Saturday, July 30, 2011

Siapa Melayu ?

Siapa Melayu?





Siapa sebenarnya yang layak dipanggil sebagai bangsa Melayu? Siapa Melayu? Pendekatan mana yang harus diikuti bagi menakrifkan diri sebagai seorang Melayu; mengikut penakrifan undang-undang, antropologi, etnologi atau budaya?

Di Malaysia, penduduk pribumi dari keturunan Minang, Jawa, Aceh, Bugis, dan Mandailing antaranya, yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengikuti adat istiadat Melayu, semuanya dianggap sebagai orang Melayu. Bahkan orang bukan pribumi yang berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam juga diterima sebagai orang Melayu. Mereka dikatakan telah “masuk Melayu”.

Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai: “Seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu yang lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura”.

Manakala menurut penakrifan antropologi pula, mengikut teori Syed Husin Ali, seorang antropologist negara, orang Melayu itu dari segi lahiriah, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Dari segi etnologi, Melayu bermakna kelompok masyarakat yang mengamalkan sistem kemasyarakatan dwisisi ( budaya dan agama) dan kegenerasian yang termasuk dalam bangsa Mongoloid.

Tetapi dari segi definisi budaya (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi di Dunia Melayu (nusantara), iaitu penduduk serumpun tidak kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh masing-masing kelompok serumpun tersebut.

Menurut Syed Hussein Al-Attas menerusi bukunya “Mitos Peribumi Malas”, para pengkaji barat mempercayai orang Melayu tergolong dalam gagasan puak Malayo-Polinesia. Gagasan ini termasuk mereka yang menghuni kawasan geografis yang dikenali kini sebagai Myanmar, Kemboja, Indonesia, Fillipina dan Kepulauan Polinesia sehingga ke kepulauan Hawaii. Orang Melayu yang pertama menghuni kawasan nusantara Melayu ini dipercayai pada kira-kira 50,000 SM.

ASAL USUL

Menyentuh perihal asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini. Walau bagaimanapun, kata sepakat antara para sarjana masih belum tercapai. Secara amnya terdapat dua teori mengenai asal usul bangsa Melayu iaitu:




Teori Yunan

Teori ini disokong oleh beberapa sarjana seperti R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan juga Asmah Haji Omar. Secara keseluruhannya alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah seperti berikut:

• Kapak Tua yang mirip kepada Kapak Tua di Asia Tengah ditemui di Kepulauan Melayu. Pekara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk daripada Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.

• Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di Daerah Assam (berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar).

• Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja. Dengan lebih lanjut lagi, peduduk di kemboja mungkin berasal daripada dataran Yunan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunan.

Berdasarkan teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro.

Orang Negrito

Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka diperkirakan ada di sini sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Daripada orang Negrito telah diperturunkan orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, serta saiz badan yang pendek.

Melayu Proto

Perpindahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu diperkirakan berlaku pada 2500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito, ditandai dengan kemahiran bercucuk tanam.

Melayu Deutro

Perpindahan orang Melayu Deutro merupakan gelombang perpindahan orang Melayu kuno yang kedua yang berlaku pada 1500 SM. Mereka merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran berlayar.


Teori Nusantara

Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:

• Bangsa Melayu dan Bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Pekara ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.

• Manusia kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada Jawa.

• Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

Menurut Ibnu Athir, seorang ahli sejarah Islam terkenal, bangsa Melayu dikatakan berasal dari keturunan Nabi lbrahim a.s. Bangsa Melayu, menurut beliau, ialah Bani Jawi, iaitu keturunan lbrahim a.s., dari isterinya yang ketiga bernama Qatura. Bagi anak-anak dari keturunan Qatura ini, baginda telah memerintahkan agar berpindah ke timur dengan memberikan bekalan-bekalan yang perlu bagi memulakan hidup baru, maka mereka pun meninggalkan tanah Kanaan untuk berpindah ke timur (sumber: Buku ´Pertama yang Hilang´, internet).

Dikatakan bahawa Nabi Ibrahim a.s, itu melahirkan tiga keturunan yang besar, pertama ialah bangsa Arab, dari keturunan anaknya Ismail a.s, kedua ialah bangsa Israel dari keturunan Ishak a.s, dan ketiga ialah bangsa Melayu (Bani Jawi) dari keturunan anaknya menerusi perkahwinan dengan Qatura. Sejak dari zaman dahulu lagi orang-orang Arab memanggil kepulauan Tanah Melayu ini sebagai Tanah Jawi. Bani itu bererti anak-anak atau keturunan, sebagaimana juga nama Bani Lavi (Levi) dari puak Israel (ibid).

AGAMA DAN KEPERCAYAAN

Orang Melayu majoritinya beragama Islam. Namun demikian, tinggalan unsur-unsur Hindu dan animisme masih dapat dilihat dalam sistem kepercayaan mereka. Islam tidak dapat menghapuskan seluruh unsur kepercayaan tersebut. Proses sinkretisme (syncretism) berlaku di mana unsur kepercayaan sebelum Islam ada secara laten atau disesuaikan dengan unsur Islam. Proses ini jelas dapat dikesan dalam ilmu perbomohan Melayu (perubatan tradisi), dan dalam beberapa upacara adat.

ADAT ISTIADAT

Adat istiadat (customs) Melayu banyak memperlihatkan campuran unsur lokal dan unsur luar selaras dengan kedatangan pengaruh Hindu, Islam, dan Barat.

KESENIAN

Dalam masyarakat Melayu seni dapat dibahagi kepada dua: seni persembahan (tarian, nyanyian, persembahan pentas seperti makyang, wayang kulit, ghazal, hadrah, kuda kepang) dan seni tampak (seni ukir, seni bina, seni hias, pertukangan tangan, tenunan, anyaman dan lain-lain).




SISTEM KEKELUARGAAN DAN PERKAHWINAN

Dari segi kekeluargaan, masyarakat Melayu dibahagikan kepada dua kelompok: (a). yang mengamalkan sistem kekeluargaan dwisisi (bilateral), dan (b) yang mengamalkan sistem kekeluargaan nasab ibu (matrilineal system). Tetapi disebabkan kedua-dua kelompok tersebut menganut agama Islam, maka sistem kekeluargaan Melayu itu banyak dipengaruhi oleh sistem kekeluargaan Islam.

Orang Melayu melakukan perkahwinan monogami dan poligami. Bentuk perkawinan endogami (pipit sama pipit, enggang sama enggang – birds of a feather flock together), eksogami juga wujud, malah di setengah tempat diberi keutamaan. Perkahwinan campur (mixed marriage) juga wujud. Semua perkawinan Melayu dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang perkahwinan Islam (Mazhab Shafie).

SIFAT DAN SIKAP

Menurut Syed Hussein Al-Attas, tulisan terawal tentang orang Melayu telah ditulis oleh Tome Pires. Menurut beliau, mereka (orang Melayu) adalah bangsa yang pencemburu kerana para isteri orang-orang penting tidak pernah telihat dimuka umum.

Seorang pegawai Portugis menyatakan bahawa kebanyakan mereka (Melayu) menyenangkan, nakal dan sanggat ceroboh. Mereka juga berakal dan cerdas tetapi mengabaikan pelajaran dan sastera.

John Francis Gamelli Careri yang datang kemelaka pada 1665 beliau menyatakan orang-orang Melayu (Minangkabau) yang beragama Islam adalah para pencuri yang handal manakala DE Vellez Guirrero seorang kapten Portugis menyatakan orang Melayu biadap. Tetapi kesemua pendapat ini dinafikan oleh Francois Valentyn (Belanda) yang menyatakan orang Melayu lincah, lucu, cerdik, berbakat dan yang paling sopan santun dari dunia Timur.

Sir Stanford Raffles yang merupakan leftenan Inggeris telah menyatakan bahawa orang Melayu tidak memperolehi tingkat pengembangan intelktual yang tinggi. Ini adalh kerana baginya tidak ada sistem undang-undang yang ditetapkan dengan baik dan diterima umum menyebabkan punca utama kemerosotan perwatakan orang Melayu. Ini dapat dilihat apabila erdapatnya perselisihan dalam pentadbiran dan juga berlaku peperangan dinatara suku dan perebutan takhta dan lain-lain lagi.

Raffles juga mempunyai ciri pembawaan yang lain iaitu menganggap bahawa orang Melayu itu malas, contohnya ketika mempunyai beras mereka tidak bekerja kerana tiada rangsangan untuk terus mencari rezeki. Selain itu beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu suka membalas dendam. Keris telah digunakan sebagai alat perkelahian. Orang Melayu juga peka terhadap hinaan dan benci pada perdamaian yang dipaksakan oleh pihak lain.

Buku “Revolusi Mental dan Kemalasan Orang Melayu” (terbitan United Malayan National Organization (UMNO) yang dihasilkan oleh 14 penulis) menyatakan beberapa ciri masyarakat Melayu seperti berikut:
1. Tidak jujur kepada diri sendiri.
2. Tidak melihat kesalahan sendiri.
3. Kurang keberanian.
4. Sedia berkorban di bawah pimpinan yang baik.
5. Patuh pada undang-undang selagi agama tidak diganggu.
6. Tidak berfikir secara rasional.
7. Tidak tunjukkan disiplin dan ketepatan waktu.
8. Tidak tunjukkan semangat kekerasan.
9. Suka membazir

Menurut Sasterawan Negara Usman Awang (Allahyarham) menerusi puisinya:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

TEPUK DADA TANYA SELERA ...






MELAYU MODEN ??



2 comments:

  1. Ta'kan Melayu HILANG DI DUNIA..
    Harapanku agar Melayu di atas agar SEDAR..

    ReplyDelete
  2. totally agree with this statement.
    good information to share with. ^^

    ReplyDelete