Fatwa Syeikh Dr. Mas’ud Sobri, Penyelidik di Markaz Wasatiyyah, Kuwait bertajuk ‘Hukum muslim mengangkat lambang bulan sabit bersama salib’. Sebenarnya penulis bawakan isu ini bukannya sebab tajuk ini kerana ia tidak berlaku di Malaysia, tetapi kerana isu lain. Iaitu isu ‘lambang bulan sabit yang sering dikaitkan dengan Islam’. Terjemahan fatwa tersebut lebih kurang berikut:-
“Sebelum dibincangkan hukum ini secara lanjut, perlu dinyatakan bahawa lambang bulan sabit bukanlah sesuatu yang disyariatkan di dalam Islam. Bulan sabit tidak pernah menjadi lambang atau syiar Islam pada zaman Nabi SAW, Khilafah Umayyah, Khilafah Abbasiyah, bahkan di zaman Khilafah Uthmaniyyah sekalipun. Bahkan orang pertama yang mula menggunakan bulan sabit adalah bangsa Turki selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid Kedua dan selepas gerakan Freemasonry berjaya menembusi Empayar Uthmaniyyah yang sedang tenat melalui Parti Perpaduan dan Kemajuan yang menganut fahaman Masonik.
Jika kita merujuk kepada asal-usul gerakan Masonik dan sesetengah gerakan bawah tanah seperti penyembah syaitan dan lain-lain, kita akan dapati bulan sabit adalah satu daripada syiar mereka. Gerakan penyembah syaitan ini dan pengikut gerakan Masonik berbangga dengan membawa medal yang berbentuk bulan sabit, bintang dan di atasnya terdapat pedang lagenda. Ia adalah lambang tempat penyembelihan bagi para pemuja yang mempersembahkan kucing dan anjing yang disembelih, dan meminum darahnya, melalui pelaksanaan ritual kesyaitanan yang sesat dan upacara yang biadap.
Kemudian lambang bulan sabit tersebar ke dalam bendera beberapa negara yang berkemungkinan tidak berhati-hati dengan signifikan bulan sabit ini terhadap doktrin tertentu. Setelah kita mengetahui ini, maka menjulang lambang bulan sabit langsung tiada kena mengena dengan Islam, malah ia adalah syiar Freemasonry dan para penyembah syaitan. Mungkin dengan merujuk kepada kalung Freemason dan tarbus Freemason yang terdapat padanya bulan sabit, bintang dan pedang mampu memuktamadkan kesahihan pandangan ini.
Bagaimanapun, adalah benar jika dikatakan: Bukan semua yang menggunakan bulan sabit itu berpegang kepada doktrin tersembunyi gerakan Freemasonry dan penyembah syaitan. Tetapi kesimpulannya tetap : Bulan sabit itu bukanlah lambang bagi Islam. Tidak syak lagi bahawa salib adalah lambang dari lambang-lambang Kristian, ia adalah salah satu iktikad yang kita percaya kepalsuannya dan penyelewengannya berbanding apa yang di bawa oleh Nabi Isa AS. Jelas salib ialah syiar kekufuran yang tidak kita imani bahkan al-Qur'an telah menafikannya dan menerangkan kebatilannya melalui surah al-Nisa' ayat 157.
Oleh itu, haram bagi muslim untuk mengangkat bendera bersalib kerana ia dianggap mengangkat syiar kekufuran, setiap yang membawa kepada kekufuran adalah haram. Ia bukan bermaksud mengkafirkan pelakunya tetapi pelakunya telah melakukan salah satu daripada perbuatan kufur tanpa kita menghukumnya sebagai kafir.
Adapun perbuatan umat Islam dan Kristian keluar bersama-sama untuk berdemonstrasi sedang penganut Kristian membawa bersama-sama mereka bendera-bendera yang padanya salib-salib, perkara ini diharuskan syara' bagi menunjukkan kesatuan rakyat, Islam dan Kristian. Ia boleh jadi digalakkan bagi memadamkan api fitnah dan memelihara perpaduan masyarakat Mesir, sambil umat Islam wajib memungkiri kepercayaan salib itu di dalam hatinya.
Kesimpulannya, membunuh orang Kristian tanpa sebab yang haq di sisi syara' adalah haram, salah satu daripada dosa besar, tetapi ini sekali-kali TIDAK mengharuskan bagi seseorang muslim untuk mengangkat bendera bersalib kerana salib adalah antara syiar kekufuran”.
Rumusannya, berhati-hatilah wahai umat Islam dalam mengambil lambang untuk disandarkan pada agama. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment