Friday, August 26, 2011

Ulamak Nusantara Terdahulu Yang Dilupakan


Ulamak Nusantara Terdahulu Yang Dilupakan


Siapa Sayyid Hussain Jamadil Kubra? Tidak ramai daripada kita pada hari ini yang mengenali tokoh tersebut, sedangkan beliau merupakan tokoh yang telah mencorakkan sejarah yang amat besar di alam Nusantara, khususnya dalam hal penyebaran syiar Islam. Penulis dapat mengagak, disebabkan sumbangan penting beliau itulah, pihak penjajah baik British mahupun Belanda berusaha keras memadamkan nama beliau daripada lipatan sejarah, hinggakan pada hari ini, nama beliau kurang disebut terutamanya sejarah arus perdana berkenaan dengan penyebaran Islam di bumi nusantara ini.

Sayyif Hussain Jamadil Kubra merupakan ahlul-bait dari keturunan Rasulullah S.A.W. Nama penuh beliau ialah Sayyid Hussain bin Sayyid Ahmad Shah Jalal al-Khan bin Sayyid Abdullah Khan bin Sayyid Abdul Malik al-Azhamat Khan bin Sayyid Alawi bin Sayyid Muhammad Sahib al-Mirbat bin Sayyid Ali Khali’ Qasam bin Sayyid Alawi bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi bin Sayyid Ubaidillah bin Sayyid Ahmad al-Muhajir bin Sayyid Isa al-Rumi bin Sayyid Muhammad al-Naqib bin Sayyid Ali al-Uraidhi bin Imam Jaafar al-Sadiq bin Imam Muhammad al-Baqir bin Imam Ali Zainul Abidin bin Sayyidina Hussain bin Sayyidina Ali.

Ayahanda beliau iaitu Sayyid Ahmad Shah Jalal merupakan bekas Gabenor Kesultanan Delhi yang kemudian berkuasa di wilayah Deccan (India Selatan). Sayyid Hussain Jamadil Kubra dikhabarkan tiba di Kelantan dalam tahun 1349M bersama adinda beliau, Sayyid Thana’ullah, atau dikenali juga sebagai Syeikh Saman, anak murid kepada Imam Ibnu Hajar. Kelantan pada waktu tersebut adalah di bawah kuasa Empayar Chermin, yang merupakan sebuah persekutuan meliputi negeri Langkasuka/Majapahit Barat, Samudera-Pasai di utara Sumatera serta Champa di Vietnam pada hari ini. Ibukotanya bernama ‘Jeddah’ (bermaksud Permata) yang terletak 3 batu dari Bukit Panau, Kelantan, pada hari ini.

Sepanjang misi dakwahnya, Saiyid Hussein sempat mengawini tiga puteri keluarga Diraja Empayar Chermin. Dari isterinya yang pertama iaitu Puteri Linang Cahaya, yang merupakan adik kepada Cik Siti Wan Kembang, beliau mendapat dua orang anak iaitu Maulana Malik Ibrahim (pelopor Wali Songo) dan Siti Aisyah. Perkahwinan Saiyid Hussein Jamadil Kubra dengan Ramawati, yang merupakan puteri kepada Raja Champa, Sultan Zainal Abidin (Che Bo Nga) dan Permaisuri Siti Zubaidah pula melahirkan Ibrahim Asmaro, yang melahirkan pula titisan generasi yang tersenarai di dalam kumpulan Wali Songo.

Sewaktu umurnya hampir 80 tahun, beliau telah dipertemukan jodoh dengan Puteri Selindung Bulan atau Siti Syahirah, yang merupakan cucu saudara kepada isterinya yang pertama, Puteri Linang Cahaya, dan beroleh seorang anak lelaki bernama Ali Nurul Alam, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan dengan gelaran Patih Aria Gajah Mada. Para isterinya dikahwininya selepas tiap-tiap seorang daripadanya meninggal dunia.

Sayyid Hussain Jamadil Kubra telah menghantar anak-anaknya untuk menyambung usaha dakwah beliau dan keluarganya di beberapa kawasan di Nusantara, dan kemudiannya disambung pula oleh cucu cicitnya hingga agama Islam menjadi agama anutan terbesar penduduk di seluruh Kepulauan Nusantara pada hari ini, serta tertubuhnya beberapa Kesultanan Islam yang gigih mempertahankan bumi Nusantara ini daripada serangan penjajah kafir. Dari keturunan Maulana Malik Ibrahim dan Sayyid Ali Nurul Alam inilah lahirnya para Wali Songo seperti Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga, Sunan Giri, Sunan Drajat, Sunan Kudus dan Sunan Muria yang gigih menyebarkan Islam di Pulau Jawa.



Dan seperti biasa juga, sejarah kebesaran dan kejayaan penyebaran syiar Islam ini juga cuba dikaburi dengan fakta-fakta merapu oleh musuh-musuh Islam yang cuba mahu mengelirukan generasi pada hari ini. Amat pelik sekali apabila tuduhan dangkal bahawa Wali Songo merupakan bekas Sami-sami Shaolin dari China yang melarikan diri dari kuil dan memeluk Islam disambut pula oleh beberapa umat Islam yang cetek pengetahuannya mengenai sejarah realiti (ingat mengenai tuduhan Hang Tuah adalah Cina yang turut ghairah disebarkan secara melulu oleh segelintir masyarakat Melayu/Islam?). Kumpulan yang berpegang kuat pada teori mengarut Siam-Kedah pula tergamak menyebarkan fitnah dan menghina Wali Songo kononnya mereka dihantar oleh Maharaja Ayutthaya untuk menyebarkan Islam, sedangkan realitinya Maharaja Ayutthaya adalah beragama Buddha yang kuat menentang Kerajaan-kerajaan Islam disekitarnya!!! Di Indonesia pula, sebilangan chauvinist Jawa amat sukar menerima fakta bahawa Wali Songo mempunyai pertalian yang kuat dengan Champa dan Kelantan, sudah tentu kerana perasaan asabiyah melampau mereka yang terasa tercabar untuk mengatakan Islam disebarkan di Pulau Jawa menerusi semenanjung Tanah Melayu.

Apa yang menyedihkan penulis, bukan ulamak terdahulu sahaja yang dipinggirkan, golongan ulamak pada hari ini juga tergamak dicaci dan dimaki oleh segelintir individu di media massa mahupun di alam maya termasuk digelar sebagai “pelacur” hanya kerana perbezaan isu politik. Penulis dengan rendah hati memohon dan mengingatkan diri sendiri, tidak kira apa juga pegangan politik kita, sama ada keris, sabit mahupun bulan, jangan sesekali kita melampaui batas dalam mengkritik pandangan yang dikemukakan oleh alim ulamak kita. Ingatlah dalam perbezaan fahaman politik kita, kita semua masih berpegang kepada agama yang sama. Ingatlah sabda Rasullah S.A.W., bahawa sesungguhnya ulamak ialah pewaris nabi.





Oleh yang demikian, dikesempatan kedatangan bulan Ramadhan 1432 Hijrah yang penuh dengan keberkatan ini, penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga kita sama-sama dapat memanfaatkan bulan Ramadhan pada tahun ini dengan beribadat dengan semaksimum mungkin dan dapat mencari keberkatan malam Lailatulqadar...

Salam Perjuangan..

No comments:

Post a Comment