Wednesday, August 3, 2011

Kalam Allah

Kalam Ilmu Allah




Ilmu itu cahaya daripada Allah,

Memancar keluar melahirkan amal,

Memancar ke dalam menzahirkan iman.

Bagai alam tanpa sinar mentari, gelap pekat hilanglah indah, sirnalah seri, begitulah hati tanpa ilmu, kontanglah ia daripada petunjuk ILAHI. Buta mata tanpa cahaya, buta hati tanpa ilmu.

“Ilmu itu cahaya, jahil itu kegelapan..”

Amal tanpa ilmu binasa. Si jahil akan derhaka dalam taat, tertipu dalam ibadat. Sedangkan orang berilmu dapat beribadat dalam tidurnya.

Bak kata Prof Dr. HAMKA,

“Mati jasad kerana tiada roh, mati roh kerana tiada ilmu, mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada ikhlas”

Ilmu adalah pelita hati, memancar cahayanya ke dalam menambah iman, memancar ke luar membuahkan amal. Ilmu itu penghias lidah. Orang berilmu bila bersuara, kata-katanya indah, penuh hikmah. Diamnya fikir, suaranya zikir.

Pencari ilmu bagaikan mujahid di medan jihad, tinta ulama setimbang darah syuhada. Jika pedang mujahid memancung kemungkaran dan kebatilan, pena ulama membanteras kejahilan!

Saidina Ali pernah berkata,

“Pena itu lebih tajam daripada mata pedang”

Si miskin menjadi mulia dengan ilmu, si kaya jatuh kerana ketandusan ilmu. Harta akan habis jika dibelanjakan tetapi ilmu semakin bertambah jika diamalkan.

Seseorang akan tetap menjadi alim selama dia terus menerus belajar. Apabila dia telah tertipu dalam sangkaan bahawa dia telah pandai, sedang hakikatnya dia adalah bodoh.

Setitis ilmu Allah adalah lautan pada kedangkalan otak manusia. Jika diraut pohon di seluruh benua, dijadikan tinta, tidak akan terdaya kita menulis kalam tuhan. Semakin dibincangkan, semakin dalam pengertian. Semakin dibongkar rahsia, semakin berliku misterinya.

Imam Syafie berkata,

“Semakin bertambah ilmuku, terasa semakin banyak yang aku tidak tahu...”

Burung-burung di awan, pasir-pasir di persisiran pantai dan di gurun yang gersang, ikan dan siput yang berjuta banyaknya, unggas yang menghuni rimba, turut serta mendoakan insan bergelar penuntut ilmu. Kerana langkahnya, menuju madrasah ilmu, ertinya menuju keredhaan Allah.

Imam Al-Ghazali pula berkata,

“Gunung ilmu adalah pendakian pertama seorang hamba menuju TUHANNYA..”




Tatkala menyingkap pula sejarah silam utusan-Nya, wahyu pertama diturunkan berbunyi,

“IQRA’...” yang membawa maksud, bacalah!

Tapi, mengapa wahyu menyuruh Rasulullah saw membaca sedangkan baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca)?

Hakikatnya, 'baca' di sini bukan bermaksud membaca apa yang bertulis, tetapi apa yang tidak bertulis. Perkara yang tidak bertulis adalah yang tersirat jauh lebih banyak, yang tidak semua manusia mampu 'membacanya'.

Maka, ayat lengkap wahyu tersebut ialah "اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ" yang bermaksud:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan".

Jadi, ilmu yang kita ada semestinya perlu sampai kepada hakikat ketuhanan. Kalau belum, maka tidak sempurnalah ilmu itu.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
العلم علمان : فعلم في القلب فذالك هو العلم النافع ؛ وعلم على السان فذالك حجة الله على ابن آدم


`Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati (disertakan amal), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah (tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam.’
- [Riwayat Ibnu Syaibah dan Al Khatib]

Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :

`Ilmu yang memberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah;
(ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu;
(ilmu) yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya;
(ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia;
(ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat;
(ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya;
(ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya’.
[Bidayatul Hidayah]

Maka, bacalah dengan nama tuhanMu yang menciptakan. Atas niat kerana Nya semata.

Bacalah dengan hati yang tawaduk, dengan rasa rendah diri akan keaiban-keaiban diri.

Ilmu umpama air yang bertakung yang hanya bertakung di tempat yang rendah.

No comments:

Post a Comment