Bagaimana dengan Melayu?
Kita sedar bahawa apabila kerajaan
mensasarkan tahun 2020 sebagai tarikh untuk melihat tegaknya sebuah
Malaysia yang maju, soal kepentingan Melayu turut diambil kira. Kerajaan
memang telah mensasarkan di mana dan bagaimana kedudukan Melayu pada
waktu itu.
Bagaimanapun kerajaan sendiri mungkin
tidak sedar bahawa banyak orang Melayu yang masih tidak tahu ke mana
sebenarnya mereka hendak dibawa. Sebahagian yang lain pula tidak tahu di
mana sasaran sebenar wawasan tersebut dan bagaimana hendak mencapainya.
Keadaannya sama seperti ketika DEB dilancarkan. Sebahagian Melayu tidak
tahu apa-apa. Sebahagian yang lain tahu dasar itu digerakkan untuk
mereka dengan sasaran menguasai 30 peratus kekayaan negara. Tetapi
mereka tidak cukup tahu bagaimana caranya untuk bergerak menuju ke
sasaran tersebut. Mereka diberi bekal, tetapi kurang dibimbing dan
ditunjukkan jalan. Hasilnya, DEB gagal mencapai matlamat sebenar.
Perkara yang sama mungkin berulang.
Tanggapan bahawa Melayu telah cukup kuat, hebat dan pintar sehingga
mereka boleh dibiarkan bersendirian menghadapi cabaran-cabaran ke arah
mencapai matlamat wawasan itu, boleh meranapkan impian sebenar.
Kenyataannya, Melayu belum memiliki ketiga-tiga ciri itu. Kekuatan
peribadi Melayu masih boleh dipersoalkan, kekuatan ekonomi mereka pula
masih bersifat penguasaan beberapa kelompok bukannya bersifat
menyeluruh; kehebatan Melayu masih terikat pada keberanian melawan
sesama sendiri bukannya keberanian menghadapi musuh luar; kehebatan
Melayu masih berlegar pada kecekapan meniru bukan pada kelicikan
melindungi nilai-nilai sendiri.
Mengharapkan Melayu mencari sendiri
kekuatan, kehebatan dan kepintaran itu bukanlah langkah wajar. Majoriti
Melayu tidak akan berupaya melakukannya. Mereka terlalu sibuk bercakaran
sesama sendiri. Mereka lebih seronok mencari siapa kawan malaikat dan
siapa pula kawan syaitan. Mereka sibuk dengan idealisme masing-masing
sehingga akhirnya menjadi tidak ideal lagi.
Melayu adalah urat dan nadi negara ini.
Kesempurnaan kemajuan negara harus bererti kesempurnaan kemajuan Melayu.
Tidak ada ertinya jika Malaysia maju, tetapi Melayu terus mundur. Tidak
ada maknanya jika yang berjaya cuma kumpulan-kumpulan kecil Melayu
sedangkan kelompok majoriti kian jauh tercicir. Lebih tidak bermakna
lagi jika di sebalik kemajuan itu, Melayu terus teraba-raba mencari
dirinya.
Belum terlambat bagi mana-mana pihak pun
untuk mengambil pendekatan-pendekatan serius bagi membimbing Melayu ke
arah menjadi bangsa yang sempurna menjelang tahun 2020 nanti. Tetapi ia
akan menjadi sangat terlambat jika kita menanti sehingga kedatangan
tarikh itu sebelum berbuat apa-apa.
Kita tidak mahu apabila tiba tarikh itu
Melayu terngadah sekali lagi. Ketika itu bukan lagi waktu yang sesuai
untuk bercakap tentang mencari ketuanan, mempertahankan kedaulatan raja
dan membina ikatan sesama ummah. Waktu itu kita tidak harus lagi gusar,
atau digusarkan, dengan kisah keruntuhan institusi kekeluargaan Melayu,
dengan cerita Melayu tanpa bapa yang lebih banyak daripada Melayu tanpa
rumah atau Melayu pembakar sekolah yang sama ramai dengan Melayu penagih
dadah. Pada masa yang sama juga, kita tidak patut lagi dibelenggu
masalah Tanah Simpanan Melayu, pencapaian ekonomi Melayu yang lemah,
kerakusan pentadbir Melayu, kegelojohan usahawan Melayu atau kebobrokan
kepemimpinan Melayu. Bangsa yang maju tidak harus dibelenggu oleh
masalah begitu. Ya, masalah-masalah tersebut, mesti diselesaikan pada
peringkat yang paling asas dan penyelesaian itu mesti dibuat SEKARANG!
Tanggungjawab memimpin Melayu ke arah itu
memang amat berat. Agenda menyelamatkan Melayu ini tidak boleh,
dijadikan agenda sisipan sahaja. Ia perlu digerakkan seiring dengan
agenda sebenar. Komitmen untuk memastikan Melayu tidak tenggelam
haruslah sama dengan komitmen untuk memastikan wawasan besar itu tidak
gagal. Dalam konteks ringgit ia mungkin memerlukan peruntukan yang sama
banyak dengan semua perbelanjaan untuk mentranformasikan Malaysia
sebagai sebuah negara pertanian menjadi negara perindustrian. Tetapi
jika kita boleh meminjam untuk merealisasikan cita-cita, apa salahnya
kita meminjam untuk menyelamatkan bangsa?
Dalam satu konteks, keperluan Melayu
terhadap subsidi material memang telah berkurangan. Tetapi Melayu masih
memerlukan subsidi moral. Sikap menganggap Melayu tidak boleh dimanjakan
perlu dikikis. Tidak ada dosanya memanjakan bangsa sendiri kerana ia
adalah lebih baik daripada memanjakan orang lain. Lagipun, bermanja itu
adalah percikan daripada budaya kasih sayang yang diperkenalkan pada
Melayu oleh agama suci Islam.
Usaha membimbing Melayu ke arah
kegemilangan itu juga harus mengambilkira cabaran-cabaran baru yang akan
ditemui di pertengahan jalan. Globalisasi misalnya, bukanlah istilah
yang popular tatkala Wawasan 2020 dilancarkan dahulu. Ketika itu ia
belum menjadi fenomena. Disebabkan itu, ketika wawasan besar tersebut
dirangka, kerajaan tidak begitu memberatkan langkah-langkah mengatasi
ancaman globalisasi, khususnya ke atas umat Melayu. Tumpuan lebih
diberikan pada soal-soal kelemahan sosial yang bersifat konvensyenal.
Dalam tempoh 19 tahun akan datang kita
tidak tahu ancaman bentuk mana pula yang akan muncul. Sementara kita
tidak tahu apakah usaha untuk membasmi kemiskinan akan terus kekal
sebagai utopia, kita juga tidak tahu apakah nanti akan ada dadah menjadi
makanan ruji? Kita tidak tahu apakah akan berdepan dengan era
kemunculan mutan-mutan (manusia buatan) yang menagih nyawa? Kita tidak
tahu apakah ketika itu nyawa boleh didagangkan sebagaimana orang menjual
sperma dan buah pinggang?
Pendeknya, kita tidak tahu kejutan apa
yang sedang menanti Melayu. Tetapi sebagai bangsa yang mudah terkejut
dan senang hanyut dalam kejutan itu, Melayu patut dipersiapkan daripada
sekarang. Mereka perlu dibangunkan daripada tidur dan dipersiapkan untuk
menghadapi realiti.
Kita perlu mengaku bahawa persiapan yang
ada setakat sekarang masih jauh daripada mencukupi. Contoh kecil yang
boleh diambil ialah, dalam menghadapi zaman ledakan teknologi maklumat
ini nisbah di antara keinginan negara dan kemampuan Melayu begitu
terpisah jauh. Sementara kerajaan membelanjakan ribuan juta ringgit bagi
mengejar impian untuk menjadikan Malaysia sebuah kuasa dalam teknologi
IT, masih terlalu banyak orang Melayu yang tidak mengenal tetikus dan
papan kekunci komputer. Masih terlalu ramai Melayu yang terpaksa
berfikir seribu kali untuk membeli sebuah komputer kerana ianya bermakna
mengorbankan wang belanja dapur selama setahun. Di kawasan-kawasan
tertentu pula, masih banyak kampung-kampung tradisional Melayu yang
tidak mempunyai bekalan eletrik sehingga menyebabkan sebarang keinginan
untuk membeli komputer hanya akan menjadi mimpi yang palsu!
Aspek-aspek beginilah yang tidak harus
diabaikan. Ia tidak patut dibiarkan tenggelam dalam agenda-agenda besar
dan retorik-retorik yang indah.
Pemimpin boleh mencipta matlamat.
Pemimpin boleh memandu Melayu ke arah matlamat itu. Malah pemimpin boleh
memacu Melayu sekiranya perlu. Tetapi pemimpin juga perlu memastikan
Melayu yang disuruh berlari itu bukan sahaja berkasut, tetapi juga telah
bersarapan pagi.
Sebab itulah bagi memimpin Melayu dalam
perjuangan mengejar matlamat baru dan mengekalkan kehormatan yang sedia
ada, kita memerlukan kumpulan pemimpin yang tinggi dinamismenya.
Generasi pelapis yang bakal mengambilalih kepemimpinan yang ada perlu
mempunyai sekurang-kurangnya 110 peratus kekuatan berbanding dengan
generasi pemimpin yang ada sekarang. Hanya orang Melayu yang tahu apakah
di kalangan pelapis mereka wujud jenis pemimpin seumpama itu?
Ada atau tidak, kita perlu melahirkannya.
Tidak ada sesiapa pun yang boleh diharapkan untuk menentukan bangsa
kita terus timbul selain daripada seseorang atau beberapa orang di
kalangan kita sendiri.
Sesiapa pun yang memimpin, dan daripada
parti apa pun ia datang, tanggungjawabnya terhadap Melayu tidak boleh
berkurang. Dia, sang pemimpin itu, awal-awal lagi harus mempunyai
kesedaran bahawa Melayu harus ditunjuk. Melayu harus dipimpin. Melayu
harus dikembalikan pada jati dirinya. Mereka patut ‘diperkenalkan’
semula pada bangsa sendiri. Mereka patut diajar mengenali
kelebihan-kelebihan mereka. Mereka perlu diasuh supaya menyayangi
kelebihan-kelebihan itu.
Di peringkat awal persekolahan lagi,
anak-anak Melayu perlu diberi ruang untuk mempelajari susur galur
bangsanya. Mereka juga perlu diasuh supaya berpadu. Usaha itu tidak
mencukupi dengan hanya menyanyikan lagu-lagu patriotik yang menganjurkan
penyatuan dan perpaduan. Mereka perlu dibawa jauh daripada itu. Perlu
diajar mengenal hero-hero mereka, bukannya memuja hero orang.
Dan yang diangkat sebagai hero bukan
sahaja mereka yang berani mati, tetapi anak-anak Melayu yang berani
hidup, yang berjaya dan yang cemerlang. Namun dalam memperkenalkan
semula hero-hero itu, langkah yang bersifat pemujaan kepada individu
harus dipinggirkan. Penekanan perlu diberi pada sumbangan dan perjuangan
secara keseluruhan, bukan pada kekeramatan peribadi. Ini perlu bagi
mengelak ketaksuban dan bagi membendung kemunculan manusia yang mahu
menjadi ‘super-hero’, yang berkemungkinan akan menggunakan jalan jalan
pintas untuk mencapai cita-citanya.
Pemupukan nilai kasih sayang perlu
bermula di peringkat awal juga. Ia tidak seharusnya terbatas pada
keluarga atau pada kucing Parsi sahaja. Skopnya harus diluaskan. Nilai
kecintaan kepada kawan, pada manusia, pada bangsa,pada masyarakat dan
pada agama mesti didahulukan. Penerapan nilai itu ke jiwa anak-anak
harus dilakukan lebih dahulu daripada penerapan elemen mencintai
kemajuan. Ini penting bagi memastikan mereka mampu membina peribadi yang
seimbang sebelum mula diganggu oleh impian-impian besar.
Semua langkah ini tidak harus ditafsirkan
sebagai sesuatu yang bersifat mengundur. Kembali pada diri dan pada
persekitaran yang dekat bukanlah halangan untuk maju. Ia hanya satu
pengunduran berhelah untuk meletakkan Melayu kembali di atas landas dan
paksinya yang sebenar.
Tidak ada ruginya berbuat begitu. Sama
juga dengan tidak ada untungnya menggilai kemajuan sehingga menggadai
nilai nilai yang sedia ada. Kemajuan seharusnya menjadi alat untuk hidup
selesa bukannya untuk menambah bilangan pesakit jiwa. Kerana itu
kegilaan terhadapnya perlu seimbang dengan kegilaan untuk memperbaiki
diri.
Inilah kewajipan sebenar pemimpin Melayu.
Sebelum mendabik dada mengaku diri sebagai pejuang bangsa, mereka perlu
sedar bahawa kejayaan mereka tidak diukur dengan kemampuan melambakkan
emas di hadapan orang Melayu, sebaliknya akan dinilai dengan kesungguhan
dan kemampuan mereka merawat Melayu daripada penyakit-penyakitnya.
Sesungguhnya, kejayaan tidak akan memberi
apa-apa makna pada orang yang sedang sakit. Sebaliknya ia hanya akan
menyebabkan mereka menjadi bertambah sakit.
Usaha merawat penyakit-penyakit Melayu
tidak akan menjadi sukar jika ilmu diletakkan pada asas yang betul. Dan
asas itu tidak akan menjadi betul selagi ilmu dicampur adukkan dengan
politik. Tindakan memencilkan tokoh-tokoh Melayu tertentu daripada
menjadi bacaan di sekolah misalnya, semata-mata kerana perbezaan fahaman
politik, bukanlah amalan yang menguntungkan. Sama juga seperti tindakan
memencilkan institusi-institusi ilmu yang mendukung fahaman politik
yang berbeza.Ia hanya memberi gambaran tentang kurangnya nilai rasional
kita, yang akhirnya akan menyumbang pada pembentukan generasi yang tidak
rasional juga.
Perspektif orang Melayu terhadap politik
perlu diperbetulkan. Mereka perlu diasuh semula. Mereka harus disedarkan
bahawa politik seharusnya dijadikan senjata untuk menghadapi orang
lain, bukannya dijadikan racun untuk saling bunuh-membunuh sesama
sendiri.
Pemimpin atau bakal pemimpin itu perlu
menginsafi, dan menganjurkan keinsafan yang sama kepada semua Melayu
akan hakikat bahawa Islam menganjurkan usaha mencari titik temu bukannya
mencari titik perbezaan. Amalan-amalan serang—menyerang sesama sendiri
perlu dihentikan. Perdebatan untuk mencari siapa yang betul perlu
ditamatkan. Ia tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya merugikan
semua.
Kita tidak boleh berkata Islam dan Melayu
saling bertaut. Islam tidak memerlukan Melayu untuk hidup, tetapi
Melayu amat memerlukan Islam. Keperluan itu sudah tentu bukan setakat
untuk dijadikan hiasan dan tempelan. Ia adalah keperluan lahiriah dan
batiniah.
Melayu memilih Islam dan kekal di dalam
Islam kerana yakin agama Allah itu boleh membawa kebahagiaan di dunia
dan di akhirat. Keyakinan itu tidak pernah susut, tetapi perilaku mereka
jelas mencemarkan keyakinan tersebut.
Amalan itu perlu dihentikan. Selepas
mereka ‘diperkenalkan’ kepada diri sendiri, Melayu sepatutnya
‘diperkenalkan’ semula kepada agamanya. Mereka harus disedarkan bahawa
Islam telah membekalkan mereka dengan kelengkapan yang cukup untuk
menangkis apa sahaja ancaman, tidak kira sama ada ianya sebahagian
daripada pascamodenisme atau pun tidak.
Penawar paling mujarab yang disediakan
oleh Islam ialah kitab suci Al-Quran. Di Malaysia, orang Melayu
beruntung besar kerana penawar itu tidak berpeluang digunakan oleh yang
bukan beragama Islam. Majoriti bukan-Melayu di Malaysia termasuk
kategori ini.
Bagaimanapun, agak malang kerana di
kalangan orang Melayu yang beragama Islam sendiri, penawar itu tidak
pernah dimanfaatkan sepenuhnya. Al-Quran tidak dihayati dan didalami
dalam erti kata sebenar.
Kelazimannya, semenjak dari kecil,
anak-anak Melayu yang beragama Islam diajar membaca Al-Quran. Tetapi
kelazimannya juga mereka tidak diasuh memahami dan mendalami apa yang
dibaca. Mereka terus-menerus berpegang pada kaedah Baghdadi, yang
menganjurkan hafalan demi hafalan. Hasilnya, sering berlaku mereka boleh
membaca sekalipun tidak mengenal huruf dan maknanya.
Ini juga perlu diperbetulkan.
Pembelajaran Al-Quran tidak patut lagi
dianggap tugas sampingan yang tanggungjawabnya terpikul pada guru agama
semata-mata. Ia patut dianggap tugas wajib. Ia perlu mampu dilakukan
oleh semua orang.
Langkah untuk menjadikan pengajian
Al-Quran sebagai salah satu subjek wajib di peringkat awal persekolahan
harus diambil. Anak-anak kecil yang masih suci itu mesti diberi suntikan
nilai yang bersifat suci juga, sebelum mereka dicemari oleh
pengaruh-pengaruh lain yang bersifat batil.
Dalam melaksanakan tugas ini, kaedah
pendidikan dan pengajaran yang betul harus dijadikan keutamaan. Bukan
lagi satu rahsia bahawa selama ini kebanyakan kanak-kanak, yang beragama
Islam, mempelajari Al-Quran lebih kerana tuntutan keluarga, bukannya
kerana minat yang datang daripada dalam diri mereka sendiri.
Faktor utama yang menyumbang kepada
berlakunya keadaan seperti ini ialah, kanak-kanak itu tidak memahami
sepenuhnya apa yang dipelajari. Sikap kita yang tidak menitik beratkan
pembelajaran bahasa Arab menjadikan kebanyakan kita menjadi seperti
burung kakak tua, yang hanya tahu menyebut apa yang diajar, tetapi tidak
memahami apa yang disebut.
Tanpa kefahaman sudah pasti tidak akan
timbul minat. Dan tanpa kebolehan menguasai bahasa Arab, kefahaman
terhadap Al-Quran hanya akan menjadi satu lagi impian.
Langkah untuk membetulkan semua kelemahan
ini perlu diambil segera. Usaha-usaha bagi menggalakkan pembelajaran
dan penggunaan bahasa Arab, bahasa yang telah diangkat oleh Allah Taala
untuk menjadi bahasa Al-Quran, harus segera dipertingkatkan. Jika kita
boleh menghabiskan wang, masa dan tenaga yang banyak untuk ‘membantu’
mendaulatkan bahasa Inggeris, kenapa tidak boleh melakukan perkara yang
sama bagi mengangkat martabat bahasa kitab suci kita sendiri? Kalau kita
berasa kecewa dengan kelemahan anak bangsa kita menguasai bahasa
Inggeris, kenapa kita tidak berasa malu apabila anak bangsa kita
bersikap bena tak bena terhadap bahasa yang menjadi teras kesucian
agamanya? Kalau kita takut bangsa kita tercicir sebab gagal
berkomunikasi dengan baik dalam bahasa antarabangsa, mengapa kita tidak
gementar melihat mereka tidak dapat menguasai bahasa yang menjadi
penghubung antara kita dengan alam yang satu lagi?
Kita sedar bahawa, ada ketikanya, wujud
prejudis yang luar biasa di sesetengah kalangan terhadap apa sahaja yang
menyangkuti urusan keagamaan. Salah sangka ini tidak hanya berlaku di
kalangan bukan Islam, tetapi juga membabitkan orang Islam sendiri.
Mereka, dalam keadaan tertentu, cenderung untuk menganggap bahawa Islam
tidak banyak menyumbang ke arah kecemerlangan kehidupan.
Salah faham seperti ini boleh
diminimumkan jika mereka yang tersilap anggap itu, berkesempatan
memahami ilmu Al-Quran. Di dalam kitab suci itu, mereka akan menemui
jawapan bagi apa sahaja tanda tanya mereka selama ini. Mereka pasti akan
sedar bahawa usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendidik orang Melayu,
dan umat Islam, di negara ini mendalami inti pati Al-Quran tidak akan
mendatangkan apa-apa kerugian kepada sesiapa, sebaliknya ia akan
menyelamatkan kita daripada terus tenggelam dalam keraguan dan
kekeliruan.
Pelbagai peristiwa yang telah berlaku ke
atas kehidupan umat Melayu, dan Islam, di Malaysia semenjak kebelakangan
ini sudah cukup untuk dijadikan isyarat bahawa kita tidak boleh
berlengah-lengah lagi. Kedudukan Al-Quran sebagai sumber ilmu dan
penyuluh kehidupan tidak harus diperlekehkan. Martabatnya harus diangkat
dan dimuliakan. Dalam melaksanakan matlamat itu, sebarang kekhuatiran
politik dan polemik kosong mengenainya perlu diketepikan. Islam harus
diletakkan di atas segala kepentingan lain. Tidak timbul Islam UMNO,
Islam PAS, Islam KEADILAN atau Islam apa pun. Islam sebenar berada di
atas semuanya. Ia tidak boleh diletakkan seiring atau di bawah
keperluan-keperluan politik, kerana selagi kita berbuat begitu bermakna
kita telah mencemari kesuciannya.
Ahli-ahli agama memikul tugas penting
bagi membetulkan keadaan ini. Mereka perlu menjadi benteng yang
berperanan melindungi kesucian Islam daripada dicabuli oleh sebarang
isme politik yang merugikan. Mereka wajib berusaha mencari titik temu
yang boleh meletakkan semua umat Islam di Malaysia di sebuah meja bulat.
Pertentangan-pertentangan pendapat harus diperbetulkan dengan cara yang
penuh hikmah. Persaingan untuk membuktikan Islam mana yang lebih baik
dan lebih betul perlu dihentikan. Perlumbaan untuk mencari kesalahan
sesama sendiri mesti ditamatkan. Kita tidak perlukan itu semua. Yang
kita perlu ialah pembentukan sebuah ukhwah yang kuat. Yang kita mahu
ialah kewujudan sikap saling membetulkan bukan saling menyalahkan.
Beberapa tahun sebelum merdeka, kesemua
Melayu-Islam di Malaysia pernah bergerak sebagai sebuah pasukan. Sebelum
Perang Dunia Kedua pula, golongan nasionalis dan agama sama-sama
memainkan peranan untuk menggabungkan Melayu. Ketika itu titik yang
mempertemukan mereka ialah keinginan untuk membebaskan diri daripada
penjajahan.
Titik temu yang sama sebenarnya masih
boleh digunakan. Cerita tentang penjajahan bentuk baru bukanlah dongeng
ciptaan untuk menakutkan sesiapa. Proses kolonialisme itu memang sedang
berlaku dengan pesatnya. Usaha-usaha ke arah pembentukan sebuah empayar
baru yang sangat besar sedang berjalan.
Menanamkan kesedaran di kalangan umat
Islam tentang wujudnya ancaman penjajahan ini adalah tugas wajib setiap
ulama. Dalam konteks Malaysia, langkah itu bermakna turut melindungi
Melayu.
Bagi membangkitkan kesedaran itu,
ahli-ahli agama tidak perlu menjadi harimau yang menghamun orang lain
atas nama kebenaran. Mereka juga tidak perlu menjadi tekukur yang hanya
mengiakan cakap orang demi kerana mahu menjaga kedudukan. Mereka perlu
bijak untuk menempatkan diri di antara kedua-duanya. Mereka perlu bijak
untuk mencipta persepakatan bukannya pintar memecah-belahkan. Mereka
mesti berani kerana benar.
Dalam menginsafi hakikat bahawa kerja ini
memang payah, kita juga harus mempunyai keyakinan bahawa ianya mampu
dilaksanakan. Allah tidak akan mensia-siakan usaha yang baik. Tetapi
usaha yang baik sudah pasti akan terjejas keberkesanannya jika dilakukan
secara berasingan untuk kepentingan individu dan kumpulan.
Selain daripada pemimpin dan ahli agama,
kumpulan elit Melayu mempunyai tanggungjawab moral yang sangat besar
bagi melaksanakan misi menyelamatkan bangsa ini. Mereka mempunyai
keupayaan, fizikal dan mental, untuk memandu anak bangsa mereka ke
hadapan. Mereka harus ingat bahawa mereka tidak mungkin berada pada
kedudukan sekarang kalau bukan kerana mereka Melayu, dan jika bukan
kerana berpeluang menggunakan Hak Keistimewaan Melayu. Ertinya, banyak
atau sedikit, mereka terhutang pada setiap Melayu. Hutang itulah yang
perlu dilunaskan.
Umumnya, Melayu marhain tidak
mengharapkan sedekah material daripada kumpulan Melayu elit Itu.
Meminta-minta bukan perangai Melayu. Nenek moyang Melayu berupaya
meneroka dan memugar belantara tanpa perlu bergantung pada subsidi
daripada sesiapa. Yang mereka perlukan cuma peluang dan kesempatan.
Terlalu banyak yang boleh disumbangkan
oleh golongan Melayu elit ini. Ilmu dan pengalaman mereka sahaja sudah
menjadi aset yang amat berharga, dan akan berkali ganda menjadi lebih
berharga, jika bersedia dikongsi dengan anak bangsa sendiri. Inilah yang
sering dilakukan oleh golongan elit bukan-Melayu. Mereka mencari
kejayaan dan kekayaan, kemudian mengagihkannya dalam pelbagai bentuk,
nyata dan tidak nyata, kepada kaum mereka. Sebaliknya, inilah pula yang
jarang dilakukan oleh elit Melayu. Mereka bagaikan takut hendak
berkongsi dengan bangsa sendiri. Mereka seakan bimbang perkongsian itu
akan menyebabkan Melayu lain menjadi lebih besar dan lebih hebat
daripada mereka. Sebaliknya, mereka tidak bersikap begitu apabila
berkongsi dengan orang lain. Mereka tidak bimbang terhadap kemungkinan
orang lain yang menjadi rakan kongsi mereka itu lebih berjaya. Entah
siapa yang mengajar mereka sehingga percaya bahawa merelakan kejayaan
orang lain itu lebih mulia daripada mendoakan kejayaan bangsa sendiri.
Elit Melayu jenis ini adalah elit yang
sakit. Keadaan mereka tidak banyak bezanya dengan bohsia dan bohjan di
kaki lima. Mereka tidak menyumbang apa-apa kepada bangsa selain daripada
contoh buruk yang berterusan.
Tanpa perlu menamakan mana-mana pihak,
kita berharap benar supaya setiap organisasi yang dianggotai oleh
kumpulan elit Melayu bergerak seiring dan bersepadu untuk menangani isu
besar ini. Mereka tidak perlu memulakannya daripada bawah, tetapi boleh
melakukannya dari atas. Sebagai idola bangsa, pada setiap masa mereka
sentiasa menjadi contoh dan teladan. Tiap yang mereka lakukan akan
menjadi perhatian. Jadi adalah menjadi kewajipan mereka untuk saling
mengingatkan sesama sendiri supaya hanya melakukan yang terbaik dan yang
baik-baik, bukannya mempamerkan keserekahan dan haloba yang berterusan.
Mereka sesama mereka perlu mengikis hasad dan iri hati.
Sumbangan yang berbentuk moral begitu
adalah lebih besar manfaatnya daripada sumbangan berunsur material.
Memang benar, setiap yang bersifat material itu penting. Tetapi
sumbangan material itu tidak akan memberi sebarang erti jika sekadar
dijadikan perisai untuk melindungi keruntuhan moral si penyumbang, atau
lebih buruk lagi jika dijadikan umpan untuk memancing projek menjual
bangsa.
Komitmen pemimpin yang baik, peranan alim
ulama yang bertanggungjawab dan sumbangan elit Melayu yang menginsafi
nasib bangsanya masih berpotensi untuk menjadi kerja yang sia-sia jika
semua manusia Melayu di peringkat akar umbi tidak memberi reaksi balas
yang betul.Ini bermakna tanggungjawab kita, Melayu yang bukan pemimpin,
bukan ahli agama dan bukan elit, juga sama besarnya dengan kewajipan
mereka. Sebagaimana telah ditegaskan berkali-kali, kitalah penentu hala
tuju dan masa depan kita. Kitalah yang akan menentukan sama ada Melayu
akan terus tegak bersama ketuanannya atau akan perlahan-lahan hilang
daripada senarai bangsa-bangsa utama di dunia.
Kita perlu bangkit. Perlu bergerak.
Lontarkan jauh-jauh tabiat lama. Keluarkan diri daripada cengkaman
kemalasan, dengki khianat, iri dan kesumat. Tinggalkan tabiat suka
berhutang dan malas membayar hutang. Lupakan kebiasaan berfoya-foya,
mengada-ngada dan meminta-minta. Berusahalah dengan sungguh-sungguh
tanpa mengharap payung dan pelindung. Tidak mengapa kalau sedikit tamak,
tetapi janganlah sampai menjadi haloba. Jadikan yang sebangsa itu kawan
bukannya lawan. MULAKAN DARI SEKARANG!
Salam Perjuangan !!!
No comments:
Post a Comment