Monday, August 8, 2011

Sejarah Ulama Nusantara - Tok Kenali

Sejarah Ulama Nusantara - Tok Kenali




Haji Awang Muhammad Yusof Kenali atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali merupakan seorang ulamak yang amat masyhur bukan sahaja bagi negeri Kelantan malah di negeri-negeri lain di Malaysia secara amnya serta wilayah-wilayah selatan Thailand.
Walaupun beliau bukanlah seorang penulis yang konsisten seperti Syed Syeikh al-Hady, namun beliau merupakan seorang penulis yang gagah lagi jelas pemikirannya. Seandainya beliau tidak terbeban dengan pelbagai tugas dan terus menulis dengan tekun, sudah tentu Tok Kenali dapat dibariskan dengan tokoh-tokoh

penulisan prolifik negara. Tok Kenali sejak dari usia yang muda lagi meminati pembacaan dan menaruh pandangan yang begitu tinggi terhadap tugas-tugas penulisan serta peranan majalah-majalah dan akhbar-akhbar sebagai mass media yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu Islam . Atas kesedaran itulah beliau tampil mempelopori usaha memimpin majalah ‘Pengasoh’ yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan walaupun beliau terbeban dengan tugas-tugas besar yang lain. Ini dapat diperhatikan dalam tulisannya dalam keluaran pertama majalah ‘Pengasoh’ :

"Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada medan kuda ini. Sekiranya jika ada orang yang mengenangkan pekerjaan saya ini berhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekelian penembak. Jika idak ia pejam matanya, nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi tatkala adalah yang dituntut daripada sesorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri dalam lautan api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angin yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru lagi elok ……..


Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak-anak Melayu kita ini, maka cintalah saya denga harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap sebuah negeri di dalam Semenajung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunya oleh anak-anak negeri sendiri supaya menepati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan agama ………….

Cuba engkau tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan yang kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana malan yang kejahatan , maka disitulah ‘Pengasoh’ bertimpus membedakkan sekelian yang hadir dengan bedak pengharapan , mudah-mudahan subur sekelian dengan darah dan daging yang boleh menghadamkan tanahair dan menunjukkan kepada raja.”

Tok Kenali merupakan satu-satunya ulama’ kesayangan semua lapisan masyarakat yang tidak ada tolok bandingnya. Kisah hidup beliau merupakan lagenda-lagenda yang diperkatakan orang di segenap pelusuk negeri hingga ke hari ini. Beliau begitu popular bukan sahaja kerana ilmu pengetahuan agamanya yang tinggi dan pemikirannya yang tajam dan bijaksana, malah kerana sifat-sifat kejujuran, rendah diri, peramah, pemurah, cara hidupnya yang zuhud , bersahaja dan druwis.
Tok Kenali adalah diantara tokoh-tokoh ulamak yang telah diabadikan oleh rakyat Kelantan dengan gelaran ‘Tok’ yang digandingkan dengan nama tempat atau kampung di mana ulamak-ulamak itu datang, lahir, belajar atau menabur bakti mereka. Gelaran itu merupakan kemuncak penghormatan yang melambangkan ketokohan dan kemasyhuran yang meluas. Namun, Tok Kenali tidak hanaya menjadi lambang kemegahan rakyat Kelantan sahaja malah kemasyhuran beliau menjangkau jauh di luar perbatasan Malaysia. Beliau dapatlah dibariskan sejajar dengan tokoh-tokoh Nusantara lain yang berjasa di zamannya dan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakatnya.

LATARBELAKANG
Sejarah hidup Tok Kenali adalah sederhana, namun demikian beliau telah meninggalkan sumbangan yang mat menarik. Beliau dilahirkan di Kampung Kenali pada tahun 1868 dari satu keluarga kaum tani yang soleh. Nama kelahiran beliau adalah Muhammad Yusof bin Ahmad dan nama timangannya ‘Awang’, satu nama sentimental yang amat disenangi beliau. Malah, majalah ‘Pengasoh’ dalam keluaran pertamanya memperkenalkan pengarangnya sebagai ‘al-Fadhil Tuan Haji Awang Kenali’ dan Almarhum Sultan Muhammmad IV menyebut nama beliau dalam titah ucapan perlantikan beliau sebagai anggota Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dengan nama ‘ Haji Awang Muhammad Yusof Kenali’.
Beliau dilahir dan dibesar dalam zaman pemerintahan seorang raja Kelantan yang terkenal iaitu Almarhum al-Sultan Muhammad II yang terkenal dengan gelaran ‘ Sultan Mulut Merah’. Beliau dilahirkan setahun selepas Masjid Besar Kota Bharu (Masjid kayu) dibina. Sesuku abad kemudian, masjid ini menjadi tempat perguruan dan kegiatan ilmiahnya yang mengharumkan nama Kelantan ke seluruh Asia Tenggara.
Dari sejak kecil lagi Tok kenali memperlihatkan tanda-tanda kebijaksanaan yang luar biasa dan minat yang amat mendalam terhadap ilmu pengetahuan . Menurut Abdullah al-Qari Haji Salleh (Aqhas) , Tok Kenali telah melanjutkan pelajarannya di Kota Bharu dalam usia kira-kira 10 tahun. Beliau mendapat didikan dan bimbingan menerusi guru-guru dan para ulama’ yang terkenal seperti Encik Ismail, Tuan Guru al-Sheikh Muhammad Ali bin Abdul Rahman,Tuan Guru haji Taib Tuan Padng, Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor dan ramai lagi.

TOK KENALI DI MAKKAH

Setelah berpuashati dengan pelajaran-pelajaran asasnya, beliau telah melanjutkan peljaran ke kota suci Makkah pada tahun 1886. Kota Makkah sememangnya sejak berzaman merupakan pusat kegiatan ulama’-ulama’ besar Nusantara yang telah meletakkan batu asas pengajian Islam yang kukuh di Asia Tenggara. Makkahlah tempat para ulama’ ini menyusun dan mengarang karya-karya ilmiah yang besar serta mendidik dan melatih generasi ulama’ rumpun Melayu yang menjadi pemimpin Islam yang terkemuka di serata Nusantara. Nama-nama masyhur dan terkemuka seperti al-Sheikh Daud al-Fatani, al-Sheikh Abdul Samad al-Pelembangi, al-Sheikh Arshad al-Banjari, al-Sheikh Nawawi al-Bentani, al-Sheikh Ahmad Khatib al-Sumbasi (hanya sekadar menyebut beberapa nama) dan puluhan yang lain. Mereka ini terdidik di kota suci Makkah dan merupakan barisan ulama’ yang ideal dan menjadi sumber ilham dan dorongan bagi para pelajar Islam di zaman itu untuk dijadikan model terbaik dalam mengejar cita-cita mendalami ilmu Islam.
Ketika Tok Kenali berada di Makkah, terdapat seorang ulama’ besar bernama al-Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani. Beliau seorang guru yang sangat alim serta seorang pengarang yang amat handal dalam pelbagai bidang ilmu. Datuknya seorang mubaligh Islam dari Hadratmaut dan keturunan salasilahnya dikatakan bersambung dengan sahabat besar Saidina Uthman al-Affan. Beliau bukan sahaja menghasilkan karya-karya hebat dalam bidan-bidang ilmu Fiqh, Usulluddin dan tatabahasa Arab, malah turut menyumbang pemikiran dalam ilmu perubatan dan sejarah. Menurut catatan Haji Wan Muhammad Shahir bin Haji Abdullah Riau, beliau turut menyusun sejarah peperangan umat Islam Patani melawan penjajahan Siam. Beliaulah yang mengubah nama Patani sempena dengan umbi kata bahasa Arab ‘Fatan’ yang bererti fitnah , huru-hara dan kacau bilau. Ini membuktikan beliau mempunyai cita-cita politik yang tajam terhadap tanah tumpah kelahirannya.
Satu keahlian dan keistimewaan al-Sheikh Ahmad yang tidak ada pada ulama’-ulama’ besar lain di Nusantara yang terdahulu ialah kehandalan beliau mengarang di dalam bahasa Arab. Boleh dikatakan hanya beliau dan Sheikh Nawawi al-Bentani sahaja merupakan dua ulama’ rumpun Melayu yang mempunyai kesanggupan melahirkan karya-karya ilmiah dalam bahasa Arab setaraf dengan para ulama’ keturunan Arab.
Inilah latarbelakang guru ulung yang mengasuh dan mendidik Tok Kenali . Dengan mengenali latarbelakang sedemikian , mudahlah bagi kita untuk menyusuri kesan-kesan seorang guru yang besar pada murudnya itu. Selama kira-kira 20 tahun Tok kenali menikmati segala macam ilmu pengetahuan yang penting di zamannya menerusi guru beliau Sheikh Ahmad. Beliau memperlihatkan dedikasi dan kebolehan yang luar biasa hingga beliau menjadi seorang ulama’ yang disayangi gurunya. Sebagai menghargai ketaatan dan kebolehan beliau, Sheikh Ahmad telah membawa beliau melawat Mesir pada tahun 1903. Lawatan mereka yang bersejarah itu berlangsung dalam dekad akhir zaman Muhammad Abduh, pembaharu dan penggerak umat Islam yang ulung di abad ke 20. Tiga tahun selepas lawatan tersebut, al-Sheikh Ahmad telah meninggal dunia.

TOK KENALI KEMBALI KE KELANTAN
Buat pertama kalinya Tok kenali mengalami satu keadaan kekosongan yang amat besar kekosongan yang amat besar dalam hidupnya. Beliau merasa kehilangan tujuan yang lebih jauh lagi untuk terus tinggal di Makkah kerana segala ilmu yang menjadi matlamat pelajar di zaman itu telahpun tercapai dari arwah gurunya. Kerana itulah kira-kira 2 tahun selepas kematian gurunya, beliau berangkat kembali ke Kelantan iaitu pada tahun 1908 dalam usia 40 tahun.
Ketika Tok Kenali kembali dari Makkah, negeri Kelantan berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad IV yang masih bergelar Raja Kelantan dan ketika itulah rundingan-rundingan sedang rancak dijalankan di antara para pembesar Siam di satu pihak dengan pegawai kerajaan Inggeris di satu pihak yang lain. Setahun kemudian, Kelantan berada di bawah naungan penjajah Inggeris.
Jadi, tahun kembalinya Tok Kenali dari Makkah dapatlah dijadikan batu tanda bagi titik tolak permulaan zaman baru naungan Inggeris di Kelantan, dimana cabaran-cabaran baru ke arah kemajuan sedang menunggu tokoh-tokoh yang kembali dengan ilmu pengetahuan dan kebolehan mereka. Tanpa membuang waktu , Tok kenali terus memulakan kegiatan ilmiahnya di tanahair dengan membuka Pondok Kenali yang terkenal itu. Secara kebetulan, Kelantan ketika itu ditadbir oleh sahabat beliau Meneteri Besar Datuk Perdana Menteri Datuk Haji Nik Mahmud bin Ismail. Persahabatan diantara dua tokoh itu telah bermula sejak mereka berusia belasan tahun lagi dimana mereka sama-sama belajar dengan Encik Ismail yang merupakan bapa Datuk Nik Mahmud. Semasa di Makkah juga, kedua-duanya sempat berguru dengan al-Sheikh Ahmad walaupun berlainan bidang. Tatkala Tok kenali dapat mewarisi ilmu tatabahasa Arab dan ilmu-ilmu agama yang lain, Datuk Haji Nik Mahmud telah mewarisi ilmu dan pandangan kemasyarakatan dan siasah (politik) yang tinggi dari al-Sheikh Ahmad.
Kepulangan Tok Kenali sebenarnya telah menyambung semula satu persahabatn lama itu dan kedua-duanya terus bekerjasama dan berganding bahu dalam memajukan negeri Kelantan serta meluaskan penyebaran ilmu pengetahuan yang tinggi. Untuk maksud itu, Tok Kenali terpaksa berulang-alik ke Kota Bharu dan akhirnya bertugas di Masjid Besar Kota Bharu yang tidak lama selapas itu dikenali sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang gemilang di Semenanjung Tanah Melayu.
Kerjasama antara kedua tokoh ini dapat dilihat apabila Tok Kenali sentiasa dirundingi oleh Datuk haji Nik Mahmud bukan sahaja dalam soal agama malah dalam persoalan umum. Ini kerana, disamping sifat Tok Kenali sebagai ulama’ besar, beliau juga terkenal mempunyai pandangan-pandangan yang tajam dalam bidang kemasyarakatan dan sahsiah. Gandingan kedua mereka telah menyaksikan tertubuhnya Majlis Agama Islam (1915), terbukanya Madrasah al-Muhammadiah (1918) dan terlancarnya majalah Pengasoh (1918).
Setelah 25 tahun berbakti kepada masyarakat Islam, Haji Awang Muhammad Yusof Kenali telah kembali ke rahmatullah pada 19 November 1933 dengan meniggalkan satu barisan ulama’ yang terkenal seperti Tuan Guru Haji Yaakob Ligor, Tuan Guru Haji Ali Salehuddin, Tuan Guru Haji Uthman Jalaluddin Saring, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Tuan Guru Haji Yaakub Ahmad dan Tuan Guru Haji Saad dan al-Sheikh Anjun dari Asahan Indonesia.

PENUTUP
Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan hasil-hasil karya dan penulisan yang besar dalam mana-mana bidang pengajian Islam, jasa beliau yang paling besar ialah kejayaan beliau melahirkan satu angkatan ulama’ yang memegang obor pengajian tinggi Islam bukan sahaja di negeri Kelantan dan Malaysia, malah di Thailand, Kampuchea dan Indonesia di separuh abad pertama kurun ke 20. Beliau juga telah membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab, Nahu Saraf dan Balaghah di dalam sistem pelajaran pondok. Kepakaran beliau dalam bidang-bidang tersebut merupakan satu lagenda di kalangan ahli-ahli ilmu di zaman itu kerana dikatakan dalam kebanyakkan waktu beliau mengajar tanpa menggunakan kitab.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment