Monday, December 5, 2011

Hapuskan bid'ah hingga ke akar umbi


Hapuskan bid'ah hingga ke akar umbi





Pejuangmelaka hairan mengapa setiap kali kumpulan ini mengeluarkan kenyataan atau melancarkan kelab tertentu seperti Kelab Taat Suami dan sebelumnya Kelab Poligami Ikhwan, para pendakwah, cendekiawan dan tokoh itu dan ini sibuk memberikan komentar. Penulis tegaskan ini bukan cara yang betul dalam kita berhadapan dengan kumpulan bid'ah seperti bekas pengikut al-Arqam. Semua sedia maklum bahkan telah banyak kali Jakim membuat kenyataan bahawa antara ajaran sesat tegar yang masih aktif adalah bekas pengikut al-Arqam yang ketika ini berselindung di sebalik nama syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB). Bahkan dalam mesyuarat terkini Jawatankuasa Pemandu Membanteras Ajaran Sesat Kebangsaan (JAPAS) yang dihadiri pengarah-pengarah jabatan agama negeri seluruh Malaysia sepakat mengatakan bekas pengikut al-Arqam masih aktif dan sekarang ini diterajui oleh isteri arwah Asaari Muhammad, Ummu Jah.

Cara yang betul adalah kumpulan bid'ah dan sesat seperti ini mesti dibanteras hingga ke akar umbi. Apa jua unsur-unsur yang menjadi kekuatan pergerakan mereka perlu dilumpuhkan sama sekali. Dalam al-Arqam, yang kemudiannya menjadi Syarikat Rufaqa' dan kemudiannya GISB, dua senjata utama mereka adalah perkahwinan dan ekonomi. Dengan perkahwinan ia berjaya mengikat ahli-ahli mereka daripada keluar dan meneruskan kelangsungan pergerakan ini dari satu generasi ke satu generasi. Kedua, kegiatan ekonomi yang bertujuan meneruskan kehidupan dalam kelompok mereka. Kedua-dua instrumen ini dieksplotasikan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi bekas al-Arqam untuk terus bertakhta dengan memerah keringat pengikut-pengikut bawahan mereka. Lihat sahaja, Ummu Jah yang ketika ini sedang enak beradu di mahligainya di Arab Saudi sambil memberi arahan jarak jauh. Siapa lagi yang menyalurkan dana kalau bukan para pengikutnya yang bekerja siang dan malam?

Kenyataan terbaru GISB yang mengatakan isteri ibarat pelacur kelas pertama, jelas menunjukkan betapa ghairahnya eksploitasi wanita sebagai simbol seks dalam pertubuhan ini. Malah penulis sendiri pernah mengadakan tinjauan ke markaz utama mereka di Bandar Country Homes, Rawang dan mendapati ramai wanita berdahi licin yang 'amat' muda remaja telah disunting oleh lelaki-lelaki mereka yang tidak diketahui entah isteri nombor ke berapa. Hingga kadang-kadang penulis menjadi 'confuse' adakah wanita ini sedang mendukung adiknya atau anaknya? Bila ditanya, oh…anaknya rupa-rupanya. Tercetus pula di fikiran, berdaftarkah perkahwinan mereka ini? Wallahu a'lam.

Dalam hal ini kumpulan bid'ah seperti ini perlu dihapuskan hingga ke akar umbi. Seperti kata Imam al-Ghazali di dalam Ihya', segala pintu bid'ah wajib disekat dan wajib mengingkari kumpulan bid'ah tersebut walaupun mereka menyangka mereka di pihak yang benar. Malah Imam Ibn al-Qayyim menegaskan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah, hisbah ke atas kumpulan bid'ah lebih utama dan penting berbanding semua kemungkaran-kemungkaran yang lain. Oleh itu, jika kita mahu kumpulan ini benar-benar lenyap, penulis syorkan supaya pendaftaran syarikat kumpulan ini dibatalkan dan diharamkan menjalankan apa-apa kegiatan ekonomi. Kedua, semua perkahwinan kumpulan ini yang diadakan secara poligami perlu disiasat untuk dinilai kesahihannya. Ketiga, pihak berkuasa perlu menyiasat status kanak-kanak mereka yang kelihatannya ramai berkeliaran pada waktu-waktu persekolahan di markaz-markaz mereka.     

Hakikatnya, membanteras ajaran sesat hanya akan berjaya jika semua agensi kerajaan sama ada yang berlabel agama atau tidak serta masyarakat awam memberikan kerjasama penuh. Jika jabatan agama sahaja bertindak tetapi pihak yang mendaftarkan syarikat tidak, maka tiada gunanya. Begitu juga jika jabatan agama bertindak tetapi masyarakat masih simpati dan melanggan di kedai-kedai mereka, bermakna usaha untuk membanteras hanya akan jadi sia-sia. Lebih sedih lagi, jika setiap kali kumpulan ini memanggil wartawan untuk buat pelancaran itu dan ini, maka sibuklah akhbar-akhbar melaporkan kenyataan mereka, maka jadilah usaha membanteras ajaran sesat sesuatu yang sia-sia dan mustahil berlaku. Alangkah indah jika 'siyasah syar'iyyah' benar-benar dilaksanakan sepenuhnya, ketika itu semua kementerian adalah kementerian agama dan semua jabatan adalah jabatan agama…Wallahu a'lam.



Salam Perjuangan !

No comments:

Post a Comment