Bendera Negara Adalah Roh Kemerdekaan
SIAPA kata Jalur Gemilang bukan ciptaan anak negeri atau warganegara Malaysia?
Kalau dilihat aksi provokasi dua pemuda mengibarkan bendera merah putih yang mereka namakan 'Sang Saka Malaya' untuk menggantikan Jalur Gemilang, yang terpampang di muka depan akhbar ini semalam, bukankah itu kelihatannya seperti bendera Singapura atau bendera Indonesia?
Sebenarnya, isu untuk menggantikan Jalur Gemilang dengan reka bentuk lain, bukanlah isu baru. Ia mula-mula sekali dibangkitkan oleh aktivis sosialis atau pendemonstrasi jalanan, Hishammuddin Rais dua tahun lalu.
Kalau anda boleh layari satu bual bicara penyokong kuat pembangkang ini dalam program Rentakkini.TV ketika mengulas sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 tersebut, Hishamuddin telah menguar-uarkan bahawa Jalur Gemilang diciplak dari bendera Amerika Syarikat. Katanya selain lagu Negaraku, ia wajib diubah kerana kedua-duanya bukan garapan anak negeri.
Apabila diajukan cercaan Hishamuddin itu kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang kebetulan penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah rakan seangkatannya di Universiti Malaya (UM) suatu ketika dulu, Fuad mengingatkan:
"Bendera adalah simbol kewujudan bangsa, maruah serta kemuncak perpaduan bangsa. Kalaupun ada unsur pinjam meminjam, ia sesuatu yang lumrah.
Tetapi yang penting, ia diubah suai mengikut latar belakang budaya, sejarah dan perkembangan negara masing-masing.
"Paling penting, makna kemerdekaan."
Fuad menarik perhatian yang mana dengan sedikit perubahan, sesuatu bendera itu boleh diukir dengan meminjam idea dari bendera negara lain. Apatah lagi, jika kedua-dua negara ada hubungan penjajahan.
"Cuba kita lihat bendera Australia ada persamaan dengan British. Bendera Singapura mirip bendera Indonesia.
"Yang dicadangkan bendera negara ini turut sama dengan Indonesia itu adalah kehendak Ibrahim Yaakob yang ketika itu hendak bersama Ahmad Boestaman, pejuang nasionalis kiri yang mahu Malaya merdeka bersama Indonesia, dalam konsep Indonesia Raya. Mereka juga hendak merdeka sekali bersama Filipina," kata beliau.
Dan hakikatnya, kalau dilihat bendera Amerika Syarikat mirip bendera Syarikat Hindia Timur British. Malah, bukan sahaja bendera Amerika Syarikat, bendera empayar Majapahit, Pulau Bikini Atoll dan Liberia juga menyamai corak berjalur-jalur bendera Syarikat Hindia Timur berkenaan.
"Malah, bendera Amerika Syarikat juga telah 26 kali berubah reka bentuknya sejak tahun 1777 tapi tidak menghilangkan jalurnya.
"Bendera Amerika ambil idea daripada Syarikat Hindia Timur British. Hubungan pinjam meminjam ini lumrah tetapi dipindahkan dengan disesuaikan budaya, sejarah negeri dan geografi negara masing-masing tanpa mengurangkan nilainya," katanya.
Menyangkal lagi dakwaan Jalur Gemilang bukan ciptaan anak tempatan, Fuad berkata, ciptaan bendera negara ini telah dipertandingkan dengan sebanyak 373 rekaan diserahkan kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan. Dan menerusi pemilihan yang dibuat pada 15 November 1949, hanya tiga disenarai pendek.
Bagaimanapun, sebelum diumumkan, ada beberapa cadangan dibuat. Contohnya, permintaan Sultan Kedah yang meminta supaya bulan sabit putih ditukar kepada warna kuning. Ia untuk mewakili Raja-Raja Melayu.
Justeru, pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu, maka satu rekaan telah dicadangkan oleh Sultan Kedah dan diberikan kepada pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk dijadikan bendera Persekutuan Malaya.
"Dan seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor, Mohamad Hamzah telah diumumkan sebagai pemenang. Pada 19 Mei 1950, bendera Malaysia dinaikkan di hadapan Istana Selangor, diikuti pada 31 Ogos 1957 dinaikkan di Dataran Merdeka untuk menggantikan Union Jack.
"Jadi, tidak betul dakwaan Hishammuddin itu bendera kita adalah hasil ciplak dari negara asing," katanya.
Dalam perbualan hampir 20 minit dengan kami, Fuad bagaimanapun terdiam sejenak. Beliau teringatkan bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, 84, yang mempunyai nilai sentimental pada hari negara mengecap kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu.
"Bapa yang ketika itu berusia 25 tahun telah diminta oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Datuk Abdul Rahman Talib atas jemputan Tunku (Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj) untuk membaca azan selepas pengisytiharan merdeka.
"Ia untuk memberi roh kepada kemerdekaan. Dan ia (azan) bukan dalam bentuk 'Hijaz' iaitu melankolik atau mendayu-dayu tetapi dalam bacaan yang lebih bersemangat," katanya.
Dan benarlah bendera itu bukan sekadar bendera.
pejuangmelaka-Jalur Gemilang itu roh kemerdekaan.
No comments:
Post a Comment