Wednesday, July 18, 2012

Di mana Teras Perpaduan Melayu !




Perpaduan Melayu semakin kencang diperkatakan selepas pilihan raya umum lalu. Kemaraan pembangkang juga bertambah di parlimen. Isu perpaduan Melayu dicetuskan oleh kelompok yang prihatin dengan masa depan kuasa politik orang Melayu di Malaysia. Selama 50 tahun kuasa pentadbiran negara berada di tangan kaum itu tanpa dapat digugat oleh mana-mana pihak.

Kelompok nasionalis amat risau dan susah hati jika Melayu hilang kuasa manakala kelompok aliran agama, mereka tidak risau kerana bagi mereka kekuatan dan perpaduan Melayu terletak di dalam agama. Jika kuat penghayatan agama maka kuatlah Melayu.

Sejarah tamadun-tamadun di kepulauan Melayu dan Indocina silih-berganti. Kerajaan-kerajaan ini banyak bersandarkan kepada agama seperti Islam dan Hindu-Buddha. Tetapi tamadun pada zaman moden sangat berbeza. Amerika Syarikat menjadi sebuah negara bertaraf "super power" atau kuasa dunia kerana kekuatan ketenteraan dan ekonomi yang besar. Negara itu juga menguasai kekuatan teknologi maklumat, modal insan dan sosial masyarakat.

Walau bagaimanapun satu faktor kritikal yang menjadikan negara-negara kuasa dunia yang lain seperti Britain menjadi kuat dan berpengaruh ialah modal insan. Britain yang pernah menjadi empayar 200 tahun yang lalu tidak lagi kuat kerana pemimpin dan rakyatnya leka dengan kemewahan hidup dan kekuatan tersebut digantikan dengan negara lain.

"Maha suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan dan Dia maha kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia maha perkasa dan maha pengampun." (Al-Mulk:2)
Apakah teras kepada perpaduan Melayu yang hakiki? Bagi seorang ahli politik yang sayangkan bangsanya, dia akan melihat dari perspektif kuasa politik yang diperoleh melalui pilihan raya. Kuasa tersebut mesti dimenangi, dipertahankan dan dikekalkan. Manakala bagi seorang pejuang agama, dia melihat perpaduan Melayu dari perspektif kekuatan agama. Kuat agama maka kuatlah Melayu.

Bagi mengulas isu ini iaitu yang mana sepatutnya menjadi teras kepada perpaduan Melayu, adalah lebih baik kita melihat strategi Muhammad bin Abdullah saw menggerakkan umat Arab untuk bersatu dan menguasai sebahagian besar dunia dengan bermaruah.

Bangsa Arab menjadi kuat dan berpengaruh kerana mereka mengambil Islam sebagai cara hidup. Islam telah membentuk nilai-nilai yang menggerakkan kekuatan, kehebatan dan perjuangan yang luar biasa sehingga makam pahlawan dan pendakwah berselerak di merata tempat. Makam Saad bin Abi Waqas berada di China manakala kubur pedagang-pedagang Arab berselerakan di kepulauan Melayu.

Modul perubahan diri yang diguna pakai oleh Nabi Muhammad saw ialah al-quran dan sunnah. Kedua-dua bahan ini merupakan alat penting untuk melakukan transformasi umat Arab daripada menjadi masyarakat jahiliyah kepada sebuah bangsa yang menguasai dunia. Proses pembentukan dan pengukuhan ini terbina dalam masa 23 tahun sahaja.

Al-quran dan sunnah merupakan modul khas pendidikan daripada Allah swt untuk menjadi panduan dan rujukan kepada manusia. Al-quran dan sunnah mengajar dan mengajak manusia untuk berakhlak yang baik, lembut dan berbicara dengan santun. Rasulullah saw memulakan proses berkenaan sedikit demi sedikit dengan menguatkan asas akidah, mengukuhkan persaudaraan dan keyakinan kepada Islam. Seterusnya barulah dikembangkan kepada sosial, politik dan ekonomi. Ia sesuai dengan tugs seorang rasul iaitu membawa khabar gembira, menyampaikan peringatan, menjadi saksi umat di akhirat kelak serta khabar syurga dan neraka.

Al-quran dipenuhi dengan cerita-cerita untuk diambil sebagai teladan seperti Ashab al-kahfi atau Abu Lahab.

Pada peringkat awal, baginda saw menyampaikan asas-asas akidah melalui kumpulan usrah yang kecil. Di sinilah nilai-nilai bangga dengan Islam, berasa mulia dengan Islam dan sanggup mempertahankan Islam dibentuk. Perkara yang paling penting ialah proses membebaskan pemikiran daripada budaya dan amalan jahiliyah kepada perasaan bangga dan berasa hebat apabila bersama dengan Islam.

Nilai-nilai inilah yang menjadikan Umar Al-Khattab r.a seorang yang adil, Hatim seorang yang dermawan, Al-Ahnaf seorang penyantun dan sopan, Ibrahim bin Adham seorang yang zuhud dalam kehidupannya, Ibnu Al-Jauzi seorang yang hebat nasihatnya, 'Antarah seorang yang berani, Abu Hanifah seorang yang cerdas dalam fikah, Abu Zar seorang yang jujur, Ibnu Khaldun yang pakar sejarah, Ubay bin Kaab r.a seorang pakar dalam bidang bacaan al-quran, Umar Abdul Aziz seorang khalifah yang soleh dan Imam Bukhari pakar dalam bidang hadis.

Masa depan perpaduan Melayu tidak akan muncul dari kelompok nasionalis yang menggunakan perpaduan bangsa sebagai tema sebaliknya perpaduan Melayu akan terserlah di tangan pejuang-pejuang agama. Mereka ini tidak semestinya berada di dalam kelompok politik sebaliknya boleh jadi dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sebuah jemaah Islamiah yang mempunyai ahli-ahli yang ikhlas untuk menegakkan kasih-sayang sesama umat Islam. Momentum gerakan kelompok ini semakin kuat apabila masyarakat Melayu sendiri secara beramai-ramai mula mencari pendekatan untuk menyelesaikan masalah mereka yang merisaukan seperti isu peljar sekolah dan remaja Melayu pada hari ini.

Orang-orang Melayu yang mula bimbang dan cemas apabila melihat tingkah laku remaja mereka pada hari ini, mula mencari jalan keluar kepada keadaan ini. Semakin hari semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah agama dan kerajaan sendiri terpaksa menambah sekolah aliran ini. Ini adalah petanda bahawa masyarakat Melayu menaruh keyakinan yang sangat tinggi terhadap agama Islam sebagai benteng kerosakan akhlak anak-anak mereka.

Pejuang kebangsaan hanya dapat melaungkan suara perpaduan tetapi mereka ketandusan teras. Tempat mereka ini sedang diambil alih oleh kelompok yang memahami benar punca perpaduan yang mengutamakan kasih-sayang dengan agama sebagai teras. Mereka ini mahu mendidik masyarakat dengan asas kefahaman dan praktikal Islam dan pasa masa yang sama berbakti seluas-luasnya kepada masyarakat.

Orang Melayu lemas dengan kehidupan yang tidak selamat, jenayah berlaku setiap hari dan pemimpin yang tidak amanah. Mereka lari kepada agama kerana ingin mendapatkan keselamatan, melenyapkan jenayah dan menolak keluar pemimpin yang mungkar.

Penyelesaian kepada ketiga-tiga isu ini dan isu-isu lain ialah mengukuhkan kefahaman kepada agama Islam. Dalam agama ada pendidikan, politik, eknomi dan sosial yang mana akan memberi kuasa dominan kepada mereka. Arab menjadi kuat kerana Islam. Turki menjadi bangsa hebat kerana Islam dan Melayu boleh menjadi lebih hebat jika mengambil Islam sepenuhnya.

Kita tidak mahu perpaduan Melayu hanya kerana menjaga kuasa kelompok elit dalam masyarakat yang menyalah guna kuasa dan amanah. Apa yang kita mahu ialah perpaduan Melayu yang menguntungkan rakyat keseluruhannya. Kita mahu implikasi perpaduan tersebut membawa kesejahteraan kepada bangsa-bangsa lain supaya mereka hormat kepada bangsa Melayu dan mahu berterima kasih.

Perpaduan Melayu tanpa kasih-sayang adalah perpaduan yang sia-sia. Persengketaan dan perpecahan Melayu hanya dapat diselesaikan dengan kasih dan sayang yang lahir dari hati yang bersih. Sebelum kasih-sayang muncul, hati-hati yang ada pada setiap orang Melayu mesti ditempa dan dicanai supaya lahir keinginan untuk berkasih-sayang.

Rasulullah saw juga mengambil masa untuk memproses hati kaum Ansar dan Muhajirin. Namun setelah wujudnya akidah yang satu, perasaan kasih-sayang yang jitu dan kefahaman Islam yang padu, kekuatan umat dan bangsa Arab menaungi seluruh dunia.

"Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tidak ada seorang pun yang akan memberi petunjuk." (Al-Ra'd:33)


Salam Perjuangan !!!

No comments:

Post a Comment