Monday, November 7, 2011

Manakah Halatuju Melayu ?








Pas dan PKR janganlah terlalu yakin untuk mengambil Putrajaya. Jika ditakdir mereka berjaya, saya tidak fikir mereka mampu mendapat majoriti dua pertiga. Apatah lagi untuk menegakkan negara Islam. Paling hebatnya mereka hanya akan mendapat kelebihan beberapa kerusi. Senarionya mungkin lebih kurang sahaja seperti apa yang berlaku hari ini. Jika Umno kalah sekalipun, tidaklah sampai kehilangan semua kerusi. Apapun, kita tunggu dan lihat kekuatan masing-masing nanti. 

Cuma, janganlah terlalu sombong dalam menilai kekuatan parti. Setiap parti ada kelebihan dan pengaruh masing-masing. Secara peribadi, saya mengenali kesemua tokoh ini tersebut. Kita bukan bercakap soal siapa menang atau siapa akan kalah dalam pilihan raya. Pilihan raya hanya alat untuk mendapatkan kuasa dan menjadi parti yang memerintah kerajaan. Siapa yang dipilih oleh rakyat, kita perlu menghormati keputusan tersebut. Apa yang lebih penting adalah masa depan agama, bangsa dan negara yang akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita. Ke syurgakah mereka atau ke neraka ketika di bawah pemerintahan kita, itu yang lebih penting?

Apa guna menang pilihan raya jika maruah agama dan kampung tergadai. Pilihan raya bukanlah segala-galanya dalam kehidupan umat Islam. Di negara-negara maju, jatuh bangun sesebuah parti dalam pilihan raya adalah perkara biasa. Bezanya kita dengan mereka, kalah atau menang dalam pilihan raya, kedudukan agama dan bangsa mereka tidak terjejas, malah terus gagah dan bermaruah. Tetapi tidak kita pada hari ini, seolah-olah menang mahu jadi arang, kalah jadi abu. 

Belumpun apa-apa kita sudah dapat rasakan bagaimana agama dan bangsa kita dipijak-pijak. Apakah ini yang kita mahu? Umno hanya mempelawa, kalau tidak setuju tidak mengapa. Tolaklah dengan cara baik. Tetapi jangan menyakitkan hati orang dengan kenyataan-kenyataan seperti kapal karamlah, hidung tak mancunglah dan sebagainya. Hebat sangatkah kita? 

Secara peribadi saya amat kecewa dengan umat Islam hari ini. Tidakkah kita ini semuanya bersaudara tanpa mengira bangsa dan ideologi politik? Tidakkah kapal yang bocor dan hendak karam itu perlu diselamatkan demi survival umat Islam secara keseluruhan. Apakah kita tidak belajar daripada kejatuhan empayar-empayar Islam sebelum ini? Akibat dendam kesumat dan perbuatan menyakitkan hati sesama sendiri, kita terus berpecah tiada kesudahan, sehingga ke tahap sanggup menikam sesama sendiri. 

Tidakkah Islam menganjurkan kita bermesyuarah. Sesuatu kejayaan bermula dengan langkah pertama. Mungkin selepas ini pertemuan boleh diaturkan dengan Perdana Menteri. Apakah formula dan konsep yang boleh dipersetujui bersama demi masa depan umat Islam? Apakah jawatan yang mungkin boleh ditawarkan kepada Pas. Jika tidakpun jawatan Perdana Menteri, mungkin jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka akan diberikan jawatan penting apabila PR ditakdirkan memerintah nanti? 

Jika itulah jawapannya, sudah tentu Pas akan diberikan jawatan penting di bawah kerajaan Pulau Pinang. Tetapi adakah ia berlaku? Di manakah kedudukan Pas setelah PR memerintah Pulau Pinang? Begitu juga kedudukan Pas, apabila PKR memerintah Selangor. Apakah mungkin akan diberikan jawatan menteri besar Selangor selepas PRU 13? Jauh panggang dari api. Dalam PKR hari ini pun masih berantakan untuk merebut jawatan parti. Tujuannya tidak lain, bila menang jawatan dalam parti, peluang untuk memegang jawatan tertinggi peringkat negeri dan negara adalah lebih besar. Sebab itu macam-macam perkara berlaku dalam parti pemilihan parti yang tidak perlu disebut lagi.

Saya boleh bersetuju dengan kata-kata Idris Ahmad bahawa ada pemimpin Umno yang cuba menggelapkan berita kebaikan Pas dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah. Perkara ini turut ditegur oleh Sultan Kedah. Adalah suatu yang silap jika Umno mengeluarkan kenyataan sedemikian apatah mereka yang berjawatan. Sepatutnya kita bertolong-tolongan sesama kita tanpa mengira latar belakang. Jangan mangsakan rakyat disebabkan mereka memilih Pas. Hormati keputusan rakyat buat masa ini. Jika Umno mahu bertahan dalam PRU 13, Umno mesti berlaku adil dan menghulurkan bantuan kepada semua termasuk negeri yang ditadbir oleh pembangkang. Umno perlu menunjukkan bahawa ia adalah parti untuk rakyat, bukan hanya untuk pengikutnya sahaja seperti yang selalu disebut Perdana Menteri.

Jika ada masalah timbul atau perkara yang tidak dipersetujui antara parti, eloklah diselesaikan secara berhemah. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi tidak perlulah sehingga menyakiti hati orang lain. Elok juga diteliti cadangan beberapa sahabat sebagai langkah pertama ke arah penyatuan. Jika kita semua mengakui benar-benar memperjuangkan Islam, sahutlah ingatan Allah SWT yang berbunyi: 

“Maka dengan segala rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihani orang-orang yang bertawakkal kepadaNya (Al-Imran: 159)
Allah mengingatkan kita supaya bersikap lemah lembut dalam sesama manusia. Tidakkah itu yang menjadi dasar dakwah Pas selama ini. Jika kita berkeras dan berkasar, tidakkah Umno akan lari dari Pas. Hari ini kita hanya bercakap soal perpaduan umat Islam. Bagaimanakah kita dapat menyampaikan dakwah kepada bukan Islam, jika sesama Islam kita terus bercakaran. 

Kelebihan Pas berbanding Umno, adalah Pas selalu berhujah menggunakan ayat-ayat Quran dan Hadis. Syabas diucapkan. Namun, perlu diingatkan juga sebanyak manapun Quran dan Hadis dihujahkan, jika pendekatan kita menyakitkan hati orang, sesiapa pun akan lari daripada kita. Cubalah ambil iktibar pengajaran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa dan Harun. Allah mengingatkan kedua-dua Nabi Allah ini supaya berlemah lembut hatta kepada Firaun (Surah Taha: 43-44). Apakah Umno itu lebih buruk daripada Firaun? Harap anggapan ini tidak ada dalam pemikiran kita. 

Jika Umno bersalah selama ini, tidak bolehkah kita memaafkannya. Tidakkah boleh kita berbicara secara berhikmah dengannya. Benar, kita boleh berbeza pendapat, tetapi janganlah sampai putus tali persaudaraan dan membawa perpecahan yang menakutkan. Ingatan Allah SWT ini perlu dijadikan pedoman: 

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (Surah Fussilat: 34, lihat juga surah Al-Fath: 29). 

Jika ada masalah, kita amat digalakkan bermesyuarat. Janganlah terlalu menyalah orang lain. Tidakkah kita sedar, ada kalangan kita yang menolak sesuatu kebaikan, bukan kerana mereka jahil, tetapi mungkin disebabkan mereka masih berserabut dengan budaya politik yang menyukarkan keadaannya. Budaya politik secara asuhan sejak kecil menjadikan pemikiran mereka jumud sehingga sukar untuk menolak pembaharuan. Tidak kurang juga, perasaan ego yang menghantui diri untuk mengakui bahawa apa yang dilakukan selama ini sebenarnya adalah mungkin tidak kena atau kurang tepat. Justeru, inilah peluang untuk menyampaikan sesuatu yang benar atau berdakwah, bukan mendakwa.

Bermesyuaratlah, dalam maksud, kita mendengar pendapat mereka, menyampaikan pendapat kita dan kemudian, bersama-sama mencari kebenaran. Ada kalanya mereka salah, kita benar atau mungkin sebaliknya mereka benar, kita yang salah. Kita hanya manusia biasa, bukan malaikat. 

Setelah itu, bertawakkallah kepada Allah setelah kita berusaha. Perkara asas yang perlu diingat oleh Pas adalah, tanggungjawab berdakwah dan menyampaikan sebagaimana yang dilakukan oleh para anbiya. Bukannya memaksa orang menerima apa yang didakwahkan atau menghukum jika mereka tidak mahu menerima. Jika kita memilih sedemikian, pengorbanan kita terhadap Islam tidak sebesar mana, niat murni kita untuk membetulkan mereka pada awalnya tidak kesampaian, dan paling ditakui sampai ke tahap berdosa. Berkorbanlah untuk bersatu. Itulah iktibar yang paling besar setiap kali datangnya hari raya korban.

Namun, jika kita telah melaksanakan tanggungjawab, mereka tidak mahu menerima atau berubah, maka tugas kita selain bertawakkal adalah mencari jalan, di manakah silapnya dan kekurangan sehingga kita gagal. Apakah agenda seterusnya bagi memastikan kita akan beroleh kejayaan? Kenapa orang masih menjauhkan diri daripada sunnah Rasulullah? Adakah yang menjadi faktor penggagal itu sunnah para anbiya atau pendekatan kita sendiri dalam usaha cuba menegakkan sunnah tersebut?

pejuangmelaka-Inilah perkara-perkara yang perlu difikirkan oleh semua parti umat Islam hari ini yang berlumba-lumba untuk mendapat kuasa dan menang pilihan raya. Pada saya, anggaplah pelawaan Ahmad Maslan sebagai titik tolak untuk mencari jalan penyelesaian atas kemelut yang melanda. Jika tidak sudi, tolaklah dengan cara baik daripada mengeluarkan kenyataan yang menyakiti hati. 

No comments:

Post a Comment