Sebagai muqaddimah, mari kita tengok beberapa perkembangan yang patut kita berikan perhatian. Pertamanya, semua kita tahu tentang rancangan penubuhan IFC (Suruhanjaya antara agama), yang menuntut berbagai-bagai perkara yang kesemuanya bertujuan untuk menghapuskan identiti Islam dalam negara ini. Bukan sahaja mereka tuntut rakyat Malaysia supaya tidak dinyatakan agamanya di dalam mykad, bahkan mereka menuntut segala keistimewaan agama dan peruntukan-peruntukan yang diberikan kepada Islam di dalam negara ini juga turut dihapuskan. Ini merupakan satu permintaan terbaru yang sangat berani yang dikemukakan oleh orang-orang kafir di dalam negara ini, dan disokong pula oleh sebahagian mereka yang mendakwa sebagai Islam.
Sesiapa yang membaca tuntutan-tuntutan yang dikemukakan itu, pasti dia akan tahu bahwasanya tuntutan-tuntutan itu tidak bertujuan melainkan mempunyai perasaan hasad yang tinggi dan tidak hormat kepada kaum muslimin. Oleh sebab itu, kita katakan bahwa tidak ada orang Islam yang menyertai tuntutan-tuntutan itu melainkan mereka menjadi murtad bersama dengan orang-orang kafir sekiranya mereka turut menyertainya. Kita sebut begitu sebab tuntutan-tuntutan seperti itu hanya menunjukkan seseorang telah terkeluar dari aqidah Islam kerana berpakat dengan orang kafir untuk memusuhi umat Islam. Suruhanjaya itu adalah suatu pakatan yang jelas untuk memusuhi umat Islam di dalam negara ini, oleh sebab itu, sekiranya mana-mana orang Islam yang mengangkat tangan sebagai tanda menyokong dan meng”iya”kannya, maka terkeluar dia dari daerah iman dan masuk ke daerah kufur.
Yang keduanya, kita lihat kes dakwaan seorang wanita yang diminta oleh majikannya supaya menanggalkan tudung ketika bekerja. Ini juga merupakan salah satu lagi dari cubaan-cubaan berani yang menunjukkan rasa hormat terhadap nilai umat Islam di dalam negara ini semakin terhakis. Kejadian itu sekiranya berlaku buat kali pertama, ya, mungkin semua umat Islam terkejut dan marah. Namun sekiranya ia berterusan dari semasa ke semasa, kita khuatiri lama-kelamaan perkara seperti itu sudah menjadi perkara biasa.
Kalaulah benar seperti yang didakwakan oleh pihak media bahwa pihak yang ada autoriti dalam kementerian yang membabitkan perkara berkenaan dalam negara kita ini enggan mengambil sebarang tindakan terhadap majikan tersebut, maka apa yang boleh kita sebut ialah sempurnalah menteri berkenaan menjadi sebagai satu manusia yang tidak mempunyai perasaan ugama. Berpolitiknya orang seperti ini tidak lain melainkan untuk kepentingan dirinya sahaja. Kata Maulana Abul Hassan Ali an-Nadwi, “Inilah bezanya antara pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini dengan mereka yang menjadi pimpinan umat Islam yang dahulu. Pemimpin-pemimpin dahulu sentiasa merasakan tanggungjawab membela umat Islam sebagai sebahagian dari tugasnya.”...Mungkin ramai dikalangan kita pernah membaca kisah Khalifah Muqtasim yang melanggar dan menakluk sebuah negeri hanya semata-mata kerana seorang wanita Islam dihina. Muqtasim ketika menerima berita seorang muslimah dihina di negeri orang kafir, beliau terus bersumpah di atas nama Allah swt, katanya, “Demi Allah! aku tidak akan melalui mana-mana malam dalam keadaan berjunub melainkan setelah tentera-tentera ku dilancarkan untuk menakluki negeri yang menghina wanita muslimah.”...Maksudnya, beliau tidak akan menggauli isterinya sehinggalah beliau dapat melaksanakan misi membela seorang wanita muslimah. Padahal jika nak dilihat diri Muqtasim, beliau bukanlah baik sangat dari segi sejarah kerana adanya unsur pengaruh muktazilah dalam pemikiran Muqtasim. Namun begitu, beliau tetap meletakkan pembelaan agama sebahagian daripada agenda di dalam dirinya sebagai seorang pemerintah. Agenda inilah yang sekarang tidak wujud dalam pemikiran kebanyakan kita, menyebabkan kebanyakan kita beranggapan isu-isu sebegini hanya isu remeh. Selagi tidak membabitkan isu ekonomi negara, selagi itulah ia dianggap remeh. Tuan-tuan, inilah bala` yang sedang menimpa umat Islam hari ini, dan bala` ini amat menakutkan.
Yang ketiganya, pertembungan antara Islam dan barat amat panas hari ini. Barat tetap menganggap bahwa lukisan yang menghina Nabi Muhammad saw itu adalah lambang kepada kebebasan akhbar dan kebebasan berfikir. Cuba kita lihat bagaimana bantahan oleh Dr Yusuf al-Qardawi terhadap beberapa kenyataan para pendakwah dalam dunia Islam hari ini yang cuba menenangkan ketegangan yang timbul dari isu tersebut. Tokoh-tokoh umat Islam meminta orang-orang Islam bertenang, takpayahlah memboikot-boikot dan marah-marah kat barat, dan disarankan mengadakan dialog dengan pihak barat. Tuan-tuan tau Dr Yusuf al-Qardawi kata apa?...Dr Yusuf al-Qardawi kata, “Saranan seperti itu tidak dapat diterima dalam keadaan sekarang kerana zaman ini adalah zaman konfrantasi. Memang kita tidak bersetuju untuk membakar kedutaan dan melakukan aksi-aksi letupan, tetapi kita mahu orang-orang Islam terus memboikot barangan barat sebagai menunjukkan marah mereka apabila rasul mereka dihina.”...Susulan dari itulah kita lihat dari negara-negara Arab hinggalah ke Pakistan, pemboikotan yang dilakukan memang dirasai oleh barat. Namun di nusantara, khususnya di negara M`sia amat menyedihkan kerana ramai yang tidak ambil peduli tentang hal Nabi mereka dihina. Ini disebabkan, tidak lain dan tidak bukan kerana barat telah berjaya menjadikan generasi muda kita berada dalam candu hiburan yang sentiasa melalaikan mereka. Agak-agak tuan-tuan, puak-puak yang menjerit-jerit kemenangan Mawi dalam anugerah Berita Harian di Genting hari tu boleh fikir tak dengan masalah-masalah yang menimpa umat Islam hari ini?...Takdak pasai la tuan-tuan. Inilah perkara yang menjadikan puak kuffar benar-benar berjaya sehingga lumpuhlah kita dan tinggallah yang membantah hanya sedikit sahaja. Besok-besok nanti, buanglah tudung pun, murtadlah ramai mana pun, akan menjadi perkara biasa sahaja (nauzubillahiminzalik).
Sahih Bukhari
Jilid 2
Bab apabila solat sudah diiqomah, maka tidak boleh mengerjakan solat melainkan solat yang difardukan.
Dari Sa`ad bin Ibrahim, katanya: “Aku mendengar Hafsh bin `Ashim, katanya: “Aku mendengar seorang lelaki dari Azdi yang bernama Ibnu Buhainah bahwasanya Rasulullah saw melihat seorang lelaki. Pada waktu itu solat sudah dibunyikan iqomahnya. Orang lelaki itu lalu bersembahyang dua rakaat. Setelah Rasulullah saw selesai solatnya, baginda dikerumuni oleh banyak orang. Rasulullah saw kemudian bersabda kepada orang tadi: Apakah kamu mengerjakan solat Subuh itu empat rakaat? Apakah solat Subuh itu kamu kerjakan dengan empat rakaat?”
Kejadian ini berlaku berkemungkinan lelaki tersebut amat menitik-berat tentang solat sunat dua rakaat sebelum Subuh yang ditekan oleh Rasulullah saw, yang fadhilatnya mengatasi seluruh isi dunia. Aisyah kata bahwa Nabi saw sendiri tidak pernah tinggal solat sunat dua rakaat sebelum Subuh ini walaupun dalam keadaan musafir. Jadi, sahabat yang ditegur oleh Nabi dalam hadith ini, mungkin dia tiba lewat, sesampainya ke masjid, tiba-tiba sudah diiqomah. Oleh sebab bimbang tertinggal kelebihan solat sunat dua rakaat tersebut, beliau buat juga walaupun dah iqomah.
Sebaik selesai solat Subuh, menjadi kebiasaan, Nabi saw pusing mengadap ke makmum. Namun, perbuatan Nabi selepas solat bukan fix kepada satu-satu perbuatan sahaja. Ada ketikanya Nabi duduk sekejap sementara tunggu kaum muslimah bangun beredar, ini menurut az-Zuhri. Kadang-kadang selepas solat, Nabi walaupun sebagai imam, baginda bangun terus tanpa wirid. Dan kadang-kadang baginda duduk sekejap mengadap makmum, berzikir sedikit dan bertanya khabar tentang sahabat. Namun sepertimana yang disebut oleh Ibnu Taimiyah rahimahulllahu ta`ala dalam al-Fatawa al-Kubra bahwa baginda tidak pernah membaca sebarang doa bersama dengan para makmum. Dalam ertikata lain, amalan imam baca doa dan makmum mengaminkannya, tidak pernah berlaku sedemikian di zaman Nabi saw. Nabi hanya wirid dan berzikir, itu pun Nabi saw buat sendiri-sendiri. Walaupun begitu, ada satu riwayat dari Ibnu Abbas radiyallahuanhu menyatakan bahwa, “Mengangkat suara dengan takbir selepas orangramai selesai dari solat pernah kedengaran pada zaman Rasulullah saw.”...Namun, menurut al-Imam Syafie rahimahullahu ta`ala di dalam al-Umm, menyatakan bahwasanya maksud “Nabi angkat suara ketika zikir” dalam riwayat itu adalah kerana baginda nak ajar orangramai bagaimana cara zikir selepas solat. Selepas orangramai tahu, baginda tidak lagi mengangkat suara ketika zikir.
Pernah ditanya kepada Imam Syafie, “Apakah amalan Nabi lakukan buat sementara waktu sahaja, kemudian ditinggalkannya?”...Kata al-Imam as-Syafie, “Sepertimana baginda pernah solat di atas mimbar.”...Pernah satu waktu ketika solat, Nabi saw langkah naik atas mimbar dan terus melakukan solat di atas mimbar. Tujuan baginda buat begitu ialah supaya orangramai di belakang yang terdiri dari para sahabat dapat melihat pergerakan dan mempelajari cara solat yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Sekali tu saja Nabi buat macam tu. Yang kemudian-kemudiannya, Nabi solat di bawah macam biasa. Begitulah juga dengan amalan zikir selepas solat, menurut al-Imam as-Syafie. Apabila makmum sudah faham bahwa ada bacaan tertentu selepas solat, maka baginda tidak lagi mengangkat suaranya. Dan demikianlah yang dilakukan oleh para ulama salafussoleh seperti yang dapat kita lihat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, tidaklah imam dan makmum berdoa beramai-ramai kerana masing-masing mempunyai hajat dan tujuannya yang tersendiri.
Apabila berlaku keadaan sedemikian (imam dan makmum tidak berdoa beramai-ramai di Masjid Nabawi mahupun di Masjidil Haram), maka tertanya-tanyalah umat Islam di nusantara kerana ada sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam an-Nasa`i di dalam sunannya menyatakan bahwa terdapatnya doa mustajab selepas solat-solat fardu. Ini benar-benar menjadi tanda-tanya. Namun apabila dibincangkan oleh para ulama apa makna “doa mustajab selepas dari solat”, jumhur dikalangan mereka bersependapat sepertimana yang ditarjihkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah yang menyatakan bahwasanya “doa mustajab selepas solat” itu ialah selepas tasyahud akhir dan sebelum bagi salam.
Di dalam sahih Bukhari, Nabi saw ajar kepada kita supaya berdoa di antara tahiyat akhir dan salam dengan doa berbunyi, “Allahuma inni `auzubika min `azabi jahannam, wa min `azabil kobri, wa min fitnatil mahya wa mamat, wa min syarri fitnati masihid-dajjal.”...Dari doa ini, sebagai orang Islam, kita kena minta kepada Allah dilindungi daripada 4 perkara. Yang pertamanya minta perlindungan dari azab neraka jahanam. Ini keperluan terbesar setiap muslim. Sekiranya kita terlepas daripada ini, maka ia adalah kejayaan yang paling besar. Yang keduanya minta perlindungan dari azab kubur kerana ia adalah fitnah yang terbesar. Semua orang boleh canangkan apa sahaja, mungkin mereka boleh tipu keluarga kita dengan menyatakan bahwa boleh beri duit kepadanya dan dia boleh menghantar pahala kepada si mati; namun, urusan setiap kita dengan azab kubur adalah urusan kita dengan Allah swt. Urusan kita dengan Tuhan yang tidak memakan rasuah dan urusan kita dengan malaikat yang tidak menerima upah. Apabila matinya seseorang, tidak ada lagi tempat pergi dan tempat kembali melainkan kepada Allah `azawajjal. Semasa solatlah kita memohon kepada Allah dijauhkan daripada azab neraka jahanam dan juga daripada azab kubur. Pohon sekarang tuan-tuan, sebelum datangnya hari mati. Bila dah mati, sebarang permohonan sudah tidak boleh memberi manafaat. Orang yang bersalah di mahkamah dunia dan akan dihukum gantung pun masih lagi ada peluang membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi. Namun bagi orang yang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, sebarang peluang permohonan keampunan sudah pun tertutup, melainkan hanya amalan solehnya sahaja yang akan menentukan samada Allah swt ampuninya ataupun tidak. Kalau tidak dengan amalan soleh, mungkin Allah mengampuninya di atas doa yang pernah dipohonnya kepada Allah ta`ala.
Seterusnya yang ketiga, kita minta supaya dijauhkan fitnah semasa hidup dan mati. Dan akhir sekali yang keempat, kita minta dilindungi fitnah kejahatan al-masih dajjal. Kemudian selepas kempat-empat permohohonan itu, maka barulah kita disuruh berdoa apa yang kita mahu. Ini semua dilakukan sebelum bagi salam sepertimana yang disebut di dalam hadith-hadith yang sahih. Cumanya sebahagian dari kita, lebih tertumpu kepada doa selepas memberi salam. Jangan pula tuan-tuan salah faham di sini, sebab ana tak kata tak boleh diamalkan begitu, tapi kalau tuan-tuan check apa maksud yang dikatakan sebagai “mustajab doa”, tuan-tuan akan dapati bahwa kebanyakan hadith mendorong kepada selepas tasyahud dan sebelum memberi salam. Tapi tak payahla pi angkat tangan time doa selepas tasyahud tu. Dia macam doa ketika sujud la jugak. Yang perlu kita lakukan, hanya terus berdoa tanpa angkat tangan. Jadi di sini, bukan semua tempat kita berdoa dengan angkat tangan. Ada keadaan kita angkat, dan ada keadaan kita tak payah angkat tangan. Namun yang pentingnya, kita sebagai orang muslim kena pandai cari tempat di mana mustajabnya doa.
Berbalik kepada hadith di atas; setelah orangramai berkumpul di sekeliling Nabi, baginda pun tegur perbuatan sahabat yang sembahyang sunat Subuh ketika orang dah iqomah tadi. Maknanya, Nabi marah sikit kat sahabat tu. Maka kita pun jangan buat begitu kerana ia dilarang oleh Nabi saw. Jadi, macamana kita nak buat sekiranya terlepas solat sunat dua rakaat sebelum Subuh?...Perkara seperti ini pernah berlaku di zaman Nabi. Seorang sahabat nama Qais pernah melakukannya dan dia ditanya oleh Nabi, "Kenapa kamu solat selepas Subuh?"...Qais kata, “Aku qado solat sunat sebelum Subuh tadi ya Rasulullah.”...Lalu Rasulullah diam tak kata apa. Diamnya Rasulullah menjadi hukum kepada sesiapa yang tertinggal solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, dibolehkan menggantikannya selepas dari solat Subuh.
No comments:
Post a Comment