Tuesday, November 8, 2011

Persoal Ibadah Korban Boleh Sentuh Sensitiviti Umat Islam: Muhyiddin


Persoal Ibadah Korban Boleh Sentuh Sensitiviti Umat Islam: Muhyiddin


08 November, 2011 18:30 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Tindakan sebuah NGO bukan Islam yang mahu ibadah korban tidak dilaksanakan di kawasan sekolah dan tempat awam tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia boleh menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini sedangkan rakyat pelbagai agama sudah lama hidup secara toleransi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak fikir harus pandangan itu dikemukakan, mungkin ada salah faham. Ia mungkin (boleh) menyentuh sensitiviti amalan beragama. Di Malaysia ini, sejak zaman-berzaman kita telah lakukan, korban itu adalah tuntutan mengikut agama Islam.
"Ibadah korban dilakukan dengan cara dan peraturan dengan pekeliling oleh Jabatan Veterinar yang memerlukan kebersihan kawasan pelaksanaan korban dijaga untuk membolehkan daging-daging korban diagihkan kepada fakir miskin supaya selamat dimakan," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas berdialog secara terbuka dengan 50 orang graduan yang terpilih menyertai program "Teach for Malaysia" di sini Selasa.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) pada Jumaat lepas yang mahu amalan menyembelih lembu tidak diteruskan di kawasan sebegitu kerana mungkin menyentuh sensitiviti mereka yang beragama Hindu yang menganggap lembu sebagai satu binatang yang suci.

"Saya berharap janganlah menyentuh hal-hal sebegini, apalagi pihak itu yang bukan beragama Islam kerana mungkin mereka tidak memahami atau sengaja dibuat begitu supaya timbul masalah baru. Di Malaysia ini janganlah menambah tokok lagi masalah-masalah sebegitu," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata ibadah yang dilakukan perlu mendapat kebenaran pihak yang menguruskan kawasan itu sebelum boleh dilaksanakan.

"Pihak yang melaksanakan korban itu pula mesti mendapatkan izin dahulu, pihak pengurusan masjid benarkan ia boleh dilakukan itu sudah perkara biasa sejak dulu lagi.

"Orang Hindu di Malaysia ini sudah faham, dalam surat khabar dan televisyen sudah dipaparkan mereka sudah faham amalan itu. Kita di Malaysia sudah mengamalkan amalan saling menghormati, kenapa hal sebegini dibangkitkan saya tidak fikir ia perlu," kata Muhyiddin.



BERNAMA

No comments:

Post a Comment