Sunday, August 14, 2011

Telefon bimbit jadi penyelamat

Telefon bimbit jadi penyelamat





BESUT – Tiga pemuda berpakat melarikan seorang gadis sunti berusia 15 tahun merentasi sempadan Terengganu- Kelantan selama lima jam malam kelmarin semata-mata dengan niat untuk memaksa pelajar tingkatan tiga itu mengahwini seorang daripada suspek.

Bagaimanapun, komplot mereka menculik Noredreen Natasya Suhaimi gagal selepas gadis itu sempat menggunakan telefon bimbitnya untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang rakan yang akhirnya berjaya membantu polis menyelamatkannya dan menahan dua suspek.

Insiden itu bermula pukul 9.15 malam kelmarin apabila gadis tersebut berjalan keluar dari sebuah kedai runcit di Alor Peroi di sini sebelum ditarik ke dalam sebuah kereta Perodua Kancil.

Jeritan mangsa menarik perhatian bapanya, Suhaimi Mustafa (gambar kecil), 36, yang berada di rumah kira-kira 80 meter dari situ. Dia nampak anaknya ditarik ke dalam kereta itu tetapi tidak sempat menolong.

Bimbang keselamatan anaknya, Suhaimi terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.

Noredreen Natasya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya semalam memberitahu, kereta yang dinaikinya dipandu laju sebelum mereka berhenti di sebuah rumah kosong dipercayai milik salah seorang suspek di Kampung Gong Manor, Pasir Puteh, Kelantan, iaitu kira-kira 15 kilometer dari tempat dia dilarikan.

Dia mendakwa mengenali salah seorang penculik itu.

“Lelaki itu selalu kacau saya. Dia kerap telefon dan hantar SMS kepada saya.

“Dia jugalah yang mengajak saya untuk bernikah dengannya ketika saya diculik. Saya cukup takut tapi Alhamdulillah semuanya selamat,’’ katanya yang enggan mendedahkan wajahnya untuk diambil gambar.

1 comment: