Pengembaraan Tamim
Inilah perjalanan untuk dihayati,
perjalanan mengabdi pada cinta sejati,
pada anak dan cucu di kemudian hari,
di dalam diri terkandung rahsia Ilahi...
Perjalanan ini tempatnya misteri,
pencinta sejati telah melalui,
tanda diberi disuruh mencari,
binasa akal lidah pula memuji...
Di dalam perjalanan bukalah matahati,
patuhi tertib janganlah menyalahi,
inilah Ilmu dipangil laduni,
warisan pusaka tinggalan Nabi...
Perjalanan sampai ke puncak tertinggi,
binasa diri pada yang terpuji,
di kurnia janji bagi yang menepati,
terbitlah nur Ilahi pada diri terperi.
perjalanan mengabdi pada cinta sejati,
pada anak dan cucu di kemudian hari,
di dalam diri terkandung rahsia Ilahi...
Perjalanan ini tempatnya misteri,
pencinta sejati telah melalui,
tanda diberi disuruh mencari,
binasa akal lidah pula memuji...
Di dalam perjalanan bukalah matahati,
patuhi tertib janganlah menyalahi,
inilah Ilmu dipangil laduni,
warisan pusaka tinggalan Nabi...
Perjalanan sampai ke puncak tertinggi,
binasa diri pada yang terpuji,
di kurnia janji bagi yang menepati,
terbitlah nur Ilahi pada diri terperi.
Siri 'Pengembaraan Tamim' ini dipetik dari Hikayat Tamim Habibul Al-Dari adalah untuk rujukan. Meskipun perjalanan cerita ini adalah di luar logikal kehidupan manusia biasa namun seandainya dikaji dengan teliti dan sabar pasti akan menemui suatu jawapan yang tak terduga samasekali. Dari sudut lain pula di dalam kisah ini terdapat Firman Allah dan Sabda Rasul, ini sudah pasti akan menambahkan keyakinan tentang perjalanan cerita ini. Jadi ambillah ia dari sudut yang positif untuk dilihat akan kebenarannya dan juga mudah-mudah terungkaplah suatu kebenaran yang dicari dengan izin Allah s.w.t. Selamat membaca!.
Setelah pertemuan Tamim dengan Dajal maka ia pun beredarlah dari sana. Dengan keadaan yang tiada makan dan minum hingga sampailah dia ke suatu pulau juga. Bertemulah dia dengan seseorang dan dilihatnya sebuah kapal ada di situ dan bertanyalah dia kepada orang itu tentang dari manakah kapal tersebut. Dan dijawab pula oleh orang itu bahawasanya kapal itu dari benua Hindi dan orangnya juga dari Benua Hindi.Lalu ditanyakan pula tentang maksud pertanyaan Tamim itu dan dari mana datangnya Tamim hingga sampai ke pulau itu. Dalam keadaan yang amat sedih beliau memberitahu bahawasanya beliau telah ditakdirkan oleh ALLAH s.w.t. yang maha menentukan Takdir dan tiadalah seorang pun yang menanggung seksa yang amat besar lagi menyakitkan yang tidak pernah di rasai oleh segala hamba ALLAH.
Dengan kesedihan yang amat sangat beliau menangis sehinggalah beliau berhenti menangis lalu memohon simpati dari orang itu agar dapat ditumpangkannya kapal itu untuk balik ke negeri beliau. Apabila dilihatnya kelakuan Tamim yang amat menyedihkan itu lalu ditumpangkannyalah Tamim menaiki kapal itu. Setelah beberapa lama berlayar maka datanglah ribut taufan yang amat keras sehingga membinasakan kapal dan segala orang yang di dalamnya. Tinggallah Tamim seorang diri berenang di dalam laut itu hingga sampailah beliau ke sebuah pulau di mana penghuninya terdiri dari kalangan wanita-wanita.
Jikalau kita lihat ayat dari yang digelapkan di atas kemudian kita perhatikan ayat-ayat dari surah Al-Kahfi ini.
Hingga apabila dia telah sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di hadapan kedua-dua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.
Setelah itu berjalan pula ia kira-kira lima malam dan bertemu pula dengan sebuah negeri yang terlalu besar dan orangnya sama seperti negeri yang di tinggalnya tadi. Dan dia pun berjalan lagi sehingga bertemu pula dengan sebuah negeri.Setelah itu berjalan lagi dia sehinggalah bertemu dengan negeri yang ke-tujuh dan dalam keadaan lapar dan dahaga terkenanglah dia akan Rasulullah s.a.w dan rindu dendamnya pada anak dan isterinya dan teringatlah juga akan Amirulmukminin Umar r.a. Sehinggalah di sana dia bertemu dengan jin yang berjanji dengan dia hendak mengambil cincin dan mahkota Nabi ALLAH Sulaiman hendak diberikannya kepada Tamim supaya boleh menjadi raja empat penjuru alam.
Maka tibalah suatu hari di mana Tamim di datangi oleh Jin Afrit yang sangat besar serta ditanyai oleh jin itu akan Tamim perihal datangnya dia ke tempat itu. Lalu diceritakanlah oleh Tamim akan beliau sahabat Rasulullah s.a.w. serta dari awal perihalnya.Setelah itu amat kasehanlah akan jin afrit terhadap Tamim dan memintanya untuk tunggu seketika dia hendak pulang ke rumahnya.Setelah itu kembalilah jin afrit itu membawa makanan dan segala jenis makanan itu pun dimakannyalah dengan sukacitanya kerana tiada ia pernah melihat makanan seperti itu.
Setelah makan dan minum kemudiannya itu dikeluarkanlah oleh jin afrit itu segenggam peluru dan memberi kepada Tamim dan untuknya segenggam pula lalu ia berkata sekiranya Tamim melihat dia mati maka hendaklah dilemparkannya peluru itu kepadanya agar dapat dia hidup kembali.Selepas itu jin itu pun menghempaskan dirinya ke tanah dan berguling-guling lalu menjadi seekor unggas yang sangat indah dan meminta agar Tamim bergayut pada kakinya dan berpesan sekiranya Tamim terlepas dari pegangan itu maka akan matilah Tamim lalu terbanglah mereka merentasi tujuh lautan.
Demikianlah perbuatannya pintu gua itu dan dihampirinya pintu lalu dilontarlah akan jin afrit sebuah demi sebuah peluru sehingga terbukalah akan pintu yang ke-tujuh. Setelah terbuka akan pintu maka masuklah mereka dan dilihatnya ada sebuah rumah yang amat indah rupanya yang atapnya daripada kaca yang merah dan dindingnya kaca yang biru dan tiangnya daripada emas sepuluh mutu. Dan dilihatnya pula di dalam rumah itu ada sebuah kota keemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam dan baiduri berumbai-umbaikan mutiara dan tujuh lapis tirainya khatifah yang beremas-emasan di atasnya.Maka dilihatnya di dalam tirai itu adalah seorang tidur di atas kotanya, terlalu amat elok rupanya yang maha indah-indah gilang-gemilang cahaya mukanya seperti bulan purnama empat belas hari bulan.
Demikianlah rupanya dan ada suatu cincin kepada jarinya daripada emas sepuluh mutu dan mata cincin itu empat bentuk. Suatu daripada zamrud dan kedua daripada intan, ketiga daripada baiduri dan keempat daripada mutu manikam cahanya gilang-gemilang. Maka tatkala siang adalah kurang sedikit terangnya dan rumah dan kotanya umpama kandil seperti pelita terangnya. Demikianlah cahaya cincin itu.
Di kaki orang yang tidur itu ada seekor ular yang amat hitam dan pada kepalanya pula ada lagi seekor yang putih pula rupanya menunggu akan orang yang tidur itu.Apabila hendak diambil oleh Afrit akan cincin itu maka dipatuklah ular putih itu lalu matilah afrit itu. Demi dilihat oleh Tamim akan matinya afrit lalu dilontarlah akan ia dengan batu itu dan hiduplah ia kembali.Kemudian bangunlah afrit hendak mengambil lagi cincin itu maka dipatuk pulalah oleh ular yang hitam itu lalu matilah afrit .Demi dilihatnya afrit telah mati, hendaklah ia melontarkan batu itu lagi maka berkatalah ular yang hitam itu,"Hai Hamba ALLAH, jikalau engkau bukan sahabat Rasulullah s.a.w. sudahlah engkau mati seperti Afrit itu juga maka janganlah engkau lontar lagi dan biarlah ia mati". Tamim pun terdiam lalu bertanya pula kepada ular itu siapakah dia sebenarnya sehingga boleh dia berada di situ. Lalu di jawab oleh ular itu bahawasanya mereka itu adalah malaikat yang telah diperintahkan oleh ALLAH s.w.t. agar menunggu akan Nabi ALLAh Sulaiman itu. Maka didoakanlah kepada ALLAH s.w.t. agar tidak seorang pun yang akan dapat akan cincin dan beroleh kebesaran seperti itu dan diperkenankan pula oleh ALLAH s.w.t. dan sebab itulah mereka dititahkan ALLAh s.w.t. menunggu akan Nabi ALLAH Sulaiman dan menjagakan cincin itu sehingga datangnya hari Kiamat.
Maka bertanyalah akan Tamim tentang dari mana tahunya yang ianya adalah umat Muhammad. Dan berkatalah dia kepada Tamim bahawa sesungguhnya para malaikat mengetahui akan segala yang tersurat di dalam loh mahfuz dan tiada sesiapa daripada hamba ALLAH Taala yang sampai ke tempat itu melainkan hanyalah dua orang juga iaitu Tamim dan bersama Jin itu.Kemudian disuruhlah akan Tamim untuk mengambil kembali akan cincin dan peluru tersebut dan keluarlah ia dari dari situ. Malaikat itu pun menyuruh Tamim agar membaling peluru tersebut untuk membuka pintu gua yang tertutup sepertimana yang telah dilakukan oleh jin tadi.
Setelah terbuka segala pintu itu maka Tamim pun keluarlah ia dari gua itu seraya berfikir akan kebesaran ALLAH s.w.t. dan berjalanlah ia dengan lapar dan dahaganya. Dua hari dua malam hinggalah sampai kepada hari yang ketiga ia berjalan maka ia pun melihat suatu mahligai di tengah padang yang terlalu indah akan perbuatannya.
Di dalam mahligai itu terdapat seorang perempuan yang terlalu elok rupa parasnya bak bulan purnama. Kemudian dipanggil akan Tamim Ibn Habibul Dari orang Madinah supaya menghampirinya. Terkejutlah Tamim mendengarnya dan pergilah ia menghampirinya.Tamim pun bertanyakan perihal perempuan itu tahu akan namanya dan tempat asalnya. Maka dijawab oleh perempuan itu bahawa beliau melihat di dalam kitab beliau bahawasanya tiada seorang pun yang dapat ke tempatnya melainkan orangnya yang bernama Tamim habibul Dari yang datangnya dari Benua Madinah dan daripada kaum Ansar dan ditanyakan oleh perempuan itu akan jin yang bersamanya tadi. Di jawablah oleh Tamim bahawa jin itu telah matilah ia di dalam gua Nabi Allah Sulaiman a.s..
Di tanyalah Tamim pula akan ibunya sekarang ini dan sesungguhnya telah matilah ia sekarang ini kata perempuan itu. Kemudian dibawalah akan perempuan itu ke tempat kuburnya ibu perempuan itu.Setelah sampai maka dilihatlah akan Tamim ada suatu loh di atas kepala kubur itu dan tersurat di dalam loh itu suatu syair. Setelah dibacanya syair itu maka menangis kedua mereka yang amat sangat sehinggalah pengsan keduanya. setelah terjaga dari pengsan mereka maka berkatalah Tamim kepada perempuan itu mohon di atas jasa baiknya untuk hantarkan beliau balik ke negerinya. Berkatalah perempuan itu kepada Tamim dengan izin ALLAH dan berkat syafaat Khatimul Nabi,perempuan itu akan menyuruh menghantarkan Tamim kembali ke negerinya.
Setelah itu berserulah perempuan itu dengan suara yang nyaring dan seketika itulah juga datangnya Jin Afrit berlari-lari seperti kilat yang maha tangkas. Demikianlah perilakunya ia datang dengan besar panjangnya seperti sepohon kayu yang tinggi. Dengan Firman ALLAh Taala maka berkatalah perempuan itu "tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi padaku".
Kemudian jin itu pun menyuruhlah Sahabat Rasulullah itu naik di atas bahunya dan Tamim pun naiklah dan terbanglah ia seketika itu juga sampailah kepada laut yang besar di mana tempat kapal yang ditumpanginya itu pecah tatkala ribut taufan. Maka di situ jugalah dibuangnya Tamim oleh Jin Afrit itu dan jatuh ke dalam laut yang amat dalam. bersambung
Setelah di dengar kata dari unggas itu maka minumlah dengan segera air yang keluar dari perut unggas tersebut. Air yang lazat itu membuatkan Tamim terhenti kerana terlalu nikmat rasanya lagi amat harum baunya daripada ambar dan kesturi. Setelah hilang sudah lelahnya maka dengan takdir Allah s.w.t. maka lemahlah sekalian tulang dan sendinya dan berkatalah oleh unggas itu," Hai Tamim lemahlah engkau tatkala diterbangkan jin itu kerana ia terbang terlalulah amat kerasnya terlebih daripada orang yang dijadikan oleh Allah Taala di dalam dunia dan pantasnya terlebih daripada kilat itu."
Maka dijawab Tamim pula, "Sesungguhnya seperti kata tuan hamba itu, terlalulah sangat lemahnya kerana terbangnya itu terlampauan sangat-sangat dan lagi sebab kerana laparnya dan dahaganya hamba." Seraya ia bertanya, "Engkau, siapa tuan hamba yang dititahkan Allah s.w.t. mendapatkan tuan hamba ke mari ini. Berkata benarlah tuan hamba kepada hamba, mengapa maka tuan hamba diam kepada tempat ini. Ada apa 'ambalan' tuan hamba di sini."
Maka jawab unggas itu, "Nabi Allah Ishak a.s. disuruhnya diam di sini akan menunggui pulau itu dan menunjukkan jalan bagi hamba Allah sekalian yang sesat. Itulah sebab diamnya hamba di sini hingga sekarang ini. "Hai Tamim berjalanlah tuan hamba dari sini dan jangan lagi tuan hamba di sini jikalau tuan hamba dari sini berjalan Insya Allah Taala oleh tuan hamba bertemu seorang laki-laki yang amat elok rupanya, sama-sama di tengah jalan itu dan berbaju hijau dan tengkoloknya pun hijau ialah akan dapat menunjukkan tuan hamba jalan yang betul."
Setelah sudah, Tamim pun berjalan dari sana tiga hari tiga malam dan sampailah kepada sebuah sungai yang amat indah rupanya dan kepada tepi sungai itu ada sepohon kayu, pohon delima belaka sepanjang sungai itu. Dilihatnya di dalam berjalan itu dan dilihatnya pula sebuah masjid ada seorang orang muda terlalu elok rupanya dan terlalu manis mukanya. Keadaannya itu berbaju hijau dan tengkoloknya pun hijau.
Berkatalah pemuda itu ." Hai Tamim terlalu ajaib khabar tuan hamba ini dan terlalu jauh sekali perjalanan tuan ini, tiada pernah sekali-kali hamba Allah sampai kepada tempat ini." Seraya diberinya buah delima yang masak itu dan disambut oleh Tamim lalu dimakannya. Setelah sudah ia makan buah delima itu maka kata Tamim ," Demi Tuhan yang menjadikan seru sekalian alam, tidak pernah hamba rasai buah delima ini dan terlebih nikmat rasanya akan dia." Serta ia berkata, "Hai orang muda unjukkan apalah akan hamba jalan yang betul kerana hamba hendak pulang ke Benua Madinah."
Maka jawab oleh orang muda itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, jalanlah tuan hamba dari sini akan terlebih ajaib dan terlebih indah-indah di hadapan tuan hamba itu, terlebih indah-indah pula dari yang dahulu itu.Maka bersegeralah tuan hamba berjalan dan tuan hamba akan bertemu hamba yang menunjukkan jalan yang betul itu." Maka berjalanlah Tamim dengan lapar dan dahaganya serta ia bertawakkal kepada Allah Taala. Dengan takdir Allah Taala bertemulah ia dengan sebuah negeri yang terlalu indah lagi elok perbuatannya dan terlalu ajaib pula negeri itu. Sekaliannya dari emas sepuluh mutu belaka dan pada keliling negeri itu daripada baiduri dan berumbai-umbaikan mutiara dan bersadurkan dengan perak yang maha putih. demikianlah rupanya dan pintunya negeri itu daripada emas sepuluh mutu bersadurkan manikam yang merah dan pintunya itu tertutup dan tersurat di atas pintunya itu kalimah, 'La ilaha illAllah Muhammad Rasul Allah', maka itulah kuncinya pintu itu. Maka berjalanlah Tamim menghampiri pintu negeri itu, maka dilihatnya pula di atas pintu itu tersurat demikian bunyinya, "Barangsiapa hendak masuk ke dalam negeri ini, maka bacalah ia kalimah ' La ilaha ILLALLAH Muhammad Rasul Allah' yang tersurat kepada pintu itu." Maka terbukalah dengan sendirinya assebab dibaca oleh Tamim kalimah itu dan masuklah Tamim ke dalam negeri itu dan dilihatnya akan rupa negeri itu terlalu indah-indah dan ajaib-ajaib sekali akan tanahnya daripada 'ya'kut' danbatunya pusparagam dan pasirnya daripada emas sepuluh mutu berumbai-umbaikan mutiara dan berapa ribu batang pintunya di dalamnya segalanya itu daripada emas bertatakan ratna mutu manikam dan pusparagam. Dan berapa tabirnya itu berlapis-lapis dewanga khatifah yang beremas dan kainnya daripada sandos wastabrok dan baldu yang beremas tergantung di atas pintu itu sekaliannya.
Maka dilihatnya oleh Tamim akan kebesaran Allah s.w.t. yang demikian itu takjublah dan hairanlah ia akan kekayaan Allah s.w.t. yang tiada pernah dilihatnnya oleh orang muda, itulah yang dilihatnya, lalu berjalanlah ia ke dalam negeri itu. Dilihatnya orang muda-muda dan orang tua-tua duduk bersandar kepada dinding memegang pedang yang terhunus dan berlumur dengan darah sekaliannya. Dan bahawa darah itu yang terlalu harum daripada khelembang dan ambar dan kesturi dan gaharu maka ia pun memberi salam kepada orang itu dan disahutlah akan mereka.
Maka ia pun beberapa sungai berisi nikmat belaka. Suatu sungai itu tanahnya daripada kapur barus dan pasirnya daripada nilam pualam dan airnya daripada susu. Dan lagi suatu sungai itu demikian itu juga tanahnya daripada ambar dan batunya daripada mutiara dan pasirnya daripada emas sepuluh mutu dan airnya daripada madu yang amat lazat rasanya.
Maka ada sebuah lagi sungainya demikian juga besarnya akan tanahnya sungai itu daripada kesturi dan pasirnya daripada nilam pualam tampaknya daripada narwastu yang amat harum baunya dan airnya daripada air manis. Dan lagi pada sebuah sungai itu demikian juga besarnya dan dripada tanahnya emas sepuluh mutu juga dan pasirnya daripada lu'lu'wal marjana dan tempat daripada 'ja'afar' dan airnya manis juga.
Maka demikianlah dilihat oleh Tamim akan perbuatan sungai itu yang terlalu ajaib belaka dan airnya pun lazat rasanya. Maka dia pun minumlah air itu. Demikianlah nikmat sekalian belaka seraya ia tawaduk akan Tuhannya yang sebenarnya.
Setelah sudah merasai nikmat maka ia pun berjalanlah ke tengah-tengah negeri itu dan dilihatnya pula pada tiap-tiap kota itu banyak segala perempuan, anak dara-dara duduk di dalam kota yang berkeemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam dan berumbai-umbai akan mutiara sekaliannya dan lagi gilang gemilang cahaya mukanya terlebih daripada cahaya bulan dan matahari. Maka tiada dapat di tentang dengan nyata dan kepada tubuhnya beberapa pakaian daripada emas dan perak dan lagi daripada beberapa jenis permata dan intan yang tiada terhisabkan lagi akan banyaknya demi seorang kepada seorang.
Demikian juga mereka itu memakai pakaian yang indah-indah daripada sandos wastabrok dan mereka itu memakai kain yang indah lagi dan lagi makanan yang amat lazat rasanya itu dan beberapa minuman daripada 'Syariban thahuro' itu sekaliannya ada belaka. Setelah berapa lamanya berjalan maka ia punberhentilah kepada suatu tempat sambil makan minum, merasalah akan nikmat dan minumannya itu yang mana dikehendaki.
Setelah sampailah tiga hari tiga malam di dalam negeri itu maka ia pun berjalanlah ke sana ke mari membawa dirinya daripada kesusahan seraya berfikirlah di dalam hatinya, "Jikalau demikian ini,baiklah aku diam di dalam negeri ini yang terlalu banyak makanannya di dalam negeri ini." Seraya ia makan segala nikmat di dalam negeri itu maka tiba-tiba datang dua orang berkuda. Adalah kaki kudanya itu putih dan kepalanya pun putih juga.
Maka ia pun berkata kepada perempuan yang duduk di atas kota itu, "Hai segala anak-anak bidadari yang di dalam syurga ini.Engkau tanyakanlah segal orang yang mati syahid itu maka negkau katakanlah ia akan pembalasannya yang berperang Sabilullah dahulunya itu supaya dilihat oleh Tamim ibn Habibul Dari ini. Berkhabarlah kepada segala Mukminin di dalam dunia maka itulah akan bahagian segala hamba Allah yang mati syahid itu."
Demikianlah ia sangat dimuliakan oleh Allah Taala dianya dan lagi dilebihkan Allah Taala pahalanya segala orang yang mati syahid itu. Maka supaya Tamim ibn Habibul Dari berkhabar kepada segala mukminin yang di dalam dunia itu supaya gemar segala mukminin berperang Sabilullah.
Demikianlah engkau lihat hai Tamim adapun orang yang mati syahid itu sangatlah ia dimuliakan oleh Allah Taala maka kata orang itu," Hai Tamim ibn Habibul Dari keluarlah engkau dari sini." Maka disahut Tamim ibn Habibul Dari ,"Tiada hamba mahu keluar lagi kerana hamba hendak diam di dlam negeri ini kerana banyaklah nikmatnya di dalam negeri ini."
Maka berkatalah orang yang berkuda itu,"Hai Tamim, tiada boleh orang yang hidup di dalam negeri ini melainkan kemudian daripada matinya. Hai Tamim segeralah engkau keluar dari dalam negeri ini kerana tubuhmu itu diharamkan Allah Taala api neraka. Syurga inilah akan tempat engkau nanti." "Sedangkan Nabi Allah Idris a.s itu betapa perinya maka ia masuk syurga dengan hidupnya itu dan akan hamba pun demikian juga kehendak hamba kerana tiada pernah hamba mendengar orang yang masuk syurga konon pula keluar." Maka kata malaikat kedua itu," Hai Tamim adapun Hikayat Nabi Idris itu ia masuk syurga itu demikianlah Hikayatnya ada kepada suatu hari ia minta akan doa kepada Allah Taala akan syurga. Dengan seketika itu juga maka diperolehnyalah akan permintaannya itu kepada Allah Taala itu, maka ia pergi ke dalam syurga itu dibawanya oleh Jibril. Maka ia pun duduk di dalam syurga. Setelah saat ia berjalan itu maka berkata Nabi Allah Idris a.s.,"Hai taulanku akan hamba punya kaus itu suda tinggal di dalam syurga tadi." Setelah itu maka berbalik kembali ia mengambil akan kausnya itu.
Setelah itu ia masuk ke dalam syurga maka dinantikan oleh Izrail belum juga ia keluar. Maka diseru oleh Izrail akan dia maka tiadalah mahu keluar lagi. Setelah itu maka Izrail itu pun kembali menghadap ke hadrat Allah Taala demikian sembahnya,"Ya Illahi Ya Rabbi ya mauli ya Tuhanku, Engkau jua yang terlebih tahu akan hal ehwal kekasih-Mu Nabi Allah Idris itu. Tiada mahu ia keluar dari dalam syurga itu."
Maka Firman Allah s.w.t. ,"Hai Izrail, tiadakah engkau tahu dan ketahui ia,Aku juga yang mengetahui dia. Adapun kekasih-Ku, biarlah ia duduk di dalam syurga itu."Demikianlah Hikayatnya hai Tamim, maka segeralah engkau keluar dari dalam syurga itu. Janganlah banyak permintaanmu kerana engkau seorang hamba Allah yang khalik namanya dan lagi sempurna engkau menjunjungi kurnia titah Tuhanmu yang sedia selama-lamanya."
Maka Tamim ibn Habibul Dari pergi kerpada orang yang berkuda itu, "Hai hamba allah,betapa perinya hamba hendak pulang ke negeri hamba." Maka kata malaikat itu," Hai hamba Allah Tamim,jalanlah engkau dari sini dan janganlah engkau takut lagi,insyaAllah Taala maka segeralah engkau sampai ke negerimu. Hai Tamim jikalau tuan hamba sampai ke negeri tuan hamba itu, maka hendaklah hamba berkhabar yang hak sebenarnya seperti mana-mana tuan hamba melihat itu. Maka tuan hamba melihat itu, maka tuan hamba khabarkan kepadanya, mudah-mudahan dengan kurnia Allah Taala maka mahulah ia berbuat takut kepada Allah Taala dan mendengar jalan yang sudah dijauhi ia segala larangannya itu. Maka inilah akan balasannya dinugerahi oleh Allah Taala atasnya.. Hai Tamim berkhabarlah juga tuan hamba kerana khabaran tuan hamba itu terlalu ajaib didengarnya oleh segala Mukminin datang kepada hari kiamat Jumaat."
Maka Tamim ibn Habibul Dari pun keluar dari dalam syurga itu seperti tiada akan keluar rasanya lagi. Lalu berjalanlah seraya menjunjungi tangannya keduanya ke atas kepalanya serta dengan dukacitanya itu.
Setelah itu tiga hari tiga malam ia berjalan maka sampailah ia kepada pintu negeri itu seraya ia makan dan minum nikmat yang amat citarasanya seraya mengucap, 'La Ilaha ILLALLAH Muhammad Rasul Allah' maka terbukalah pintu itu dengan sendirinya. Maka Tamim pun keluarlah dari dalam syurga itu dengan kesenangannya, maka kami di sini mendapat kesusahan pula.
Tiga hari tiga malam ia berjalan itu maka dilihatnya suatu cahaya yang amat gilang gemilang cahayanya itu seperti kandil yang amat terang. Demikian rupanya maka berkata-katalah di dalam hatinya,"Inilah rumah orang bertapa bermasak-masak nasi.Inilah apinya yang kelihatan itu membetulilah cahaya itu." Seraya jalan juga ia ke sana.
Maka Tamim itu pun berfikirlah, "Inilah untungnya hamba ditakdirkan Allah Taala akan hamba-Nya maka hamba sampai kepada tempat itu akan bahagian untuk membawa pulang ke rumah hamba."
Setelah itu maka lalu hamba mengambillah akan permata dan pasparkam sekalian itu pun hamba mengambil belaka sekira-kira hamba boleh terbawa olehnya hamba ambil dan hamba bungkus sekaliannya itu kemas-kemas adanya.
Setelah sudah benda itu diambil oleh Tamim ibn Habibul Dari tiba-tiba datang seekor ular yang terlalu hitamnya dan terlalu lagi besarnya dan rupanya dan matanya punmerah seperti api. Maka dengan takdir Allah Taala Tuhan Robiul Alamin tiba-tiba tahu ia berkata-kata ular itu,maka katanya," Hai Tamim ibn Habibul Dari, buangkan olehmu akan segala benda yang engkau ambil itu dan segala permata yang ajaib-ajaib itu jangan engkau bawa ke mana-mana."
Maka kata Tamim ibn Habibul Dari,"Tiada aku mahu membuangkan dia itu kerana aku hendak membawa pulang ke negeri aku." Maka kata ular itu,"Tiada engkau mahu membuangkan segala benda itu?" Maka dijawab oleh Tamim,"Tiada mahu aku membuangkan dia itu." Maka dipalunya oleh ular itu dengan ekornya maka kenalah di betis Tamim lalu pengsan tiada khabarkan dirinya, Maka hendak dibunuhmya sekali oleh ular itu akan Tamim maka dengan takdir Allah Taala dengan seketika itu juga maka datang seoraqng orang muda terlalu baik parasnya dan elok rupanya datang ia mendapatkan akan Tamim ibn Habibul Dari.
"Hai Tamim, buangkanlah olehmu akan benda itu yang engkau ambil sekaliannya dan mengucap oleh mu ayatul Qursi supaya dilepaskan Allah azzawajalla engkau daripada bahaya yang amat besar itu." Maka dibuangkanlah oleh Tamim segala benda yang dibawanya dan mengucaplah ia akan ayatul Qursi.Maka dibacanyalah oleh Tamim maka ia pun sedarlah daripada pengsannya itu.
Maka ia pun berjalanlah dari sana sekira-kira dua puluh hari dua puluh malam dan berjalanlah ia beberapa lamanya,dengan ketiadaan makan dan minum maka menangislah ia teringat akan kubur Rasulullah s.a.w. dan tersedarlah ia akan negerinya dan rindu dendamlah ia akan anak isterinya.Maka bercucuranlah air matanya seperti mutiara yang berhamburan daripada karangannya demikianlah halnya selama-lamanya.
Setelah ia selesai daripada menangisnya maka ia pun berjalanlah dari sana lalu ia pun bertemulah dengan seorang orang muda terlalu baik rupa parasnya dan amat manis mukanya dan pakaiannya daripada putih dan tepi pakaiannya itu semuanya hijau. Maka dilihatnya Tamim itu berjalan pada tengah padang itu maka lalu diserunya Tamim seraya katanya,"Hai Tamim,marilah tuan hamba ke mari,terlalu sekali banyak yang ajaib-ajaib,seraya boleh bercetera akan halnya segala yang dilihatnya dan segala yang dirasa daripada permulaannya datang kepada kesudahannya."
Maka kata orang itu,"Hai Tamim ibn Habibul Dari,sukalah tuan hamba melihat termasa sangat di sanalah kekayaan Allah Taala yang tiada pernah melihat yang tuan melihat itu.. Pergilah tuan hamba ke balik bukit yang maha tinggi itu supaya tuan hamba melihat kekayaan Allah Taala. Di sanalah kemudian jikalau sudah tuan hamba melihat dia maka kembalilah engkau kepada aku di sini supaya engkau akan berkhabar kepada aku. Kemudian maka aku memberi khabar kepada engkau segala yang engkau lihat akan sekaliannya itu."
Maka jawab Tamim itu,"baiklah ." Maka ia pun berjalan dekat bukit itu. Setelah beberapa lama ia berjalan maka sampailah ia ke balik bukit itu. Dan dilihatnya suatu padang yang maha luas dan yang amat putih rupanya dan lagi licinnya terlebih daripada cermin.
Maka berjalanlah Tamim di dalam padang itu yang maha luas serta dengan hairanlah ia melihat padang itu terlalulah ramai sekali orangnya dan elok rupanya.
Terlalu amat ajaib ia melihat kebesaran Allah s.w.t. Di dalam berjalan itu ia melihat ada seekor anjing halnya bunting dan menyalak anaknya di dalam perut anjing itu. Maka dilihatnya oleh Tamim kebesaran Allah Taala itu demikiannya maka ia pun hairanlah akan dirinya serta mengucap tahlil dan tahmid akan Tuhan seru alam sekalian.
Maka berkata anjing itu,"Hai Tamim,janganlah engkau taksub sangat-sangat melihat aku ini, segeralah engkau berjalan dari sini. Ada lagi engkau lihat di hadapanmu itu yang terlebih ajaib pula ia daripada aku."
Maka Tamim pun berjalanlah pula dari sana. Setelah itu beberapa lamanya berjalan itu maka bertemu dengan seorang perempuan tua sekali itu terlalu elok rupanya serta dengan pakaiannya yang lengkap kepada tubuhnya itu daripada emas sepuluh mutu dan tangannya penuh dengan gelang dan segala anak jarinya itu penuh dengan cincin dan bajunya itu daripada bunga api dan kainnya itu pun demikian juga belaka.
(sekadar hiasan)
Maka hal keadaannya perempuan menangis dengan tangis yang sangat seraya ia berkata,"Wah celakaku,wah! badanku, wah! malangku dan umurku pun hampir luput daripada hampir binasa." Demikianlah halnya perempuan itu serta dilihat oleh Tamim akan kelakuan perempuan itu.
Setelah itu maka ia pun terlalulah hairan akan halnya itu seraya ia berjalan di hadapan perempuan itu. Setelah berapa lamanya ia berjalan itu maka Tamim pun bertemu dengan seorang laki-laki mengambil air pada sebuah telaga. Maka dituangkannya kepada pasu yang pasuk itu dan segala air yang diambilnya itu habis kembali pula ke dalam telaga itu juga. Dengan berapa lamanya yang demikian itu juga dilihat oleh Tamim lalu berkata."Hai hamba Allah,betapa hal engkau bubuhkan air kepada pasu yang pasuk itu.Tiadakah engkau lihat air itu habis masuk ke dalam telaga itu juga. Jika tiada engkau baikkan pasu yang pasuk itu sampai hari kiamat pun tiada akan berisi dan penuh pasu itu."
Maka jawab oleh orang yang mengambil air itu,"Hai Tamim ibn Habibul Dari, apalah engkau pedulikan akan daku ini, kerjamu itu juga engkau kerjakan.Segeralah engkau berjalan dari sini." Maka Tamim pun berjalanlah dari sana serta dengan hairannya melihat hal yang demikian itu. Maka seketika ia berjalan bertemu pula dengan seorang laki-laki menanggung pohon kurma yang besar serta dibawanya berjalan ke sana ke mari dengan tiada merasai berhenti barang seketika pun, maka lalu dihampirinya oleh Tamim itu seraya ia berkata,"Hai hamba Allah, gilakah engkau ini,maka engkau menanggung pohon kayu yang amat besar itu. Jikalau engkau lontarkan pohon kayu itu ke bumi, bukankah baik lagi engkau senang." Maka jawab orang itu,"Apa engkau pedulikan akan aku ini,kerjamu itu engkau jaga baik-baik, jangan engkau pedulikan aku ini. Kembalilah engkau dari sini. Jangan banyak kata-katamu itu."
Maka Tamim ibn Habibul Dari pun kembalilah ia dari sana itu seraya ia berfikirlah segala yang dilihatnya itu selama-lama ia meninggalkan Benua Madinah. Setelah sampailah iaitu lalu ia berjalan kembali mendapatkan orang yang menyeru dia itu tadi. Setelah sampailah ia kepada orang itu lalu ia pun berhentilah di sana.
Maka sabda Nabi Allah Khidir a.s.,"Hai Tamim ibn Habibul Dari, banyak sekali yang ajaib itu hamba lihat di balik bukit itu tadi," Maka berceteralah akan segala yang dilihatnya itu, maka sabda Nabi Allah Khidir a.s. pun tersenyumlah dan berkatalah ia,"Duduklah engkau di sini hai Tamim." Maka Tamim pun duduklah ia seraya katanya,"Berceriteralah engkau akan sekalian yang dilihat itu akan kebesaran Allah Taala Khalakul 'alam. Yang telah sudah dilihatnya itu dan peri ia lama sudah ia meninggalkan akan negerinya dan peri diambil oleh Raja Jin Islam itu sekaliannya, habis diceterakannya daripada permulaannya datang kepada kesudahannya.
Setelah didengar oleh Nabi Allah Khidir itu berkatalah ia,"Hai Tamim ibn Habibul Dari, bercintalah engkau akan anak isteri engkau." Maka jawab Tamim, "Sesungguhnyalah hamba bercinta itu lalu ia pun bersyairlah ia seperti yang sudah-sudah serta menangis dengan tangisnya yang maha sangat seraya ia berkata pula dalam syair demikian bunyinya kalimah yang bermaksud:
"kataku suatu perkataan rindu dendamku kepadamu dan engkau kembali juga kepadamu wahai kekasihku dan jikalau mati aku maka bahawa sesungguhnya mati seperti dagang maka sejahteralah Tamim hai isteriku."
Seraya ia menangis dengan tangisan yang amat sangat dan tersedu-sedu ia menangis dan berkata,"Jikalau tiada lagi di dalam dunia akan pertemuan hamba, insyaAllah Taala di dalam akhiratlah dipertemukan Allah Taala dengan anak isterinya hamba."
Maka tertawalah Nabi Allah Khidir sebab mendengar syair dari Tamim itu dan menaruh belas pula hatinya mendengar syair Tamim ibn Habibul Dari itu kerana seorang hamba Allah pun yang tiada merasai seperti Tamim pada masa itu. Seraya ia bersabda, "Hai Tamim besar-besar sekali jauh negerimu dari sini,melalui beberapa bukit yang tinggi-tinggi dan melalui pula beberapa laut yang dalam-dalam dan melalui pula beberapa sungai yang jauh-jauh dab melalui pula beberapa padang yang luas-luas dan melalui pula beberapa hutan yang besar-besar. Dan jikalau dikira-kira akan perjalanan jauhnya itu maka demikianlah jauhnya negerimu itu, Hai Tamim."
"Apalah daya hamba lagi kerana sudah dengan kehendak Tuhan seru sekalian alam akan hamba ini. Di manakah dapat disalahi lagi jikalau tiadalah dipertemukan dengan anak isteri hamba di dalam dunia ini, melainkan di dalam akhirat jum'ahlah hamba bertemu dengan anak isteri hamba." Seraya ia berlinang-linang air matanya lalu bercucuran air matanya seperti mutiara yang terhambur daripada karangannya,demikianlah lakunya.
Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir itu,"Hai Tamim ibn Habibul Dari, adakah engkau tahu jin yang menyambar engkau dari Madinah itu?" Maka sahutnya oleh Tamim,"Wallahua'alam, tiada hamba tahu." Maka sabda Nabi Allah itu,"Hai Tamim ketahui oleh mu yang mengambil engkau itu di mana iaitu ialah yang bernama jin afrit ia Majusi. Dan lagi adakah engkau ketahui tempatnya yang diarahkannya engkau di sana?" Maka disahut oleh Tamim itu,"Tiada hamba tahu."
Maka sabda Nabi Allah Khidir itu,"Hai Tamim adapun tempat yang amat tahan itu di bawah bumi yang keempat lapis dan itulah negeri raja kafir Majusi namanya." Dan bersabda Nabi Allah Khidir itu ,"Adakah engkau tahu raja jin yang mengambil engkau itu dan engkau ajarkan anaknya mengaji Quran dan disuruhkannya hantarkan engkau ke Benua Madinah kepada jin yang bernama 'Sahrah' itu?" Maka sahut oleh Tamim,"Wallahua'alam tiada hamba tahu."
Maka sabda Nabi Allah Khidir,"Hai Tamim, ketahui olehmu itulah raja jin yang MUkminin yang bernama Raja' A'wat maka tiada lain kerjanya, ia sudahnaik kerajaannya hanyalah ia berperang sabilullah juga selama-lamanya. Maka yang menghantarkan engkau itu Sahrah itu namanya." Maka berkata pula Nabi Allah Khidir,"Adakah engkau tahu orang yang bertapa yang di dalam gua itu seorang dirinya itu?"
Maka sahut Tamim,"Tiadalah hamba tahu akan dia itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir,"ketahui olehmu hai Tamim, itulah bapa Nasrani yang memegang wasiat Nabi Allah Isa a.s.yang bernama 'Kersah'. Maka sabda Nabi Allah Khidir,"Hai Tamim adakah engkau tahu akan empunya kapal yang rosak itu dan engkau pun ada serta di dalam kapal itu. Maka sekalian mereka itu ada di dalam kapal habis mati dan engkau seorang jua dilepaskan Allah Taala?"
Maka sahut oleh Tamim,"Wallahua'alam sekali-kali tiada hamba tahu." Maka sabda Nabi Allah Khidir,"Hai Tamim, ketahui olehmu, itulah kapal raja Benua Hindi yang tiada ia mengeluar akah hak anak Adam yakni zakat. Ertinya itulah dibalaskan Allah Taala akan dia, dibinasakan atasnya kapalnya itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir itu," Hai Tamim adakah engkau tahu akan segala perempuan yang banyak di dalam pulau itu dan bertemu engkau dengan dia itu tatkala engkau baharu sekali? Maka beranaklah engkau kepada pulau itu dan bertemu engkau kepada pulau itu dusta perempuan itu." Maka Jawab Tamim, "Wallahua'alam, sekali-kali hamba tiada dapat tahu akan dia."
Maka sada Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ialah mereka itu orang yang makan orang dianiayai ghaplan dan adalah ia bagimu dianugerahkan Allah Taala dilepaskan engkau daripadanya." Maka sabda Nabi Allah Khidir a.s.,"Hai Tamim engkau tahu negeri yang engkau masuki di dalamnya itu beberapa jenis nikmat dan minuman yang amat lazat citarasanya dan sungai itu airnya manis dan ada airnya daripada susu?" Maka sahut Tamim."Wallahua'alam, tiada hamba tahu."
Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim, ketahui olehmu itulah yang bernama syurga dan orang yang bersandar memegang pedang yang terhunus itu danlagi berlumur dengan darah itulah orang yang mati perang sabilullah. Itulah orang yang mati syahid namanya." Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, adakah engkau tahu akan halnya orang yang berkuda itu dan kepala kudanya itu putih keduanya dan kakinya pun putih keduanya. Padahal menyuruh engkau akan keluar dari situ di dalam syurga itu?"
Maka sahut Tamim, "Sekali-kali tiada hamba tahu akan dia." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Itulah Jibril a.s.." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim, adakah engkau tahu akan unggas Nabi Allah Ishak 'alaihis salam yang bernama "marasaffalin" yang ertinya aku yang menunjuk segala hamba Allah daripada jalan yang sesat kepada jalan yang betul?" Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim, adakah engkau tahu akan negeri yang engkau masuki itu. Semuanya itu berlapis-lapis negeri itu orangnya yang di dalam negeri itu yang telah disebut di dalam Quran seratus ribu atau lebih?"
Maka Jawab oleh Tamim, "Wallahua'alam, tiada hamba tahu akan negerinya itu, apa namanya." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu itulah kaum Yunus a.s. yang seperti firman Allah Taala di dalam Qur'an demikian bunyinya, "Melainkan kaum tatkala membawa iman mereka itu datanglah kamu bukakan daripada mereka itu kesakitan yang amat hina pada hidupnya di dalam dunia. Dan daripada kamu hidupkan mereka itu datang kepada hari kiamat itulah ia."
Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir a.s itu, "Hai Tamim adakah engkau tahu akan orang yang sebelah matanya itu buta dan mulutnya seperti belalai gajah dan di kelilingi oleh orang yang banyak itu?"
Maka sahut oleh Tamim, "Wallahua'alam, tiada hamba tahu akan dia itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Ketahuilah olehmu itulah Iblis 'alaihi la'nat neneknya, segala syaitan yang banyak itu tenteranya." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim adakah engkau tahu binatang yang di dalam pulau itu yang dilengkapi Allah Taala akan dia segala rupa binatang yang di dalam dunia. Adakah kepadanya itu yang maha indah-indah rupanya dan tingginya tiada terhingga lagi. Padahal menunjuki kepada engkau kepada sebuah rumah maka disuruhnya engkau masuk ke dalam rumah itu?"
Maka jawab Tamim, "Wallahua'alam, bahawa tiada sekali-kali hamba tahu akan dia itu, apa ia?" Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ketahui olehmu itulah "Dabbatulardi" yang dikeluarkan Allah pada akhir zaman seperti firman Allah di dalam Qur'an (surah An-Naml ayat 82) yang ertinya : telah kami keluarkan Dabbatulardi akhir zaman dari dalam bumi yakni Safa dan Marwah dan tanda mereka itu akan yang Mukminin akan orang kafir ada tandanya kafir 'alahi la'nat maka sesungguhnya segala manusia itu. Dengan firman Allah Taala kami tiada percaya mereka sekalian itu, hai Tamim.
Maka sabda Nabi Allah Khidir pula, "Adakah engkau tahu akan seorang buta matanya, hal keadaannya duduk di dalam rumah seorang dirinya, tiada siapa ada kawannya. Adapun di dalam rumah itu, padahal ia terantai daripada batang lehernya hingga kepada kakinya dan tanyai engkau akan agama Islam dan akan kerajaannya di dalam Benua Madinah daripada masa Nabi Muhammad s.a.w. sampai kepada zaman Amirulmukminin Abu Bakr. Ada datang kepada zamannya, Amirulmukminin Umar r.a. yang kerajaannya di dalam Benua Madinah sekarang ini." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Ketahui olehmu itulah dajal 'alaihi la'nat lagi dikeluarkan Allah akan dia pulak kepada akhir zaman ialah membawa syurga di sebelah kanan dan neraka dari sebelah kirinya dan ialah yang banyak membinasakan kepada umat Muhammad s.a.w. Maka Nabi Allah Isa a.s. akan membunuh dia. Diketahuinya maka kata bumi, "Ya Radi," maka diperkatuplah oleh bumi akan kaki dajal itu."
Maka bersabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim adakah engkau tahu, bumi yang di belakang bukit itu yang maha tinggi bagai kapas dipusar tanahnya. Demikianlah rupa dan licinnya itu terlebih daripada cermin dan berbagai-bagai perbuatannya hamba Allah di dalamnya dan licinnya?"
Maka jawab Tamim, "Sekali-kali tiada hamba tahu akan bumi itu, yang sekalian di dalamnya itu pun tiada hamba tahu." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ketahui olehmu itulah yang bernama 'sajarah' di dalam Qur'an yang bernama padang Yaumilmahsyar lagi akan datang kemudian pulak."
Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim adakah engkau tahu anjing bunting yang menyalak-nyalak anaknya yang di dalam perut ibunya itu?" Maka jawab Tamim ibn Habibul Dari, "Wallahua'alam, tiada hamba tahu sekali akan hikmat Allah Taala yang demikian itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Ketahui olehmu adapun anjing yang menyalak anaknya yang di dalam perut ibunya itu iaitulah dajal 'alaihi la'nat lagi akan dikeluarkan Allah s.w.t. dari dalam rantainya danbelenggunya pada kemudian harinya."
Maka sabdanya Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim, ketahui olehmu orang itu ialah orang yang makan haram danmakan ganda berganda dan makan bunga emas sedikit dengan tiada sebenarnya. Itulah yang datang atasnya." Maka sabdanya Nabi Allah Khidir a.s., "Hai Tamim adalah engkau tahu orang yang menanggung pohon kayu kurma sedikit tiada ia berhenti hingga ia berjalan juga ke sana ke mari sampai hari kiamat jum'ah, demikian juga." Maka sahut oleh Tamim, "Wallahua'alam, sekali-kali tiada hamba tahu kekayaan Allah Taala akan dia itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu orang itulah menanggung amanat seorang hamba Allah tiada ia disampaikannya kepada yang empunya dia itu. Maka tertambatlah atas batang lehernya dan hidungnya sekalian harta orang itu, maka itulah dibalaskan Allah Taala akan dia datang hari kiamat Jum'ah. Demikian juga kemudian daripada itu." Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ketahui olehmu, akan seorang perempuan tua dan terlalu banyak pakaiannya kepada tubuhnya dan penuh dengan gelang pada tangannya dan cincin pada jarinya daripada emas sepuluh mutu. Padahal keadaannya perempuan itu menangis yang maha sangat menepuk-nepuk dadanya meragas-ragas rambutnya dan menampar-nampar kepalanya seraya ia berkata, "Wah! celakaku, wah! malangku, tiada rupanya lanjut umurku lagi."
Maka jawab oleh Tamim, "Wallahua'alam, suatu pun tiada kebesaran Allah Taala yang hamba ketahui itu dan apa-apa ia itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Hai Tamim ketahui olehmu, itulah dunia namanya kerana ia menghabisi dirinya itu kerana tiada berapa lamanya lagi umurnya kita ini kiamat akan datang, sebab itulah maka ia menangis juga kerana sayang akan tubuhnya itu akan dibinasakan Allah Taala akan ilmunya itu."
Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Adakah engkau ketahui akan orang itu bertengkolok hijau, padahal ia terlalu elok rupanya dan sangat manis mukanya itu dan berkata-kata kepadamu. Adakah engkau kenal jikalau adalagi orang ituyang menunjuki akan daku jalan yang betul itu." Maka kata Tamim, "Tiada hamba tahu siapa ia hamba Allah itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Ketahui olehmu hai Tamim ibn Habibul Dari, itulah Nabi Allah Alias a.s., ya itulah saudaraku."
Maka Tamim pun berfikirlah di dalam hatinya sebab siapa juga hamba Allah ini maka sekalian yang aku rasai semuanya akan hal-ehwal aku ini semuanya diketahui, suatu pun tiada lagi akan bersalahan. Seraya ia berkata, "Hai hamba Allah Taala siapa tuan hamba ini maka dapat tuan hamba mengetahui dan mengatakan segala yang hamba rasai itu."
Maka lalu bersabda Nabi Allah Khidir itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu akulah Nabi Allah Khidir." Maka berkata Tamim itu, "Ya Nabi Allah, siapa punya gua yang hamba masuki di dalamnya itu berbagai-bagai jenis benda yang maha indah-indah di dalamnya, berbagai -bagai jenis daripada intan baiduri dan ratna mutu manikam dan berbagai-bagai jenis benda yang maha indah-indah itu di dalamnya dan daripada warnanya yang amat gilang-gemilang cahanya daripada putih dan yang merah maka adalah hamba ambil daripada segala benda itu. Maka tiba-tiba datang seekor ular dan dipalunya akan hamba dengan ekornya sekira-kira hampir akan mati hamba olehnya.
"Maka datang seorang orang muda itu terlalu sekali elok rupanya dan amat manis warna mukanya. Maka oleh orang muda itu dilindungkannya oleh ular itu dan siapa itu ya Nabi dan disuruhnya mengucap danmembaca ayatul Qursi?" Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu adapun gua itu yang empunya dia ialah raja jin kafir empunya perbendaharaan, Sufian anaknya 'Alainah berperang dengan Nabi Allah Sulaiman a.s. Maka murkalah Nabi Allah Sulaiman a.s., akan raja itu pun dirantainya oleh Nabi Allah Sulaiiman a.s. akan raja itulah yang empunya gua.
Dan akan ular itu memukul engkau adalah seorang Bani Afrit daripada lasykar raja itu, inilah yang disuruhnya menunggui gua dan akan orang muda inilah surat tiadakah yang mengandung engkau daripada bahaya ular itu. Dan yang melepaskan dia daripada seksa kubur pun ia juga dan menyuruh engkau mengucap dan membaca ayatul Qursi itu pun ia juga, Ketahui olehmu hai Tamim ibn Habibul Dari."
Maka kata Tamim, "Ya Nabi Allah Khidir, betapa hal hamba hendak pulang ke negeri hamba Benua Madinatul Munawwarat itu. Jikalau kiranya dengan ajaran tuan hamba maka tuan hamba pohonkan kepada Allah s.w.t. Apalah kiranya supaya hamba bertemu dengan anak isteri hamba."
Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ibn Habibul Dari,baiklah." Maka bertanya pula Tamim kepada Nabi Allah Khidir, "Berapa lamanya tuan hamba bertemu dengan Nabi Allah Alias a.s. di dalam satu tahun?" Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Akan aku ini bertemu dengan saudaraku di Bukit Arfah sekali juga dalam setahun pada ketika subuh. Dan tatkala aku bercerai dengan dia itu maka keduanya pun membaca kalimah ini. Dan Barang siapa menyebut-nyebut kalimah ini bahawa ada dilepaskan Allah Taala ia daripada bahaya dunia daripada kejahatan sekaliannya, seraya Nabi Allah Khidir berkata, "Hai Tamim, diamlah engkau di sini dahulu supaya aku pergi mencari orang yang mengantarkan engkau pulang ke negerimu." Maka jawab Tamim, "Baiklah, tetap serta dengan engkau pulang, tuan hamba diam di sini."
Sharing is caring.. "Sampaikan dakwah walaupun sepotong ayat"
Harap share di facebook atau twitter anda.. Salam Perjuangan..
No comments:
Post a Comment