Thursday, October 6, 2011

Perpaduan Melayu Agenda Politik Semasa


Perpaduan Melayu 





USAHA membina perpaduan Melayu wajar dijadikan agenda politik Melayu hari ini. Ia memerlukan komitmen atau iltizam yang tinggi dari kedua-dua parti Melayu UMNO dan Pas. Perpaduan harus menjadi wahana ke arah memperkasa kembali kuasa politik Melayu yang semakin terhakis.

Ia penting kerana kekuatan politik dan perpaduan Melayu di negara ini menjadi teras dan penentu kepada kestabilan politik dan perpaduan nasional. Ia juga asas kepada kedudukan dan keutuhan agama Islam di negara ini.

Justeru, sudah sampai masanya kepimpinan kedua-dua parti Melayu terbabit 'mencelikkan mata', 'menyaringkan telinga' dan 'membersihkan hati' dalam masalah isu perpaduan Melayu. Pemimpin UMNO dan Pas mesti memiliki daya fikir yang tajam supaya dapat merasionalisasikan nafsu politik kepartian masing-masing agar usaha murni ini menjadi kenyataan.

Kedua-dua parti itu harus melihat isu perpaduan Melayu sebagai masalah umat Melayu-Islam secara kolektif, bukan masalah kepartian. Ia bukan soal UMNO lemah atau kuat. Apa yang harus dilihat ialah kerjasama dan perpaduan UMNO-Pas sebagai peluang untuk merencana semula perpaduan dan masa depan orang Melayu supaya menjadi lebih kukuh dan padu.

Perbincangan ke arah perpaduan Melayu mesti berasaskan formula realistik dan jelas supaya ia bukan sahaja memberi faedah kepada bangsa Melayu, malah membawa kesejahteraan kepada semua pihak, termasuk masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Perkara pokok yang harus diberi perhatian ialah melihat perpaduan Melayu itu secara holistik. Justeru, kerjasama UMNO-Pas ini sewajarnya dapat membangun justifikasi jangka panjang serta harus dilihat sebagai sebuah pertimbangan untuk kelangsungan masa depan ummah di negara ini.

Untuk memulakannya, banyak belenggu dan halangan mesti dijauhi. Belenggu-belenggu tersebut lebih merupakan sifat mazmumah yang perlu disingkirkan oleh kedua-dua pihak. Setiap pihak harus saling menghormati dan menerima kebaikan pihak lawan.

Sikap fanatik kepartian perlu dielakkan. Perkara-perkara khilafiyah jangan diperbesarkan. Caci-mencaci dan tuduh-menuduh mesti dijauhi. Segala permusuhan yang bersifat peribadi di kalangan pemimpin kedua-dua parti Melayu itu harus dielakkan.

Sifat mahmudah seperti keterbukaan, ikhlas, tidak menyimpan dendam dan tidak bersangka buruk harus ada pada kedua-dua belah pihak untuk memulakan perundingan perpaduan Melayu. Sikap keterbukaan atau toleransi (berlapang dada) mesti menjadi amalan kita. Dalam soal keterbukaan ini, saya ingin mengutip rangkap puisi Tenas Effendy (Tunjuk Ajar Melayu, 2004) yang berbunyi:

Kalau hidup berterus terang,

Bala menjauh sengketa pun hilang,

Kalau runding berbuka-bukaan,

Beban berat menjadi ringan,

Berterus terang menurut patutnya,

Berbuka-buka menurut layaknya,

Kalau hendak berterus terang,

Niatnya jangan menghina orang.


pejuangmelaka - Saya apabila pergi meninjau ceramah PAS ada cacian dan fitnah kepada pemimpin Melayu lain , saya amat mengharapkan pemimpin UMNO jangan terikut budaya mereka memperjuangkan Islam tetapi mempunyai keperibadian yang rendah kerana mencaci dan memfitnah  pemimpin lain. Adakah ini perjuangan Islam PAS yang di anjur oleh ISLAM ?

No comments:

Post a Comment