Monday, June 4, 2012

KENAL DIRI UNTUK KENAL TUHAN

Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa kenal dirinya, akan kenal Tuhannya.”
Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa kenal dirinya, akan kenal Tuhannya.” Jadi kita hendak kenal diri kita. Kalau tidak kenal diri, tidak kenal Tuhan. Makin banyak kenal diri, makin banyak kita kenal Tuhan. Makin mendalam kita kenal diri, makin mendalam kita kenal Tuhan.

Perkataan manusia itu dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris disebut human being. Dalam bahasa Arab, disebut ‘insan’. Insan itu, kalau diterjemah ke bahasa Malaysia, ertinya pelupa. Mari kita kenal bahawa kita adalah makhluk pelupa. Jadi bila disebut manusia atau insan itu, bukanlah satu benda yang gah. “Kalau kita kata, mari kita kenal intan.” Besarlah. Tapi kalau sebut,”mari kita kenal orang pelupa,” apalah indahnya. Intan tidak ada rasa bangga tetapi manusia yang pelupa ini suka bangga. Apalah indahnya bila Tuhan kata kita ini makhluk pelupa?
Sekarang kita hendak kenal makhluk pelupa iaitu kita. Makhluk pelupa atau insan ini, ada 4 unsur yang paling penting padanya. Kalau tidak ada 4 unsur ini, dia bukan manusia, bukan pelupa. Dia boleh jadi malaikat, binatang, syaitan atau jamadat yakni benda-benda yang keras seperti kayu, batu, tanah. Jadi pada diri manusia itu ada 4 unsur yang sangat penting. 4 unsur itu merupakan satu pakej yang menggerakkan tenaga manusia. Yang satu sama lainnya, perlu-memerlukan. Kalaulah ada satu yang jam, tidak boleh kerjasama, habis.
Sebab itu keempat-empat unsur ini hendaklah dihidupkan dan dicergaskan untuk membolehkan manusia ini bergerak. Supaya keempat-empat unsur itu boleh bekerjasama, bantu-membantu untuk menggerakkan manusia, agar boleh bertindak, bekerja, berjuang, membangun dan sebagainya. Unsur-unsur itu adalah:

1. Fizikal atau dalam bahasa Arabnya – jawarih.
2. Akal
3. Nafsu
4. Roh

Apakah peranan keempat-empat unsur ini? Apa peranan fizikal? Tenaga lahir adalah rakyat dalam diri. Ia alat yang dialatkan oleh roh, akal dan nafsu. Yang lahir ini ia taat sahaja. Kalau 3 unsur tadi tidak aktif, maka fizikal pun tidak aktif. Itu yang jadi kaki tidur. Sebab akal, roh dan nafsu tidak aktif, maka ia tidur. Anggota lahir tidak pandai berfikir atau merancang, ia hanya tunggu arahan. Dia jadi rakyat dalam kerajaan diri.
Apa pula peranan akal? Kita ada akal tetapi kita tidak tahu apa peranannya. Pelik juga. Sebab ia bersifat maknawiyah. Anggota lahir itu kita nampak ia bekerja. Tapi kalau kita tanya orang, “Apa kerja akal awak?” “Entahlah.” Sebab itu perlu kenal akal sebab ia sebahagian dari manusia. Akal itu peranannya atau kerjanya menerima maklumat, menerima pengalaman, menerima ilmu, kemudian, masuk ke otaknya, ia diproses dan disimpan. Bila perlu, ia dikeluarkan balik. Proses itu yang dikatakan berfikir. Contohnya, dia tengok cawan, maklumat itu masuk. Dia tidak biarkan. Dia berfikir. Itu kalau otaknya aktif. Kalau tidak, kita tidak ajak otak bekerja. Macam fizikal yang tidak diajak bekerja. Begitulah kebanyakan umat Islam kini. Maklumat sudah jumpa tetapi akal tidak diajak bekerja, jadi pasif. Sebab maklumat tidak diproses. Jadi peranan akal, terima maklumat, ilmu, pengalaman, masuk ke otak dan diproses. Disimpan. Bila perlu, dikeluarkan.
Pernah tak kita lihat kilang bekerja? Ada kilang yang tidak ada enjin. Prosesnya pakai tangan. Ada kilang yang guna enjin yang terhegeh-hegeh. Ada kilang yang guna enjin yang canggih. Kalau yang pakai tangan, satu jam baru boleh siap kuihnya. Kalau yang canggih, seminit siap. Cepat betul prosesnya. Begitulah juga otak. Ada yang laju dan ada yang perlahan. Bila akal laju, dengar maklumat sahaja, dia boleh proses dan terus keluar. Yang perlahan, dia lambat proses maklumat sebab tidak latih. Sangat rugi. Jadi kalau begitu, akal ini banyak peringkatnya. Itu akal manusia biasa. Para Rasul lain. Mereka khususiah. Akal yang begitu bagi kita yang bukan rasul dan bukan nabi.
Peringkat-peringkat akal manusia:
Genius atau bahasa arabnya, abqari. Genius pula di pelbagai bidang. Contohnya, di bidang kedoktoran, ada seorang genius. Di bidang engineering, ada seorang genius. Dalam semua hal, ada yang genius. Dalam bidang apa pun, genius ini, dalam seratus tahun ada seorang. Genius itu manusia luar biasa yang bukan seorang Nabi. Genius ini ialah orang pertama membuat penemuan dalam apa-apa bidang. Dengan kata-kata lain, orang yang buat matan. Ilmu itu betul-betul dari dia. Datang orang kemudian, barulah matan itu diproses balik. Ilmu yang asal, dari orang yang genius. Ini pembuat matan. Kalau orang Islam, di bidang syariat, geniusnya adalah Imam Syafie. Di bidang tasawuf, geniusnya ialah Imam Ghazali.
Cerdik. Akal yang cerdik ini, bila dia dapat satu benda yang telah ditemui oleh orang pertama (Pembuat matan), dia boleh hurai. Kalau orang pertama, dapat matan 1 jilid, orang yang cerdik ini kaji dan hurai hingga dapat 10 jilid. Kalau orang yang tidak sekolah tentu anggap orang yang boleh buat 10 jilid itu lah yang lebih bijak. Padahal orang yang pertama itu genius sebab buat matan.
Cerdik Sederhana. Pembuat hasiah. Yang 10 jilid tadi, orang yang buat hasiah boleh hurai hingga jadi 20 jilid. Imam Syafie buat Umm satu jilid kecil. (matan). Dari Umm, keluar Tufah dan Majmuk oleh mereka yang cerdik sederhana.
Sederhana. Macam kita. Boleh terima ilmu tetapi tidak pandai hendak keluarkan balik. Faham tetapi susah hendak keluarkan.
Lemah. Hanya faham yang asas-asas. Kalau diberi lebih dari itu, dia jemu dan tidak boleh faham.
Dungu. Yang asas pun payah untuk dia hendak faham.
Kebanyakan manusia secara umum, akalnya seperti yang 3 dan 4. Yang pertama tadi hanya 100 tahun seorang. Kita boleh agak akal kita macamana. Kalau rasul, dia special case. Dia tidak boleh dikatakan genius atau abqari. Ada istilah sendiri. Dia dikatakan Fatonah. Selain rasul tidak boleh dikatakan Fatonah walau hebat macamana pun. Rasul special case. Otaknya boleh terima wahyu. Kalau otak biasa boleh mati. Apa buktinya? Tentu ada hujahnya. Rasulullah itu, otaknya fatonah. Kadang-kadang sedang naik unta, datang wahyu, terduduk unta. Peluh Rasulullah keluar sebesar biji jagung. Itu pun mungkin satu dua ayat sahaja yang turun tetapi dengan unta-unta pun terduduk. Jadi kalau otak tidak macam rasul, dapat satu ayat pun tidak ada manafaat. Boleh mati.
Jadi sekarang fahamlah kita tentang peringkat-peringkatnya otak. Dalam masyarakat insan yang tidak bersatu, yang tidak ada kasih sayang, berapa ramai orang yang otaknya cerdik tetapi terbiar. Di sinilah rahsianya. Hari ini ada berapa ramai profesor. Orang kata profesor hebatlah. Dia jadi profesor bukan sebab dia cerdik. Otaknya sederhana tetapi dia diberi peluang. Mak ayahnya mungkin kaya atau dia kroni kerajaan. Dia dibantu. Sedangkan mungkin ada anak orang miskin yang begitu bijak tetapi orang tidak peduli. Sekolah sampai darjah enam. Sebab itu umat Islam sudah tidak bangun sejak 700 tahun lalu. Rugi betul.
Banyak otak cerdik terkorban sebab tidak dapat peluang. Sebab itu, tidak payahlah tengok 100 tahun yang lalu. Kita ambilah bukti yang agak dekat iaitu 50 tahun sudah. Dalam bidang bahasa, ada tak orang Islam, khususnya orang Melayu yang jadi pendita. Ada seorang iaitu Zaaba. Apakah tak ada orang lain yang cerdik? Ada tetapi terpinggir. Masyarakat kampung pun tidak peduli. Sebab itu professor ramai tapi tidak ada seorang pun jadi pendita. Berapa banyak professor, tetapi seorang pun tidak boleh buat 50 buku. Yang ada tesisnya sahaja. Akhirnya umat Islam rugi sebab orang Islam sekarang tidak boleh mencabar dunia.
Semenjak 50 tahun yang sudah, mana ada seorang pujangga selepas Hamka dan Agus Salim mati. Kenapa? Sebab yang pandai-pandai tidak diberi peluang. Yang berilmu sekarang ini, orang yang tidak pandai tetapi diberi peluang. Akhirnya yang rugi adalah orang Melayu. Selepas Agus Salim, Hamka, Mustafa Abdul rahman, mana ada penulis besar. Penulis artikel ramai tetapi penulis buku-buku tebal tiada. Mana ada penganti. Sebab orang-orang pandai sekarang bukan sebab otaknya baik tetapi sebab diberi peluang. Orang yang otaknya geliga, tidak sekolah. Dia tidak mampu. Masyarakat biarkan dan kerajaan biarkan. Akhirnya negara yang rugi.

No comments:

Post a Comment