“Agenda kami adalah untuk mengekalkan perbezaan di antara kami dan kamu“, tegas seorang ahli gerakan Islam yang lain.
“Ana tidak mahu terlibat dengan usrah seperti ini. Kenapa mesti Tauhid yang tiga ini? Di mana Sifat yang 20 itu? Silibus ini silibus Wahabi!”, marah seorang lagi ahli sebuah gerakan Islam.
Hairan.
Selepas begitu lama berjuang dan begitu banyak idea dan teori dikupas, gerakan Islam hari ini masih tidak berganjak secara yang signifikan di dalam gerak kerja mereka. Malah sering pula kelihatan berundur atau memutar pusingan yang sama.
MASALAH ILMU?
Apakah gerakan Islam hari ini tidak cukup ILMU? Adakah persoalan hari ini merupakan persoalan ILMU?
Jika dahulu, mungkin. Penyertaan seseorang di dalam gerakan Islam adalah bermotifkan amal. Mereka mahu bekerja, dan melakukan sesuatu untuk membantu agama. Lantas generasi era itu tidak banyak bertanya. Mereka tidak begitu mementingkan TAHU terhadap ILMU sebanyak-banyaknya, kerana terbukti bahawa tahu banyak, tidak semestinya menghasilkan kerja dan sumbangan yang banyak.
Lantas di suatu ketika, gerakan Islam tidak kisah sangat jika ada pendukungnya yang tersilap memahami beberapa aspek nas. Jika ada ahli yang meletakkan maksud Wala’ pada konteks yang salah, atau memahami konsep Jamaatul Muslimin secara simplistik atau silap, ia bukanlah isu yang perlu diperbesarkan kerana yang semua itu hanya PROSES. Apa yang perlu diutamakan adalah OUTPUT, iaitu AMAL. Kerja! Selagi mana ahli gerakan Islam bekerja, maka maksud penglibatan mereka sudah tercapai.
Maka usaha pembetulan tasawur itu menjadi agenda perkaderan biasa. Sesekali pemimpin dan alim ulama yang sedar akan menegur. Tidaklah sampai jadi satu isu.
Apatah lagi untuk sebuah gerakan Islam yang membuka penyertaan kepada semua lapisan masyarakat. Ada profesor universiti, ada juga penarik beca dan si buta huruf. Semuanya berkumpul di dalam gerakan Islam ini untuk memberikan suasana yang realistik terhadap realiti masyarakat. Ia tidak mencipta realiti alternatif.
Tetapi kesan keterbukaan ini, susahlah hendak mendidik ahli dan pendukung. Ada ahli yang masuk ikut pintu politik, dan ada juga yang masuk ikut pintu Tarbiyah. Pemimpin gerakan Islam bekerja keras untuk memanfaatkan kesemua kategori ahlinya ke arah yang sama, bekerja untuk Islam. Tidak semua kerja gerakan Islam boleh dibuat oleh ‘orang Tarbiyah’. Selalu sahaja orang yang banyak ilmu, berat untuk memanjat tiang menggantung poster dan bendera. Dalam masa yang sama banyak juga kerja gerakan Islam tidak boleh dilakukan oleh ‘orang yang masuk ikut pintu politik’. Membahaskan polisi gerakan Islam, hala tuju dan muhasabah dari semasa ke semasa, memerlukan kepada ILMU yang mantap. Lantas keterbukaan gerakan Islam untuk menerima ahli daripada lapisan yang pelbagai, melengkapkan rumusan keahlian.
Generasi Mahu Tahu
Namun, zaman kurang memberikan perhatian kepada selok belok ILMU tentang PROSES, sudah berubah. Hari ini, generasinya mahu TAHU. Tahu sebanyak mungkin. Mereka mahu tahu semua perkara, sebelum mereka membuat keputusan untuk mendukung perjuangan Islam.
Ia suatu perkembangan yang baik.
Makin mahu tahu, makin tinggilah desakan untuk memperkemaskan aspek ILMU.
Faham-faham yang cincai tidak lagi boleh diangkat sebagai rukun komitmen yang pertama. Kena faham benda yang betul ini, betul-betul.
Ilmu Punca Masalah
Tetapi, tahu banyak, tidak menyelesaikan masalah gerakan Islam. Malah kelihatannya seperti tambah menyulitkan keadaan. Maklum sahaja, ILMU memang boleh membawa kepada kebaikan, tetapi ILMU juga punca manusia melampau dan hilang resmi padi.
Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan ILMU yang ada pada mereka; dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu. [Surah Ghafir 40: 83]
Ilmu sepatutnya memudahkan manusia mencari kebaikan dan kebenaran. Tetapi terbukti ilmu juga pernah menjadi punca kesombongan manusia.
Untuk tetap istiqamah di jalan perjuangan, pendukung gerakan Islam sudah pun diberi ingatan.
Al-Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam kitabnya Khumasiyyat Mukhtaarah fi Tahdzib al-Nafs al-Ammaarah telah menukilkan bahawa al-Hasan rahimahullah, telah berpesan:
“Sesungguhnya agama itu telah dijadikan Allah di antara DUA JANGAN iaitu “Janganlah kamu melampau” dan “Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”.
Pesan ini merujuk kepada firman Allah SWT yang mendefinisikan maksud Istiqamah iaitu:
Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap bertistiqamah sebagaimana yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. [Huud 11: 112-113]
Ketika berjuang untuk Islam, jangan melampau!
Terbukti golongan pelampau inilah yang kemudiannya gugur. Mereka yang dahulunya berminat dengan perbuatan kutuk mengutuk hingga ke tahap kafir mengkafir, membenci subjek kebencian secara berlebihan, hingga mengheret hawa nafsu dalam ‘perjuangannya’, mereka ini jatuh sendiri kerana mereka lupa bahawa agama yang diperjuangkannya itu, dijadikan Allah di antara ‘dua jangan’!
Dan salah satu punca kepada sikap melampau itu adalah ILMU, selain harta [Al-'Alaq 96: 6-7] dan kekuatan / kuasa [Fussilat 41: 15]
Apabila seseorang itu melampau di dalam perjuangannya, dia terjebak pula kepada JANGAN yang kedua. Jika dahulu dia melampau-lampau dalam menegur dan menentang pemerintah yang dikecam zalim, pelampau ini pula yang melompat dan menjadikan dirinya sebahagian daripada manusia zalim itu tadi.
Sufyan al-Thauri rahimahullah pernah ditanya oleh seorang lelaki. Katanya, “aku menjahit pakaian untuk si zalim itu, apakah aku termasuk di dalam golongan yang cenderung kepada kumpulan manusia zalim itu?” Sufyan menjawab, “Tidak, bahkan engkau sendiri adalah termasuk di dalam golongan yang zalim. Orang yang cenderung kepada golongan yang zalim itu adalah mereka yang menjual jarum kepadamu agar engkau boleh menjahit. Mereka itulah golongan yang cenderung kepada kaum zalimin!”[Khumasiyyat Mukhtaarah fi Tahdzib al-Nafs al-Ammaarah, muka surat 155]
Nyata sekali, masalah utama gerakan Islam bukanlah pada ILMU kerana hari ini kita semakin TAHU dengan ILMU itu.
Malah lebih ironi, pengetahuan yang semakin bertambah itu, tidak menjadikan hasil kerja semakin bertambah. Kita memang tidak bertindak berasaskan apa yang kita TAHU, sebaliknya digerakkan oleh apa yang kita MAHU. Maka ilmu yang memberitahu semata-mata, tidak membantu gerakan Islam!
MASALAH KEMAHIRAN?
Jika ILMU bukan masalah utama gerakan Islam, maka bagaimana pula dengan kemahiran?
Ada gerakan Islam yang mahu mengekalkan method dakwah secara manual dan konservatif. Dakwah hanya dengan lisan, mengetuk pintu rumah ke rumah, seperti perlakuan dakwah di zaman Nabi s.a.w. Mereka ada justifikasinya yang tersendiri.
Manakala gerakan Islam yang lebih anjal, mencuba segala teknik dakwah dan menggarap sekalian kemahiran yang ada untuk menjayakan perjuangan Islam. Dari era penguasaan teknik menggunakan mesin taip, hinggalah kepada memanfaatkan teknologi ICT hari ini, gerakan Islam terus maju setapak demi setapak, malah menggusarkan saingan gerakan Islam yang lebih berminat untuk menyekat air seperti dinding empangan.
Pemerintah menggunakan segala akta, sedangkan maklumat dan ilmu terus percuma dan melanggar sekatan di era ledakan teknologi maklumat hari ini.
Kemahiran apakah yang tiada pada sebuah gerakan Islam? Segala macam kemahiran sudah diperolehi sama ada melalui pembelajaran, atau pun melalui penyertaan tenaga mahir itu sendiri ke dalam saf gerakan Islam.
Tetapi adakah kemahiran itu sudah menganjak gerakan Islam ke suatu peningkatan yang signifikan?
Kemahiran Syarat Kesempurnaan Taqwa
Kemahiran memang bukan persoalan yang kecil. Tatkala kumpulan pertama Islam cuba menundukkan Constantinople pada tahun 44H, mereka ada segala nilai Taqwa kerana Abu Ayyub al-Ansari dan Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhum adalah generasi yang dididik sendiri oleh tangan Nabi s.a.w. Atas janji Rasulullah s.a.w terhadap pembebasan Constantinople, mereka pergi dengan keyakinan itu.
Tetapi mereka gagal. Salah satu faktornya berkait rapat dengan soal kemahiran. Mereka tidak mempunyai maklumat kajian yang cukup tentang kekuatan sebenar Constantinople. Mereka tidak biasa berperang di kawasan yang dikelilingi laut seperti Constantinople dan mereka tidak tahu teknik peperangan apakah yang menjadi pegangan kota yang mahu ditundukkan itu.
Mereka gagal.
Memperlengkapkan diri dengan ILMU dan MAKLUMAT adalah sebahagian tuntutan SUNNATULLAH.
Satu demi satu usaha dilakukan. Setiap kegagalan pertama menjadi teladan usaha berikutnya. Akhirnya kejayaan dicapai oleh insan biasa yang luar biasa, 800 tahun selepas era Nubuwwah, apabila Constantinople kecundang di tangan Sultan Othmaniyyah, Muhammad al-Fatih pada tahun 857H (1453M) dan tenteranya.
Gabungan komitmen mereka terhadap SYARIATULLAH dan SUNNATULLAH, telah melayakkan mereka untuk membuat anjakan dunia dengan pembukaan kota Istanbul, hari itu.
Keperluan bagi sebuah gerakan Islam untuk memperlengkapkan diri dengan ILMU dan KEMAHIRAN memang tidak boleh dinafikan.
Masih Belum Mahirkah Gerakan Islam Hari Ini?
Namun, kemahiran apakah lagi yang belum ada pada sebuah gerakan Islam? Kemahiran hari ini sudah mencecah tahap yang jauh terkehadapan berbanding dengan 50 tahun yang lalu.
Namun, sudahkah kemahiran itu menyumbang kepada peningkatan kualiti persembahan gerakan Islam secara yang signifikan?
Masih banyak persoalan yang timbul di sekitar isu ini.
Jika ilmu bukan isu utama, jika kemahiran bukan masalah pertama, maka isu apakah yang menyumbang kepada kelesuan gerakan Islam hari ini? Isu apakah yang menjadikan gerakan Islam terperosok ke dalam lubang kesilapan yang sama?
Jawapannya boleh dicari melalui persoalan-persoalan ini:
Apakah yang menjadi halangan kepada dua gerakan Islam untuk saling bekerjasama mencapai matlamat yang sama? Ilmu, kemahiran atau sikap?
Apakah yang menjadi punca kepada ketidaksefahaman di antara sesama ahli gerakan Islam sehinga satu demi satu agenda perjuangan mati oleh perpecahan dalaman? Ilmu, kemahiran atau sikap?
Apakah yang menjadi punca kepada satu demi satu ahli gerakan Islam bertindak secara reaktif, menterjemahkan rasa tidak puas hatinya bukan kepada menawarkan penyelesaian, tetapi pergi kepada membuka satu demi satu kelompok serpihan yang baru? Ilmu, kemahiran atau sikap?
Apakah yang menjadi punca kepada gerakan Islam gagal mentadbir kemenangan dan gagal juga menghadapi kekalahan secara yang positif? Ilmu, kemahiran atau sikap?
Apakah punca, gerakan Islam yang sepatutnya bekerja untuk mengumpulkan manusia dan menjana mereka untuk bekerja demi Islam, masih terjebak ke dalam irama pertelingkahan manhaj, yang sudah berkali-kali merugikan masa dan tenaga Islam, sehingga gerakan Islam itu sendiri menaja perpecahan umat atau mereka sendiri turut berpecah? Ilmu, kemahiran atau sikap?
Apakah punca kepada gerakan Islam hingga lebih berminat untuk mengekalkan perbezaan, berbanding dengan penyelesaian?
Apakah punca yang menjadikan seorang yang berILMU dan berKEMAHIRAN tinggi, boleh bertindak dan bercakap seperti orang tidak berILMU dan berKEMAHIRAN rendah? Ilmu, kemahiran atau sikap?
Persoalan ini masih panjang, sepanjang sejarah gerakan Islam itu sendiri.
Oleh kerana saya benar-benar khuatir dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan itu tadi, saya cuba mengalihkan percakapan dan penulisan saya daripada soal menambah ILMU dan MAKLUMAT, kepada pembetulan SIKAP.
Amat malu bagi pendukung agenda sebesar AGENDA ISLAM, kalah oleh persoalan SIKAP yang terlalu asas dan mudah.
Betulkan SIKAP, ia MUQADDIMAH AGAMA dan PERJUANGAN
No comments:
Post a Comment