Hasil kajian bersama badan antarabangsa, berpusat di United Kingdom, Equal Rights Trust (ERT) bersama Tenaganita, yang mengatakan kewujudan Perkara 89 (Tanah Simpanan Melayu) dan 153 (Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera) Perlembagaan Persekutuan, adalah punca utama diskriminasi kaum dan masalah utama negara ini, atas“Washing the Tigers: Addressing Discrimination and Inequality in Malaysia” amatlah menjelekkan.
Selain perkara 89 dan 153, kajian ini juga turut mempersoalkan beberapa Perkara lain seperti 5(4), 8(2), 9, 10, 11, 12(1), 14, 15, 24, 26 dan 161. Semua perkara ini berkaitan dengan kebebasan, kesamaan dan keadilan. Mereka mahu negara kita mengikut cara hidup mereka yang kononnya mempraktikkan perkara tersebut, tanpa mengambil kira sejarah perlembagaan dan makna keadilan yang sebenar.
Lebih berani lagi, mereka mencadangkan supaya kerajaan Malaysia menghapuskan atau memansuhkan Perkara tersebut, bagi mengelakkan diskriminasi berasaskan etnik. Peruntukan itu juga katanya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Pelik sungguh, kenapa mereka begitu risau dengan perlindungan ini sedangkan ia langsung tidak menghalang hak bukan Melayu dan bukan Islam? Apa tujuan mereka sebenar? Kenapa fokusnya Melayu dan Islam di Malaysia? Bukannya negara-negara lain yang tidak kurang diskriminasinya. Jangan pergi jauh, lihat sahaja negara yang mana umat Islam menjadi minoriti seperti di China, Filipina, Thailand, Singapura, Perancis, malah di Britian sendiri. Adakah tidak wujud diskriminasi terhadap minoriti?
Pendek kata, diskriminasi di kalangan minoriti adalah sesuatu perkara biasa di mana-mana negara yang bangsa majoriti yang memerintah. Tidak perlu ditonjolkan seolah-olah apa yang berlaku di negara ini terlalu tenat. Pada saya, jika perkataan ‘diskriminasi’ yang ingin digunakan, saya boleh katakan diskriminasi di Malaysia masih lagi ‘positif’, berbanding negara lain yang amat jelas mendiskriminasikan Islam dan umat Islam. Umat Islam yang menjadi minoriti tidak diberikan hak untuk mengamalkan cara hidup sendiri, seperti memakai jilbab atau tudung. Kenapa kajian tidak dibuat di negara-negara ini?
Jika kerana tanah rezab Melayu dan hak istimewa Melayu, menjadikan bukan Melayu miskin atau papa kedana, mungkin saya selaku bukan Melayu, tidak dapat menerima diskriminasi ini. Hakikatnya, dengan wujudnya ‘diskriminasi’ ini, bukan Melayu terus menjadi kaya raya dan kedudukan mereka tidak terancampun. Dengan kemudahan lesen yang diberikan kepada Melayu, akhirnya menjadi hak bukan Melayu kerana Melayu menjualkannya kepada bukan Melayu. Berapa banyak tanah rezab Melayu tergadai ke tangan orang bukan Melayu. Lihatlah betapa banyak produk menggunakan label Melayu dan Islam diperalatkan demi untuk melariskan perniagaannya.
Boleh dikatakan hampir semua milik Melayu telah dinikmati oleh bukan Melayu dalam pelbagai aspek seperti lesen, biasiswa, tanah rezab dan sebagainya. Sehingga sampai ke peringkat tanah kepunyaan kerajaan telah banyak menjadi hak kuil, tokong dan gereja.
Diskriminasi apa lagi jika hari ini terdapat sebesar-besar patung dan gereja di merata tempat untuk memenuhi kehendak minoriti yang berpegang kepada agama, yang rata-ratanya kurang daripada 10 peratus tetapi identiti mereka telah menenggelamkan identiti Melayu dan Islam itu sendiri?
Peliknya, bila ada kajian membuktikan institusi kaum mereka dan ketidakupayaan menguasai bahasa kebangsaan punca masalah punca masalah, semua kalangan ultra kiasu menolak. Bila ultra kiasu melakukan kajian sebegini, mereka mahu memaksa kita menerimanya.
Siapakah mereka mahu campurtangan dalam hal berkaitan dalam negara? Apakah mereka tidak sedar bahawa perlembagaan adalam undang-undang tertinggi dalam sesebuah negara dan ianya berdaulat. Mempertikaikan undang-undang sesebuah bermakna sudah mencabar kedaulatan sesebuah negara itu.
Semua ini adalah agenda Inter Faith Council (IFC) dan 14 perkara tuntutannya yang mahu merosakkan umat Islam dan orang Melayu. Mereka mahukan negara ini tidak ada lagi identiti Melayu dan Islam. Kepentingan bangsa dan agama majoriti tidak lagi dilindungi. Hak asasi manusia mengatasi segalanya. Jika mereka berjaya lakukan di sini, atau memecahkan tembok ini, maka tercapai hasrat mereka menundukkan Islam dan Melayu.
Mereka mahu menjadikan Islam dan perlembagaan kita tunduk kepada norma-norma antarabangsa ciptaan manusia yang boleh menjejaskan akidah kita sebagai umat Islam. Antara norma-norma tersebut adalah; Pertama, Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948. Kedua, Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan Malaysia pada 5 Julai 1995). Ketiga, Konvensyen mengenai hak kanak-kanak. Keempat, Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktolernasi dan diskriminasi berasaskan agama. Kelima, Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewarganegaraan, suku kaum, agama dan bahasa minoriti. Keenam, Deklarasi Vienna dan pelan tindakan.
Kesemua norma antarabangsa tersebut masih belum disahkan di Malaysia kecuali yang telah disebut. IFC mahukan semua agama mesti mengikut norma antarabangsa tersebut. Norma antarabangsa itu tidak membezakan antara penganut Islam dan bukan Islam. Untuk orang Islam, cara hidup mereka bukan lagi cara hidup Islam tetapi norma-normat antarabangsa tersebut.
Apa jua ajaran Islam yang bertentangan dengan norma tersebut mesti dihapuskan. Pendek kata, agama Islam mesti tunduk norma mereka. Manusia bebas melakukan apa sahaja, termasuk menukar agama. Walaupun namanya orang Islam atau masih mengakui Islam, mereka boleh beramal dengan ajaran agama lain.
Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia turut mengatakan setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, bersuara, beragama dan sebagainya. Bermakna, status kita sebagai umat Islam bukan lagi tertakluk kepada perintah Allah SWT tetapi kepada perintah manusia yakni norma tersebut. Kita tidak berhak lagi ke atas urusan sesama Islam. Selepas ini, Jabatan Perdaftaran negara tidak ada hak lagi untuk menolak permohonan seseorang untuk menukar agama daripada Islam kepada bukan Islam atas alasan jika permohonan ini tidak diluluskan ia akan merosakkan keharmonian dan kebebasan beragama.
Umat Islam harus berwaspada dan jangan terpedaya dengan semua diayah dan perancangan licik mereka. Mereka akan menggunakan pelbagai cara jika gagal dengan satu cara yang lain. Jangan sampai terperangkap. Pastikan kesucian Islam (Melayu) tidak tunduk kepada norma antarabangsa dan kajian picisan ini.
Bersatulah Bangsaku !!!
No comments:
Post a Comment