Drama, filem dan wayang
Pada hari ini, hampir mustahil untuk berjumpa dengan isi rumah yang tidak punya sekurang-kurangnya sebuah televisyen (TV). Penggunaan TV telah dibahas panjang oleh para ulama, dan tidak perlu rasanya untuk menghurai secara lanjut. Cukuplah kita fokus kepada pendapat yang paling ringan, yakni mengatakan penggunaan TV adalah HARUS. Semua sedia maklum bahawa alat teknologi ini sekadar bertindak sebagai suatu alat pengarahan dan hiburan, maka hal-ehwal setiap alat ini boleh dilihat sama ada digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Ia ibarat pedang, ditangan mujahid ia digunakan untuk berjihad manakala ditangan perompak pula digunakan untuk kejahatan.
Ini yang disokong oleh ulama kontemporari, Syeikh Yusof Qaradhawi menerusi bukunya, Al-Halal Wal Haram Fil Islam. Namun pandangannya itu juga disertai dengan beberapa SYARAT yang perlu dipatuhi. Tetapi amat malang sekali, umat Islam kini mengambil kesempatan terlampau mengambil mudah dalam soal ini sehingga meringan-ringankan syarat yang ditetapkan. Kita mahu berbincang dan bertanyalah kepada diri sendiri, sejauh manakah kita mematuhi syarat yang ditetapkan di mana penggunaannya dilakukan dalam kerangka yang dikatakan harus, tidak berubah kepada haram?
Penayangan aurat
Sudah menjadi lumrah, setiap rancangan di TV pasti tidak terlepas daripada menunjukkan pendedahan aurat. Ini termasuklah slot iklan, rancangan berita sekalipun, malah rancangan yang dicanang-canangkan sebagai ‘drama islamik’ juga tidak terlepas dalam soal ini. Apakah dibolehkan untuk menonton pendedah aurat ini? Menurut fatwa ulama al-Azhar, hukum melihat aurat di kaca TV adalah DIHARUSKAN dan ini disokong juga oleh fatwa lajnah ulama Kuwait. Namun, ianya disyaratkan tidak mengandungi elemen berlebih-lebihan sehingga merangsang nafsu. Kita kira dengan mengambil pandangan para ulama ini, adalah tidak muktamad lagi kerana turut disertai dengan syarat lanjut. Kita akan terus bincang dengan lebih teliti.
Elemen maksiat
Adegan merokok, minum arak, pergaulan bebas, dan lain-lain lagi sering dijadikan selitan sebagai pelengkap suatu rancangan drama dan filem. Walaupun sesetengah plot mempamerkan pengajaran namun kebanyakan plot lagi mempromosikan secara langsung kemaksiatan tesebut. Lihatlah lambakan filem Hollywood tidak kira genre aksi, seram, cinta mahupun lain-lain, pasti akan mempamer gaya hidup sosial mereka. Drama korea yang digilai oleh majoriti kaum wanita pula penuh dengan ketaksuban kisah cinta. Tidak banyak pengajaran terkandung melainkan mempromosikan sebuah kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang belum berkahwin, ditambah dengan plot konflik yang melanda mereka dan akhirnya diakhiri dengan kejayaan penyatuan mereka di penghujungnya (Adakah SEKS?). Mudah bukan jalan ceritanya yang kini boleh dihafal skrip oleh budak sekolah rendah sekali pun.
Merangsang nafsu
Tak perlu nak dihurai panjang juga, kerana sudah dihuraikan dalam artikel 'lelaki dan blue' sebelum ini. Semua orang pasti tahu wanita sering dieksploitasi untuk tujuan meningkatkan rating drama atau filem mereka. Adegan-adegan jijik wajib untuk diselitkan dalam setiap filem Hollywood. Paling tidak pun, drama dari jepun sering menjaja seorang watak heroin berwajah menggoda. Nah, tanyalah diri anda sejujurnya, mampukah anda mengawal nafsu melihat filem atau drama sebegini? Tidak ternaikkah sedikut pun nafsu seketika watak tersebut beraksi? Dan kaum wanita juga tidak terlepas. Tidak perlu menipu diri, masakan gambar Ikuta Toma dijadikan gambar profile di facebook, huh?
Campuran lelaki dan perempuan
Tidak cukup menonton TV di rumah, sudah menjadi trend kini untuk masyarakat kita menonton wayang. Menonton wayang umpama gaya ‘menonton TV’ secara berskala besar, yakni menonton secara beramai-ramai. Maka keadaan sekeliling turut memainkan peranan dalam menentukan hukumnya. Sebagai tambahan daripada syarat yang dibincangkan tadi, Syeikh Yusof Qaradhawi menambah, perlu elak dari bergaul di antara lelaki dan perempuan ajnabi dan lebih-lebih lagi menonton di dalam keadaan gelap! Apabila melihat fenomena menonton wayang pada hari ini, apakah anda masih berfikir ianya dalam kerangka syarat yang ditetapkan?
-------
Sudah tiba masanya kita semak kembali penggunaan TV dan wayang oleh kita sendiri. Kita bukan menyuruh anda untuk mencampak TV ke sungai, tetapi tidak mahu menjadikan teknologi sebagai pemudah cara untuk melakukan dosa-dosa besar yang lain. Jadi, sudah menjadi satu keperluan untuk setiap orang mempunyai suatu ‘filter’ yang mampu bertindak memilih rancangan yang mampu memanfaat diri dan membuang rancangan yang membawa kemudaratan. Ini yang ditekankan oleh Syeikh Yusof Qaradhawi lagi,
“Setiap insan itu adalah ibarat mufti bagi dirinya sendiri. Ia berupaya menutup pintu keburukan dan kerosakan terhadap dirinya. Jika tidak berupaya menghalang dirinya, maka lebih baik tidak terjebak dengan sistem yang bakal membuka pintu kejahatan!
Sharing is caring.. "Sampaikan dakwah walaupun sepotong ayat"
Harap share di facebook atau twitter anda.. Salam Perjuangan..
No comments:
Post a Comment