang dilihat terlalu bersifat kebangsaan. Di sinilah bermulanya siri kejayaan demi kejayaan yang dicipta kedua-dua golongan Melayu itu di persada dunia.

Jadi, apakah kejayaan terbesar kedua-dua parti teras Melayu itu?

Kejayaan terbesar orang Melayu ialah berhasil menanam kebencian terhadap sesama bangsa.

Kejayaan terbesar orang Melayu ialah berhasil menyemarakkan api kebencian terhadap sesama umat. Itulah kejayaan terbesar bangsa Melayu yang mana kejayaan seperti itu tidak pernah dicapai oleh bangsa-bangsa lain di mana-mana pelosok dunia.

Orang Melayu barangkali sangat berbangga dengan kejayaan itu apabila sikap mereka itu disebut-sebut dan disanjung-sanjung oleh bangsa-bangsa lain di dunia.

Marilah menuju kejayaan.

“Damaikanlah saudara-saudara kamu yang sama agama dengan kamu.”


Salam Perjuangan !!!

Saturday, March 16, 2013

Pejuang atau Penghancur Islam !


Pejuang atau Penghancur Islam !



Seorang rakan yang juga seorang pengkaji pernah memberitahu pejuangmelaka, orang Melayu mudah lembut hati dan bersimpati kepada bangsa Asing (bukan Islam) yang menunjukkan minat terhadap Islam. Perkara itu tidaklah menghairankan kerana rata-ratanya orang Melayu sememangnya dikenali sebagai kaum yang mengutamakan agama. Malangnya, sesetengah pihak menggunakan aspek psikologi Melayu ini sebagai satu titik kelemahan dan senjata untuk mengugat kesucian Islam. Justeru itu, jangan dihairankan jika diteliti kepada sesetengah kes Melayu murtad (terutamanya di kalangan wanita) bermula dengan pasangan bukan Islamnya berpura-pura berminat untuk mengenali Islam sebelum meracuni kembali pemikiran pasangan Islamnya.

 
Dewasa ini juga, dapat kita lihat sesetengah politikus bukan Islam di hadapan hadirin beragama Islam, ghairah untuk menunjukkan kononnya mereka mesra-Islam. Maka sesetengah umat Melayu-Islam juga mudah terpesona apabila ada dikalangan politikus bukan-Islam ini dihadapan mereka ini tampil berbaju kurung dan berselendang, berbaju Melayu dan bersongkok, berceramah sambil memetik satu dua ayat Al-Quran (walaupun salah dan tunggang langgang), walaupun niat mereka sebenarnya hanya untuk memancing undi umat Islam semata-mata.


Kemuncaknya adalah apabila Lim Guan Eng secara terbuka menyatakan bahawa parti DAP pimpinannya turut memperjuangkan Islam di Negara ini, sedangkan hakikatnya, belum reda lagi isu dia mendesak supaya kalimah Allah dibenarkan untuk digunapakai dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Kepada Melayu-Islam yang terlalu lurus dan naïf, mereka boleh pula berbangga dengan saranan tersebut dan menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah salah satu kaedah untuk berdakwah kepada orang Kristian untuk mengenal tuhan yang sebenar. Kepada Melayu-Islam yang celik dan tidak terkongkong dengan politik kepartian sempit, mereka sedar bahawa tindakan tersebut merupakan satu jarum halus untuk mengelirukan orang Melayu-Islam dalam hal ketuhanan khususnya kepada anak-anak muda kita yang cetek pengetahuan agama.


Pejuangmelaka menafikan bahawa sememangnya umat Kristian terutamanya di Sabah telah lama menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible mereka. Tetapi tidakkah para pembaca sekalian merasa pelik apabila parti chauvinis yang sering memperlekehkan dan mengabaikan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tiba-tiba sahaja beriya-iya mendesak supaya nama Allah dibenarkan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu yang mereka sendiri tidak gunakan? Sedangkan para pemimpin politik Kristian dari Sabah dan Sarawak sendiri tidak mempolitikkan isu ini kerana ia telah diselesaikan secara berhemah demi menjaga keamanan Negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.


Kepara para pembaca Melayu-Islam yang terlalu 'sayangkan' DAP dan masih beriya-iya ingin mempertahankan mereka kononnya 'mesra Islam', cubalah teliti tindakan-tindakan anti-Islam mereka seperti di bawah ini setelah mendapat kuasa pasca PRU-12 sebelum ini :


1) Kerajaan DAP Pulau Pinang dikatakan cuba menghalang perarakan sambutan Maulidur Rasul di Pulau Pinang pada 13 Februari 2010 namun akhirnya dibatalkan setelah mendapat kecaman ramai.


2) Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP telah menyelar dan memarahi Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Pemuda PAS, kerana menggesa Pihak Berkuasa Agama di empat buah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat untuk menguatkuasakan dan mengadakan operasi cegah khalwat dan zina sempena Hari Valentine pada 14 Februari.


3) Ronnie Liu Tian Khiew, EXCO DAP Selangor telah memarahi dan mengecam Dato’ Dr. Hassan Ali, EXO PAS Selangor dan mengarahkan supaya bekalan arak yang dirampas daripada Kedai 7-11 di Shah Alam, yang merupakan sebuah kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam, dipulangkan semula.


4) Teresa Kok Suh Sim, EXCO DAP Selangor berdolak dalik tentang isu petisyen memperlahankan bunyi azan bagi surau di Puchong dengan akhirnya mengakui penduduk yang membantah tentang bunyi azan tersebut pernah menghantar salinan petisyen tersebut ke pejabatnya dan minta bekas pembantunya untuk "acknowledge receipt" dengan cop pejabatnya dalam surat mereka;


5) Teo Nee Ching, Ahli Parlimen Serdang dari DAP menghina rumah ibadat umat Islam apabila memasuki Surau Al-Huda di Kajang dengan memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan menampakkan susuk badan serta memijak tempat sujud umat Islam untuk bersolat kepada Allah. Perkara ini telah mendatangkan murka Sultan Selangor sebagai pemimpin Islam negeri dan baginda telah memberi teguran.


6) David Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Taiping dari DAP yang mengaku dirinya seorang Kristian mempermainkan kesucian Al-Quran dengan membaca Surah Al-Aura yang tidak pernah wujud di dalam al-Quran.


7) Jeff Ooi, Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang merangkap Ketua Staf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang disiarkan di dalam akhbar The Sunday STAR bertarikh 2 Ogos 2009 di mukasurat N.12 menuduh Mohd. Razali bin Abdullah, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang daripada PKR sebagai "Muslim extremist" hanya kerana menjadi ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang merupakan sebuah NGO Islam. Jeff Ooi telah diarah membayar denda RM150,000 kepada Mohd. Razali Abdullah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 23 Mei 2011 atas tuduhan tersebut termasuk mendakwa Mohd. Razali Abdullah sebagai “Mad Man”.


8) Jeff Ooi, Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang menggelabah dan berdolak dalik dalam isu Majlis ikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Negara dan melantik Perdana Menteri Malaysia dari kalangan Kristian. Dia kemudian mendesak seorang saksi ahli DAP beragama Islam, Mohamed Razali Abdul Rahman, yang turut berada dalam majlis tersebut supaya mendedahkan kandungan laporan polis yang telah dibuat. Mohamed Razali Abdul Rahman kemudian sekali lagi membuat laporan Polis apabila menerima ugutan yang mengancam nyawanya sebelum dipecat terus keanggotaannya tanpa bicara dari DAP.


9) Ronnie Liew, EXCO Kerajaan DAP Selangor telah membekukan arahan Majlis Daerah Kuala Selangor yang telah mengarahkan pasangan Muslim yang belum berkahwin supaya duduk berasingan di dalam pawagam.


10) James Ngeh Koo Ham dalam twitternya telah memperlekehkan umat Islam apabila menyatakan umat Islam telah membuang terlalu banyak masa dan tenaga untuk membantah penayangan filem yang menghina Islam oleh Sam Basile.


11) DAP Kedah menegaskan mereka akan menentang pelaksanaan Garis Panduan papan iklan yang ingin dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan bertudung jika beragama Islam.


Selepas ini, tidak mustahil mungkin DAP akan mengaku pula mempertahankan hak Istimewa orang Melayu dan memperjuangkan hak kaum-kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak! Maka pada waktu itu bolehlah para Melayu-Islam yang lurus bendul ini bersujud syukur beramai-ramai dan mendoakan lagi para pemimpin kuffar ini dalam khutbah Solat Jumaat mereka.



Salam Perjuangan !!!

Monday, March 11, 2013

HAK KETUANAN MELAYU !






Pemimpin nombor dua ANTI KERAJAAN Perak yang pernah menjadi Menteri Besar, membangkitkan semula ketika memberi tazkirah di dalam masjid.

Beliau menyifatkan konsep ketuanan Melayu yang diamalkan di negara ini sejak 55 tahun lalu mesti dihapuskan serta 'dihumban' keluar daripada arus politik negara. Katanya lagi, konsep ketuanan Melayu hanya menanam sifat kebencian terhadap kaum sekali gus membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman. Hairannya, tiada angin pokok bergoyang. Apa tujuan membangkitkan isu ini?

Ya, saya tidak nafikan. Kemuliaan seseorang bukan terletak kepada ketuanan bangsanya, tetapi kepada keimanan dan ketakwaan. Tidak ada makna, bangsa mulia, agama tercela. Allah tidak ada akan tanya kita soal bangsa, keturunan dan darjat di alam barzakh. Yang ditanya adalah soalan-soalan bocor yang semua sedia tahu seperti siapa Tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa Nabi kamu? Jika dapat jawab, selamat. Jika tidak, tunggulah pembalasannya.

Lagipun dalam al-Quran tidak ada nama-nama bangsa seperti Melayu, Cina, India, mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak, kecuali kaum tertentu dalam lipatan sejarah. Al-Quran menjelaskan secara umum kejadian sesuatu bangsa yang diciptakan untuk saling mengenali. Bangsa yang paling mulia adalah kalangan mereka yang beriman dan bertakwa. Pastinya dalam hal ini setiap bangsa yang diciptakan ada asal-usul dan tanah tumpah darahnya.  

Tidak berlaku dalam sejarah, sesebuah negara tiba-tiba mempunyai pelbagai bangsa. Lumrah yang berlaku, satu bangsa dicipta di satu tempat. Bangsa tersebut akan menjadi nama identiti negara, seperti Melayu-Tanah Melayu, Cina-China, India-India dan lain-lain. Bangsa-bangsa ini adalah tuan kepada tanah airnya sendiri. Jika ada hak-hak istimewa mereka, itu adalah perkara biasa, selagi mana ia tidak menindas dan menganiaya orang lain.

Pada saya, istilah ketuanan Melayu bukanlah punca Melayu  benci kepada Cina dan India, atau sebaliknya seperti yang didakwa. Jika dihilangkan istilah ketuanan Melayu dan digantikan dengan ketuanan syarak sebagaimana yang disyorkan, apakah jaminan bahawa perkara negatif tersebut tidak berlaku? Bolehkah DAP akan menerima ketuanan syarak? Cakap biar berpijak di bumi nyata.

Permasalahan hari ini bukan berpunca daripada istilah ketuanan Melayu. Istilah tersebut tidak bersalah. Yang berdosa adalah manusia yang mengimplementasikan sesuatu sistem sehingga menimbulkan masalah. Misalnya,  sistem pendidikan, perumahan, akhbar dan banyak lagi sosialisasi yang bersifat perkauman. Kenapa terlalu sukar untuk mengakui kelemahan ini?

Saya bersetuju dengan pendapat, bangsa sukar untuk mempertahankan agama, sebaliknya agamalah memperkuatkan bangsa. Mulianya Melayu bukan kerana Melayu tetapi kerana Islam. Melayu menjadi mulia setelah memeluk Islam 600 tahun lalu. Tanpa Islam, Melayu tidak ada apa-apa.

Saya harap beliau buatlah literature review mengenai ketuanan Melayu. Mungkin juga beliau boleh membaca buku saya bertajuk Masih Adakah ketuanan Melayu? Janganlah mencari publisiti murahan dengan memperalatkan istilah ini. Ketuanan Melayu bukan merujuk kepada Melayu itu tuan, bangsa lain itu hamba.

Selaku pengkaji, istilah ketuanan Melayu hanyalah satu identiti, merujuk kepada penduduk asal negara ini atau penduduk yang mula-mula membentuk kerajaan di Tanah Melayu. Ketuanan langsung tidak merujuk kepada ketidakadilan. Lagipun, keadilan bukanlah merujuk kepada 1=1, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perlu difahami bahawa unsur-unsur ketuanan Melayu terdapat dan termaktub dalam perlembagaan seperti hak istimewa Islam, Melayu dan Raja.

Sama juga masalah yang berlaku di Lahad Datu hari ini. Kesultanan Sulu sudah tidak ada hak ke atas Sabah. Ketuanannya ke atas Sabah telah hilang apabila mereka tidak membentuk kerajaan di sana. Referendum rakyat Sabah sebulat suara mahu berada dalam Malaysia. Suruhanjaya Cobbold ini ditubuhkan menguatkan lagi kedudukan Sabah sehingga membawa kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Benar, asal-usul Sabah berada di bawah ketuanan Kesultanan Sulu sebelum diserahkan kepada Syarikat Borneo Utara. Setelah diserahkan, rakyat Sulu tidak ada lagi ketuanan di sana. Sabah telah menjadi sebahagian negeri kolonial British. Pada 1962, British menyerahkan negeri Sabah kepada Tanah Melayu sebagai menyambut idea penubuhan Malaysia selaras dengan kehendak rakyat Sabah. Walaupun selepas itu Filipina,Indonesia dan Brunei turut menuntut, ia sudah tidak sah lagi kerana ketuanannya telah hilang. Pada 9 Julai 1963, British dan Tanah Melayu mencapai kata sepakat, setuju Sabah sah milik Tanah Melayu. Tuntutan waris Sultan Sulu hanya berdasarkan surat pajakan lama yang sudah tidak relevan lagi. 

Contoh ini amat jelas dalam memahami ketuanan sesuatu bangsa. Pengorbanan mempertahankan kedaulatan negara adalah suatu jihad. Malangnya ada segelintir yang menuduh ia adalah sandiwara. Lebih menyedihkan ada yang sanggup berkata, polis yang terkorban adalah mati katak. Saudaraku, cubalah hayati SMS yang dihantar oleh salah  anggota polis yang berkorban, vat69

"Wahai Isteriku, maafkan abang seandainya abang tersalah cakap mahupun terkasar perbuatan..jagalah dan didiklah anak-anak kita menjadi orang yang berguna. Wahai anak-anakku, maafkan ayah kerana acapkali ayah tiada disaat anak-anak ayah memerlukan kasih sayang seorang ayah.. Wahai mak & abah, ampunkan anakmu dari hujung rambut hingga hujung kaki, sesungguhnya mak & abah telah mendidik aku menjadi insan yang berguna pada negara.. Wahai Ibu & Ayah Mertuaku, maafkan anakanda kerana memilih kerjaya yang memungkinkan anak ibu & ayah menjadi balu sebelum usia.. Oh Malaysiaku, maafkan aku andai aku gugur di medan perang. Demi Allah aku telah berusaha sedaya upaya.." 

Membaca SMS ini tiba-tiba air mata gugur. Inilah semangat ketuanan bangsa berdaulat. Sanggup mati sebagai pahlawan yang sejati demi agama, bangsa dan negara. Jasamu pasti dikenang, mereka yang hidup belum tentu seberani ini. Al-Fatihah.


Bersatulah Melayu ! Salam Perjuangan !!!