Friday, August 19, 2011

Tentera Perketat Kawalan Menjelang Aidil Fitri

RANTAU PANJANG – Kawalan keselamatan di kawasan sempadan Kelantan diperketat bagi mencegah aktiviti penyeludupan, walaupun kadarnya berkurangan pada tahun ini berbanding tahun lepas.




Panglima Briged Kelapan Infantri Brigidier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata Batalion Pertama Rejimen Sempadan di bawah Briged Kelapan Infantri, yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kota Baharu, sentiasa memastikan kawalan keselamatan di kawasan itu diperketat, terutama menjelang Aidil Fitri.

Beliau berkata ini bagi memastikan sempadan Malaysia-Thai tidak dibolosi pihak tertentu termasuk mereka yang menjalankan aktiviti penyeludupan, jenayah serta kemasukan pendatang tanpa izin.

“Kita menempatkan satu batalion anggota pasukan Rejimen Sempadan itu bagi mengawal sebarang kemungkinan pada musim perayaan ini, di samping membekukan cuti semua kakitangan yang bertugas di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota rejimen yang bertugas di Markas Tektikal Pos Tok Oh dekat sini.

Mohamad Zaki berkata anggotanya akan berkawal 24 jam di kawasan sempadan sepanjang 123.7 kilometer dari Pengkalan Kubur, Tumpat hingga ke Kalai, Batu Melintang. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment