Monday, August 29, 2011

SOLAT SUNAT HARI RAYA


SOLAT SUNAT HARI RAYA


Disyari’atkan bagi seluruh umat Islam untuk mengerjakan solat sebanyak dua rakaat apabila tibanya dua hari perayaan iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
HUKUM SOLAT HARI RAYA
Ulamak berbeza pendapat tentang hukum solat Aidilfitri dan Aidiladha. Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia mereka berpegang kepada pendapat bahawa hukum solat tersebut adalah sunatmu’akkadah (yang dituntut). Ulamak yang berpegang kepada pendapat ini berpandangan bahawa dengan wujudnya hadis-hadis yang menyatakan solat yang hukumnya wajib hanyalah solat lima waktu membuktikan solat pada Hari Raya tidak termasuk di dalam kumpulan solat yang wajib. Antara hadis yang dijadikan pegangan mereka adalah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ مَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ
كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ.

Maksudnya: Ada lima solat yang diwajibkan Allah ke atas hamba-hamba-Nya. Maka siapa yang mengerjakannya dan tidak mensia-siakan walau satu pun di antaranya disebabkan menganggap mudah, Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 457.
            Selain dari hadis di atas mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Thalhah bin ‘Ubaidillah, dia berkata:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ ثَائِرَ الرَّأْسِ يُسْمَعُ دَوِيُّ صَوْتِهِ
وَلاَ يُفْقَهُ مَا يَقُولُ حَتَّى دَنَا فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُ عَنْ الْإِسْلاَمِ.
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ.
فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهَا.
قَالَ لاَ إِلاَّ أَنْ تَطَوَّع

Bermaksud: Seorang lelaki Nejd datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan kepala penuh debu. Kami mendengar suaranya tetapi tidak mengerti apa yang diucapkannya sehingga dia mendekatkan diri kepada Rasulullah. Kemudian dia bertanyakan perihal Islam. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:  
Solat Lima waktu dalam sehari semalam.Kemudian dia kembali bertanya: Apakah ada lagi selain itu? Rasulullah pun menjawab: Tidak ada lagi kecuali jika anda suka mengerjakan solat sunat. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab al-Imaan, no: 46.
Bagi ulamak yang berpendapat solat pada Hari Raya itu fardu ‘ain atau wajib, mereka melihatkan kesungguhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam menganjurkan para sahabat untuk mengerjakannya sebagai bukti kewajipannya. Malah baginda sendiri tidak pernah gagal untuk mengerjakan solat Hari Raya. Bahkan baginda memerintahkan para wanita yang sedang haid untuk turut serta menghadirkan diri di musolla hanya untuk menyaksikan upacara solat Hari Raya tersebut. Tambahan pula bagi wanita yang tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat telah diperintahkan untuk dipinjamkan pakaian kepada mereka hanya semata-mata untuk turut serta di musolla.
Ummu ‘Athiyah radhiallahu’ anha telah berkata:
أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ. قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ,
فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلَّاهُمْ.
Maksudnya: Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 981.
Bagi wanita yang tidak memiliki pakaian sempurna untuk bersolat Hari Raya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا فَلْيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُؤْمِنِينَ.
Maksudnya: (Jika dia tidak mempunyai jilbab) hendaklah temannya meminjamkan jilbabnya, sehingga dia dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah orang-orang mukmin. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 980.
Pandangan akan wajibnya solat Hari Raya ini diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa solat Hari Raya ini dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama. Hanya sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang lain. Dalil yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya serentak dengan Hari Raya adalah:
عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ.
قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ. قَالَ: نَعَمْ.
قَالَ:فَكَيْفَ صَنَعَ." قَالَ: "صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ.
فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ.
Maksudnya: Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: Aku pernah menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (Hari Raya dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari? Dia menjawab: Ya. Mu’awiyah bertanya: Lalu apa yang baginda kerjakan? Dia menjawab: Baginda mengerjakan solat Hari Raya, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam SunannyaKitab al-Sholaah, no: 904.
Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ Fatawa (jilid 23, ms. 161) berkata:
… oleh kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat ‘Ied itu wajib bagi setiap individu muslim, sebagaimana pendapat Abu Hanifah dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu pendapat al-Syafi’i, dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam mazhab Ahmad.
Adapun pendapat mereka yang menyatakan tidak wajib maka ia benar-benar jauh (dari kebenaran), kerana ia termasuk salah satu syi’ar agama Islam yang paling agung. Dan orang-orang yang berkumpul untuk mengerjakannya lebih banyak dari solat Jumaat. Di dalamnya disyari’atkan bacaan takbir. Sedangkan pendapat orang yang menyatakan bahawa solat ‘Ied merupakan fardu kifayah, sama sekali tidak kuat… - Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah (Edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah S.a.w. Dalam Berhari Raya) ditulis oleh Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 47-48.
Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim pula berkata:
Pendapat yang kuat adalah pendapat pertama (iaitu hukumnya wajib), yang berdasarkan kepada dalil-dalil di atas. Sedangkan pendapat yang menyatakan bahawa solat Hari Raya hukumnya sunat mu’akkadah adalah pendapat yang lemah, kerana hadis seorang Badwi tidak boleh dijadikan dalil, ia hanya menyebut solat lima waktu untuk menguatkan kewajipannya secara terus-menerus pada setiap siang dan malam harinya. Sedangkan solat-solat yang lain wajib dilakukan hanya pada waktu-waktu tertentu dan jarang. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 924.
Apa pun jua pendapat yang dipegang sama ada wajib mahupun sunat mu’akkadah, ketahuilah bahawa baginda shallallahu ‘alaihi wasallam amat menitik-beratkan agar kesemua umat Islam memenuhi musolla termasuk kaum wanita sebagaimana yang tercatat di dalam hadis-hadis di atas. Ini berbeza dengan amalan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang mana kaum wanita hanya ditinggalkan di rumah untuk menyiapkan apa-apa persediaan yang diperlukan di rumah sempena budaya rumah terbuka pada hari Lebaran. Budaya sedemikian rupa perlu dikikis. Berusahalah untuk membawa seluruh isi keluarga untuk menghadirkan diri bagi mengerjakan solat Hari Raya. Setelah selesai solat Hari Raya boleh teruskan apa jua agenda yang berupaya menggembirakan keluarga anda asalkan tidak bertentangan dengan syari’at.
TEMPAT PERLAKSANAAN SOLAT HARI RAYA ADALAH DI MUSOLLA
Mengerjakan solat Hari Raya di musolla merupakan satu amalan yang hampir tidak dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Apakah itu musolla dan apakah perbezaannya dengan masjid? Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalanirahimahullah berkata:
Adapun perbezaan di antara musolla dan masjid adalah bahawa musolla berada di tempat terbuka (seperti padang-pen) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid berada di dalam sebuah tempat (bangunan-pen) yang tertutup, sehingga terkadang seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin. Solat Hari Raya disunnahkan untuk dilakukan di musolla, dan tidak dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat (seperti hujan, angin kencang dan lainnya-pen). - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.282.
Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى.
فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.
Maksudnya: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.
Ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah seribu kali lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Ini sebagaimana sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:
صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ.

Maksudnya: Solat di masjidku ini (iaitu Masjid Nabawi) adalah lebih baik dari seribu kali solat di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram (di Mekah al-Mukarramah). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jamaah, no: 1190.
Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla.
Ibnu Qudamah rahimahullah di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:
Mengerjakan solat Hari Raya di musolla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat pada setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya. - Penulis nukil dari artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S, ms. 40.

Tentang hikmah diselenggarakan solat Hari Raya di musolla, Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
Sesungguhnya mengerjakan dua solat Hari Raya di tanah lapang (musolla) memiliki hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidaknya boleh berkumpul bersama dua kali selama setahun. Semua orang dari penjuru negeri berkumpul di sebuah tempat, baik lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (kalimat tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan demikian, Hari Raya benar-benar memiliki erti yang agung bagi mereka. - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, (edisi terjemahan dengan tajuk Koreksi Total Ritual Solat, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 394.
Menurut Syaikh Wahid Abdussalam pula:
Para ulamak telah mengemukakan sejumlah hikmahnya:
  1. Berkumpulnya kaum muslimin di satu tempat untuk menampakkan kejayaan kaum muslimin.
  2. Berkumpulnya kaum muslimin di tempat terbuka yang terlihat awal dan akhirnya disertai takbir dantahlil, dapat menguatkan keimanan dan memantapkan keyakinan.
  3. Keluarnya kaum muslimin di satu tempat, dewasa dan kanak-kanak, laki-laki dan perempuan, adalah salah satu fenomena kegembiraan pada Hari Raya.
  4. Tercerai-berainya kaum muslimin di beberapa masjid pada hari yang diberkahi ini menyebabkan perselisihan hati dan tercerai-berainya kalimat.
  5. Kaum muslimin memakai pakaian baru dan berkumpul di satu tempat dengan bertakbir, bertahlil, solat dan mendengarkan nasihat (khutbah), adalah salah satu bentuk rasa syukur kepada Allah, Rabb semesta Alam yang berfirman

    وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

    Maksudnya: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.- al-Baqarah (2) : 185

  6. Berkumpulnya kaum muslimim di dalam pemandangan yang disegani ini dapat menggentarkan para musuh agama dan membuat marah kaum kafir. - Syaikh Wahid Abdussalam Bali, Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’ asy-Sya’iah, ms. 298-299.

Namun begitu janganlah disebabkan di Malaysia solat Hari Raya tidak dilaksanakan di musolla maka ada yang beranggapan tidak perlu untuk menunaikan solat tersebut kerana menghindari amalan bid’ah. Menunaikan solat Hari Raya di masjid telah dibenarkan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah sekiranya masjid tersebut mampu menampung seluruh penduduk di daerah tersebut. Imam al-Syafi’i berkata:

Jika sesebuah masjid di dalam sebuah daerah dapat menampung seluruh penduduk, maka menurut saya mereka tidak perlu lagi pergi ke tanah lapang (untuk mengerjakan solat Hari Raya). Tetapi jika tidak dapat menampung seluruh penduduk, maka tidak dianjurkan melakukan solat ‘Ied di dalamnya. - Dinukil daripada Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.

Dari fatwa Imam al-Syafi’i ini maka al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah membuat kesimpulan seperti berikut:

Dari sini dapat disimpulkan, bahawa permasalahan ini sangat bergantung kepada luas atau sempitnya sesuatu tempat, kerana diharapkan pada Hari Raya itu seluruh masyarakat dapat berkumpul di suatu tempat. Oleh kerana itu, jika hal itu dapat dilakukan di dalam masjid, maka melakukan solat Hari Raya di dalam masjid lebih utama dari di tanah lapang. - al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.

Apapun jua bagi penulis mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih utama kerana hadis-hadis baginda bersifat umum tanpa meletakkan sebarang syarat berkaitan keluasan atau kesempitan sesebuah masjid dalam menentukan tempat untuk dilaksanakan solat Hari Raya. Wallahu a’lam.
Oleh itu sewajarnya umat Islam di Malaysia berusaha untuk mengembalikan pengamalan sunnah Nabishallallahu ‘alaihi wasallam yang semakin dipinggirkan ini. Alangkah indahnya sekiranya seluruh kepimpinan tertinggi di Malaysia melaksanakan solat Aidilfitri dan Aidiladha bersama rakyat jelata di tanah-tanah lapang di daerah masing-masing.
TATACARA SOLAT HARI RAYA
Waktu Mengerjakan Solat Hari Raya.

Waktu untuk mengerjakan solat Hari Raya adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk dilewatkan solat Aidilfitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya. Manakala bagi solat Aidiladha disunnahkan untuk mempercepatkannya bagi memudahkan untuk menguruskan penyembelihan haiwan korban setelah solat tersebut.
Tiada Solat Sunat sebelum Dan Sesudah Solat Hari Raya.
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا.
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 989.

Namun di Malaysia ini solat Hari Raya dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyyatul Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyyatul Masjid.
Tiada Seruan Azan atau Iqamah.

Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Hari Raya. Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الْعِيدَ بِلاَ أَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ.

Maksudnya: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat Hari Raya tanpa azan dan tanpa iqamah. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 968.

Apa yang jelas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setibanya di musolla lalu terus mendirikan solat Hari Raya. Ini sebagaimana disampaikan oleh Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى.
فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.

Maksudnya: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.
Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan solat dua rakaat dahulu sebelum khutbah, tanpa ada ucapan al-sholatu jami’ah. Apa yang benar menurut al-Sunnah adalah tanpa ucapan itu. Baginda dan para sahabat tidak ada yang mengerjakan solat sebelum mahupun sesudah solat ‘Ied. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 48.
Tiada Laungan al-Sholatu Jami’ah.

Melaungkan al-Sholatu Jami’ah sebelum memulakan solat Hari Raya merupakan satu perbuatan yang lazimnya di amalkan di Malaysia dan inilah juga pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah. Amalan ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadis mursal daripada al-Zuhri bahawa dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُ اَلْمُوءَذِّنَ فِي الْعِدَيْنِ أَنْ يَقُوْلَ: اَلْصَّلاَةُ جَامِعَة.
Maksudnya: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memerintahkan kepada mu’adzin (tukang azan) ketika di dalam solat Hari Raya untuk mengucapkan al-Sholatu Jami’ah.

Hadis mursal adalah hadis yang disandarkan kepada tabi’in secara langsung kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa menyebut nama sahabat yang meriwayatkan. Di dalam hadis di atas al-Zuhri adalah seorang tabi’inyang menyandarkan sebuah hadis terus kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa melalui seorang sahabat sedangkan al-Zuhri tidak pernah bertemu dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Hadis mursal hukumnyadha’if (lemah) dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Imam Muslim di muqaddimah kitab Shahih Muslim telah berkata:

Riwayat-riwayat yang mursal itu pada dasar perkataan kami dan perkataan/pendapat ahli ilmu hadis, tidaklah boleh dijadikan sebagai hujah. - Di nukil dari kitab Al Masaa-il (masalah-masalah agama) karya Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qolam, Jakarta 2004, jilid 3, ms. 291.

Oleh itu sewajarnya kita kekal hanya dengan riwayat-riwayat yang sabit daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu dengan tidak melaungkan apa-apa perkataan seperti al-Sholatu Jami’ah sebelum memulakan solat Hari Raya.
Jumlah Rakaat Untuk Solat Hari Raya.

Jumlah rakaat solat Hari Raya adalah dua. Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh dia berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ...

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 989.
Takbir Dalam Solat Hari Raya.

Oleh itu perlaksanaan solat Hari Raya ini sama dengan tatacara perlaksanaan solat dua rakaat yang lain hanya sahaja terdapat tambahan dua belas kali takbir di dalamnya. Pada rakaat pertama setelah Takbirat al-Ihram dan doa Iftitahserta sebelum bacaan surah al-Fatihah disunatkan membaca takbir sebanyak tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali.
عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ فِي الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى 
فِي الْأُولَى سَبْعَ تَكْبِيرَاتٍ وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسًا ... سِوَى تَكْبِيرَتَيْ الرُّكُوعِ.
Maksudnya: Dari ‘Aisyah, dia berkata: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat Aidilfitri dan Aidiladha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 970.
Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan:
Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat Hari Raya (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)… Namun Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.” - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, ms. 395-396.
Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim berkata:
Dan tidak ada sesuatu pun yang sahih bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan ketika takbir dalam solat Hari Raya. Akan tetapi Ibnul Qayyim menyatakan: Ibnu ‘Umar –dengan semangatnya mengikuti sunnah- beliau mengangkat tangannya setiap kali takbir.

Saya katakan (Syaikh Kamal): Barangsiapa yang berpendapat bahawa Ibnu ‘Umar tidak melakukannya kecuali ada contoh daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dia boleh mengangkat tangan setiap kali takbir, tetapi jika tidak maka sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 935.
Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.
Bacaan Zikir Di Antara Takbir.

Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:
Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Hari Raya, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh bahawasanya dia berkata mengenai solat Hari Raya: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah 'Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atas-Nya.
Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar”. - Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286.

Pendapat inilah yang telah dipilih oleh umat Islam di Malaysia.
Bacaan Ayat al-Qur’an Dalam Solat Hari Raya.

Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah pada solat Hari Raya, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata:
Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih daripada baginda tentang bacaan itu (iaitu pada solat Hari Raya). - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49.
Dalil yang dijadikan sandaran adalah seperti berikut:
عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثِيَّ: 
مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الأَضْحَى وَالْفِطْرِ؟ 
فَقَالَ:كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ وَاقْتَرَبَتْ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ
Bermaksud: Daripada ‘Ubaidillah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah, bahawasanya ‘Umar bin al-Khatthab pernah bertanya kepada Abu Waqid al-Laitsi: Apa yang biasa dibaca oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri? Dia menjawab:

Pada Hari Raya tersebut baginda membaca surah Qaaf wal quraanil majeed dan Iqtarabatis saa’atu wanshaqqal qamar. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedain, no: 891.
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ 
بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ. 
قَالَ: وَإِذَا اجْتَمَعَ الْعِيدُ وَالْجُمُعَةُ فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ يَقْرَأُ بِهِمَا أَيْضًا.
     
Bermaksud: Daripada Nu’man bin Basyir radhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah biasa membaca pada solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta solat Jumaat Sabbihisma rabbikal a’laa dan Hal ataaka hadiitsul ghaasyiyah. Dia berkata: Jika Hari Raya bertepatan dengan hari Jumaat dibacakan kedua surah tersebut pada kedua solat tersebut. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 878.
Mengqadha Solat Hari Raya.

Apabila seseorang tidak dapat menyertai solat Hari Raya bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:
وَقَالَ عَطَاءٌ: إِذَا فَاتَهُ الْعِيْدُ صَلَّى رَكَعَتَيْنِ.

Maksudnya: Jika seseorang terlewatkan (dan tidak dapat menunaikan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat Hari Raya, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat.
Menurut Syaikh Muhammad at-Tuwaijiri:
Sesiapa yang ketika ingin bersolat Hari Raya mendapati imam sebelum salam maka harus menyempurnakan sendiri solatnya sesuai dengan sifat solat Hari Raya. Dan orang yang tertinggal solat Hari Raya maka hendaklah dia mengqadhanya sesuai dengan sifat solat Hari Raya. – Syaikh Muhammad bin Ibrahim at-Tuwaijiri, Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, ms. 720.
Ringkasan tatacara mengerjakan solat Hari Raya.

Rakaat Pertama

1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha
2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)    Takbir Tujuh kali dan diselangi membaca zikir seperti سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar” sebanyak enam kali
5)      Membaca surah al-Fatihah
6)      Membaca Surah al-Qur’an
7)      Rukuk
8)      Iktidal
9)      Sujud
10)    Duduk antara dua sujud
11)    Sujud kali kedua
12)    Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1)      Takbir Lima kali dan diselangi membaca zikir seperti سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar” sebanyak empat kali
2)      Membaca surah al-Fatihah
3)      Membaca Surah al-Qur’an
4)      Rukuk
5)      Iktidal
6)      Sujud
7)      Duduk antara dua sujud
8)      Sujud kali kedua
9)      Duduk untuk tahiyyat akhir
10)    Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Khutbah Hari Raya.

Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat Hari Raya. Dari Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى
فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ 
فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ.

Maksudnya: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. Kemudian baginda berpusing dan menghadap jamaah yang sedang duduk di shaf-shaf mereka. Kemudian baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.

Khutbah Hari Raya berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ianya tidak dibahagikan menjadi dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di antara dua khutbah tersebut. Imam al-Nawawi rahimahullah telah berkata:
Apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia mengatakan: “Disunnahkan berkhutbah pada Hari Raya dengan dua khutbah yang keduanya dipisahkan dengan duduk adalah dhai’f (lemah) lagi tidak bersambung. Tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan dua khutbah. - Dinukil dari kitab Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’ asy-Sya’iah, karya Syaikh Wahid Abdussalam Bali, ms. 424.
Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:
Dan tidak ada satu hadis pun yang diriwayatkan secara sahih yang menyebutkan bahawa khutbah Hari Raya itu terdiri dari dua khutbah, yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk.. - Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari,Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah, ms. 73.
Para jemaah juga tidak diwajibkan untuk menghadiri khutbah Hari Raya ini. Oleh itu setelah selesai mengerjakan solat Hari Raya bagi seseorang yang tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah maka dia dibenarkan untuk meninggalkan majlis tersebut. Ini sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin al-Sa’ib, dia berkata:
شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِيدَ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ
قَالَ: إِنَّا نَخْطُبُ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ. وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ فَلْيَذْهَبْ.
Bermaksud: Aku pernah menghadiri solat Hari Raya bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan ketika selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah, barangsiapa ingin duduk untuk mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Dan barangsiapa yang ingin pergi, maka dipersilakan untuk pergi. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 975.



No comments:

Post a Comment