Friday, August 26, 2011

Penyatuan Rakyat Melalui Bahasa


Penyatuan Rakyat Melalui Bahasa


Sejak Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya 54 tahun yang lalu dan Malaysia di bentuk 48 tahun yang lalu, isu perpaduan merupakan perkara pokok yang sentiasa ditekankan baik oleh pihak pemerintah mahupun pembangkang. Sebagaimana beberapa buah negara lain di dunia, negara kita dihuni oleh pelbagai keturunan yang mempunyai pelbagai anekaragam bahasa dan budaya. Secara umumnya, rakyat negara kita dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu Bumiputera, meliputi kaum Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah (Kadazan-Dusun, Bajau, Murut dan lain-lain) dan Bumiputera Sarawak (Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu dan lain-lain) serta bukan Bumiputera yang majoritinya dari kaum Cina dan India.





Tak usah lagi dipertikaikan mengapa Allah mentakdirkan negara kita ini dihuni oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan, bukannnya negara satu bangsa seperti Korea atau Jepun. Sebaliknya perkara ini harus diambil sebagai sumber kelebihan yang ada, bukannya satu kekurangan. Jika diimbas kembali pada masa lampau, kewujudan masyarakat majmuk di negara kita bukanlah satu perkara baru, malahan telah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Buktinya masih dapat dilihat pada hari ini menerusi kewujudan masyarakat Baba-Nyonya (Cina Peranakan) dan Chitty (India peranakan). Menariknya, masyarakat Baba-Nyonya serta Chitty Melaka ini sememangnya diketahui fasih bertutur dalam Bahasa Melayu, serta banyak menyerap kebudayaan Melayu dalam kehidupan mereka, khususnya bagi generasi tua. Dan untuk makluman, Kesultanan Melayu Melaka tidak pernah mengamalkan dasar untuk memaksa mereka untuk menjadi “Melayu” dan memeluk agama Islam, sebaliknya penyerapan budaya serta penggunaan Bahasa Melayu dibuat atas kerelaan kaum mereka sendiri, melambangkan perpaduan serta keharmonian hubungan antara kaum yang utuh di negara kita pada masa lampau. Penulis sendiri masih terkenang keramahan serta keikhlasan rakan-rakan Cina dari kaum Baba Nyonya ini sewaktu zaman persekolahan dahulu.








Walaubagaimanapun, asimilasi budaya Melayu terhadap kaum Cina dan India di Malaysia pada hari ini pasti bukanlah satu cadangan yang baik untuk diaplikasikan, malahan satu perkara yang amat mustahil untuk diterima oleh mereka. Berbeza dengan polisi keras yang diamalkan oleh Pemerintah Indonesia khususnya sewaktu era Presiden Soeharto, kita tidak pernah memaksa kaum Cina dan India di negara kita sewaktu kemerdekaan dahulu untuk mensyaratkan penggunaan nama Melayu, bertutur hanya dalam Bahasa Melayu serta mengharamkan pengamalan budaya dan bahasa kaum pendatang. Sebagai bangsa yang terkenal paling bertoleransi di dunia, perpaduan secara luaran melalui pemaksaan asimilasi budaya ini bukanlah satu tindakan yang bijak.

Oleh yang demikian, apakah yang dapat menyatukan seluruh rakyat Malaysia? Mustahil untuk memaksa kaum-kaum lain memeluk Islam yang merupakan agama majoriti sebagai jalan menyatupadukan rakyat, sudah pasti akan berlaku kerusuhan kaum yang besar. Tidak logik pula untuk kaum Melayu dipaksa memakai kebudayaan Cina atau India sebagai contoh untuk dijadikan budaya nasional, memandangkan kaum tersebut hanya minoriti di negara kita.

Jika kesatuan agama dan budaya tidak dapat dijadikan sebagai satu elemen yang dapat menyatukan seluruh rakyat negara kita, apakah instrumen yang dapat menyatukan kita semua???


................


.........


....


..


Tak lain dan tidak bukan, BAHASA KEBANGSAAN, iaitu Bahasa Melayu, yang merupakan lingua-franca di kepulauan Nusantara ini sejak ratusan tahun dahulu.

Penulis berasa amat sedih dengan laporan yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Perangkaan yang menyatakan lebih 70 peratus daripada individu yang tidak memberikan kerjasama sewaktu bancian dibuat datangnya daripada kaum Cina dengan alasan tidak tahu berbahasa Melayu mahupun Inggeris, termasuklah penduduk di kawasan bandar!!! Itulah penghinaan terkini terhadap negara yang dilakukan oleh penduduk tempatan sendiri selepas 53 tahun usia kemerdekaan dan 47 tahun pembentukan Malaysia. Betapa angkuhnya segelintir daripada masyarakat kita apabila berkata mereka hanya tahu berbahasa Mandarin sahaja!

Namun, apa yang boleh dilakukan apabila kaum Melayu sendiri yang mula-mula memperlekehkan bahasanya sendiri??? Siapa yang mahu mendaulatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam majlis-majlis yang dianjurkan oleh sektor awam apatahlagi korporat??? Siapa pula yang sibuk membantah apabila Kerajaan membatalkan pelaksanaan PPSMI??? Siapa pula yang melacurkan dan mencampuradukkan pemakaian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam drama TV mahupun filem atas alasan komersil dan menunjukkan realiti??? Jika kita sendiri tidak menghormati diri sendiri, adakah kita berharap orang lain akan menghormati kita???

Sudahlah kita berpecah belah dari segi politik, geografi, status sosial, agama dan budaya, Bahasa Kebangsaan pun diperlekeh dan dipandang sebelah mata. Penulis ingin membandingkan rakan-rakan dari Indonesia berketurunan Cina yang amat berbangga dengan Bahasa Indonesia dan sudah tentu tidak kekok bertutur bahasa tersebut dalam komunikasi seharian. Betapa segannya penulis apabila Bahasa Indonesia menjadi satu kebanggaan kepada rakyat mereka, tidak kira apa juga suku (etnik) atau keturunan mereka.

Dalam hal ini, penulis rasa Kerajaan perlu mempertimbangkan semula saranan blogger bigdogdotcom agar Kerajaan mengkaji semula kewujudan sekolah vernakular dalam sistem pendidikan negara kita. Ibarat kata pepatah, “Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya”. Orang Melayu telah lama berkorban dengan kehilangan Sekolah Melayu, tetapi jika kewujudan Sekolah Kebangsaan ini terus dipandang sepi dan tidak dihargai oleh kaum-kaum lain, percayalah, 50 tahun lagi pun, keadaan ini akan terus sama dan terus berulang. Dan perpaduan nasional hanya tinggal omongan kosong yang terus dijadikan retorik politik oleh kedua-dua belah pihak.




Sharing is caring.. "Sampaikan dakwah walaupun sepotong ayat"
Harap share di facebook atau twitter anda.. Salam Perjuangan.

Selamat Hari Kemerdekaan Ke 54.. Salam Perjuangan

No comments:

Post a Comment