Nampaknya semua begitu ghairah mahu menjadi Perdana Menteri (PM) dalam perjalanan menuju Putrajaya, selepas Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) nanti. Barisan Nasional sudah pasti akan berhempas pulas mempertahankannya. Manakala, parti pembangkang, terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ultra kiasu, kelihatan begitu ghairah. Ingatan saya, jangan melebihi kuasa Tuhan. Berjaya atau tidak, itu bukan kuasa kita. Serahkan kepada Yang Maha Esa.
PAS awal-awal lagi menasihatkan rakan-rakan sekutunya, kepimpinan Pakatan Rakyat dan penyokong parti pakatan, supaya memberikan tumpuan untuk “menumbangkan” UMNO-Barisan Nasional (BN) dan bukan memikirkan siapa calon PM, sekiranya pemimpin nombor satu PKR itu dihukum penjara atau tidak. Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menegaskan perhimpunan aman 901 bukan semata-mata kerana mahu membela Anwar Ibrahim tetapi sebagai “mesej penting” kepada Putrajaya. Jelas sekali, PAS pun agak tidak selesa dengan PKR dan ultra kiasu yang bernafsu besar untuk membolot jawatan tertinggi negara, jika ditakdirkan memerintah. Pada mereka, pemimpin mereka semua layak, yang tidak layak hanya PAS. Ultra kiasu tidak suka orang berserban, berjubah dan berjuang untuk Islam.
Sebab itulah kenyataan Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa langsung tidak disokong apabila mereka berdua mengatakan Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz adalah calon yang paling layak menjadi PM jika pemimpin PKR itu tidak dibebaskan. PKR dan ultra kiasu terdiam, serta cepat-cepat menasihatkan supaya tidak dibincangkan perkara tersebut. Nampak atau tidak, strategi mereka mengenepikan PAS. Bacaan saya, jika ditakdirkan pemimpin nombor satu PKR itu masuk penjara, alternatif lain masih lagi bukan PAS, tetapi pemimpin nombor dua PKR dan mungkin juga ultra kiasu sendiri.
Ternyata parti politik ultra kiasu ini langsung tidak menghormati PAS. Sedangkan dari segi senioriti, PASlah yang paling layak, dan paling banyak berjasa. PAS bukan sahaja lebih lama dari segi usianya, malahan pemimpin mereka lebih berakhlak daripada PKR dan ultra kiasu, kecuali beberapa tokoh tertentu.
Saya tidak mahu kaitkan dengan muslimat PAS yang beraksi berani semasa Perhimpunan 901 berdekatan kompleks mahkamah. Nampaknya muslimat PAS semakin pandai menyanyi, termasuk bersalaman dengan orang lelaki, sejak berpakat dengan pakatan sekular tersebut. Saya amat terkejut atau terkejut beruk. Nasib baik tiada lemah jantung. Kalau tidak, sudah tentu akan pengsan saya melihat gelagat muslimat PAS ini. Dahulu, bila bercakap dengan lelakipun menggunakan tabir. Apakah selepas ini, PAS akan menafikannya dengan mengatakan bahawa itu adalah sandiwara UMNO? Nasihat saya, janganlah menggadaikan prinsip hanya kerana ghairah untuk menawan Putrajaya.
Apakah benar jangkaan saya selama ini, semakin liberal PAS, maka semakin PAS mendapat sokongan. Sebaliknya, semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin UMNO dapat mengekalkan Putrajaya. Sekiranya jangkaan saya ini benar, UMNO tidak ada pilihan lain, kembalilah kepada Islam. Biarkan PAS dengan cara barunya itu. Kita lihat hasilnya. Namun, saya yakin, mereka yang cenderung kepada Islam, tidak akan kalah dalam erti kata sebenar, walaupun mungkin kalah dalam pilihan raya.
Apapun, perbuatan muslimat PAS, amat tidak manis dan tidak sedap dipandang mata. Apatah lagi dengan memaki “mampus UMNO”. Jika “UMNO mampus”, apakah PAS yakin PAS akan terus hidup tanpa UMNO? Jangan begitu wahai muslimat PAS! Di manakah kelembutan anda sebelum ini? Jangan kerana terlalu ghairah ke Putrajaya sehingga hilang adab sopan dan tata susila Islam?
Hakikatnya kini, pemimpin nombor satu PKR telah dibebaskan oleh mahkamah. Sudah tentu semua mata tertumpu kepada beliau. Kepimpinan PAS janganlah ada yang bercita-cita untuk menjadi PM. Timbalan PM pun, pada saya fikir masih sukar jika berjaya ke Putrajaya. Kecualilah diwujudkan tiga jawatan Timbalan PM. Ahli parlimen Shah Alam pula janganlah terlalu berharap. Begitu juga dengan ‘pakar perlembagaan’ yang baru mahu mencuba nasib. Terus terang, pembebasan pemimpin tertinggi PKR, bukan bermakna beliau tidak bersalah. Bukti-bukti untuk membuktikan beliau bersalah tidak cukup. Hanya beliau dan Allah sahaja yang mengetahui sama ada beliau bersalah atau tidak. Asasnya, penghakiman dunia telah berlaku. Kita terima dengan lapang dada.
Dalam hal ini, saya sependapat dengan Nasharuddin Mat Isa. Apa lebihnya PKR berbanding dengan PAS. PAS telah menunjukkan kebolehan memerintah lama di Kelantan dan masih baru di Kedah. Sedangkan PKR dan ultra kiasu baru setahun jagung di Selangor dan Pulau Pinang. Itupun begitu ghairah hendak bertanding. Hatta, kerusi yang selama ini ditandingi oleh PAS pun, mereka masih mahu merebut. Kalau diikutkan, PKR tidak layak bertanding di kawasan kubu kuat PAS seperti kerusi-kerusi Kelantan, Terengganu dan Kedah. Demi politik, PAS terpaksa memberi laluan. Itulah politik, sesuatu yang sukar dijangka.
Apapun, laluan ke Putrajaya hanyalah kalau, Allah sahaja yang Maha Tahu siapa yang akan menjadi PM. Melalui pengamatan saya, agak sukar untuk menumbangkan BN. Paling terukpun, majoriti BN akan semakin menipis. Untuk ultra kiasu menang mudah jauh sekali. Namun, mereka nampak begitu bongkak, takbur dan ujub. Nasihat saya, kejahatan yang dikesali, lebih baik daripada kebaikan yang ditakburi. Hari ini, saya amati, kita jarang kesali dengan perbuatan terkutuk yang telah banyak dilakukan. Rata-rata kita lihat, kita amat takbur dengan sedikit kebaikan yang telah dicurahkan. Sedikit kebaikan itulah yang diberikan publisiti besar-besaran. Apakah kebaikan yang ditakburi itu boleh menenggelamkan kejahatan yang kita lakukan selama ini? Tidakkah lebih baik kejahatan itu yang kita perlu kesali?
Apakah kita memberi jaminan bahawa jika ultra kiasu Melayu ini memerintah, mereka akan lebih bersih daripada UMNO sebab mereka dahulupun adalah orang UMNO juga? Apakah tabiat lama mereka sudah dipadamkan begitu sahaja? Mungkinkah Allah telah menerima taubat mereka? Saya bimbang, keghairahan mereka akan menjadikan mereka memerintah lebih teruk daripada UMNO. Sebab itu, saya tidak pernah percaya dengan parti ultra kiasu ini. Perjuangannya tidak jelas, nak kata Islam pun tidak, perjuangkan keadilan pun tidak. Apa yang saya lihat, mereka turut berebut-rebut tender projek di majlis perbandaran dan negeri-negeri pemerintahannya. Jika tidak percaya, kita boleh sama-sama buat kajian mengenai budaya yang berlaku hari ini. Berapa ramai orang UMNO yang mendapat projek di negeri pimpinan mereka?
Ingatlah pesan Al-Qarni, manisnya kekuasaan baru terasa setelah turun, laksana bayi yang baru merasa manisnya menyusu pada saat telah dihentikan. Kegembiraan waktu menjawat akan segera lenyap dengan kesedihan sewaktu diberhentikan. Ingatlah, kekuasaan atau jawatan selalu bersifat sementara, ibarat roda berputar. Kita tidak boleh menongkat langit, kecuali Pencipta yang menjadikan maya pada ini.
Hari ini, apa yang sepatutnya kita lakukan dengan mencintai atau menyayangi sesama kita, sebab kita semua seagama. Saya teringat kepada kata-kata, the most important thing in any relationship is not what you get, but what you give. Ingatan saya kepada PAS dan UMNO, the best way to destroy an enemy is to make him a friend.
Salam Perjuangan !
No comments:
Post a Comment