Saturday, December 24, 2011

Apa Yang Melayu Mahu?



SELEPAS beribu tahun menduduki Tanah Melayu dan selepas lebih 60 tahun merdeka, setiap Melayu wajar bertanya pada diri sendiri, di manakah kita sekarang? Kemudian bertanyalah lagi, inikah yang kita mahu?

Melayu bukan lagi setakat bangsa yang dewasa, malah merupakan bangsa yang cukup tua. Ketuaan sepatutnya menjadikan setiap manusia itu lebih waras. Tetapi telah cukup waraskah kita?

Mengikut ukuran material, nasib Melayu memang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan seratus tahun atau sepuluh tahun dahulu.

Lupakan soal pemilikan Melayu di sektor ekonomi pada era sebelum merdeka. Ianya terlalu kecil, barangkali tidak cukup untuk dijadikan angka bagi membolehkan kita mencongaknya.

Lihat sahaja di mana kita tatkala Rancangan Malaysia Kedua bermula. Penguasaan Melayu di bidang ekonomi ketika itu cuma 1.9 peratus. Diulang: 1.9 peratus!

Mengambilkira bahawa Melayu mewakili lebih daripada separuh penduduk Malaysia, angka itu jelaslah kelihatan seperti tidak munasabah. Ia malah menjadi masalah besar pada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua yang mensasarkan pada tahun 1990 penguasaan Melayu berada pada tahap 30 peratus, bukan Melayu 40 peratus dan pemodal asing 30 peratus.

Bagi sesiapa pun, menukar 1.9 peratus menjadi 30 peratus sesungguhnya bukanlah kerja yang mudah.

Usaha pemimpin-pemimpin Melayu untuk meletakkan bangsa mereka di tahap sepatutnya memang tidak pernah mengenal jemu. Mereka malah menjadikannya tanggungjawab wajib. Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut secara jelas matlamat untuk meningkatkan taraf ekonomi Melayu. Dan siapakah yang memikul tanggungjawab untuk menggerakkan matlamat tersebut jika bukan para pemimpin Melayu sendiri?

Atas kesedaran pemimpin-pemimpin Melayu, Bank Kebangsaan Melayu yang pendek umurnya itu ditubuhkan. Atas desakan dan keluhan pemimpin-pemimpin Melayu juga, Pesuruhjaya British mengusulkan penubuhan RIDA (yang kemudiannya berkembang menjadi MARA), yang melaluinya memungkinkan orang Melayu mula menapak dengan agak kukuh di bidang perniagaan dan pendidikan.

Para pemimpin Melayu, dengan kuasa politik yang mereka ada telah menubuhkan pelbagai badan dan agensi demi menjaga kepentingan bangsa Melayu. Untuk Melayu ditubuhkan FLDA (kemudiannya FELDA). Untuk Melayu muncul Bank Kerjasama. Untuk Melayu tegaknya Bank Bumiputera. Untuk Melayu dilancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Untuk Melayu diwujudkan ASN, ASB dan entah apa lagi.

Pendek kata, kalau menolong bangsa sendiri itu merupakan satu dosa, maka sahlah bahawa pemimpin Melayu akan merupakan kumpulan manusia yang paling banyak dosanya di muka bumi ini.

Hasil kerja keras para pemimpin Melayu itu, nasib Melayu di Malaysia berubah. DEB menyaksikan kemunculan kumpulan usahawan dan ahli korperat Melayu, di samping berjaya merealisasikan impian untuk melihat tahap kehidupan orang Melayu umumnya menjadi lebih baik.

Tidak ada sesiapa yang boleh menidakkan pencapaian ini. Sejarah menjadi saksi bahawa menerusi DEB, golongan kelas pertengahan Melayu telah meningkat secara berganda iaitu daripada 13 peratus pada awal 1970-an menjadi 28 peratus pada tahun 1993. Di sektor pekerjaan, peningkatan yang lebih besar berlaku bila mana angka 7.8 peratus pada 1970 bertukar menjadi lebih daripada 25 peratus dalam tempoh 23 tahun berikutnya.

Tetapi apakah angka-angka itu mencerminkan DEB telah benar-benar berjaya? Apakah ianya cukup untuk menjadi kayu pengukur bahawa hasrat untuk memartabatkan Melayu telah menjadi kenyataan?

Jawapannya mungkin tidak menggembirakan mana-mana Melayu yang rasional.

Apabila DEB yang dilancarkan pada tahun 1971 sampai pada tempoh matangnya, ternyata hasrat untuk melihat Melayu menguasai 30 peratus daripada kekayaan negara tidak kesampaian. Daripada segi peratusnya angka tersebut cuma berada di sekitar 20 peratus sahaja. Tidak terlalu jauh, tetapi hampir separuh perjalanan daripada sasaran sebenar.

Dan lebih memedihkan lagi, angka itu bukanlah mencerminkan jumlah perkongsian sebenar orang Melayu ke atas kekayaan negara. Yang menjadikan angka itu kelihatan agak banyak ialah pemilikan melalui institusi yang digerakkan oleh kerajaan.

Jika perincian yang lebih halus dibuat, sehingga akhir abad ke-20, peratus pemilikan Melayu hanyalah pada kadar 7 peratus – diulangi, 7 peratus! – dan angka ini disebut sendiri oleh Mahathir dalam satu kenyataannya di Norwich, England pada awal Oktober, 2000.

Persoalan ini tidak mati setakat itu. Kita juga tidak harus lupa bahawa pemilikan sebanyak 7 peratus itu bukannya bersifat menyeluruh ke atas semua Melayu, sebaliknya ia dimonopoli dan dikuasai oleh beberapa kerat Melayu sahaja. Majoriti Melayu lain masih terkial-kial mengejar mimpi.

Sehingga pada tahun 1987, bagi kumpulan 40 peratus terendah, isi rumah bumiputera di bandar dianggarkan menerima RM 306 sebulan berbanding dengan RM 538 bagi kaum Cina dan RM 459 bagi kaum India. Di sebalik peningkatan berkali ganda tenaga kerja Melayu di sektor iktisas dan teknik, pengagihannya mengikut kaum masih tidak seimbang. Pembabitan Melayu dalam kumpulan yang berpendapatan tinggi masih rendah. Jumlah arkitek bumiputera pada tahun 1988 misalnya, cuma 192 orang berbanding dengan 679 arkitek Cina. Melayu yang menjadi akauntan pula cuma 514 orang, berbanding dengan 4,079 Cina dan 315 India. Keseluruhannya,jumlah penyertaan bumiputera dalam kumpulan iktisas cuma 25.1 peratus, berbanding dengan Cina sebanyak 58.4 peratus dan India 14.3 peratus.

Angka-angka itu tidak setakat mencerminkan wujudnya ketidakseimbangan, tetapi juga menjadi petunjuk terhadap kegagalan DEB mencapai sasarannya.

Apakah reaksi Melayu terhadap kegagalan itu?

Hampir tidak ada apa-apa. Reaksi-reaksi yang timbul kebanyakannya cuma merupakan kes-kes terpencil, yang membabitkan kumpulan-kumpulan kecil Melayu yang menginsafi nasib bangsanya.

Majoriti Melayu lain tidak mempedulikannya. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa tahun yang menjadi titik kematangan DEB itu, iaitu 1990, mempunyai erti yang amat besar dalam kehidupan bangsa mereka. Mereka langsung tidak tahu bahawa tahun itu menjadi titik untuk mengukur keupayaan dan kekuatan mereka.

Tidak ada Melayu yang menangis apabila mendapat tahu mengenai kegagalan bangsa mereka mencapai sasaran 30 peratus tersebut. Mereka tidak berasa kecewa. Mereka kebanyakannya lebih sibuk membilang hari untuk menjual unit-unit ASN yang bakal matang.

Dan itulah antara contoh kegagalan DEB. Dasar yang baik dan murni itu, dalam satu konteks, gagal mengubah pradigma kebanyakan Melayu. Ia mungkin berupaya menyuntik impian baru di jiwa Melayu, tetapi ia gagal menyedarkan mereka secara total tentang peri pentingnya peranan ekonomi di dalam kehidupan. Hasilnya, banyak Melayu yang merebut peluang-peluang yang dibuka oleh DEB secara sambil lewa bukan dengan kesedaran dalam erti kata yang sebenar. Perebutan itu lebih didorong oleh keinginan dan nafsu bukan oleh kehendak yang diimbangi dengan akal fikiran.

Bapa Pembangunan, Allahyarham Tun Abdul Razak dan anak Melayu pertama yang menjadi Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, dalam ucapan-ucapan awal mereka selepas pelancaran DEB kerap mengingatkan Melayu bahawa dasar itu menyediakan peluang yang hampir tidak terbatas kepada setiap Melayu, tetapi hanya Melayu yang gigih sahaja akan berjaya. Mereka juga berkali-kali menekankan bahawa dalam dunia perniagaan tiada apa yang dinamakan kebajikan.

Kira-kira 20 tahun kemudian kita menyaksikan peringatan yang diberikan oleh kedua-dua tokoh itu masih tidak begitu dipedulikan. Melayu rata-ratanya masih menyekutukan perniagaan dengan amal kebajikan. Melayu masih keliru.

Menyedari bahawa penyakit lama bangsanya masih belum sembuh, Mahathir yang mula menerajui negara sejak hampir sepuluh tahun sebelum DEB mencapai tempoh matangnya, melakukan bermacam cara untuk merawat mereka. Beliau tidak sekadar mengulangi peringatan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, malah menyuntik idea-idea baru yang boleh memperkukuhkan kedudukan Melayu.

Hasilnya tampak menakjubkan. Melayu kelihatan terus bergerak laju ke atas. 10 tahun pertama selepas tamatnya DEB menyaksikan kian banyak muncul Melayu korporat dan sekaligus menjadikan saiz Melayu kelas pertengahan bertambah besar. Melayu, bangsa yang sebelum merdeka dianggap tidak tahu membuat jarum ini menutup abad ke-20 dengan satu bukti bahawa mereka sebenarnya mampu menjadi kuasa di mana sahaja, di darat, di laut dan di udara.

Secara prinsipnya, Mahathir memang telah berjaya menjadikan Malaysia – dalam kes ini Melayu – sebagai bangsa yang bergerak maju di atas asas-asas pembangunan yang telah disediakan oleh Tun Razak.
Tetapi masalah Mahathir sebenarnya akan sama dengan masalah Tun Razak. Jika Allahyarham Tun masih hidup, barangkali beliau akan menangis melihat bagaimana Melayu sendiri menggagalkan hasratnya untuk melihat mereka menjadi bangsa yang besar. Mahathir pula telah berkali-kali menangis atas sebab-sebab yang hampir sama. Dan Mahathir akan terus menangis. Sebahagian besar Melayu tidak akan membenarkan beliau dan mana-mana juga pemimpin mereka berhenti daripada menangis dan tersenyum bangga.
Sebagaimana DEB menyaksikan Melayu mencapai kejayaan material dengan kelowongan fikiran, segala dasar dan rancangan yang diperkenalkan semasa era kepimpinan Mahathir juga menghadapkan Melayu dengan realiti yang sama. Kalau ada kekecualian, kesnya amat kecil.

Jika sehingga berakhirnya DEB kita menyaksikan Melayu berlumba merebut peluang secara sambil lewa, selepas DEB pula kita berhadapan dengan Melayu yang terlalu ghairah untuk berjaya sehingga terlupa adab dan budinya. Jika Melayu di era DEB kurang menggunakan fikiran, Melayu selepas DEB pula terlebih menggunakan perasaan.

Tahun 1990 dan tahun-tahun selepasnya telah melihat bagaimana Melayu begitu ghairah untuk berjaya. Tiba-tiba sahaja kebanyakan Melayu menjadi ahli ekonomi. Pagi dan petang mereka bercakap mengenainya.

Sesiapa pun yang melihat perkembangan itu akan berkata ia adalah petanda baik. Ia merupakan alasan paling kukuh untuk menolak dakwaan bahawa Melayu tidak menyedari akan kepentingan ekonomi. Atau setidak-tidaknya, ia membolehkan orang berkata, selepas gagal mencapai sasaran DEB, Melayu sekali lagi terkejut jaga dan bangkit untuk menegakkan kedaulatan mereka.

Tetapi apakah Melayu benar-benar sedar?

Tidak ada Melayu yang akan gembira menjawab soalan ini.

Di sebalik cerita-cerita indah tentang kesedaran dan keinsafan Melayu itu sebetulnya terselit banyak kisah-kisah yang amat menyayat. Kesedaran yang melampau-lampau telah meletakkan Melayu dalam satu bentuk igauan baru. Sebahagian besar daripada mereka berubah menjadi manusia manusia rakus. Terlalu bersungguh-sungguh untuk berjaya telah menjadikan mereka cepat hilang pertimbangan.

Kumpulan Melayu ini mentafsirkan pencapaian ekonomi dengan cara sendiri dengan mengenepikan nilai-nilai sebenar, termasuk nilai-nilai yang menjadi asas keteguhan bangsa mereka. Mereka meletakkan matlamat pencapaian itu di atas segala-galanya. Mereka bekerja siang malam untuk mencapai matlamat tersebut. Jalan dan haluannya tidak lagi penting. Halal dan haramnya juga tidak lagi mustahak.

Kebanyakan Melayu di era pelaksanaan DEB adalah saki baki Melayu totok yang masih tebal dengan sifat mudah berpuas hati. Melayu jenis inilah yang menganggap dapat makan dan dapat pakai sebagai pencapaian besar dalam hidup. Bagi Melayu jenis pesimis ini, mendapat sedikit adalah lebih baik daripada tidak mendapatnya langsung. Mereka adalah Melayu yang enggan memandang ke hadapan.

Selepas tahun 1990, kelompok Melayu ini diganti oleh satu spesis Melayu lain. Melayu kali ini adalah jenis yang tidak pernah berpuas hati. Mereka adalah Melayu serba optimis yang beranggapan lebih baik tidak mendapat apa-apa daripada mendapatnya sedikit. Mereka adalah Melayu yang
tidak menoleh ke belakang lagi.

Kemunculan Melayu spesis baru ini memang membawa banyak manfaatnya kepada umat Melayu di Malaysia. Kita semua terhutang budi pada mereka. Tanpa mereka mungkin tahap pencapaian Melayu di sektor ekonomi akan balik ke tahap 1.9 peratus, angka sebelum DEB dilaksanakan.

Tetapi sebahagian daripada Melayu spesis baru ini juga mempunyai dosanya terhadap kita. Mereka terlalu banyak menjual bangsa!

Keghairahan mereka yang berlebih-lebihan untuk berjaya telah menyebabkan Melayu spesis baru itu hidup dalam nilai-nilai baru yang bukan sahaja bertentangan dengan nilai Melayu jati, tetapi juga dengan nilai kemanusiaan sejagat. Dan mereka menjadi berdosa apabila cuba menyuntik nilai
itu kepada kita, dan pada masa yang sama menggunakan nilai tersebut untuk melacurkan kehormatan bangsa.

Berkat kemahuan mereka untuk berjaya, sebahagian kecil orang mula menjadi kaya. Jika dahulu mereka cuma bermain dengan kupang tembaga, kini mereka mula berada dalam timbunan ringgit yang berjuta. Seperti biasa, wang yang banyak dengan diiringi oleh kewarasan yang sedikit, akan menjadikan manusia lebih haloba. Di sinilah segala-galanya bermula.

Sama ada kerana mereka mengalami kejutan sebab tiba-tiba menjadi kaya, atau kerana mereka sememangnya mendendami bukan-Melayu yang sejak lama bermain dengan wang untuk membeli kejayaan, Melayu spesis baru itu menjadi seperti orang lupa diri. Mereka akan berbuat apa sahaja untuk menjadi kaya dan kemudian menjadi lebih kaya.

Dalam keadaan begini, rasuah mula diterima sebagai budaya hidup. Tanggapan terhadap rasuah berubah lagi. Kali ini, rasuah yang membabitkan jumlah yang banyak tidak lagi dianggap perbuatan yang salah. Dalam beberapa keadaan, ia malah dianggap mendatangkan ‘pahala’ sebab di dalamnya terkandung unsur ‘berkongsi nikmat’. Di samping itu terdapat pula kes-kes lain, di mana perasuah beria-ia mengangkat dirinya sebagai wira. Alasannya, dia melakukan rasuah demi untuk kepentingan bangsa!

Tempoh 10 tahun terakhir abad ke-20 menyaksikan bagaimana Melayu spesis baru ini benar-benar menguasai kehidupan Melayu secara keseluruhannya. Mereka menyalah tafsirkan seruan pemimpin supaya Melayu bergerak maju dengan menganggap ianya sebagai lesen yang menghalalkan perbuatan mereka. Mereka menganggap seruan supaya Melayu menjadi pintar dan licik dalam perniagaan sebagai tiket yang membolehkan mereka bermain dengan hamburan wang.

Hasilnya? Untuk tempoh lebih sedekad yang lalu muncul begitu banyak istilah baru yang popular di dalam kehidupan orang Melayu. ‘Orang dalam’, ‘orang atas’, ‘orang A’, ‘orang B’, ‘tabung politik’, dan entah apa lagi, semuanya timbul dengan leluasa. Walaupun bunyi istilah-istilah itu berbeza, ia menjurus pada maksud yang sama: RASUAH!

Serangan wabak rasuah tidak terhenti setakat hal-hal yang berkisar dengan ekonomi sahaja. Ia tidak habis setakat soal mendapatkan projek, tender atau pinjaman. Sebaliknya penyakit itu menular lebih jauh, mula-mula ke dalam politik Melayu, dan kemudian ke dalam kehidupan Melayu keseluruhannya.

Apabila kumpulan Melayu spesis baru itu telah mempunyai banyak wang dan merasakan mereka telah cukup kuat, masing-masing cuba membina kekuatan baru dengan memasuki arena politik. Mereka yakin dengan kuasa politik yang diperolehi nanti, peluang untuk menambah kekayaan akan menjadi lebih berlipatganda.

Tetapi jangan salahkan mereka seratus peratus. Mereka jadi begitu kerana mereka ‘diajar’ supaya menjadi begitu. Mereka melihat contoh teladan di kalangan sesetengah pemimpin mereka sendiri. Mereka melihat bagaimana pemimpin-pemimpin itu membuat duit dengan menggunakan kuasa.

Berbekalkan contoh itulah mereka masuk ke gelanggang. Mereka berusaha menggunakan duit yang ada untuk membeli kuasa. Dan setelah berjaya memiliki kuasa, mereka akan menggabungkannya dengan duit, lalu mengamuk untuk mengumpulkan kekayaan seterusnya tanpa batas dan sempadan, tanpa adab dan sopan.

Bagi Melayu spesis ini, tidak ada apa yang tidak boleh. Sebagaimana mereka menggunakan jalan pintas untuk menjadi kaya, mereka juga akan menggunakan jalan pintas untuk berkuasa. Kemudian sekali lagi mereka mempraktikkan cara yang sama untuk kekal berkuasa. Akibatnya? Yang paling ketara ialah, UMNO, yang menjadi parti politik Melayu terunggul itu, terpaksa meminda perlembagaannya berkali-kali bagi tujuan membendung politik wang atau lebih tepat lagi politik rasuah. Oleh kerana UMNO itu terlalu akrab hubungannya dengan Melayu, tidakkah apa yang berlaku di dalam UMNO itu boleh dijadikan cerminan terhadap betapa parahnya kerosakan jiwa orang Melayu sekarang?

Dalam kehidupan sehari-harian, Melayu spesis baru itu berjaya membina rangkaian pengkagum dan pengikut yang besar jumlahnya. Maka rasuah pun tidak terbatas pada urusan yang membabitkan transaksi berjumlah jutaan ringgit, malah dalam urusan mendapatkan lesen memandu atau permit arked video. Di mana-mana sahaja, orang Melayu mula pandai bercakap tentang ‘upah’ dan ‘pulangan’ sehinggakan untuk mendapatkan sehelai borang ada yang tanpa segan silu bertanya tentang duit kopi. Penangkapan besar-besaran kumpulan ‘tonto’ di PUSPAKOM pertengahan tahun 2000 yang lalu, serta pembongkaran skandal 100,000 ‘lesen terbang’ di Jabatan Pengangkutan Jalan hanyalah dua contoh kecil tentang bagaimana rasuah telah diterima sebagai cara hidup. Itu belum lagi dimasukkan kisah-kisah tentang dakwaan wujudnya unsur-unsur rasuah di agensi-agensi yang mengendalikan urusan perniagaan arked video, seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan polis. Memang benar ia turut membabitkan orang bukan-Melayu. Tetapi benar juga bahawa ia cukup banyak membabitkan Melayu!

Ditegaskan sekali lagi, buku ini tidak bermaksud menuding jari pada sesiapa. Sekiranya ada yang patut dipersalahkan, maka si pesalah itu ialah semua umat Melayu. Rasuah tidak akan berlaku tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak. Rasuah boleh dikekang jika satu pihak tidak merestui kehendak pihak yang satu lagi.

Pemimpin boleh bercakap. Pemimpin boleh menyeru. Pemimpin boleh merayu. Tetapi semua itu tidak memberi erti jika orang Melayu di peringkat akar umbi bersikap tidak peduli. Dan ia semakin menjadi tidak bererti apabila si pemimpin sendiri bersikap ‘cakap tak serupa bikin’.

Tanggungjawab untuk membina kepedulian ini tidak terletak pada pemimpin semata-mata. Tidak juga pada rakyat jelata. Ia merupakan kewajipan bersama. Dan bagi menunaikan kewajipan itu semua Melayu, pemimpin dan rakyat, harus berhenti meracau, sebaliknya segera bergerak dan bertindak.

Tanyalah mana-mana Melayu pun, rata-rata akan memberi jawapan mereka membenci rasuah. Mereka tahu agama mengharamkan perbuatan keji itu.

Tetapi anehnya, kebencian Melayu pada rasuah seringkali hanya dalam kes-kes yang tidak membabitkan kepentingan mereka sahaja. Apabila ia berhubungkait dengan kepentingannya, Melayu akan lupa pada segala kebencian tadi. Dan yang haram pun tiba-tiba menjadi halal semula.

Sikap sebegini telah banyak menjahanamkan Melayu. Tidak sedikit pemimpin dan pentadbir Melayu yang terperangkap dengannya. Apabila mereka tidak mengamalkan rasuah, mereka akan dianggap tidak mahu menolong bangsa, sebaliknya jika mereka berbuat demikian, mereka akan dituduh merosakkan bangsa. Dengan perkataan lain, mereka langsung tidak diberi pilihan untuk menjadi baik. Tetapi apabila menjadi tidak baik, mereka akan dimusuhi pula oleh Melayu-Melayu yang lain.

Proses ini telah berlaku berulang-ulang kali dan belum menampakkan sebarang tanda akan berhenti.
Selagi Melayu masih bersikap demikian selagi itulah masalah yang membelenggu mereka tidak akan selesai. Selagi itu jugalah rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pecah amanah akan menjadi barah yang akan merosakkan kehidupan mereka.

Kita sedar rasuah menjadi sebahagian daripada budaya dalam sistem ekonomi yang digerakkan oleh kapitalisme. Kita juga sedar bahawa yang terbabit dengan rasuah bukanlah setakat sekerat dua orang Melayu, tetapi boleh dikatakan hampir kesemua bangsa di dunia ini. Kita malah sedar bahawa ada bangsa yang menjadi begitu berkuasa kerana rasuah. Kita sedar kesemuanya.

Tetapi kes Melayu di Malaysia agak kompleks dan kerana itu kita tidak boleh menjadikan orang lain sebagai kayu pengukur di dalam apa juga bentuk tindakan kita.

Kita mungkin tidak perlu mengungkit hubungan Melayu dan Islam serta sikap Islam terhadap rasuah. Ia telah berada dalam pengetahuan semua Melayu yang mengaku dirinya beragama Islam.

Ditakdirkan ada Melayu yang tergamak menolak hukum Allah dengan menganggap rasuah tidak memudaratkan sesiapa, Melayu itu patutlah merenung sejenak kedudukan bangsanya di bumi Malaysia ini.

Sebagai bangsa yang masih bertaraf ‘pilihan kedua’ di negara sendiri, dan pada masa yang sama memiliki kuasa politik yang tidak boleh dipertikaikan, Melayu hanya menempah kecelakaan jika menghalalkan perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ia hanya akan memungkinkan
pihak-pihak lain yang lebih kaya membeli dan menjual mereka dengan sewenang-wenangnya.

Sejarah Tanah Melayu telah banyak kali merakamkan kisah bagaimana ada orang Melayu dijual, ada tanah dan negeri Melayu digadai atas nama emas dan ringgit. Sejarah begitu sama sekali tidak patut dibenarkan berulang. Kita tidak mahu orang Melayu menjadi seperti orang-orang Red Indian suku
Kwakiutl di British Columbia, Kanada, yang menerima budaya mencagarkan nama untuk berhutang sebagai satu cara hidup. Kalaupun sekarang ini sudah muncul banyak Melayu yang menjual nama dan menggadai bangsa bagi mencari kekayaan secara mudah, kita masih berharap ia tidak akan menjadi resam baru yang dihalalkan.

Untuk mengekang kemungkinan-kemungkinan itu, Melayu patut mengawal keghairahan mereka. Para pemimpinnya juga mestilah mempunyai kemahuan yang luar biasa untuk memerangi gejala yang meruntuhkan ini. Tindakan yang keras dan tegas perlu diambil bagi menghapuskan rasuah. Tidak ada salahnya jika undang-undang digubal dan wartakan bagi menghukum pemberi rasuah dua kali lebih berat daripada penerimanya. Apa salahnya jika jika kedua-dua pihak yang didapati bersalah melakukan rasuah dihukum sebat dengan rotan di khalayak ramai, di tempat-tmpat terbuka seperti di Dataran Merdeka? Jika pengedar dadah boleh dihukum gantung, perasuah juga mungkin tidak patut dibenarkan hidup lama dan selesa.

Kita sedar bahawa dalam mana-mana tamadun pun, keghairahan untuk maju akan bergerak seiring dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tetapi ini bukanlah suatu hukum yang bersikap absolute. Kenyataan itu tidak boleh dianggap sebagai anjuran bahawa untuk mengelak daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kita patut kekal mundur.

Kita boleh maju. Kita boleh berjaya. Malah kita mesti maju dan berjaya.

Namun kejayaan mempunyai dua wajah. Pertama, kejayaan yang singkat dan kedua, kejayaan yang kekal.

Untuk mencapai kejayaan jenis pertama amatlah mudah. Benarkan sahaja semua pemimpin dan pentadbir Melayu melakukan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Benarkan semua orang Melayu menjual dan menggadai tanah serta permit-permitnya. Esok atau lusa, anda pasti melihat begitu banyak Melayu yang kaya, yang maju dan berjaya. Tetapi selepas esok atau selepas lusa, Melayu mungkin tidak bersisa lagi.

Bagi mencapai kejayaan yang panjang dan kekal, manusia dituntut supaya mengimbangi kehendaknya dengan akal fikiran. Tidak salah untuk berasa ghairah terhadap kejayaan. Tetapi keghairahan di peringkat enthusiasm mempunyai nilai yang berbeza dengan keghairahan di tahap obsessi. Kita sepatutnya memilih yang pertama. Lakukanlah apa yang kita mampu bukan melakukan apa yang kita mahu.

Dalam ‘Russelas’nya, Samuel Johnson menyebut ‘ hasil kerja yang baik tidak dapat dicapai dengan perahan tenaga, tetapi dengan ketekunan yang berterusan.’ Dalam bahasa mudahnya ia bermakna kejayaan tidak akan dapat dinikmati melalui kegelojohan, sebaliknya ia akan diperolehi melalui kemahuan yang berpanjangan. Di dalam Islam prinsip ini menepati konsep istiqamah yang dituntut supaya diamalkan oleh setiap individu yang mahu menjadi insan cemerlang.

Secara semulajadi orang Melayu mewarisi sifat-sifat yang boleh membawa mereka ke arah kejayaan. Dua daripada sifat-sifat itu ialah ketaatan dan kesabaran. Di dalam ‘Bush-whacking’ (1882), Residen Inggeris di Pahang, Hugh Clifford mencatatkan: ‘…apabila dia (orang Melayu) bekerja untuk seseorang yang mengenalinya, dia akan bekerja seperti tidak ada orang lain bekerja.’

Catatan Clifford itu tidak harus dianggap sebagai kenyataan jelek, yang bermaksud menghina Melayu sebab berpotensi menjadi khadam yang baik. Dia mungkin tidak bermaksud begitu. Dia mungkin ikhlas apabila menyatakan kekaguman tersebut sebab di dalam buku yang sama, Clifford turut menyebut,”…mereka (orang Melayu) memang bagus. Bila-bila masa pun aku akan memilih mereka daripada memilih orang lain. Anehnya ada pula orang yang mengatakan orang Melayu adalah haiwan yang paling malas di muka bumi ini.”

Banyak orang Melayu sendiri tidak menyedari akan kelebihan mereka itu. Tradisi kurang berminat menganalisis diri menyebabkan mereka mengabaikan kelebihan tersebut.

Ketaatan adalah nilai yang dituntut di dalam kehidupan, baik yang menyangkuti urusan manusia dengan Tuhan, mahupun dalam hubungan manusia sesama manusia. Dalam sebarang bentuk kehidupan pula, ketaatan adalah tuntutan yang amat payah hendak disempurnakan.

Tetapi orang Melayu terkecuali daripada kepayahan itu. Seperti telah disebut dalam bab yang lebih awal, orang Melayu memiliki kesediaan untuk taat secara tradisi. Apabila raja mereka memeluk agama Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh Parameswara di Melaka, atas nama ketaatan, orang-orang Melayu yang menjadi rakyatnya turut memeluk Islam. Hal yang sama berlaku di negeri-negeri lain.

Kemudian, selepas beragama Islam, orang Melayu membuktikan bahawa mereka adalah penganut yang taat. Mereka tidak akan bertolak ansur dalam hal-hal yang membabitkan maruah dan kedaulatan agama suci itu.

Sebelum itu, ketika beragama Hindu, nenek moyang orang Melayu ternyata menjadi Hindu yang patuh. Kesetiaan mereka pada kepercayaan yang dianuti itu begitu kuat, sehinggakan selepas beratus tahun meninggalkan agama itu, mereka masih mempraktiskan sebahagian daripada resam budayanya.

Di dalam budaya hidup Melayu, penekanan terhadap nilai-nilai ketaatan sentiasa berada di tempat yang teratas. Anak diwajibkan taat kepada ibu bapa, murid dimestikan taat kepada guru, rakyat dituntut taat kepada pemerintah. Pendek kata, orang Melayu diajar supaya mentaati apa sahaja yang mempunyai hubungan langsung dengan mereka. Dalam Kanun Melaka jelas disebut bagaimana si penderhaka yang tidak mentaati raja bukan sahaja mesti dihukum bunuh, malah tapak rumahnya juga akan digali dan dibuang ke laut.

Seiring dengan ketaatan itu, Melayu juga memiliki tahap kesabaran yang luar biasa. Akar umbi Hindu mereka mungkin menjadi sebahagian daripada faktor yang membina peribadi itu. Di dalam agama Hindu wujud kepercayaan bahawa ‘kesengsaraan adalah satu kenikmatan’ dan kepercayaan itu banyak membantu proses pembentukan kesabaran di kalangan penganutnya.

Apabila mereka memeluk agama Islam, asas kesabaran yang sedia ada di lubuk hati orang Melayu itu menjadi bertambah mantap kerana Islam sememangnya meletakkan kesabaran di darjat yang cukup tinggi.

Dengan pemilikan kedua-dua elemen ini, taat dan sabar, Melayu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk berbuat sesuatu dengan ‘ketekunan yang berterusan’, sebagaimana disarankan oleh Johnson.
Malangnya, kebanyakan Melayu tidak menjadi begitu. Mereka mengabaikan potensi yang dimiliki. Mereka tidak mahu menjadi diri mereka sendiri, sebaliknya lebih cenderung hendak menjadi orang lain. Kesannya, muncullah Melayu jenis gelojoh dan gopoh. Kesan susulan daripada kegelojohan itu ialah muncul pula perbuatan-perbuatan yang telah disebutkan pada awal bab ini; rasuah, penyelewengan,penyalahgunaan kuasa, penjualan harga diri, penggadaian maruah bangsa dan bermacam-macam lagi perilaku buruk seumpamanya.

Tidak dinafikan bahawa di celah-celah karut-marut perangai Melayu spesis baru itu ada individu-individu Melayu yang menapak naik dengan jerih payah, bukannya dengan amalan-amalan korup yang busuk. Orang-orang seperti Tan Sri Azman Hashim, ahli bank yang terkemuka itu dan Tan Sri Shamsudin, pengasas Sapura, adalah contoh paling dekat untuk menunjukkan bahawa Melayu juga boleh berjaya di bidang ekonomi tanpa menggunakan jalan pintas sekiranya mereka memiliki tahap istiqamah yang tinggi.

Selain daripada kedua-dua nama itu, ada lagi nama beberapa kerat Melayu yang bermula dari bawah dan merangkak naik tanpa sudu emas di mulut. Tidak semua mereka menempah nama sebagai orang korperat. Sesetengahnya menjadi kaya raya sebagai pekebun, peladang atau nelayan di ceruk-ceruk terpencil yang tidak diketahui orang.

Orang-orang seperti mereka ini biasanya tidak gah. Dalam kebanyakan kes, kewujudan mereka tidak disedari sebab mereka tidak bergayut di bawah dagu sesiapa untuk mencari kemasyhuran. Namun realiti tidak akan boleh dibohongi. Secara realitinya, merekalah penyumbang sebenar terhadap pencapaian ekonomi Melayu. Merekalah wira kita yang sejati.

Sesungguhnya, kita tidak patut membiarkan nama baik orang seperti mereka ditenggelami dan dicemari oleh spesis-spesis Melayu yang karut dan rakus.

No comments:

Post a Comment