Saturday, August 27, 2011

PAS bercanggah pendirian isu Lynas


PAS bercanggah pendirian isu Lynas – Persoal Tindakan Ahli Parlimen Hulu Langat

PAS mempersoalkan tindakan Ahli Parlimennya, Dr Che Rosli Che Mat yang menyokong pembinaan kilang kimia, Lynas di Gebeng, Kuantan Pahang, yang bercanggah dengan pendirian parti itu menolak projek berkenaan.
Parti pembangkang itu turut kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Hulu Langat itu kerana mengkritik secara terbuka Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh dan juga akhbar rasmi PAS.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, berkata sehubungan itu kepemimpinan parti akan mendapatkan penjelasan daripada Dr Che Rosli selepas Aidilfitri.
“Kita menghormati pandangan beliau (Dr Che Rosli) berhubung isu Lynas, bagaimanapun parti sudah memutuskan menolak pembinaan kilang berkenaan dan sepatutnya beliau menggunakan saluran yang ada bagi menyuarakan pandangan serta kritikan.
“Berhubung dakwaan beliau bahawa Lajnah Penerangan menghalangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan… sejak saya mengambil alih jawatan ini saya tidak pernah melarangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam, Dr Che Rosli juga pakar nuklear dan seorang lagi saintis tempatan mengakui bahawa projek Lynas bagi memproses nadir bumi itu adalah selamat dan tidak seperti dakwaan Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.
Dalam satu sesi temu bual dengan TV3 beliau berkata, tindakan segelintir pemimpin pakatan pembangkang yang mendakwa projek berkenaan sebagai satu ancaman kepada rakyat adalah tidak lebih daripada sekadar meraih kepentingan politik.
Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen PAS itu, sebaliknya beliau hanya perlu tampil bagi memberi penjelasan.
“Kita tidak akan mengambil apa-apa tindakan atau menggantung beliau, cuma sekadar mahu mendapatkan penjelasan. Dalam PAS kita menghormati perbezaan pandangan. Kita mempunyai saluran untuk ahli parti menyuarakan pandangan.
“Mengikut pakar, pembinaan kilang kimia ini tidak berbahaya, namun apa yang kita bimbangkan bagaimana sekiranya berlaku bencana alam seperti gempa bumi dan Tsunami, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu Dr Che Rosli ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu kontroversi berkenaan, namun akur terhadap apa juga tindakan yang akan diambil parti itu terhadapnya.

No comments:

Post a Comment